Tuesday 28 February 2012

Pemimpin ingkar perintah Allah perlu ditukar...!

Aziz Muda,27 Feb 2012

AMPANG, 27 Feb: Pemimpin yang ingkar kepada Allah dengan tidak melaksanakan perintah Allah ke atasnya dan terhadap sistem pemerintahannya, tidak perlu diberikan pertimbangan lebih jauh lagi, melainkan perlu ditukar dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya.

Sekiranya pertukaran itu tidak dilakukan, ia pasti akan merosakkan sesebuah negara dan rakyatnya sehingga akan menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan dalam pelbagai aspek dalam negara terbabit.

Pendakwah selebriti terkenal yang juga ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus berkata, pemimpin yang ingkar kepada Allah berbeza kedudukannya dengan pemimpin yang lembap atau 'slow'.

Menurutnya, pemimpin yang lembap, kurang bijak, kurang kecekapan, bertindak perlahan untuk kemajuan dan kebaikan negara atau negeri, tidak perlu ditukar.

Katanya, sebaliknya bagi pemimpin lembap, mereka hanya perlu dibaiki agar berubah ke arah kebaikan bagi kepentingan agama,  tanah air dan seluruh rakyatnya.

"Keadaan itu samalah juga dengan kedudukan seseorang imam. Makmum memang kena ikut imam. Kalau imam itu baca perlahan, baca surah panjang-panjang, sabar sajalah. Tak perlulah tukar imam itu.

"Kalau tak setuju dengan imam itu, pergi sajalah ke masjid atau surau lain," katanya ketika menjawab soalan peserta sama ada dalam konteks kepimpinan, perlu tukar pemimpin atau ubah pemimpin, pada program Bersama Ustaz Azhar Idrus anjuran Dewan Pemuda PAS Terengganu di De Palma Hotel Ampang, dekat sini, semalam. 

Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya seseorang imam itu merosakkan rukun sembahyang, imam tersebut perlu ditukarkan dengan imam lain yang lebih baik daripadanya.

Katanya, begitu juga kedudukannya dengan imam yang sering melakukan maksiat, tidak melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, imam itu juga bukan lagi perlu diubah tetapi perlu ditukarkan dengan imam lain dengan segera.

"Perkara itu samalah juga dengan seseorang pemimpin yang sering melakukan maksiat, tidak melaksanakan perintah Allah dalam sistem pemerintahannya.

"Pemimpin seperti itu jika tidak ditukar dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya pasti akan lebih merosakkan lagi negara dan rakyatnya sehingga akhirnya akan menyebabkan negara itu musnah," tegasnya.

Tugas menukar pemimpin yang tidak baik kepada yang lebih baik, tambahnya, tidak boleh dipandang ringan oleh setiap umat Islam kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan tuntutan Allah ke atas setiap umat Islam agar sentiasa mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Selain dari itu, pemimpin seperti itu juga perlu dibantu oleh sesama umat Islam lain demi kepentingan pemimpin itu sendiri dengan diberikan nasihat dan teguran kepadanya agar insaf dan bertaubat kepada Allah.

"Cara untuk memberikan nasihat dan teguran kepada pemimpin yang seperti itu adalah dengan menukarkannya dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya.

"Setelah kuasa tiada lagi di tangannya, barulah dia akan sedar dengan kesilapan dan kejahatannya sendiri selama ini. Dengan itu, barulah dia akan insaf dan bertaubat kepada Allah," tegasnya.

Begitu juga halnya dengan pemandu yang mabuk, tambahnya lagi, yang bukan sahaja perlu ditukar segera dengan pemandu lain yang lebih baik daripadanya bagi kepentingan nyawa orang lain, tetapi juga untuk menegurnya supaya sedar dengan kesilapannya sendiri.

Berbai'ah adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali,26 Feb 2012

Berbai'ah dan berjanji setia sesama muslim untuk melakukan kebaikan dan amalan soleh apatah lagi berbai'ah untuk berjihad menentang kezaliman dan penindasan serta memperjuangkan Islam merupakan sebahagian sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta para ulama terdahulu dan terkemudian.

PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan landasan perjuangannya adalah Islam dengan merujuk kepada al-Quran dan Hadis sudah pasti selayaknya melakukan bai'ah sebagaimana yang disunnahkan.

Bai’ah merupakan istilah al-Quran dan Hadis. Ia bermaksud memberikan janji untuk menunaikan dan melaksanakan sesuatu. Dalam hadis riwayat Nasaei daripada sahabat Nabi s.a.w. bernama Ubadah bin Somit, Rasulullah s.a.w. telah menyeru sahabat-sahabat daripada Madinah pada tahun ke 11 menjadi Nabi untuk berbai'ah yang dikenali sebagai bai’ah Nisa'. Bai’ah tersebut mengandungi janji untuk menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak lelaki, tidak mereka-reka cerita palsu dan tidak menderhakai Nabi s.a.w. dalam perkara ma'ruf. Sebaik sahaja mereka berbai'ah baginda lantas bersabda bermaksud: "sesiapa yang selepas ini melakukan apa-apa perkara yang dibai'ahkan tadi lalu ditimpa balasan (di dunia) itu adalah kaffarah baginya. Sesiapa yang tidak terkena balasan maka urusannya terserah kepada Allah. Sekiranya Allah mahu Allah berikan keampunan kepadanya, sekiranya Allah mahu Allah boleh membalasnya disebabkan perlakuan tadi".

Hadis ini jelas  menunjukkan bahawa orang yang melanggar bai'ah boleh dihukum dan dibalas di dunia oleh Allah.

Bai'ah terbahagi kepada dua. Pertamanya bai’ah kepimpinan dan pemerintahan atau bai'ah kepada khalifah dan pemerintah Islam seperti bai'ah sahabat kepada Nabi s.a.w. di Madinah dan bai'ah sahabat-sahabat kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

Keduanya, bai'ah untuk melakukan ketaatan dan amalan soleh seperti solat dan jihad. Dalam hadis sahih Bukhari, Muslim, Ibn Hibban dan Abi Dawud terdapat hadis yang sangat banyak menceritakan bai'ah antara Nabi s.a.w. dan sahabat antaranya bai'ah untuk saling menasihati sesama Muslim, berbai’ah untuk tidak lari dari medan perang, berbai'ah untuk melakukan lima solat yang wajib, bai'ah untuk menunaikan zakat, bai'ah untuk berjihad, bai'ah untuk menyatakan kebenaran di mana sahaja kita berada dan bai'ah untuk mati bersama dalam perjuangan Islam.

Oleh itu sangat tersasar dan tersilap mereka yang menempelak PAS berbai'ah dalam urusan pencalonan pilihan raya dengan hujah kononnya bai'ah hanyalah merujuk kepada bai'ah kepada pemerintah sahaja dengan menafikan bai'ah dalam melakukan amalan soleh.

Menyertai pilihan raya sebagai calon wakil rakyat dengan matlamat untuk menegakkan agama Allah dan prinsip Islam dalam pemerintahan negara merupakan sebahagian amalan soleh. Oleh itu, bai'ah antara calon pilihan raya untuk tidak meninggalkan parti PAS yang memperjuangkan Islam selepas terpilih menjadi wakil rakyat atas tiket PAS adalah sunat dilakukan untuk menjamin tidak berlakunya sebarang pengkhianatan terhadap amanah Parti Islam Se-Malaysia.

Amat malang sekali kedapatan sebahagian yang menasabkan diri kepada ilmu termasuk berjawatan mufti berbicara tentang bai'ah tanpa ilmu, hanya dengan hawa nafsu dan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulillah s.a.w. Kita menyeru mereka untuk bertaubat kepada Allah kerana bercakap tanpa ilmu dan tanpa merujuk sunnah Rasulillah s.a.w.
Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Mapim gesa seragam undang-undang murtad

Harakahdaily,27 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan sidang khas agar undang-undang murtad yang seragam di seluruh negara diwujudkan untuk membendung gejala itu.

“Undang-undang tersebut hendaklah boleh dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, kesalahan menjalankan kegiatan cuba memurtadkan orang Islam selama ini sepatutnya boleh didakwa di mahkamah sivil tetapi sehingga ini penguatkuasaannya masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, ujarnya wujud enakmen negeri-negeri mengenai murtad kecuali beberapa negeri yang masih belum mewujudkan undang-undang tersebut, Mapim berpendapat sebuah akta yang khusus dan seragam perlu digubal untuk memastikan permohonan pertukaran agama daripada Islam kepada agama lain dapat dihalang.

“Kami mendapati kini wujud undang-undang yang tidak selaras antara negeri-neger dan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa peruntukan yang longgar mengenai isu murtad,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh itu, tegasnya tindakan perlu diambil untuk memperkemaskan peruntukan dalam undang-undang tersebut demi mengekang gejala murtad.

Di samping itu, kata beliau Mapim juga berpendapat akibat kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang telah menyebabkan umat Islam terdedah kepada agenda pihak tetentu yang mahu mencari peluang untuk menggugat aqidah umat Islam.

Katanya lagi, kelemahan penguatkuasaan adalah punca undang-undang murtad tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Justeru, ujarnya lagi, Mapim merayu Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian yang serius kepada masalah pegangan aqidah umat Islam yang perlu dilindungi bukan sahaja dengan pendidikan dan kesedaran, namun juga hendaklah diperkukuhkan melalui perundangan kerana murtad adalah termasuk dalam bidang jenayah Islam.

“Penyelarasan undang-undang murtad perlu dilakukan bagi memastikan agar tidak ada negeri di negara ini yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam,” katanya.

Sunday 19 February 2012

Qunut Nazilah mohon kemenangan pejuang Syria

Harakahdaily,18 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh resolusi mengecam pelanggaran hak asasi manusia di Syria dan menggesa agar Presiden Bashar al-Assad meletakkan jawatan yang dikemukakan oleh Mesir kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan disokong oleh 137 negara.

Justeru, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri menggesa umat Islam melakukan Qunut Nazilah dalam solat-solat mereka mendoakan kemenangan bagi pejuang Islam di Syria yang menentang kezaliman.

“Serta berdoa agar Allah Taala menurunkan hukuman selayaknya di dunia terhadap pemerintah yang zalim,” ujarnya.

Mengulas perkembangan terkini yang berlaku di Syria yang menyaksikan penyembelihan rakyat yang tidak berdosa oleh rejim Bashar, beliau berkata, kezaliman itu telah mencapai kemuncaknya sejak 8 bulan lalu yang menyaksikan pembunuhan ribuan rakyat yang tidak bersenjata.

Menurut laporan Al Arabiya.net, serangan tentera Syria yang telah masuk hari ke 13 menggunakan peluru berpandu dan kereta kebal terhadap rakyatnya di bandar Hims telah membunuh 678 orang Islam termasuk kanak- kanak di samping menghancurkan sepenuhnya puluhan bangunan.

Satu laporan menjelaskan sejak kebangkitan di bandar Hims pada bulan Mac 2011 seramai 3,370 penduduk Hims telah dibunuh.

Jumlah yang terbunuh dicampur dengan bandar-bandar lain sehingga kini melebihi 8,380 orang.




Saturday 18 February 2012

Garis Panduan Fiqh Interaksi perlu disegera

Dr Mohd Roslan Mohd Nor,17 Feb 2012



Menginsafi akan keadaan semasa yang semakin kompleks dengan isu-isu semasa berkaitan interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) ingin mengesyorkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membangunkan  sebuah Garis Panduan Fiqh Interaksi Orang Islam dan Bukan Islam di Malaysia.

PUM berpandangan usaha untuk membangunkan Garis Panduan Fiqh Interaksi Orang Islam dan Bukan Islam di Malaysia yang menyeluruh dalam bidang ini adalah amat mustahak dan perlu dilakukan dengan segera sebagai manhajdan jalan penyelesaian kepada isu-isu agama yang berbangkit dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Antara isu yang berbangkit di negara ini bukan setakat isu sambutan perayaan agama masyarakat majmuk tetapi mencakupi isu-isu lain dalam aspek hukum, sosial, ekonomi, pentadbiran dan sebagainya.

Sudah tentulah setelah diperakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Garis Panduan tersebut akan menjadi rujukan rasmi seluruh pihak dalam negara untuk menangani isu-isu yang menyentuh isu agama dan hubungan antara agama.

PUM juga percaya dengan terbinanya dokumen lengkap ini, sudah tentulah masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia tidak akan terkeliru dengan sebarang maklumat dan jawapan yang tidak mempunyai autoriti dalam agama Islam. Sebaliknya, pandangan yang telah dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam Garis Panduan tersebut akan menjadi pandangan rasmi negara.

Selain itu, Garis Panduan tersebut juga akan menzahirkan agama Islam sebagai sebuah ajaran yang mempromosikan nilai keindahan Islam disamping nilai keadilan, kedamaian, perpaduan dan keharmonian. Dasar ini adalah selaras dengan firman Allah dalam surah al-Anbiyak ayat 107 dan surah al-Mumtahanah ayat 8:“dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
(Surah al-Anbiyak: 107)
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtahanah:8)

PUM mengambil maklum buat masa ini sudah ada beberapa Garis Panduan berkaitan yang telah dikeluarkan oleh Jakim seperti Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, walaubagaimanapun, PUM amat mengharapkan keseluruhan garis panduan dalam tema yang pelbagai ini disatukan dan diperbahaskan dengan lebih menyeluruh dan dikemaskini selaras dengan konteks semasa.

PUM amat yakin dan percaya, Garis Panduan tersebut juga akan menjadi medium pengukuhan persefahaman di antara masyarakat Islam dan bukan Islam berteraskan nilai ilmu dan fakta.

Berteraskan kepakaran yang ada, PUM bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Malaysia khususnya membantu pihak Jakim untuk memperincikan perkara-perkara yang berbangkit dalam isu yang dicadangkan ini.

Sekian, terima kasih.

Dr Mohd Roslan ialah Setiausaha Agung PUM.

Monday 6 February 2012

Bersatu kembalikan kekuatan ummah





Foto
SULTAN Mizan menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Kamarul Al Amin Ismail yang memenangi perarakan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, semalam.






Foto
HASSAN dirai keluarga selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 di Putrajaya, semalam. 






Foto
SULTAN Azlan merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Raudhatul Mardhiah, Parit.






Foto
SULTAN Ibrahim Iskandar diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengetuai perarakan Maulidur Rasul di Muar.





PERARAKAN sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 dari Masjid Tuanku Mizan ke Masjid Putra.




Pemimpin digesa musyawarah demi perpaduan

KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam tanpa mengira politik disarankan duduk berbincang demi perpaduan dan mengembalikan semula kekuatan ummah supaya terus dihormati.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berusaha ke arah mengembalikan kekuatan ummah melalui kekuatan iman, ekonomi, ilmu dan perpaduan.“Orang Islam akan menjadi bangsa yang gagah dan dihormati jika mereka bersatu,” titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul yang menyaksikan lebih 15,000 orang berarak dari Dataran Shah Bandar ke Stadium Negeri.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika bertitah di Muar mengingatkan umat Islam tidak menabur fitnah dan mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui internet serta SMS yang belum tentu kesahihannya.

Titah baginda, umat Islam perlu sentiasa mengamalkan cara hidup yang berlandaskan syariat, memberi contoh yang baik kepada masyarakat, sekali gus meninggalkan perbuatan yang membinasakan. 

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk jika pemimpin lebih mengutamakan kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok berikutan ia diperoleh secara mendadak akan melahirkan individu yang hanya kaya sementara.
“Kekayaan material seumpama itu yang tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani adalah kekayaan palsu serta sekadar melahirkan budaya kemewahan, bermegah dan pembaziran, ” titah baginda di Parit.

DI SEREMBAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, persefahaman dan perpaduan umat Islam boleh dicapai menerusi penghayatan ke atas prinsip Wasatiyyah yang terkandung dalam ajaran Islam.

Titah baginda, Wasatiyyah boleh diterjemahkan sebagai pendekatan sederhana yang terhasil daripada bimbingan Tuhan dan terbit daripada kefahaman terhadap panduan agama.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika bertitah di Kuantan, mahu semua pemimpin Islam tanpa mengira politik disaran duduk semeja demi perpaduan dan ummah.

Baginda bertitah, pertemuan dan perbincangan itu penting bagi mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam yang semakin ketara kerana tiada persefahaman yang wujud di antara mereka.

Di KOTA KINABALU, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata umat Islam perlu membanteras perkara yang boleh mengancam akidah, ketenteraman masyarakat dan keselamatan negara, termasuk usaha mengiktiraf hak golongan lesbian, gay, biseksual serta transeksual.

Di KEPALA BATAS, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata pemimpin perlu mencontohi pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah yang memberikan perhatian saksama terhadap umat Islam dan bukan Islam.

Di MELAKA, 11,057 peserta daripada 198 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, pihak berkuasa tempatan dan penduduk menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob. 

Islam teladan ummah...

Foto
PENERIMA anugerah Perdana, Muhammad Hadi Darus (kiri) dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berbual sambil melihat sijil anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 di Masjid Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam mencontohi perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berjaya mendidik, memimpin dan membawa masyarakat jahiliah berhijrah daripada kekufuran serta kejahilan kepada umat memiliki keimanan kental dan ketinggian ilmu.
Baginda bertitah, kegigihan Rasulullah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah berjaya membina kekuatan iman, minda dan fizikal umat Islam pada zamannya dan zaman Khalifah ar-Rasyidin serta zaman sesudahnya sehingga mampu mencapai satu tamadun gemilang.
Seri Paduka bertitah untuk mencapai kegemilangan itu, umat Islam perlu memperbetulkan tasawur Islam dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

“Konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah serta bekerja atau berniaga sebagai ibadat adalah perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global,” titah baginda merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra di sini, semalam.

Tuanku Abdul Halim bertitah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah bertepatan dengan kehidupan umat Islam kini yang menghadapi pelbagai cabaran.

“Contohilah keunggulan peribadi Rasulullah laksana perintah Allah ke arah melahirkan masyarakat Islam hebat serta menjadi teladan kepada dunia,” titah baginda. 


Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan sijil penghargaan dan piala kepada sembilan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 termasuk Mufti Pulau Pinang yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Hassan Ahmad yang menerima Anugerah Perdana.

Lapan penerima lain ialah Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Toh Puan Wan Asiah Ahmad; bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Kelantan, Abdul Razak Mat Saat; Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Muhammad Fuad Yeoh; Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd, Shah Kirit Kakulal Govindji serta bekas johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Datuk Rogayah Sulong.

Tiga lagi penerima ialah bekas Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid; Ketua Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Kala, Gombak, Hussein Ngahyin dan pelajar kurang upaya Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang, Kedah yang mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, Muhammad Hadi Darus.

Terdahulu, 121 kontinjen disertai lebih 12,000 peserta termasuk penjawat awam, badan berkanun, pertubuhan swasta, pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak 2.4 kilometer bermula dari pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya hingga ke Masjid Putra di sini sambil berselawat ke atas Rasulullah SAW. 

Perpaduan rakyat punca Ikhwan Muslimin menang

Aziz Muda,04 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Ikhwan Muslimin Mesir secara jujur mengakui kemenangannya pada pemilihan Parlimen pertama negara itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu bukanlah kerana kekuatan strategi yang disusun oleh pihaknya. 

Malah, penyertaan Ikhwan dalam pilihanraya itu tanpa sebarang strategi dan hanyalah dengan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pemilihan mengikut kehendak masing-masing  

Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen berkata, kemenangan pihaknya pada pilihanraya itu jelas tercapai hasil perpaduan dan keinginan rakyat untuk bersama-sama menjatuhkan pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak.

Menurutnya, sebelum revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu, keseluruhan rakyat Mesir telah bersama-sama menzahirkan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak untuk digantikan dengan kerajaan lain yang lebih baik.

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat Mesir ternyata lebih yakin dengan Ikhwan Muslimin untuk memimpin kerajaan baru yang diingini oleh mereka itu.

"Mereka sendiri lebih yakin dengan calon-calon Ikhwan Muslimin, sejajar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Ikhwan yang diyakini lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya ketika ditemui Harakahdaily dan Harakah cetak, di sini, malam semalam.     

Keputusan akhir pilihanraya Parlimen pertama Mesir yang diumumkan pada 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.
Pilihanraya pertama yang diadakan setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak itu turut menepati ramalan beberapa pihak, apabila parti milik Ikhwan Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen). 

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Media melaporkan, Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Mesir, Abdul Moez Ibrahim ketika mengumumkan keputusan itu menjelaskan, jumlah pengundi yang keluar mengundi sebanyak 54 peratus.

Dengan keputusan itu juga, FJP telah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.
Bagaimanapun, berdasarkan sistem pemilihan presiden di negara itu, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bukan dari parti yang memenangi pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen pula dijangka akan diadakan pada bulan ini dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Menurut Gomaa, perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang tidak memerlukan pihaknya menyusun strategi tertentu untuk menghadapi pilihanraya kerana rakyat negara itu sendiri sudah berhasrat untuk melakukan perubahan. 

Katanya, sebelum dihalang oleh Kerajaan Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin memang pernah terlibat dalam pilihanraya di Mesir dan rakyat juga sudah tahu tentang dasar-dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam di negara itu.

"Jadi apabila revolusi rakyat tercetus, rakyat dengan sendirinya akan memilih parti Ikhwan Muslimin dan parti Islam kerana hanya parti Islam sahajalah yang diyakini mampu memberikan perubahan ke arah yang lebih baik seperti yang diingini oleh mereka sendiri," tegasnya. 



Perlaksanaan sistem perundangan Islam

Dengan kemenangan itu, tambahnya, Ikhwan Muslimin pasti akan berusaha merealisasikan dasar-dasar perjuangannya di negara itu dengan perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam pelbagai aspek. 

"Pengasas Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Bana sendiri sememangnya meletakkan asas perjuangannya adalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam dan matlamat itu tetap akan diutamakan oleh para pemimpin Ikhwan Muslimin sepanjang masa.  

"Dalam hubungan ini, kami akan bertindak berdasarkan keutamaan kerana perlaksanaan sistem perundangan Islam tidak hanya terhadap hukum hudud," katanya.

Sebaliknya, penekanan awal yang akan diberikan oleh pihaknya adalah terhadap pendekatan cara hidup rakyat dan bidang pendidikan agar selaras dengan kehendak Islam. 

Setelah rakyat didedahkan dengan cara hidup yang betul seperti yang dikehendaki Islam dan pendidikan pula diterima secara menyeluruh, beliau yakin kesemua pihak pasti akan dapat melihat individu-individu Islam yang hebat dalam pelbagai aspek.

"Itulah yang akan diusahakan oleh Ikhwan Muslimin dan penekanan itu pula tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki, tetapi juga kepada kaum muslimah di Mesir," katanya.

Kemenangan dalam pilihanraya, ujarnya, adalah fasa pertama dari perjuangan Ikhwan Muslimin hasil penerimaan rakyat negara itu terhadap dasar-dasar perjuangannya. 

"Fasa keduanya iaitu perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam aspek-aspek lain pula akan dimulakan dengan penggubalan undang-undang pada persidangan Parlimen nanti," tegas beliau.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...