Wednesday 12 June 2013

Al-Quran rujukan tertinggi selesai konflik masyarakat

Ustaz Datuk Ahmad Yakob,11 Jun 2013


Berikut ialah petikan ucapan Datuk Menteri Besar Kelantan pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Besar, Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Maksudnya: Alif, Laam, Miim “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 1-2)

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىٰ رَسُوْلِ اللهِ سَيِّدنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اٰلِهِ وَصَحْبِه ِاَجْمَعِيْن وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلٰى يَوْمِ الدِّيْنِ
سُبْحٰنَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا اِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيْمُ الْحَكِيْمُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ
رَبِّ اشْرَحْ لِى صَدْرِى وَيَسِّرْلِى اَمْرِى وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِى يَفْقَََهُوا قَوْلِي

Syukur kita ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah dan kurniaNya kita dapat berkumpul dalam Dewan Besar Balai Islam Lundang ini untuk sama-sama kita mengikuti majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke 56 tahun 1434H bersamaan 2013M. Saya bagi pihak kerajaan negeri sangat berbesar hati kerana Negeri Kelantan buat julung-julung kalinya terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah kali ini. Penganjuran Majlis ini diharap menjadi suatu motivasi supaya masyarakat negeri Kelantan terus mengungguli pentas tilawah sebagaimana telah dibuktikan oleh tokoh-tokoh al-Quran secara tradisinya. Sesungguhnya umat Islam di Kelantan memang terkenal dengan masyarakat yang sangat minat dengan ilmu-ilmu Islam. Justeru Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya di atas kesediaan kerjasama kerajaan pusat menganjurkan majlis sebesar ini di negeri ini.

Dalam konteks perpaduan ummah, contoh dan model perpaduan ummah telah pun ditunjukkan secara jelas oleh Rasulullah SAW semasa Hijrahtul Rasul ke Madinah. Masyarakat Madinah sebelum ketibaan Rasulullah SAW adalah masyarakat pelbagai bangsa yang saling perang dan bermusuhan antara satu sama lain. Asas permusuhan adalah dasar mementingkan kaum atau pun assabiyyah yang akhirnya mewujudkan kefahaman melampau dan membawa kepada perpecahan antara ahli masyarakat.

Dalam masyarakat Jahilliyah, fahaman assabiyyah yang sempit ini boleh memungkinkan apa juga berlaku kemungkaran seperti pergaduhan, pertelingkahan dan juga peperangan sesama mereka. Ini kerana mereka lebih mementingkan bangsa  mereka sendiri tanpa memikirkan kesannya kepada ahli-ahli masyarakat yang lain.

Namun selepas ketibaan Rasulullah SAW di Madinah, keadaan berubah sama sekali dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Persaudaraan antara kaum Aus dan Khazraj yang sebelum ini kelihatannya mustahil telah menjadi kenyataan apabila ia diasaskan di atas dasar akidah Islamiah. Hubungan persaudaraan yang wujud antara kaum Ansar dan Muhajirin merupakan satu lagi bukti bahawa Islam adalah agama yang membawa perpaduan ummah.Islam menekankan perpaduan berasaskan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Masyarakat yang sebelum ini sering bertelingkah dan bersilih faham telah menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Ini menjadi satu bukti yang tidak dapat dinafikan lagi bahawa hanya dengan berpegang kepada Islam, perpaduan ummah boleh diwujudkan.

Sesungguhnya, asas utama perpaduan ummah dalam Islam adalah berasaskan kepada ayat al-Quran seperti mana dalam firman Allah SWT (bermaksud):

"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".    (Ali Imran, ayat 103)

"Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia". (Ali Imran ayat 112)

Islam adalah agama  ciptaan  Allah SWT untuk umat manusia.  Rasulullah SAW  sebagai utusan dan bukti kasih sayang Allah kepada seluruh manusia sebagai mana firman Allah SWT (maksudnya): “Tidaklah Kami mengutus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiya: 107)

Kerana itu Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Islam bukan hak mutlak sesuatu kaum atau bangsa.Malah hakikatnya Islam dianuti oleh seluruh bangsa yang ada di dunia dan tidak hanya tertumpu kepada bangsa Arab sahaja. Setiap manusia yang beragama Islam adalah bersaudara dan asas persaudaraan itu adalah Islam. Islam ialah satu agama bersifat inklusif yang boleh dianuti oleh semua bangsa. Islam bukanlah agama eksklusif milik sekelompok manusia sahaja. Mesej perpaduan yang perlu kita bawa mestilah berasaskan Islam yang menjaga kebajikan dan kemaslahatan ummah seluruhnya. Hanya dengan Islam sahajalah seluruh umat manusia akan hidup dalam keamanan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Sehubungan dengan itu, peranan setiap individu Muslim adalah sangat penting dalam memahami tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga ummah yang telah dibangunkan oleh Rasulullah SAW. Ini adalah tanggungjawab dakwah  yang perlu dilaksanakan bersama oleh semua pihak.

Umumnya, keruntuhan ummah boleh diakibatkan dari kesalahfahaman, ketidakfahaman, kejahilan dan keangkuhan manusia terhadap perintah Allah swt dan Rasulullah saw. Perpecahan dalam kalangan ummah Islam tidak boleh diambil ringan dan tugas untuk membetulkan semula keadaan  ini adalah satu tuntutan Islam dan ianya selaras dengan perutusan Rasulullah saw yang membawa risalah dakwah Islam bagi membimbing umat manusia ke arah kebenaran.

Dalam memangkin perpaduan ummah, iltizam daripada beberapa pihak amat diperlukan dalam merangka, melaksana dan memantau program yang dirancangkan.Perpaduan ummah amat berkait rapat dengan konsep amal jamaie yang memerlukan kesatuan dan keselarasan fikrah dalam semua tindakan.

Pihak pemerintah adalah amat penting kerana mereka yang menentukan hala tuju masyarakatnya. Tugas utama sesebuah kerajaan Islam adalah untuk memastikan Islam menjadi dasar pemerintahannya. Maka, amanah yang dipikul ini perlu dilaksanakan sebaiknya kerana mereka akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah SWT.

Tanpa peranan berkesan oleh pihak kerajaan, tugas untuk menjadikan Islam sebagai agama yang menekankan kepada kesatuan ummah tidak akan tercapai.

Dalam Islam, masjid bukanlah semata-mata sebagai satu tempat untuk beribadat sahaja,  malah masjid dalam Islam adalah pusat pembangunan ummah Islam yang komprehensif. Masjid adalah nadi kepada kewujudan masyarakat Islam. Jika kita perhatikan diseluruh dunia, masjid-masjid yang dibangunkan adalah lambang keagungan dan perpaduan ummah Islam seluruhnya. Islam telah menegaskan tentang peranan penting masjid yang dapat menyatupadukan manusia di atas nama kalimah suci Islam dan Iman.

Dalam konteks ini, peranan masjid bukan sahaja untuk menjaga, membantu, menyokong perkembangan masyarakat yang menjadi ahli kariahnya, tetapi ianya melangkaui tugas membantu saudara-saudara baru,  dan masyarakat sekitarnya termasuklah juga masyarakat bukan Islam. Tugas ini adalah tugas dakwah dapat memperluaskan peranan masjid.Ini adalah komintmen masjid dan masyarakat untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan  masyarakat secara keseluruhannya. Masjid yang dilengkapi pelbagai kemudahan masyarakat, perpustakaan, pendidikan, kesihatan, bank, pos, kedai dan keperluan lain masyarakat boleh menjadikan masjid sebagai pusat sehenti masyarakat yang lengkap. Maka, iltizam semua pihak diperlukan untuk merealisasikan masjid sebagai pemangkin perpaduaan ummah

Dalam sistem pendidikan di kebanyakan negara masa kini, pendidikan formal khususnya sekolah kelihatannya telah mengambil alih sebahagian besar tugas keluarga untuk mendidik generasi muda. Kesannya, sekolah kini menjadi semakin signifikan dalam aspek perkembangan diri dan pengetahuan pelajar-pelajar. Tugas guru adalah amat penting jika dilihat kepada sirah Nabawiyyah. Tugas ini perlu dikaitkan dengan tugas sebagai pendakwah dan dengan erti kata lain seorang guru adalah juga seorang pendakwah atau da`i.

Sehubungan itu, setiap guru perlu terlebih dahulu memiliki keiltizaman sahsiah atau personaliti yang unggul sebelum berusaha untuk membentuk sahsiah para pelajarnya melalui proses pendidikan tersebut. Mereka perllu dibangun dengan sifat-sifat keperibadian yang unggul, ketokohan dan pewatakan yang sempurna untuk memastikan keberkesanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Tingkah laku dan sikap guru sentiasa beriltizam akan diperhati dan dinilai oleh pelajar-pelajar bukan sahaja semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah atau di dalam sekolah malah juga ketika di luar kawasan sekolah. Guru-guru perlu diberikan latihan yang berterusan agar mereka dapat menggerakkan sistem pendidikan menjadi pusat pembangunan ummah yang berkesan.

Ibubapa perlu memainkan mereka dalam memberikan kefahaman kepada anak-anak mereka seperti pepatah Melayu “melentur buluh biarkan dari rebungnya”. Bagi menyokong program kerajaan dan sekolah, ibu bapa hendaklah berusaha mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan Islam semenjak di rumah lagi. Iltizam yang diberikan oleh ibubapa akan banyak membantu anak-anak mereka berjiwa Islam dan dekat kepada Islam. Didikan agama yang mantap akan menjadikan anak-anak mereka berjiwa agama sekali gus akan meletakkan Islam sebagai asas pemikiran dan falsafah hidup mereka.

Media massa juga perlu mempunyai komitmen yang tinggi terhadap Islam dan mereka mesti mempunyai roh atau berjiwa Islam. Kesungguhan media massa adalah amat penting dalam memberikan pandangan, penilaian dan promosi terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Maka, itlizam yang berteraskan kepada penghayatan Islam amat perlu bagi mewujudkan budaya penulisan dan penyiaran yang positif. Usaha memupuk perpaduan ummah perlu mendapat sokongan daripada pihak media kerana mereka mampu menyampaikan maklumat dan ilmu kepada semua peringkat masyarakat. Media massa perlu menyiarkan  rancangan dan melaporkan yang boleh mewujudkan rasa kasih sayang antara semasa umat Islam dan masyarakat seluruhnya.

Namun, apa yang menyedihkan, kewujudan akhbar, televisyen, radio, majalah, blog dan facebook yang bersikap negatif dan anti terhadap Islam sangat merugikan perpaduan ummah masa kini.

Budaya menabur fitnah, memutar belit fakta, mengelirukan kenyataan dan adu domba oleh sekelompok penulis dan pemberita yang tidak beretika telah memberikan kesan negatif kepada perpaduan ummah Islam khasnya di Malaysia. Bagaimana ummah boleh bersatu padu jika mereka sentiasa disogokkan dengan berita dan maklumat yang salah dan mengelirukan?

Sikap negatif ini perlu dihentikan segera kerana ia melambatkan lagi proses perpaduan ummah. Media massa kini perlu mempunyai satu iltizam iaitu membantu, memperkenal, dan membudayakan Islam sebagai ad-Din dan tidak akan melakukan perkara yang merosakkan masyarakat.  Konsep amar makruf dan nahi mungkar perlu difahami dan dihayati oleh setiap  penerbit, ketua editor, wartawan dan pengamal media seluruhnya. Mereka perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka laporkan dan siarkan dihadapan Allah SWT.

Kesimpulannya,  tugas dan tanggung jawab untuk membangunkan ummah adalah menjadi tanggung jawab yang perlu dilaksanakan sebaiknya setiap peringkat masyarakat. Pihak kerajaan, masyarakat, guru dan ibu bapa serta media massa mempunyai tugas yang perlu mereka laksanakan sebaiknya. Iltizam semua pihak ini amat diperlukan untuk memastikan ummah Islam sentiasa bersatu padu dan mendapat keredhaan Allah swt. Perpaduan ummah hanya akan berlaku jika berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Maka, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menolak ajaran dan pemikiran  yang bertentangan dengan tuntutan syarak. Tanggungjawab kita adalah untuk mengesakan Allah SWT dalam kehidupan dan menolak segala bentuk kesyirikan dan kebatilan. Justeru, di sinilah letaknya tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa al-Quran yang dibaca bukan setakat untuk dipersembahkan bacaan dan dipertandingkan tetapi juga menjadi rujukan tertinggi dalam apa juga penyelesaian konflik masyarakat. Saya yakin dan optimis jika kita semua kembali kepada al-Quran sebagai rujukan, insya Allah pelbagai pertembungan yang sedang berlaku dalam diselesaikan.

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini terutamanya kepada YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (Bersara) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Haji Amar bin Nik Abdullah Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Nasruddin bin Daud Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta  Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr Haji Zainuddin bin Haji Ibrahim Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan semua pihak yang telah menjayakan program ini dan tak lupa juga kepada tetamu-tetamu yang hadir, Ketua-Ketua Jabatan, Yang Berhormat-Yang Berhormat serta para hadirin semua. Semoga program sebegini akan terus dilaksanakan di negeri Kelantan sebagai bukti kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dan pusat demi kebaikan rakyat Kelantan, Insya-allah.

Berpandang tuan ke tengah halaman
Perigi mati di pinggir hutan
Bertandang tuan dengan senyuman
Pergi nanti dalam sebutan.

Kemuliaan umat Islam terletak pada kemuliaan akhlaknya

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man,11 Jun 2013


Ancaman terbesar pada Islam sebenarnya adalah daripada dalaman iaitu pemimpin dan pengikut Islam sendiri yang mengajar fahaman yang tidak betul, serta tidak menunjukkan teladan yang baik daripada ajaran Allah kepada mereka yang ingin belajar dan masih mentah.

Ia pula ditambah dengan pemimpin Islam yang suka memesong ajaran Allah dengan fahaman asabiyah yang tebal dan menyebabkan pengikut-pengikut terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa memikirkan soal keadilan.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah : ayat 8)


Sekiranya ini dapat diperbaiki, tiada ancaman luar yang akan dilihat sebagai ancaman kepada Islam kerana jamaah kukuh, rajin, berdisiplin, berkelakuan baik dan tinggi takwanya kepada Allah. Bak kata cerdik pandai, untuk menjaga kesihatan diri sendiri, usah bimbang dan jangan membazir masa dengan memikirkan tentang kuman, virus, bakteria yang ada di luar sana. Berusahalah dan fokuskan untuk menguatkan badan dengan gaya hidup dan makanan yang sihat.

Itulah benteng kekuatan manusia sebenar bukannya menjadikan virus, kuman, bakteria sebagai musuh yang digeruni seti-ap masa. Ingatlah Allah tidak pernah mengajar kita bermusuh dan mencari musuh. Lebih-lebih lagi dalam hal menjaga Islam.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (surah Fussilat : ayat 34)

Ingatlah kata-kata ini;

“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.”

“Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.”

“Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.”

“Tetapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

Menjaga Islam bermula daripada diri sendiri - praktikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata untuk tidur di waktu malam. Jagalah perangai dan kata-kata kita sebagai umat Islam sentiasa untuk menjaga maruah Islam dan kehebatan ajaran-Nya.

Ketika baginda Rasulullah SAW bersabda, (mafhumnya) bahawa baginda diutuskan demi kesempurnaan akhlak, di sana ada rasionaliti yang tinggi kerana jatuh bangun sebuah bangsa, tamadun dan negara adalah bermula dari akhlak. Perjuangan baginda Rasulullah bermodelkan akhlak, berprinsipkan Islam, adalah suatu formua mengapa kita dapati pelapis-pelapis baginda terdiri dalam kalangan para sahabat yang mulia bahkan antaranya terdiri daripada khulafa' ar rasyidin.

http://www.tarbawi.my

Islam tidak diukur melalui tingkah laku ummah

Prof Dato' Dr Haron Din,09 Jun 2013


Di negara-negara Arab khususnya di Timur Tengah yang dihuni bijak pandai agama khasnya ulama-ulama besar, masih menerima-pakai undang-undang dan peraturan manusia yang diistilahkan "man made law", seolah-olah ia wajar dan tidak bercanggah dengan Islam. Persoalannya mengapa di Malaysia timbul suara yang menuntut undang-undang Islam dilaksanakan?

Islam sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika Islam hendak diukur dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah Islam itu. Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam yang sebenar.

Oleh itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak semestinya melambangkan Islam sebenar. Semua orang tahu sama ada orang Arab atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar.

Demikian juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar.

Perlu kita fahami bahawa negara umat Islam suatu ketika dahulu semuanya patuh dan tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad SAW memerintah Madinah. Maka berubahlah negara Madinah, Makkah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Islam sehingga ke hari ini.

Kedudukan negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka ditubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabi'en yang digelar Khulafa' ur-Raashidin, Daulah Umayyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924.

Semuanya kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam. Pada 1924, berlaku tragedi iaitu musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan sekular.

Dasar sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas pemerintahan,  undang-undang Islam diketepikan dan undang undang ciptaan manusia diterima pakai. Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan harta rampasan Barat.

Wilayah umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab, kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat. Penjajah yang menguasai negara Islam menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka.

Sejak itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini, termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal. Barat tidak akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat.

Pelbagai tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mcngembalikan pcrundangan Islam asal. Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dahulu dimenangi oleh Parti Penyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan oleh pemerintah yang disokong Barat.

Palestin, di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi disekat.

Justeru umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikchendaki Allah Taala. Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menyebut (mafhumnya), “Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran.”

Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah. Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu a’lam.

http://www.tarbawi.my

Inilah cara basmi kemiskinan

Ahmad Baei Jaafar,11 Jun 2013


Zakat kalau dilihat pada susunan rukun Islam berada di tempat ketiga selepas solat. Namun amalan mengeluarkan zakat ini jarang diperkatakan seperti yang selalu diulang-ulang pada ibadah solat. Apakah zakat tidak penting dalam Islam sepertimana pentingnya solat dan puasa? Padahal perintah zakat ini datang sekali dengan perintah solat.

Semua kita sedia maklum bahawa zakat wajib dikeluarkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah juga Ijmak. Firman Allah:

Maksudnya: "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah : 5)

Sehubungan dengan itu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam dibangun di atas lima rukun; bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan."(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan dalil di atas, perintah mengeluarkan zakat ini bukan perkara kecil malah dikategorikan sebagai rukun Islam. Sebenarnya rukun adalah perkara asas yang menentukan kukuh atau tidaknya sesuatu binaan. Jadi, sudah tentu zakat merupakan rukun yang kuat setaraf dengan rukun-rukun yang lain. Merujuk kepada kepentingan, zakat diwajibkan adalah kerana dua sebab:
1.       Taabbud; tunduk dan patuh kepada perintah Allah
2.       Taawun; membantu golongan yang layak dibantu.

Sikap umat Islam terhadap zakat

Perintah mengeluarkan zakat ini semestinya ada kaitan dengan harta yang dimiliki oleh umat Islam. Sebenarnya harta yang saban hari dicari oleh umat Islam terdedah kepada halal dan haram, mungkin dalam kesibukan mencari harta itu, mereka terlepas pandang lalu termasuk juga harta yang haram. Namun dalam Islam sesuatu yang tidak dijangka boleh dimaafkan Allah. Ketika itu harta tersebut sudah menjadi milik mereka yang sah. Sungguhpun begitu, dalam harta tersebut terdapat hak orang lain juga. Maka hak orang lain itulah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah : 103)

Dalam ayat di atas Allah dengan tegas memerintahkan Rasulullah atau pemerintah sesuatu negeri agar mengambil sebahagian harta umat Islam sebagai zakat atas dua tujuan iaitu membersihkan harta dan membersihkan pemilik harta itu. Maknanya setiap umat Islam yang memiliki harta akan terjamin bersih hartanya sekali gus bersih diri mereka sendiri.

Cuma persoalan di sini, apakah sikap umat Islam terhadap perintah berzakat ini? Menurut laporan pihak yang mengurus zakat di negeri-negeri, jumlah pengeluar zakat amat rendah. Kalau dinisbahkan orang yang menunaikan solat 100 peratus maka pengeluar zakat tidak sampai 10 peratus. Ini seolah-olah 90 peratus lagi itu adalah golongan yang layak menerima zakat.

Jelas di sini ramai umat Islam yang belum layak untuk mengeluarkan zakat. Sungguhpun begitu mereka juga tidaklah semuanya layak untuk menerima zakat. Mengapa keadaan ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak faham perintah Allah ini?

Sebenarnya umat Islam selama ini telah diberikan ilmu pengetahuan yang salah tentang ibadah zakat. Mereka telah diberitahu bahawa mereka yang tidak ada harta tidak perlu keluar zakat. Maka dengan fahaman itu, mereka tidak perlu membanyakkan harta. Apatah lagi apabila umat Islam selalunya diberi kefahaman bahawa pemburu harta dunia adalah anjing.

Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa zakat adalah ibadah orang-orang kaya. Atas fahaman itu, maka supaya harta kita tidak berkurangan jangan jadi kaya. Jadi, tidak perlulah keluar zakat. Biar hidup sederhana, bukankah Islam mengajar kita hidup secara sederhana. Jelas, mereka seolah-olah diajar supaya mengelak daripada aktiviti zakat.

Di samping itu umat Islam juga diajar bahawa harta zakat adalah hak orang fakir dan miskin. Oleh sebab itu sebahagian umat Islam berasa bangga kalau menjadi fakir dan miskin. Malah kalau mereka tidak terpilih sebagai asnaf, mereka akan marah dan terus merayu kepada pihak berkuasa. Sepatutnya umat Islam berasa malu kalau diisytiharkan miskin.

Memang pelik, umat Islam kini boleh berasa bangga dengan kemiskinan itu. Adakah ini kerana mereka ada terbaca sebuah hadis yang antara lain menyebut Rasulullah berdoa agar dia hidup miskin dan dibangunkan semula bersama golongan orang miskin.

Atas dasar itu barangkali mereka lebih rela jadi miskin dan dengan itu tidak perlu fikirkan soal zakat. Padahal dengan sikap itu mereka telah terlepas daripada satu rukun Islam yang asas iaitu zakat. Kalau begitu keadaannya kukuhkah Islam mereka tanpa zakat?

Ubah sikap sebagai pengeluar zakat

Umat Islam sepatutnya mengubah sikap ke arah menjadi pembayar zakat. Bukankah tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka wajib kita berada di atas sebagai pembayar. Untuk merealisasikan perintah mengeluarkan zakat ini, umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud:

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj : 41)

Berdasarkan ayat itu Allah bersedia memberikan kekayaan kepada umat jika mereka mahu. Oleh sebab itu mereka perlu rebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh. Jadi, umat Islam harus menjadi usahawan dan jutawan supaya dengan itu mereka boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi sempurna. Bukan sahaja mereka boleh melakukan solat dan zakat malah mereka juga akan aktif berdakwah.

Sebenarnya melalui konsep zakat ini, umat Islam tidak boleh duduk diam, sebaliknya merasa malu kepada Allah kalau tidak mampu mengeluarkan zakat. Oleh sebab itu kita perlu berazam untuk menjadi kaya malah jutawan. Namun pada masa yang sama mereka perlu hindari daripada sifat tamak dan bakhil kerana harta zakat yang dikeluarkan itu tidak akan menjadikan mereka miskin sebalik bertambah subur dan kaya.

Daripada Abdul-Rahman bin Auf daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang aku bersumpah kerananya: Tidak akan berkurang harta kerana sedekah maka sedekahkanlah dan tidaklah kemaafan seseorang lelaki kerana kezaliman yang dizalimi melainkan Allah tambahkan kepadanya kemuliaan, maka maaflah nanti Allah akan muliakan kamu. Dan tidaklah seorang lelaki yang membuka ruang masalah melainkan Allah akan membuka baginya pintu kefakiran." (Nuruddin al-Haitami Kitab al-Astar)

Jadi sebagai umat Islam kita perlu terus berusaha untuk menjadi kaya supaya dengan itu kita menjadi orang yang selalu memberi daripada menerima. Kalaupun kita belum cukup nisabnya kita boleh memberi sedekah sunat. Untuk mencapai ke tahap itu, kita tidak boleh menampakkan masalah atau membuka peluang kepada masalah kerana menurut hadis di atas Allah akan bukan pintu kekafiran kepada kita pula.

Percayalah kalau umat Islam boleh berazam untuk mengeluarkan zakat dalam jumlah yang banyak. Kita akan lihat hasil pencapaiannya. Ketika itu zakat akan dapat dikeluarkan mengikut kaedah dan sistem yang ditetapkan. Dan kesannya, zakat itu boleh diagihkan dengan sempurna kepada sasarannya. Namun sebaliknya jika orang kaya enggan mengeluarkan zakat mereka akan menerima akibat di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan zakatnya maka pada hari kiamat nanti hartanya akan menjadi ular botak yang mempunyai dua titik hitam di atas kepalanya lalu mengalungkannya sambil berkata: "Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu". Kemudian ular itu membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya, menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka, sebenarnya bahawa kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta-harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak di hari kiamat." (Riwayat Bukhari Kitab Zakat 3:268 no.1403)

Inilah cara basmi kemiskinan


Bayangkan suatu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai usahawan, ahli korporat dan jutawan daripada perbagai bidang, dan mereka pula setiap tahun mengeluarkan zakat, tentu ketika itu asnaf zakat akan memperoleh agihan zakat dalam jumlah yang besar. Bayangkan juga kalau semua asnaf boleh memperoleh setiap bulan sudah tentu mereka tidak akan meminta-minta lagi selepas itu.

Tetapi bagaimana kalau zakat yang dikeluarkan setiap tahun itu diagihkan kepada asnaf secara berpilih dengan harapan zakat itu boleh dijadikan modal perniagaan, sudah tentu dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan zakat. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor telah mempelopori agenda ini, tetapi belum menyeluruh kerana pembayar zakat masih rendah.

Saya percaya, kalau jumlah pembayar zakat semakin bertambah, dan sistem pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan tepat pasti kita akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab yang susah untuk mencari orang yang miskin. Kalau ini yang terjadi pasti wang zakat boleh disalurkan ke baitulmal yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan negara.

Dengan cara ini, golongan fakir miskin boleh dibasmi secara beransur-ansur. Nanti zakat yang dikeluarkan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang lain dalam jumlah yang besar juga.

http://baei.blogspot.com/

Pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj

Abu Basyer,07 Jun 2013


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah SAW bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

1. Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad SAW yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi sama ada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda SAW menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda SAW. Fitnah terhadap baginda SAW bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda SAW maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi SAW lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda SAW mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah,

3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa AS dilahirkan),

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah SWT);


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa AS Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu “La Haula Wala Quwwata Illa Billah” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim AS bersabda, "Sampaikan nya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar Dan Wa La Haula Wa La Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT: Ya Muhammad.

Rasulullah: Labbaika.

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

(Sumber: Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

- Artikel iluvislam.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...