Saturday 23 November 2013

Surah At Taubah: 41

"Bangkitlah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah) sama ada dalam keadaan ringan (mudah bergerak) ataupun dalam keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam); yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (At Taubah: 41)

Thursday 21 November 2013

Jangan bangga bersahabat dengan golongan fasik

Tuan Ibrahim Tuan Man,19 Nov 2013


Wahai anakku,
Janganlah engkau rasa hebat bersahabat dengan mereka yang mendurhakai Allah dan menjauhkan manusia dari jalan-Nya. Kerana engkau akan menempah jalan yang dimurkai Allah. Janganlah engkau kagum dengan seseorang yang memperolehi harta melalui jalan yang diharamkan Allah, kerana setiap perbelanjaannya tidak diterima oleh Allah. Tindakan kamu mendekati mereka dan bergaul mesra dengan mereka akan menjauhkan kamu dari golongan yang dikasihi oleh Allah, dan mendekatkan kamu kepada kemurkaan Tuhanmu.

Wahai anakku,
Janganlah engkau pisahkan dirimu dari jamaah yang memperjuangkan Islam, walaupun mereka kelihatan lemah, tiada permaidani merah yang menghampar mereka, namun mereka dekat dengan Allah. Perhatikanlah pergaulanmu dengan semua sahabatmu, berjalanlah bersama mereka, makanlah bersama mereka dan sembahyanglah bersama mereka; nescaya engkau akan kenal siapa mereka.

Wahai anakku,
Janganlah engkau bangga bersahabat dengan golongan yang fasik, lalu kamu menjauhi golongan bertaqwa. Engkau mengharapkan habuan dunia yang ada pada mereka, lalu mereka menyesatkan kamu dan menjauhkan kamu dari Tuhanmu. Engkau akan mulai terpisah dengan golongan yang menjaga iman mereka, kemudian kamu akan semakin jauh dari rumah Allah dan kamu akan terus bergelumang dengan golongan yang lalai dengan Allah.

Wahai anakku,
Sahabat yang baik itu ialah sahabat yang bilamana kamu melupai kewajipanmu, ia akan mengingatkan kamu. Bilamana kamu mendengar kata-katanya akan bertambah ilmumu, dan bilamana kamu melihat amalan sehariannya, mengingatkan kamu pada hari akhirat.

Wahai anakku,
Aku sedar betapa payahnya kamu untuk mendapatkan sahabat yang baik, namun kebaikan yang ada padamu akan mengundang kebaikan sahabat yang mendekatimu. Tidakkah bau harum pada bebunga yang mekar menarik kedatangan lebah bagi menghisap madunya. Dan tidakkah kamu perhati bau busuk dari seekor bangkai akan mengundang langau. Kamu jangan mengharap kebaikan yang ada pada golongan yang lalai pada perintah Allah, atau kamu kagum dengan satu dua kebaikan yang dilakukan di hadapanmu, lalu kamu sanggup memejam mata terhadap rasuah, salahguna kuasa, kezaliman dan kemungkaran yang dilakukannya. Lalu kamu war-war kebaikannya, dan kamu diam terhadap kemungkarannya.

Wahai anakku,
Janganlah kamu menjadi jurucakap kepada musuh bagi membenarkan keburukan perbuatanmu, kerana ia tidak lebih menambahkan kebencian orang terhadapmu. Sebaliknya perbaikilah kelemahan dirimu bersama jamaah, dengan mendekatkan dirimu kepada Allah melalui amalan jamaahmu. Hiruplah keredhaan Allah dalam setiap patah zikirmu, dan titislah airmata keinsafan di atas keterlanjuranmu kerana mengabaikan perintah Allah.

Wahai anakku,
Aku sedang berbicara denganmu, bukan orang lain kerana aku mengasihimu di dunia dan akhirat. Demi Allah aku sanggup hilang seribu sahabat yang fasik, namun aku tidak sanggup kehilangan seorang sahabat yang soleh.

Senyumlah semoga Allah mengasihimu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...