Wednesday 4 September 2013

Q&A: Hukum wanita menerima tetamu lelaki

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil,02 Sep 2013
Soalan;
Mohon pencerahan daripada ustaz. Tiga orang sahabat lelaki zaman sekolah saya singgah di rumah saya. Mereka sempat bersolat maghrib dan isyak serta djamukan sedikit maknan oleh ibu, nenek dan ibu saudara saya. Namun, tidak lama usai solat isyak, Atuk saya yang baru pulang dari surau mula “menegur” sahabat-sahabat saya. Atuk menegaskan bahawa beliau tidak ingin bersubahat bersama kerana haram sekumpulan lelaki menziarah seorang wanita bukan mahram. Saya malu dengan tindakan Atuk menegur sahabat saya yang datang berziarah. Soalan saya, apakah benar Islam tidak membenarkan ziarah-menziarahi sebegini?

Jawapan;

Nabi SAW menegah lelaki ajnabi* dan wanita ajnabiyah* berduaan sebagaimana sabdaNya; “Janganlah seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya), dan janganlah seorang wanita bermusafir kecuali dengan disertai  oleh mahramnya” (Soheh al-Bukhari; 3006. Soheh Muslim; 424/1341. Dari Ibnu ‘Abbas RA).(*ajnabi/ajnabiyah; yang asing, iaitu tiada ikatan mahram).

Istilah berdua-duaan/bersunyian hilang apabila dihadiri bersama oleh orang lain. Oleh itu, para ulama (antaranya Imam an-Nawawi) menfatwakan; jika perjumpaan antara lelaki dan wanita disertai oleh orang lain sama ada oleh lelaki yang menjadi mahram wanita itu (bapanya, abangnya, anaknya yang telah baligh dan sebagainya), atau wanita yang menjadi mahram lelaki tersebut (ibunya, kakaknya atau sebagainya), atau dihadiri bersama oleh wanita lain yang dipercayai yang menemani (seperti kes di atas; si yang bertanya ditemani oleh ibu, nenek dan ibu saudara), maka perjumpaan itu dibolehkan pada hukum Syarak kerana ia terkeluar dari makna khalwah (berdua-duaan/bersunyian) yang dilarang Nabi SAW dalam hadis tadi. Namun ia terikat dengan syarat; aman dari fitnah dan keraguan.

Maka yang diharamkan ialah; berdua-duaan/bersunyian antara seorang lelaki dan seorang wanita (keduanya ajnabi) tanpa dihadiri orang ketiga bersama mereka. Menurut Imam an-Nawawi; keharamannya telah diijmakkan ulama. Menurut beliau lagi; turut diharamkan ialah jika yang hadir bersama mereka itu ialah lelaki yang tidak disegani oleh mereka kerana masih kecil seperti anak berusia dua atau tiga tahun atau seumpamanya kerana kewujudannya sama seperti tiada. Begitu juga, turut diharamkan ialah jika berhimpun ramai lelaki dengan seorang wanita. Adapun jika berhimpun seorang lelaki dengan ramai wanita, mengikut pandangan yang soheh; dibolehkan (*dengan syarat tadi, iaitu; aman dari fitnah dan keraguan). (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Merujuk kepada soalan, maka diboleh seorang wanita menerima tetamu lelaki dirumahnya dengan syarat mematuhi hukum-hakam dan adab yang telah ditetapkan Syariat, antaranya;
1. Dihadiri oleh orang lain yang disegani sebagaimana dijelaskan tadi
2. Tidak membuka aurat
3. Selamat dari fitnah dan keraguan
4. Menjaga adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan; tidak berlaku ikhtilat.
5. Tidak disertai program maksiat

http://ilmudanulamak.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...