Saturday 15 October 2011

Hadis dan Sunnah

Pengertian Hadis Menurut Bahasa


Hadis menurut bahasa adalah baru (al-Hadits), lawan kepada (al-Qodim) yang bermaksud lama. Hadis juga bersifat baru kerana keluar lafaznya dari mulut Rasulullah saw. Di dalam Al-Quran diterangkan diterangkan perkataan-perkataan hadith, hadithan dan ahadith yang mempunyai pelbagai maksud, antaranya;

(a). Perkataan [Al-Nisaa’ : 87]

(b). Peristiwa [Al-Tahrim : 3]

(c). Mimpi [Yusuf : 101]

(d). Al-Quran [Al-Kahfi : 6]

Dengan itu hadis dari segi bahasa mengikut Al-Quran, antaranya adalah;

(a). Perkataan atau kisah yang keluar dari mulut.

(b). Peristiwa atau cerita mengenai sejarah.

(c). Ditujukan kepada Al-Quran sebagai wahyu atau Kalam Allah.

(d). Perkhabaran atau berita yang berhubung dengan soal keagamaan, kehidupan, peristiwa zaman silam, masa kini dan masa akan datang.

Pengertian Hadis Menurut Istilah
Dari segi istilah para muhaddithin telah mengemukakan pelbagai pendapat mengenainya namun tiada percanggahan antara satu sama lain kecuali jika ada sesuatu sebab yang khusus mengenainya. Antaranya;

(a). Hadis ialah segala apa sahaja yang dinisbahkan pada Nabi Muhammad saw dari segi perkataan, perbuatan, taqrir atau sifat samada fizikal atau akhlak dan sirah samada sebelum dan selepas menjadi Rasul.

(b). Hadis juga ialah segala apa yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad saw atau sahabat atau tabiin termasuk juga apa yang dinamakan hadis marfu’, mauquf dan maqtu’.

Perbezaan Antara Hadis dan Sunnah
Sunnah dari segi bahasa bermaksud jalan atau sirah samada terpuji atau tercela. Lawan bagi perkataan sunnah adalah bidaah. Mereka yang mengikuti sunnah dipanggil orang yang mengikuti jalan yang lurus dan terpuji, manakala mereka yang berpaling dari sunnah adalah pembuat bidaah dan tercela.

Sunnah dari sudut istilah pula terbahagi kepada beberapa pendapat ilmuwan berdasarkan pengkhususan ilmu mereka, antaranya;

(a). Ulama Usul Fiqh – Sunnah adalah kata-kata, perbuatan dan taqrir. Mereka mengkaji hadis sebagai sumber hukum syariat seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh.

(b). Ulama Fiqh – Sunnah adalah perkara-perkara sunat yang apabila dilakukan akan mendapat pahala dan meninggalkannya tidaklah berdosa.

(c). Ulama Kalam – Sunnah adalah antonim bagi bidaah. Mereka yang berpaling dari sunnah dianggap sebagai pembuat bidaah.

(d). Ulama Hadis – Sunnah adalah apa juga yang disandarkan kepada Rasulullah saw dari segi perkataan, perbuatan, perakuan, sifat fizikal dan akhlak samada sebelum dilantik menjadi Rasul atau sesudahnya.

Takrif yang diberikan oleh ulama hadis lebih diberi keutamaan kerana ia merangkumi seluruh kehidupan Rasulullah saw. Sunnah dalam pengertian ini adalah sama dengan maksud al-hadis. Kesimpulannya pada hakikatnya al-Hadis dan al-Sunnah mengandungi pengertian yang sama dan jika ada perbezaan hanya pada istilah dan skop pemakaiannya sahaja.

Tujuan Menuntut Ilmu


PENGENALAN
Ilmu
Di dalam Al-Quran ilmu dapat dimaksudkan dengan pelbagai makna, tetapi di sini cukuplah dengan membicarakan pengertian ilmu itu dalam bahasa melayu sahaja. Ilmu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti;
1. Pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.
2. Kajian dalam sesuatu perkara.
3. Hadirnya makna dalam diri seseorang.
Dari segi pemahaman yang mudah, ilmu bermaksud suatu pengetahuan yang merangkumi pengetahuan yang diperolehi melalui belajar atau proses dan aktiviti pembelajaran seperti pemerhatian, kajian, eksperimen dan sebagainya serta boleh juga diperolehi melalui pengalaman.
Ilmu juga merangkumi pengetahuan mengenai perkara yang berasaskan kebenaran, kebatilan, keraguan (bimbang atau bingung) dan syak (was-was). Selain dari itu, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi pengetahuan mengenai hal-hal keduniaan dan akhirat, iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
Fardhu Ain : Ilmu yang wajib dipelajari seperti tauhid/Iman (mengesakan Allah yang Maha Agung), syariat/Islam (solat, mempelajari Al-Quran atau mempelajari perintah dan larangan) dan tasauf/Ihsan (ilmu akhlak atau sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat yang dikeji seperti adab berjiran,adab bergaul,adab selisih faham, adab makan, adab mandi dan lain-lain). Keingkaran untuk mempelajari fardhu ain ini bagi setiap individu hukumnya adalah berdosa.
Fardhu Kifayah : Ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu bagi mewakili orang Islam, atau untuk mewakili masyarakat. Andaikata tiada seorang pun di kalangan orang Islam yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa.Contohnya, ahli tafsir, usahawan, saintis, doktor dan lain-lain.
Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, “Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam.” (Sahih – Ibnu Majah [0184])
(Rujukan : Kamus Dewan Edisi Keempat, Ihya’ Ulumuddin [Imam Al-Ghazali] dan Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin])
ISI PERBINCANGAN
Tujuan Menuntut Ilmu
1. Memperbaiki Diri
Surah Al-‘Ankabuut [29] : 69
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya(Rujukan :http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/)
Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri. Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmu pengetahuan serta membawa ibadah dan juga taraf kehidupan ke tempat yang lebih tinggi dari sebelumnya. Dengan menuntut ilmu kita secara tidak langsung bukan sahaja mendapat petunjuk, malah dipimpin ke jalan yang lurus. InsyaAllah yang Maha Tinggi.
Contohnya, dengan menuntut ilmu kita dapat;
(a). Mendapat keyakinan yang lebih dalam ibadah.
(b). Solat terasa lebih khusyuk dari sebelumnya.
(c). Peningkatan kerjaya.
Pelbagai lagi nikmat yang akan kita perolehi dalam usaha memperbaiki diri, malah tidak terhitung dan cukuplah tiga contoh di atas. Sekiranya kita memahami ayat di atas (Surah Al-‘Ankabuut [29] : 69nikmat terbesar adalah mendapat pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Agung. Pertolongan dan bantuan siapakah yang lebih besar dari itu?
2. Mensyukuri Nikmat Allah yang Maha Agung
Surah An-Naml [27] : 15
Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
Walaupun ayat berkenaan tentang ilmu yang diberikan kepada Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s, namun lafaznya umum. Antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat akal untuk belajar dan memahami ilmu dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan untuk akhirat. Maka antara tujuan kita dalam usaha menuntut ilmu adalah sebagai tanda syukur atas segala macam nikmat-Nya.
Dengan ilmulah kita mengenal cara melaksanakan ibadah dan kategorinya; dan dengan ilmu jugalah kita mengenal kebaikan dan kejahatan; dan dengan ilmu juga kita mengetahui tentang dunia dan akhirat. Maka wajiblah kita bersyukur atas nikmat yang tak terhingga ini, iaitu nikmat akal dan ilmu pengetahuan.
Surah Al-Baqarah [2] : 269
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz : “Barangsiapa beramal tanpa ilmu, maka yang rosak lebih banyak daripada yang benar”.
3. Menegakkan Agama Islam
Surah At-Taubah [9] : 122
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Menegakkan agama Islam bermaksud memuliakan, mengamalkan perintah dan larangannya, melaksanakan hukum-hukumnya, dan menyebarkannya dengan cara; melalui umat Islam yang beriman, beramal soleh dan bertamadun; iaitu berpendidikan, mampu memerintah, adil dan mampu memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah yang Maha Tinggi di muka bumi.
Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah(Rujukan : Krisis Dalam Pendidikan Islam - Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf )
Di dalam tafsir Ibn Katsir, antaranya diterangkan mengenai ayat di atas (Surah At-Taubah [9] : 122) sebagai dua tugas yang terpadu. Sebahagian pergi berperang, sebahagian lagi menuntut ilmu. Ini menunjukkan tingginya darjat orang yang menuntut ilmu hingga disamakan dengan orang yang pergi berjihad. Walaubagaimanapun, tidaklah bermaksud hendak meremehkan jihad menentang orang-orang yang memerangi Islam.
Persoalannya, bagaimana ilmu itu boleh menegakkan agama Islam? Di sini, kita melihat dari segi faktor semasa sahaja. Antaranya, kita perlu ubah persepsi kita mengenai contoh fardhu kifayah. Rasanya sejak dari kanak-kanak, kemudian dewasa hingga tua kita dihadapkan dengan contoh ini; iaitu mengaitkan contoh fardhu kifayah hanyalah - pengurus jenazah atau orang memandikan, mengafankan dan segala perihal tentang jenazah.
Sebenarnya yang termasuk dalam fardhu kifayah itu antaranya adalah; ahli tafsir, usahawan, saintis, ahli fizik, pakar kimia, doktor, pakar komputer, pakar enjin, arkitek dan lain-lain. Mungkin kita melihat seperti remeh, tetapi inilah yang secara tidak sengaja telah tertanam dalam akal fikiran kira sebelum ini. Akhirnya kita menganggap fardhu kifayah adalah perkara yang mudah dan memandang ringan padanya, akibatnya umat Islam (Malaysia khususnya) kekurangan tenaga pakar dan mahir dalam pelbagai bidang.
Sekiranya umat Islam ketandusan para ilmuwan ini, maka siapakah yang ingin menghormati orang Islam? Apalagi agama Islam. Bukankah Allah yang Maha Agung telah berfirman;
Surah Al-Mujaadalah [58] : 11
.....nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.....
Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata, ‘Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.’
Di dalam ayat yang lain Allah yang Maha Tinggi berfirman;
Surah Az- Zumar [39] : 9
....”Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
Tentulah tidak sama antara orang yang pakar dan tidak pakar. Perkataan orang yang pakar lebih dipercayai. Contohnya dalam pembinaan sebuah bangunan, kita mahu mempercayai cakap arkitek atau buruh binaan? Begitu juga dalam menegakkan agama Islam, tentulah orang yang berilmu lebih didengari percakapannya berbanding dengan orang yang kurang ilmunya.
Maksudnya orang Islam yang mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tinggi, secara automatik memberi impak kehormatan kepada Islam itu sendiri; iaitu agama Islam dan penganutnya akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang bukan Islam, secara tidak langsung Islam dapat ditegakkan.
Surah As-Saff [61] :14
Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.
4. Berfikir Dengan Adil
Berfikir bermaksud menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, manakala adil pula bermaksud meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempatnya. Ramai yang berpendapat adil bermaksud sama rata, ini adalah pemahaman yang salah. Jadi, berfikir dengan adil bermaksud menggunakan akal dalam mempertimbangkan sesuatu perkara agar bertepatan dan bersesuaian pada tempatnya.
Surah Yunus [10] : 35-36
Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk?Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?
Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.
Dengan adanya ilmu, kita dapat membuat dan melaksanakan keputusan, ibadah, pekerjaan dan lain-lain hal berkaitan kehidupan dengan lebih bijak,tepat dan teratur; iaitu mengutamakan yang lebih penting dari yang penting. Antara beberapa contoh;
(a). Mengutamakan mempelajari fardhu ain dari fardhu kifayah.
(b). Mengutamakan amal yang bermanfaat dari yang kurang bermanfaat seperti, memilih beramal dengan sedikit tetapi berterusan daripada beramal dengan banyak tetapi setahun sekali.
(c). Mengutamakan mengajar atau menyuruh anak-anak kecil bersolat dari berpuasa kerana biasanya orang yang tidak meninggalkan solat pasti berpuasa (yang berkemampuan) dan orang yang berpuasa belum tentu penuh solatnya. Sesuai dengan firman Allah yang Maha Tinggi dalam,
Surah Al 'Ankabuut [29] : 45
.....Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar....
(d). Mengutamakan ibadah fardhu dari ibadah sunat dan mengutamakan sunat yangmu’akkad; iaitu sunat yang dituntut seperti mengutamakan solat rawatib mu’akkad, solat tahajjud, daripada solat terawih, solat sunat musafir dan lain-lain.
(e). Mengutamakan mencintai Rasulullah salallahu ‘alaihi wasalam daripada orang lain.
Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda“Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya”. (Sahih Muslim [0035])
Ini hanya sebahagian contoh sahaja, banyak lagi perkara-perkara yang perlukan pertimbangan akal yang adil dalam menjalani kehidupan di dunia ini.
Surah Al-Baqarah [2] : 219
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya...
Ayat di atas sebagai contoh mengapa kita perlu berfikir dengan adil, ini adalah perkara yang sangat-sangat penting.
(Antara Rujukan : Fiqh Keutamaan [Dr. Yusuf Al-Qardhawi], Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri [Za’ba])
Antara Kesan atau Kelebihan Menuntut Ilmu
1. Doa cepat dimakbulkan
Surah An-Naml [27] : 40
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia:
"Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah".
Umum mengetahui ayat di atas mengenai pemindahan singgah sana Ratu Balqis ke istana Nabi Sulaiman a.s. Malah jin ‘Ifrit juga tidak dapat menandingi kehebatan orang yang berilmu. Perlu diingat, kisah ini hanya berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s.
Bukanlah bermakna kita perlu belajar ilmu yang dapat mengubah ‘KLCC’ ke tempat lain sekelip mata, ini hanya contoh betapa hebatnya orang berilmu kerana doanya dimakbulkan dengan cepat, insyaAllah yang Maha Berkuasa. Zaman ini, jika ada seseorang berkata dapat mengubah sesuatu bangunan dalam sekelip mata, itu adalah sihir.
2. Dinaikkan darjat
Surah Al-Mujaadalah [58] : 11
....Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Contoh yang paling mudah antaranya;
(a). Peniaga yang mempelbagaikan jualannya dan kreatif, lebih banyak keuntungan dari peniaga yang menjual satu jenis barangan sahaja.
(b). Pekerja yang berilmu (mempunyai ijazah dan sebagainya) lebih tinggi gajinya dari pekerja yang kurang ilmunya.
(c). Pelajar yang tekun belajar, lebih pandai dari pelajar yang malas belajar.
(d). Guru dihormati oleh pelajarnya. Mereka yang tidak menghormati gurunya tergolong dalam orang yang jahil.
3. Tidak tersesat
Surah Al-Hajj [22] : 54
..dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.
4. Dikurniakan nikmat kesabaran
Surah Al-Qasas [28] : 80
Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar."
5. Dipermudahkan ke syurga
Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga.” (Sahih, At-Tirmidzi [2646])
Banyak lagi kelebihan-kelebihan orang-orang yang berilmu pengetahuan yang di sebut di dalam Al-Quran dan hadis.
Antara Halangan-Halangan Menuntut Ilmu
Diantara halangan yang menyebabkan ramai orang yang ambil remeh dalam hal menuntut ilmu, diringkaskan seperti berikut;
1. Anggap Diri Sudah Cukup
Surah Al-Mu'min [40] : 83
Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa ketarangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.
Menganggap segala pengetahuan mereka lebih banyak dari orang lain dan tak perlu menuntut ilmu lagi. Hal ini hanyalah satu kesombongan dari hasutan syaitan (lihat artikel Tipu Daya Iblis Zaman Ini) dan ego yang tak bertempat.
2. Sibuk
Surah Al-'Asr [103] : 1-3
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugiankecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Kesibukan adalah apabila kita tidak pandai menghargai masa. Semua manusia akan mengalami kerugian kecuali empat sifat di atas, iaitu;
(a). Iman – Memahami dan melaksanakan rukun iman.
(b). Amal soleh – Mentaati dan melaksanakan hukum-hukum, perintah dan larangan Allah yang Maha Agung.
(c). Nasihat kebenaran – Memberi pengajaran, bimbingan atau mengajak kepada kebaikan dan menjauhi serta mencegah kemungkaran.
(d). Menasihati agar bersifat sabar – Bersabar atau redha pada qada’ dan qadar.
Kita tidak ketahui akan perkara-perkara di atas kecuali dengan menuntut ilmu.
(Rujukan : Tafsir Al-Munir)
3. Lalai
Lalai terbahagi kepada dua, namun berkaitan iaitu;
(a). Urusan di dunia – Membuat perkara-perkara yang tidak bermanfaat pada diri dan masyarakat.
Al-Hadiid [57] : 20
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak,....
(b). Urusan menghadapi akhirat – Tidak mengingati mati lalu menjadi malas untuk beribadah, apalagi untuk menuntut ilmu.
Surah Ar-Ruum [30] : 8
.....Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
Antara Akibat Jahil
1. Mengikut hawa nafsu
Surah Al-Jaatsiyah [45] : 18
Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.
Orang yang jahil hanya mengikut hawa nafsu sahaja dalam berfikir dan menganggap akal dan ilmu pengetahuannya lebih hebat dari syariat, lalu melanggar segala macam hukum dari Al-Quran dan hadis.
2. Menjadi zalim dan tersesat
Surah Ar-Ruum [30] : 29
Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolongpun.
Setelah mereka (orang-orang yang jahil) ini melanggar segala macam syariat, maka mereka terdedah kepada kesesatan dan seterusnya berbuat kezaliman; iaitu menyesatkan orang lain dan meruntuhkan akhlak masyarakat yang terikut-ikut dengan mereka, akibatnya berlaku ketidakharmonian dalam masyarakat.
3. Cenderung menjadi pengikut syaitan
Surah Al-Hajj [22] : 3
Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuandan mengikuti setiap syaitan yang jahat,...
Mereka yang tidak berilmu seringkali bercakap perkara yang mereka agak-agak sahaja terutamanya dalam hal agama yang boleh membawa kepada kekufuran tanpa mereka sedari. Perkataan yang mereka keluarkan tidak lain, kecuali mengikuti hawa nafsu yang dibisikkan oleh syaitan sahaja. (Rujuk artikel Tipu Daya Iblis Zaman Ini)
Sekiranya kita ragu-ragu tentang sesuatu perkara atau ingat-ingat lupa, janganlah berkata-kata untuk berbangga diri atau berasa malu cakap tidak tahu, tanyalah kepada orang yang berilmu.
Al Anbiyaa' [21] : 7
....maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.
KESIMPULAN
Islam didasari dengan ilmu.Tidak ada satu pun permasalahan kecuali diajar dalam agama Islam bagi mereka yang mahu menggunakan akal dan menuntut ilmu.
Ali 'Imran [3] : 18
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Hanya dengan ilmulah kita dapat mempertabatkan umat Islam dan menjaga kemuliaan Islam, yang kini dimana-mana pun umat Islam diperbudak-budakkan dan agama Islam diperlekehkan.
At Taubah [9] : 128
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiriberat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.
Marilah kita mencontohi sikap para Nabi ‘alaihi salam; iaitu berasa sedih akan penderitaan masyarakat Islam sekarang yang ditendang dan dipermainkan sesuka hati. Moga-moga Allah yang Maha Penyayang memenangkan kita ke atas musuh-musuh Islam. (Rujuk tafsir Ibn Katsir m/s : 236)
Namun perlu diingat setinggi mana ilmu kita, tidak dapat kita mengatasi mukjizat para Nabi ‘alaihi salam dan setiap yang mengetahui, ada lagi yang lebih mengetahui (RujukSurah Yusuf [12] : 76).
Marilah kita merenung ayat di bawah, luasnya ilmu Allah yang Maha Tinggi tidak terhingga. Allah yang Maha Agung berfirman dalam;
Surah Al-Kahfi [18] : 109
Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
Surah Luqman [31] : 27
Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Rujukan :
Al-Quran terjemahan,
Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Munir,
Kitab-kitab hadis sahih,
Krisis Dalam Pendidikan Islam [Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf ],
Ihya’ Ulumuddin [Imam Al-Ghazali],
Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin],
Berfikir [Harun Yahya],
Fiqh Keutamaan [Dr. Yusuf Al-Qardhawi],
Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri [Za’ba].

Tipu Daya Iblis Zaman Ini


Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
PENGENALAN
Tipu Daya Iblis Zaman Ini
Pengenalan ringkas antara jin, iblis dan syaitan boleh kita dapati dalam firman Allah yang Maha Tinggi di bawah,
Surah Al Kahfi [18] : 50
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
Di dalam ayat yang lain tentang perkaitan antara iblis dan syaitan,
Surah Al Israa' [17] : 63-64
Allah berfirman (dituju kepada iblis (rujuk ayat 61-62)): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup. 

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal 
tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Secara umumnya dapatlah kita mengetahui berdasarkan ayat Al-Quran di atas bahawa iblis dan syaitan itu adalah dari golongan jin. Perlu diingatkan sekali lagi, iblis itu adalah dari golongon jin, bukan malaikat seperti yang dinyatakan sebilangan kecil orang yang tersalah faham dan kebanyakan orang yang sesat.
Tipu daya iblis itu berbagai-bagai dan dikerahkan penyokong-penyokongnya untuk menyesatkan umat manusia keseluruhannya tanpa mengira keturunan, pangkat, bangsa apatah lagi agama, kerana memang itulah tujuan iblis yang menginginkan kesesatan seluruh manusia.
Dalam Al-Quran, Allah yang Maha Penyayang berfirman tentang keazaman iblis untuk menyesatkan manusia;
Surah Al Hijr [15] : 39
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku (iblis) akan menyesatkan mereka semuanya...
ISI PERBINCANGAN
Mengenali Bisikan Hati
Iblis melancarkan tipu dayanya melalui bisikan-bisikannya ke dalam hati sanubari manusia. Perlu kita ketahui bahawa bisikan di dalam hati manusia itu ada tiga, iaitu;
1. Bisikan Malaikat : Berdasarkan;
Surah Fushshilat [41] : 30
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):"Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
Malaikat membisikkan agar manusia berbuat kebaikan, mentaati perintah Allah yang Maha Tinggi dan perkara-perkara yang baik dan terpuji. (Rujukan Tafsir Ibn Katsir, dan Tafsir Al-Munir dalam Surah Al-Nas)
2. Bisikan Diri : Berdasarkan;
Surah Qaaf [50] : 16
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,
Kita berbisik dengan diri kita sendiri dari segi berfikir, citarasa, keinginan samada baik atau buruk dan sebagainya. Dalam satu hadis sahih yang di nukil dari tafsir Ibn Katsir,
Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala memaafkan apa yang dibisikkan oleh hati umatku, selama ia tidak mengatakan atau mengerjakannya.” (Sahih Muslim, dengan lafaz yang sedikit berbeza)
3. Bisikan Iblis atau Syaitan : Berdasarkan,
Surah Al An'aam [6] : 112
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jinsetengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Faktor yang ketiga ini adalah yang hendak dikongsi bersama kerana dengan bisikan inilah membuatkan kaum yahudi sesat, kaum nasrani sesat, umat Islam sesat dan manusia umumnya, akibat kurangnya prihatin akan kebahayaannya.
Cara-Cara Iblis Menyesatkan
Iblis menyesatkan manusia melalui beberapa kaedah yang licik sehingga kita tidak sedar akannya. Penyesatan ini kadangkala mengambil masa yang lama, sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya kita menyangkakan apa yang kita fikirkan adalah benar dan bukannya dari syaitan; antaranya:
Pertama : Memberi nasihat, dan tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan,
Surah Al-A’raaf [7] : 21
Dan ia bersumpah kepada keduanya ((Adam dan Hawa) dengan berkata): "Sesungguhnya aku (syaitan) adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua".
Sekiranya datang iblis kepada kita secara terang-terangan memberi nasihat, mahukah kita mengikutinya? Tentu tidak. Jadi secara halus iblis itu membisikkan tanpa kita sedari, tapi kita boleh mengenalinya; iaitu dengan ilmu.
Antara contoh nasihatnya (iblis) pada zaman ini;
(a). “Tidak solat pun takpe, selagi kita ucap kalimah tauhid pasti masuk syurga,” dan yang semaksud dengannya. Mengikut Imam Syafie dan para ulama salaf lainnya, jika orang yang berkata seperti itu beritikad tidak wajibnya solat, maka hukumnya kufur.
Al Baqarah [2] : 80
...."Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja." Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"
Pernahkah kita membuat janji dengan Allah yang Maha Suci, bahawa kita akan masuk syurga? Atau kita cuma mendengar dari perkataan orang lain atau agak-agak sahaja?
(b). “Masa muda adalah masa untuk enjoy, dah tua nanti baru bertaubat, kerana taubat muda-muda nanti buat dosa balik.”
(c). “Jangan sebut pasal mati, tak elok, nanti mulut masin” (yakni meyakini kata-kata seseorang yang boleh menyebabkan kemudaratan dan secara tidak langsung mengingkari takdir).
Itu adalah sebahagian contoh dari nasihat dan hasutan iblis kepada kita.
Kedua : Menjadikan keburukan nampak baik dan sebaliknya.
Dalam Surah Al Hijr [15] : 39 Allah yang Maha Tinggi berfirman,
Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
Antara contoh-contohnya di zaman ini adalah seperti ada orang yang berkata,
(a). “Walaupun aku tidak menutup aurat, tapi hati aku baik dan mengerjakan solat,” dan yang semaksud dengannya.
Sebenarnya perkara ini melibatkan orang Islam yang lain. Terutama kanak-kanak, mereka belajar dari orang dewasa dan mereka menyangkakan tidak menutup aurat itu adalah ‘perkara yang dibolehkan’ dalam agama.
(b). “Kalau kita solat tak khusyuk tak guna jugak, jadi tak perlu sembahyang kerana kita perlu belajar untuk khusyuk dahulu.”
Al Baqarah [2] : 110
Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.
Solat itu wajib, dan selepas itu bertawakallah;
Surah Hud [11] : 123
Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. Dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.
Ketiga : Menghalangi jalan yang lurus (jalan kebenaran dan keselamatan dunia dan akhirat).
Berdasarkan Surah Al-A’raaf [7] : 16
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
Contoh-contoh di zaman ini dapat kita perhatikan menerusi perkataan syaitan-syaitan dari jenis manusia samada dari orang bukan Islam mahupun orang yang menggelar dirinya ‘orang Islam’.
Surah Al Baqarah [2] : 8
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
Perkataan orang munafik seperti ini lebih merbahaya kerana perkataan mereka lebih mudah diikuti seperti di dalam;
Surah Al Baqarah [2] : 11
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
Surah Al Baqarah [2] :14
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Antara kesesatan yang mereka lakukan dalam perkataan dan perbuatan mereka (nampak seolah-olah benar tetapi menyalahi Al Quran) seperti;
(a). “Semua manusia mempunyai hak masing-masing, jadi manusia bebas mengamalkan cara hidup mereka.”
Antaranya orang Islam yang ingin murtad tidak perlu dihukum, lelaki dan wanita bebas berkahwin dengan pasangan sejenis mereka, orang yang berkahwin dengan orang Islam tidak perlu menukar agama mereka, pembahagian harta (faraid) perlu sama antara laki dan wanita dan banyak lagi kesesatan mereka.
(b). “Semua agama menuju pada keamanan dan kebenaran, jadi semua agama adalah benar.”
Kata-kata mereka secara tidak sedar sebenarnya memperlekehkan Nabi Muhammad saw yang berusaha membebaskan manusia dari penyembahan syaitan. Orang seperti ini, kita perlu katakan kepada mereka,
“Kami tidak mengatakan agama lain itu salah, kami cuma mengatakan Allah yang Maha Agung itu tunggal dan wajib kita menyembahnya. Allah yang Maha Mencipta segala sesuatu dari awal kehidupan sehingga kehidupan akan datang dan akhirnya; segala sesuatu dalam takdirNya.
Al Quran pula diturunkan supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan wajib beriman dan beramal dengannya. Nabi Muhammad saw itu pesuruhNya untuk mengajar umat manusia tentang dunia dan akhirat; juga memperjelaskannya berdasarkan wahyu, iaitu Al Quran.”
Al-Ikhlass [112] : 1-4
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
(c). “Penafsiran orang dahulu (ditujukan pada ulama salaf) terhadap Al Quran dan fekah tidak relevan masa kini, kita hidup zaman moden.”
Sebenarnya kita tidak perlu kebaratan untuk menjadi moden. Perkataan merekalah yang tidak relevan, contohnya apabila antara ahli keluarga mereka mati, mereka juga mahu memandi dan mengafankannya. Kenapa tidak ikut cara moden?
Keempat : Mendatangi dari pelbagai arah.
Surah Al-A’raaf [7] : 17
......"Kemudian aku datangi mereka, dari 
hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
Dari Ali bin Abi Thalhah mengatakan dari Ibnu ‘Abbas r.a yang dinukil dari tafsir Ibnu Katsir, maksud;
(a). Iblis datang dari hadapan adalah, iblis membuat kita ragu akan kehidupan akhirat.
(b). Iblis datang dari belakang pula, iblis akan menjadikan kita cinta kepada dunia.
(c). Iblis datang dari kanan, iaitu iblis menjadikan perkara agama kita menjadi samar. Kita akan meragui yang mana dari agama dan yang mana bersalahan dengan agama. Contohnya pergi ke kubur setiap pagi raya, duduk di kubur, memegang adat lebih dari syariat dan lain-lain.
(d). Iblis datang dari kiri adalah dengan menjadikan kita menjadi hamba hawa nafsu dengan menyukai kemaksiatan.
Kelima : Menakut-nakuti.
‘Ali Imran [3] : 175
Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy),....
Syaitan menanamkan rasa takut dalam perasaan kita bahawa dia (syaitan) dan para pengikutnya termasuk dari kalangan manusia, memiliki kekuatan dan pengaruh.
Kita boleh melihat sekeliling kita. Perhatikan di negara kita sendiri dan di negara luar yang lainnya, betapa umat Islam sekarang dihina, ditindas, diperbudak-budakkan sewenangnya. Kita telah hilang semangat jihad dan rasa kasih sayang sesama Islam.
Mungkin persoalan negara terlalu luas, jadi perhatikan tempat kerja kita, sekolah kita, ekonomi, taraf hidup dan masyarakat kita umumnya, tidakkah anda berasa takut dan gentar pada mereka? Jangan kita berasa takut kerana kita adalah umat pilihan, umat Nabi Muhammad SAW.
Al Baqarah [2] : 143
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
‘Ali Imran [3] : 175
.....kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Mengenai nombor ketiga, keempat dan kelima diulas dengan lebih lanjut dalam artikel yang berlainan bertajuk ‘Kemunculan Tentera Dajjal’)
Keenam : Angan-angan kosong.
Surah An Nisaa' [4] : 119
"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan...
Iblis membisikkan kita dengan pelbagai perkara yang mulanya bermanfaat kemudian dirosakkan dengan hasutan dengan janjinya ‘inilah perkara yang benar dan lebih baik’, seperti;
(a). Membuat kenduri atau jemputan makan tahlil, kahwin dan sebagainya.
Kemudian dirosakkannya dengan kenduri arwah 40 hari atau 100 hari, dan dalam majlis perkahwinan pula, suami isteri disuruh berpelukan dan diambil gambarnya dan banyak lagi.
Malah ada juga yang tidak mahu beribadat ketika masih hidup, kerana berpendapat dia akan terselamat kerana ahli keluarganya akan membuat kenduri tahlil bila dia mati kelak.
(b). Berikhtiar dalam merawat penyakit atau kesulitan dalam kehidupan.
Kemudian dirosakkannya dengan mempercayai bomoh, tangkal, ramalan (rahsia-rahsia tarikh lahir, rahsia tahi lalat), sihir dan seumpamanya.
(c). Bersolat fardhu dan sunat, kemudian dirosakkannya dengan solat tergesa-gesa dan tanpa tukmaninah (diam sebentar pergerakan sebelum meneruskan gerak solat seterusnya).
Paling menonjol adalah waktu iktidal, ramai yang gagal untuk tukmaninah ketika iktidal ini.
(d). Menyambung silaturrahim atau mempereratkan silaturrahim di facebook dan sejenisnya (blog, myspace dan lain-lain).
Kemudian dirosakkannya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, gambar membuka aurat, memfitnah, menyeleweng fakta dan kerosakan lainnya.
Ketujuh : Mengubah ciptaan Allah yang Maha Mengetahui.
Surah An Nisaa' [4] : 119
...demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
Di dalam tafsir Ibnu Katsir, diterangkan dua perkara mengenai ayat ‘mengubah ciptaan Allah’.
(a). Tentang pengubahan rekabentuk makhluk hidup seperti mengembiri binatang, bertatu, mencukur bulu kening untuk kecantikan dan apa-apa yang diubah keaslian ciptaanNya.
(b). Mengubah perintah Allah yang Maha Mengetahui dan sunnah Rasulullah saw, seperti melebihi pendapat orang-orang sekalipun telah mengetahui hadis dari Rasulullah saw.
Contohnya, tingkatan puasa yang dibolehkan adalah puasa selang sehari (puasa Nabi Daud), tapi kita mengingini puasa tiap-tiap hari.
Lainnya, kita berasakan zikir dari Rasulullah saw itu tidak mencukupi, lalu kita tambah-tambah pada zikirnya, akhirnya zikir dari Rasulullah saw itu kita tinggalkan, dan kita mula meniru zikir orang lain kononnya zikir itu lebih hebat dari zikir dari Rasulullah saw.
Malah kita juga tidak tahu makna dari zikir itu. Kita hanya mengikut-ikut sahaja.
Kelapan : Berkata (dusta) terhadap Allah.
Surah Al-Baqarah [2] : 169
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
Perkara yang keji dan jahat itu sudah kita ketahui tentangnya. Tetapi berkata dusta terhadap Allah yang Maha Tinggi tidak ramai sedar mengenainya.
Syaitan membisikkan pada kita agar,
(a). Takut untuk bercakap tidak tahu dalam soal agama juga soal lainnya, lalu bercakap sesuatu yang tidak kita ketahui (terutama perbincangan kedai kopi). Jadilah umpatan atau fatwa yang menyeleweng.
(b). Mendakwa berlakunya sesuatu musibah itu contohnya gempa bumi berlaku di sesuatu kawasan kerana penduduk di situ banyak berbuat kejahatan. Padahal kuasa Allah yang Maha Perkasa mentakdirkan itu semua.
(c). Seolah-olah mengetahui perkara ghaib atau pasti terhadap perkara yang belum berlaku, seperti,
a.1. meramal bilakah berlaku kiamat,
b.2. para pemotivasi yang menaikkan semangat, kononnya kejayaan kita adalah hasil kerja kuat kita atau apa yang kita lakukan pasti berjaya.
Surah Al Qasas [28] : 78
Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?.....
(Boleh untuk melakukan itu (memotivasi), tapi jangan sampai menolak takdir dan isikan dengan ayat-ayat Al Quran mengenai bagaimana ciri-ciri orang yang berjaya),
c.3. selepas kahwin pasti mempunyai anak, dan pelbagai lagi.
KESIMPULAN
Ini hanya beberapa antara kesesatan yang iblis bisikkan, tanamkan dalam hati dan fikiran kita untuk menyesatkan. Kesesatan-kesesatan ini kadangkala tidak kita sedari, kadangkala kita sedar, namun terperangkap dalam suasana masyarakat kini.
Bagaimana caranya mengatasi atau melawan tipu daya iblis yang jahat dan licik ini? Antaranya;
(a). Menuntut ilmu. Lengkapkan diri dengan ilmu fardhu ain kemudian baru ilmu-ilmu yang lainnya dan tanamkan sikap benci menjadi jahil.
Surah Thoha [20] : 114
"Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."
Surah Al Hajj [22] : 54
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
(b). Berdoa agar jauh dari kesesatan.
Surah Ali ‘Imran [3] : 8
(Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)."
Surah Ali ‘Imran [3] : 147
Tidak ada doa mereka selain ucapan: "Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
Doa adalah senjata kita yang paling kuat dan sesungguhnya Allah yang Maha Penyayang itu tidak memungkiri janji,
Surah Al Baqarah [2] : 186
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
(c). Bersatu hati sesama umat Islam serta berzikir dan sentiasa mengingati Allah yang Maha Penyayang dalam memerangi musuh dari kalangan syaitan jenis manusia dan jin.
Surah Al Anfaal [8] : 45
Hai orang-orang yang beriman. apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.
(Tanda (c) juga diulas lebih lanjut dalam artikel ‘Kemunculan Tentera Dajjal’)
(d). Sentiasa mengingati mati.
Surah Az Zumar [39] : 42
Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya;
maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan.
Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.
Kita tidak tahu ajal kita, jadi buatlah yang terbaik dalam beribadah ketika di dunia ini sementara masih boleh.
Dan (e). Ingatlah bahawa tipu daya syaitan itu sangat lemah. Mereka (syaitan) tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menghasut dan membisikkan sahaja.
Surah An Nisaa' [4] : 76
Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, keranasesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Serta ingatlah kita adalah umat terpilih, umat Nabi Muhammad saw.
Surah Ali 'Imran [3] : 139
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
Rujukan :
Al Quran (Tafsir Ibnu Katsir dan Tafsir Al Munir), Kitab-kitab hadis sahih (boleh juga didapati dalam blog saya www.KoleksiHadisNabi.blogspot.com).
Dahsyatnya Tipu Muslihat Iblis (Ibnu Qayyim Al Jauziah), Islam Liberal dan Pluralisma Agama (Riduan Mohamad Nor dan Ahmad Adnan Fadhil), Penyatuan Nilai Kebaikan (Harun Yahya), Ciri-Ciri Akhlak Mukminin dan Mukminat (Syeikh Abdul Aziz bin Baaz) dan Dunia Jin dan Setan (Dr. Umar Sulaiman al-AsyAsyqar).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...