Monday 6 February 2012

Islam teladan ummah...

Foto
PENERIMA anugerah Perdana, Muhammad Hadi Darus (kiri) dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berbual sambil melihat sijil anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 di Masjid Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam mencontohi perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berjaya mendidik, memimpin dan membawa masyarakat jahiliah berhijrah daripada kekufuran serta kejahilan kepada umat memiliki keimanan kental dan ketinggian ilmu.
Baginda bertitah, kegigihan Rasulullah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah berjaya membina kekuatan iman, minda dan fizikal umat Islam pada zamannya dan zaman Khalifah ar-Rasyidin serta zaman sesudahnya sehingga mampu mencapai satu tamadun gemilang.
Seri Paduka bertitah untuk mencapai kegemilangan itu, umat Islam perlu memperbetulkan tasawur Islam dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

“Konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah serta bekerja atau berniaga sebagai ibadat adalah perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global,” titah baginda merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra di sini, semalam.

Tuanku Abdul Halim bertitah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah bertepatan dengan kehidupan umat Islam kini yang menghadapi pelbagai cabaran.

“Contohilah keunggulan peribadi Rasulullah laksana perintah Allah ke arah melahirkan masyarakat Islam hebat serta menjadi teladan kepada dunia,” titah baginda. 


Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan sijil penghargaan dan piala kepada sembilan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 termasuk Mufti Pulau Pinang yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Hassan Ahmad yang menerima Anugerah Perdana.

Lapan penerima lain ialah Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Toh Puan Wan Asiah Ahmad; bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Kelantan, Abdul Razak Mat Saat; Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Muhammad Fuad Yeoh; Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd, Shah Kirit Kakulal Govindji serta bekas johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Datuk Rogayah Sulong.

Tiga lagi penerima ialah bekas Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid; Ketua Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Kala, Gombak, Hussein Ngahyin dan pelajar kurang upaya Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang, Kedah yang mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, Muhammad Hadi Darus.

Terdahulu, 121 kontinjen disertai lebih 12,000 peserta termasuk penjawat awam, badan berkanun, pertubuhan swasta, pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak 2.4 kilometer bermula dari pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya hingga ke Masjid Putra di sini sambil berselawat ke atas Rasulullah SAW. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...