Monday 8 April 2013

Ribat dalam gerak kerja pilihan raya

Ustaz Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali,04 Apr 2013

Pilihan raya ke-13 yang bakal disertai oleh PAS merupakan salah satu kerja jihad semasa bagi gerakan Islam. Jihad ini menuntut pengorbanan dari para pejuang dari sudut harta, jiwa dan juga masa. Justeru, konsep Ribat fi Sabilillah yang disebut di dalam al-Quran dan Hadis perlu diaplikasikan bagi memaksimakan penyertaan tenaga kerja pilihan raya seterusnya memaksimakan kemenangan Islam dalam memerintah Malaysia.

Konsep Ribat fi SabiliLlah

Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah al-Muwatta', Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud-maksud berikut :

Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah

Maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. la merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya.

Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad. Dalilnya ialah firman Allah Taala yang berbunyi :

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfaal : ayat 60)


Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya :

"Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui." 
(Surah al-Baqarah : ayat 262)
Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan

Ribat seperti ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang Islam daripada musuh. Definisi Ribat seperti ini merujuk kepada firman Allah Taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah menjadi ribat (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." 
(Surah Ali-Imran : ayat 200)
Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi SAW antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa'ad al-Sa'idi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya..." (Sahih Bukhari)

Manakala di dalam Sahih Muslim turut meriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezekinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur)." (Sahih Muslim)

Ketiga : Ribat Dalam Ibadah

Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda (bermaksud), "Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wuduk di waktu sukar, memperbanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat." (Sahih Muslim).

Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirannya, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif menafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid. Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.

Pilihan raya Sebagai Wasilah Menegakkan Khilafah

Melantik pemerintah Islam yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama adalah satu kewajipan yang telah disepakati oleh Sahabat Nabi SAW dan para ulama. Dalilnya ialah ijmak Sahabat melantik Khalifah selepas kewafatan Nabi SAW. Dalam konteks Malaysia, pilihan raya menjadi satu wadah yang dibenarkan menurut perundangan negara untuk memilih pemerintah. Pilihan raya akan menentukan sama ada pemerintah yang terpiiih memerintah menurut al-Quran dan Hadis atau menurut hawa nafsu. Berasaskan kepada hakikat ini penglibatan gerakan Islam dalam pilihan raya merupakan satu keperluan semasa bagi memastikan negara diperintah menurut Islam.

Penglibatan dalam pilihan raya merupakan satu jihad fi sabiliLlah. Kaedah Fiqah ada menegaskan, "Sesuatu yang tidak sempurna kewajipan lain melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".

Dalam konteks semasa perundangan Malaysia hari ini menegakkan khilafah yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama hanya boleh berlaku menerusi pilihan raya. Maka, penglibatan diri dalam pilihanraya adalah wajib.

Pilihanraya Wasilah Melaksanakan Jihad Menyatakan Kebenaran

Pilihan raya menjadi wasilah untuk menegur pemerintah yang khianat terhadap amanah kepimpinan dan melakukan kezaliman. Justeru, gerak kerja pilihan raya merupakan satu jihad fi sabiliLlah. Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat mempunyai bendera pada hari Kiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah janganlah kehebatan manusia menjadi penghalang bagi seorang lelaki memperkatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim." (Musnad Imam Ahmad)

Ribat Dalam Gerak Kerja Pilihan raya

Ketiga-tiga konsep Ribat di atas perlu dijelmakan dalam kerja-kerja Jihad melibatkan pilihan raya. Justeru Ribat dalam gerakkerja pilihan raya bermaksud :

1. Menyediakan kelengkapan kerja-kerja pilihan raya melibatkan harta.
2. Mengikat diri untuk berada di medan pilihan raya sepenuhnya sekiranya mampu sepanjang tempoh kempen pilihan raya ke-13.
3. Menyiapkan gerak kerja yang boleh menggerunkan musuh.
4. Menjaga  ibadah utama sepanjang tempoh kempen pilihan raya dengan  menyempurnakan wuduk, bergerak ke markaz-markaz untuk mengerjakan solat berjamaah di markaz-markaz pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihanraya.

Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta

Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya ketika berlangsungnya peperangan Tabuk; Saidina Uthman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan 300 ekor unta berjumlah 1000 dinar beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang. 1000 dinar bersamaan dengan RM859,000 menurut kiraan hari ini berdasarkan dinar emas Kelantan bernilai RM859 untuk 1 dinar. Manakala harga 300 ekor unta boleh dinilai hari ini dengan RM 1.5 juta berdasarkan harga semasa seekor unta RM5000.

Penutup
Penjelmaan konsep Ribat dalam pilihanraya ke-13 oleh para alim ulama merupakan saham besar kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya ke-13 insya Allah. Para ulama boleh melaksanakan ketiga-tiga jenis Ribat yang telah dijelaskan. Saham utama mereka ketika Ribat ialah masa yang diperuntukkan untuk membuat penjelasan-penjelasan ilmu kepada orang-orang jahil, harta benda yang boleh disumbangkan dan ketulusan ibadah mereka sepanjang pilihan raya untuk menggamit kemenangan dikuriakan oleh Allah.

http://www.tarbawi.my

Jadilah agamawan yang sanggup “genggam bara api”

Syed Abdullah Jamalullail,

Pada hari ini kita hanya mampu menceritakan kehebatan zaman Sahabat dan kegemilangannya dengan perjuangan untuk menegakkan Islam. Sekarang ini peninggalan cerita sahaja yang kita ada tetapi untuk mengikut cara perjuangan mereka dan kaedah amalan mereka langsung tidak dipraktikkan lagi malahan sudah beransur hilang ditelan zaman.

Pada zaman sahabat dahulu para alim ulamanya dihormati dan disanjung tinggi melebihi pemimpin, tetapi sekarang ini ulama pula dipinggirkan dan lebih malang lagi ada juga ulama yang tidak menjaga kedudukannya sebagai ulama sanggup pula mencium tangan pemimpin sebagai tanda hormat. Sayang seribu kali sayang apabila berpenat lelah berpuluh tahun belajar agama sehingga keluar negara saperti ke Mesir, Arab Saudi dan sebagainya tetapi apabila balik ke negara ini sebahagian mereka hanya menjadi Imam dan guru mengajar fardhu ain sahaja seolah-olah mereka yang belajar dibidang agama ini hanya layak untuk jawatan tersebut sahaja.

Tetapi mereka yang hanya berkelulusan bidang Bahasa atau Kesusasteraan Melayu dan ilmu Sejarah boleh pula memegang jawatan sebagai pegawai kanan atau menjadi ketua Jabatan umpamanya.

Walaupun berkelulusan dan memegang jawatan tingggi, mereka jahil dalam pengetahuan agama. Inilah hakikatnya apa yang sedang berlaku sekarang ini. Akibatnya kelompok ini tidak mengenal antara halal dan haramnya, bahkan merasakan peraturan dan undang-undang ciptaan Yahudi sesuai dengan kehidupan mereka. Maka dengan sendirinya kita kembali kezaman jahiliah tanpa kita sedari.

Kita telah kembali ke zaman menyanjung kebesaran umat lain apabila bercuti pada hari kebesaran mereka Sabtu dan Ahad. Sedangkan pada hari Jumaat yang dianggap sebagai penghulu segala hari kita ambil tidak peduli malahan tarikh haribulan harian kita pun telah menggunakan kaedah mereka malahan kita sudah tidak mengenal lagi tahun hijrah Islam lagi. Walaupun nampak sebagai satu perkara yang kecil sahaja tetapi impaknya besar kepada umat Islam itu sendiri.

Membudayakan fitnah sehingga tergamak memfitnah orang-orang alim dan begitu juga sikap kita yang ambil ringan segala kemaksiatan di hadapan mata telah mengundang berbagai-bagai masalah sosial yang berat. Teguran para alim ulama yang masih berpegang teguh kepada agama ini kita perlekehkan malahan kita caci pula mereka dengan kata-kata kesat.

Hanya segelintir sahaja sanggup 'memegang bara api' apabila untuk menegakkan agama Allah. Apabila ramai diantara ustaz-ustaz ini diberikan keselesaan sedikit dengan gaji lumayan mulalah mereka ini lupakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan itu. 

Al-Quran jelaskan: Celakanya golongan penyokong kezaliman

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin,08 Apr 2013

Sebagaimana Allah Taala memerintahkan semua agar berlaku adil, Allah juga melarang semua pihak daripada melakukan kezaliman. Allah mengharamkan kezaliman dengan larangan yang sekeras-kerasnya. Allah mencela orang yang berlaku zalim. Allah berjanji akan menghukum mereka dengan hukuman yang berat di dunia dan juga di akhirat. Firman Allah Taala:

"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim." (Ali Imran:57)


"Dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keterangan-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya." (Surah al-Ana'am : ayat 21)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (Surah al-Maidah : ayat 51)

"Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka." (surah al-Kahfi : ayat 59)

"Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya)." (Surah an-Naml : ayat 52)


Al-Quran – lebih jauh – telah melarang orang Muslim menjadi orang yang zalim. Begitu juga al-Quran melarangnya daripada menjadi pembantu kepada orang yang zalim, atau cenderung kepada orang yang zalim, kerana dia akan ikut serta dalam dosa dan balasan kezaliman tersebut. 

Firman Allah Taala tentang Fir’aun:

"Dengan sebab itu, Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim." (surah al-Qasas : ayat 40)

Lihatlah bagaimana Allah sertakan bala tentera bersama Fir’aun dan menganggap kesemua mereka adalah manusia zalim. Firman Allah lagi:

"Dan janganlah kamu cenderung menyokong orang-orang yang zalim kelak (kalau kamu berbuat demikian), api neraka akan membakar kamu. Pada hal tiada seorang penolong pun untuk kamu selain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat apa-apa pertolongan." (Surah Hud : ayat 113)


Perkataan “Ar-Rukuun” dalam ayat ini bererti cenderung, maka dengan cenderung sahaja pun kepada kezaliman sudah diharamkan oleh al-Quran dan diikatkan dengan cucuhan api neraka, di samping kehilangan pertolongan Allah kepada mereka.

http://www.tarbawi.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...