Tuesday 29 November 2011

Bank UAE mahu buka cawangan

2011/11/29


Noor Islamic Bank PJSC minat jadikan Malaysia pusat utama perniagaan

NOOR Islamic Bank PJSC, penyedia perkhidmatan perbankan Islam penuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat untuk beroperasi di Malaysia jika berpeluang memulakan rundingan bagi tujuan itu dengan beberapa pihak berkaitan di negara ini. 

Bank beribu pejabat di Dubai itu berminat menjadikan Malaysia sebagai pusat utama yang menghubungkan perniagaan kumpulan itu dari rantau Asia Barat ke Asia Pasifik.

Ketua Eksekutif Noor Islamic Bank dan Ketua Eksekutif Kumpulan Noor Investment, Hussain Al Qemzi, berkata penubuhan operasi di rantau ini adalah antara agenda kumpulan dalam usaha menyokong dan mengekalkan hubungan perdagangan antara Asia Barat dan Asia Pasifik.
“Malaysia adalah satu pasaran yang sangat menarik kepada kami, khususnya dalam sektor sukuk. Terdapat banyak projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di negara ini serta negara serantau yang menjadikannya satu perkembangan menarik kepada pelabur dan penyedia kemudahan kewangan seperti kami," katanya dalam satu temubual dengan Berita Harian di luar Sidang Puncak Pengetahuan Kewangan Islam 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Ditubuhkan pada 2008, Noor Islamic Bank adalah kumpulan perbankan Islam penuh yang menawarkan liputan luas produk kepada pelanggan, dengan penekanan kepada perkhidmatan yang unik serta direka bentuk khas untuk keperluan tertentu. 

Meskipun ditubuhkan ketika krisis kewangan global sedang memuncak, kumpulan perbankan itu mampu meraih pulangan modal setahun lebih awal daripada sasaran berikutan strategi perniagaannya yang mengkhususkan kepada keperluan pelanggan. 

Al Qemzi berkata, dari segi persekitaran ekonomi, Malaysia dijangka menjadi antara negara di rantau ini yang paling kurang terdedah kepada ancaman kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan zon euro. 
Ia katanya, berikutan langkah kerajaan menyiapkan beberapa inisiatif bagi membendung situasi itu, khususnya dengan memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

“Ini menambah lagi daya tarikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa dan kumpulan memandang tinggi kedudukan negara ini dalam sektor berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, industri kewangan global perlu mengambil tanggungjawab memacu sektor perbankan Islam jika mahu menjadikannya alternatif kepada perbankan konvensional. 

“Kami dapati sektor kewangan Islam bergerak agak perlahan kebelakangan ini. Dalam persekitaran semasa yang membelenggu AS dan zon euro, ini adalah masa yang tepat kepada peserta perbankan Islam bangkit semula menjana industri ini,” katanya. 

Berikutan itu, katanya peserta perbankan Islam tidak perlu hanya bergantung kepada inisiatif pengawal atur dan pihak berkuasa semata-mata. 

“Saya tidak mengatakan pihak berkuasa menyekat perkembangan industri ini. Sekatan itu sebenarnya datang dari peserta sektor ini sendiri,” katanya yang berpengalaman luas selama 26 tahun berkhidmat dengan institusi kewangan utama rantau Asia Barat,” katanya. 

Israel hadapi 150,000 peluru berpandu



2011/11/29

TEHRAN: Israel akan diserang dengan 150,000 peluru berpandu jika ia melancarkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran, kata Menteri Pertahanannya, Jeneral Ahmad Vahidi. 

Menteri berkenaan memberitahu bahawa sukarelawan tentera Israel perlu dihukum terhadap apa yang mereka lakukan kepada penduduk Islam di Palestin, lapor Iran Independent News Service semalam.
Bercakap kepada 50,000 sukarelawan tentera di Bushehr, menteri terbabit berkata bahawa Iran bukanlah Iraq ataupun Afghanistan.
Jika Amerika Syarikat melancarkan serangan dan menyerang Iran, kita akan tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk berlawan, sambil menambah Israel perlu dihukum terhadap apa yang dilakukan kepada penduduk Palestin dan Lubnan,” katanya. 

Vahidi tidak menyatakan secara spesifik sama ada peluru berpandu itu akan dilancarkan dari Iran atau lokasi lain. 

Pada Sabtu lalu, seorang komander kanan Pengawal Revolusi Iran berkata bahawa negara itu akan mensasarkan perisai pertahanan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turki jika Amerika atau Israel menyerang Republik Islam berkenaan. 

Jeneral Amir Ali Hajizadeh, ketua bahagian aeroangkasa pasukan pertahanan Iran dipetik agensi berita separa rasmi Mehr memberi amaran bahawa persiapan yang dilakukan oleh Tehran adalah sebahagian strategi untuk menghadapi ancaman Amerika dan Israel. 
Menteri Pertahanan Iran berkenaan juga memberi amaran mengenai serangan balas oleh Amerika tetapi tindakan itu perlu melepasi pertahanan ampuh Iran. 






“Amerika dan sekutunya perlu tahu bahawa Iran terlalu kuat dan berusaha akan mengajar Amerika bagaimana untuk berperang dan apa maknanya untuk berperang dan menjadi wira,” kata Vahidi kepada sekumpulan sukarelawan itu di Bushehr, sebuah bandaraya menempatkan loji kuasa nuklearnya. 
Iran bertegas bahawa program nuklear negara itu adalah untuk tujuan keamanan tetapi laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula menyatakan bahawa Tehran berterusan membangunkan teknologi senjata nuklear. 

Sejak laporan itu disiarkan, negara Barat mendesak masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap rejim Tehran untuk menangguhkan program nuklear terbabit. 

Amerika, Britain dan Kanada mengenakan sekatan terhadap sektor kewangan dan tenaga Iran, memaksa Tehran mengusir duta Britain. Perancis dan Belanda juga menggesa tindakan sama terhadap republik Islam itu. – Agensi 




Harakah dibaca dua juta setiap bulan






KUALA LUMPUR: Pengaruh lidah rasmi Harakah begitu besar sehingga
mencecah hampir dua juta pembaca pada setiap bulan dan ini menjadikan
akhbar bercetak ini bertahan begitu lama berbanding dengan akhbar tabloid
yang lain di negara ini, kata Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam.

Katanya, Mac tahun depan, Harakah akan menyambut Jubli Perak 25 tahun
dan dalam tempoh itu pelbagai pahit maung diharungi, namun,
atas kegigihan pucuk pimpinan ia muncul sebagai akhbar alternatif
yang sentiasa mengancam pengaruh Umno-BN.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan
Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Berintegriti peringkat PAS Wilayah Persekutuan,
Ahad 13 Nov lalu di Pejabat Agung PAS, dekat sini.
Turut menyampaikan syarahan media,
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Terdahulu, ketika merasmikan kursus berkenaan,
Ketua Penerangan PAS Wilayah, Nasaei Ismail berkata,
peranan media cukup penting dalam menyampaikan maklumat
dan membentuk persepsi masyarakat.

“Dengan adanya kursus bersama Harakah ini,
diharapkan lebih ramai ahli PAS berperana sebagai pelapor
bukan sahaja kepada Harakah tetapi kepada media baru termasuk
facebook, website dan blog masing-maisng,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Lutfi dalam syarahannya
“Kepentingan Media Hadapi PRU13” menyifatkan bukan soal keterbatasan
 penyampaian maklumat kepada sasaran tetapi
bagaimana maklumat itu dibentuk dan dibina agar upaya mencetuskan persepsi dalam
masyarakat terhadap sesuatu isu.

“Hari ini, sesiapa boleh dapatkan maklumat dalam internet.
Tetapi peranan pemberita atau wartawan yang jadi penulis,
lebih memainkan peranan dalam membina persepsi
masyarakat berdasarkan maklumat itu,” tegas beliau.

Kursus setengah hari itu antara langkah Harakah untuk merancakkan lagi
penyebaran maklumat secara tepat dan berintegriti melalui pelbagai medium,
bukan Harakah semata-mata.

Pada majlis itu, Tarmizi mengumumkan satu muka surat Harakah
diberi keutamaan untuk berita-berita PAS Wilayah sebagai menangani isu
ketiadaan liputan terhadap kegiatan dan kenyataan pimpinan PAS Wilayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...