Thursday 29 December 2011

Oley 2 akan terbit tak lama lagi

Aziz Muda  




KUALA LUMPUR, 28 Dis: Setelah menyaksikan Oley 1, seluruh penduduk negara ini akan berpeluang menonton Oley siri kedua pula tidak lama lagi menerusi internet.


Langkah untuk menerbitkan Oley 2 itu kini sedang giat diusahakan oleh penerbit Oley 1, Solidariti Muslim Prihatin (SMP) bagi memberi peluang kepada rakyat negara ini menimba ilmu menerusi dakwah cara baru.

Pengerusi SMP, Nurul Islam Mohamed Yusoff, 29, (gambar) berkata, Oley 1 yang diterbitkan pada 15 Disember lalu ternyata mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Menurutnya, berdasarkan view dan "like" pada wall Youtube didapati filem pendek tersebut telah ditonton lebih 160,000 orang setelah ia dipaparkan di dalam Youtube dalam tempoh lima hari diterbitkan.

Katanya, jumlah penonton semakin meningkat apabila filem itu juga dimuatnaik oleh Harakahdaily menerusi slot videonya, apabila ia turut ditonton lebih 20,000 orang setelah lima hari dimuatkan ke dalam slot itu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan penontonnya sebanyak lebih 180,000 orang setelah lima hari disiarkan. Sehingga hari ini pula jumlah penontonnya dah melebihi 250,000 orang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Beliau mengakui sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai telah mendorong pihaknya mempercepatkan proses penerbitan Oley siri 2 tidak lama lagi.

Jika Oley 1 hanya memakan belanja RM3,000 sahaja, beliau menjangkakan Oley 2 juga akan memerlukan perbelanjaan sebanyak itu sahaja.

"Untuk penerbitan Oley 2, kami juga akan berusaha mengambil masa pembikinan paling minima seperti juga Oley 1 iaitu hanya sekitar 2 jam shooting dan satu setengah jam bagi proses editing," jelasnya.








Oley 2 seperti juga Oley 1 diterbitkan untuk berdakwah, khususnya bagi menjawab kritikan-kritikan tidak berasas daripada pihak-phak tertentu berkenaan hukum Allah atau perundangan Islam, terutama membabitkan hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS.

Filem pendek itu akan dihidangkan dalam bentuk santai dengan penekanan kepada soal jawab secara bersahaja di kalangan pelakon-pelakonnya mengenai hukum Allah khususnya hukum hudud, bagi memberikan kefahaman kepada semua pihak tentang kaedah perlaksanaan sebenar hukum itu berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

Jika Oley siri pertama menamplkan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan, Timbalannya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Penerangan Dewan itu, Riduan Mohd Nor sebagai pelakon pentingnya, Oley 2 juga akan mengekalkan pelakon-pelakon yang sama.

Penglibatan Nik Mohd Abduh di dalam filem itu sejajar dengan kedudukannya sebagai pemimpin kepada sebuah NGO, ILMAM, manakala Riduan dalam Muslim Care.

Selain mereka, pelakon-pelakon penting lain dalam Oley 1 yang turut dikekalkan dalam Oley 2 termasuk penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.

"Begitu juga dengan pelakon-pelakon penting lain termasuk pengacara, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman, juga akan dikekalkan bagi Oley 2," jelasnya.

Manakala penampilan istimewa vblooger terkenal, Mat Lutfi dan Man John, juga tidak akan dikesampingkan kerana kemunculan mereka telah dikesani menarik minat tersendiri di kalangan anak-anak muda untuk menonton filem tersebut.

Sementara itu, sehingga berita ini ditulis, Oley 1 ditonton lebih 44,510 pengguna Youtube di channel Tvpas manakala 189,693 lagi melalui chanel Oneheartcs.

Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal-Qiraat terbaik SMU

Salmah Mat Husain 




(Datuk Mohd Amar Abdullah bersama pelajar cemerlang Sijil Menengah Ugama 2011 di Maahad Tahfiz Pulai Chondong, Machang, hari ini. Foto Rizal)


MACHANG, 27 Dis: Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal-Qiraat muncul sekolah terbaik Yayasan Islam Kelantan (Yik) tahun ini dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2011 dengan pencapaian 100 peratus.

Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal-Qiraat merupakan antara sembilan sekolah aliran Yik yang mendapat kelulusan 100 peratus terbaik dalam peperiksaan itu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah Arshad di Maahad Tahfiz Pulai Chondong, tengahari tadi.

Sementara itu, pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Al-Farouq Azmi Nazmi yang mendapat mumtaz dalam peperiksaan SMU diumumkan sebagai pelajar cemerlang Yik.

Farouk yang juga anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi itu memperolehi 10 mumtaz dalam semua mata pelajaran yang diambilnya dengan pencapai 97.90 peratus.

Nur Dini Ahmad Zawawi dari MMP pula dinobatkan sebagai pelajar cemerlang wanita apabila 10 mata pelajaran yang diambil mendapat mumtaz dengan 96.90 peratus.

Muhammad Safwan Mohd Shamsudin, dari Maahad Tahfiz Pulai Chondong pula pelajar terbaik Tahfiz juga 10 mumtaz 94.30 peratus.

Amar berkata, secara umumnya keputusan peperiksaan berkenaan begitu cemerlang berbanding tahun lalu apabila 1,384 orang mendapat mumtaz (cemerlang) dengan peningkatan 31.31 peratus, berbanding sebelumnya 1,091 orang.

Beliau seterusnya memberitahu, begitu juga di peringkat Sijil Menengah Tahfiz Quran (SMTQ) juga turut meningkat 27 peratus tahun ini dengan pencapaian 85 peratus, berbanding  tahun sebelumnya 57.03 peratus.

Antara sekolah yang mendapat kelulusan 100 peratus, Maahat Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz Al Asriah Banggol Chicha, Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

Turut mendapat keputusan 100 peratus dalam peperiksaan itu,  Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, SMU (A) Al Ulum Padang Embun, Sek Men Islam Puchong, Selangor, Pusat Pendidikan Islam, Gunong dan Maahad Tahfiz Repek, Pasir Mas.

Amar ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas peningkatan dalam peperiksaan yang begitu memberangsangkan.

Katanya, peningkatan dari tahun ke tahun ini cukup membuktikan usaha Yik yang mengutamakan pendidikan Islam melalui didikan syahsiahnya adalah benar.

“Selain quality pelajar itu sendiri yang sememangnya telah hebat, ditambah pula dengan didikan, sesi tarbiah di sekolah ditambah pula sokongan guru dan doa ibubapa, menyebabkan peratus kecemerlangan itu semakin bertambah,”ujarnya.

Maahad Muhammadi Perempuan terbaik sekolah Yik

Rizal Tahir  


KOTA BHARU, 23 Dis: Maahad Muhammadi Perempuan muncul sekolah terbaik sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) setelah mendapat keputusan cemerlang 100 peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Manakala Maahad Tahfiz Sains Al-Quraan, Bistanul Ariffin, Berangan, Tumpat pula menduduki tempat kedua terbaik seluruh Kelantan yang juga mendapat keputusan 100 peratus kejayaan.
Kejayaan luar biasa yang sebelum ini hanya dicapai enam peratus bagi 9A, kini mencecah kepada 40.7 peratus, berbanding Maahad Muhammadi Perempuan 40.9 peratus.
Menariknya, pasangan kembar Nurul Aina dan Nurul Aini Mat Sidik, 15, antara yang memperolehi 9A sekolah itu.
Mudir Maahad Muhammadi Perempuan, Ustaz Mansor Daud ketika berucap pada majlis pengisytiharan itu semalam memberitahu, seramai 167 pelajar yang menduduki peperiksaan itu telah memperolehi 9A.
“Ianya satu pencapaian yang amat membanggakan dan kita sendiri tidak menduganya.
“Sebelum ini Yik meletakkan target pada kita, 95 peratus, kita rasa ianya tidak mampu melepasinya, namun inilah ketetapan Allah, alhamdulillah,” ujarnya.
Mudir Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Ariffin, Ustaz Suhaimi Sulaiman pula, menyifatkan kejayaan itu bukan hanya keberkatan sekolah aliran agama sahaja, sebaliknya pelajar juga menghafal al-Quran.

Monday 26 December 2011

Doa Rabitah...






Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah (2:186)

"Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka itu mentaati (segala perintah dan larangan)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."



Firman Allah Ta'ala di dalam surah Ghafir/Mukmin (40:60)

"Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepadaku, nescaya akan kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepadaKu, akan masuk nerakan Jahannam dalam keadaan hina dina."



Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Allah Ta’ala berfirman, “Aku menuruti persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada-Ku.” 
(Hadis Riwayat Ahmad, 3/210)







Doa Rabitah...


Terjemahan:  

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihani Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwah Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syari’at Mu.



Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini, tunjuklah kepada hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar), penuhkanlah (piala) hati-hati ini dengan cahaya Rabbani Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakkal kepada Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentang Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agama Mu.



Sesungguhnya Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”




DERITA DALAM DAKWAH

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT 
Published on 23 December 2011










Ketika menusia berada dalam jurang kesesatan yang sangat jauh, ketika itulah pula Nabi Ibrahim A.S diutus oleh Allah Taala, Tuhan sekalian alam. Tugas utama Baginda Ibrahim adalah mengajak kaumnya kepada kebenaran, Baginda menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Baginda mengajak kaum mentauhidkan Allah, tetapi kaumnya menolak ajakan Baginda yang didakwa disampaikan dengan cara seruan yang sangat keras, tidak boleh diterima. Bahkan mereka melemparkan Nabi Ibrahim A.S ke ke dalam unggun api yang besar untuk membinasakannya. Setelah kenabian Nabi Ibrahim A.S berakhir, umat semakin lama semakin bertambah menyimpang dari jalan yang lurus. Mereka kembali mengagungkan dan menyembah patung-patung, serta mereka lebih condong kepada kehidupan duniawi dan segala sesuatu yagn bersifat materialistik.


Ketika manusia sedang berada dalam puncak kesesatan yagn jauh, maka di saat itulah Allah Taala mengutus Nabi Musa A.S di Mesir. Saat itu jiwa penduduk Mesir telah membatu, bahkan perasaan lebih keras dari batu. Nabi Musa A.S berusaha mengajak mereka ke jalan yang lurus. Nabi Musa A.S menegakkan tugas suci seorang Rasul, amar ma'ruf nahi mungkar. Beliau dan Nabi Harun A.S, saudara Baginda yang turut bersamanya mengajak manusia ke jalan yang lurus dengan susah payah dan penuh dengan tentangan serta penderitaan. Kedua-dua utusan Allah itu, terus bersabar saat menyampaikan risalah kenabian yang dibebankan di bahu-bahu mereka.


Tugas amar ma'ruf nahi mungkar bukanlah perkara yagn mudah. Tidak sedikit Para Nabi dan Rasul yang terbunuh, ketika mengajak kaumnya menurut manhaj dakwah itu. Tubuh Nabi Zakaria A.S pernah diancam dan dibelah menjadi dua menggunakan gergaji besi, kerana menanggung risalah yang mesti disampaikan. Demikian pula halnya dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa A.S, kedua-dua jiwa manusia mulia ini diancam bunuh, ketika mengajak kaum-kaumnya menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar.


Meskipun demikian, tentangan yang dihadapi Nabi Muhammad S.A.W dari kaum Baginda sendiri lebih berat dan dahsyat, sehingga Baginda S.A.W pernah bersabda kepada Aisyah R.A (maksudnya), "Aku telah menerima tentangan dan ancaman dari kaummu dengan sangat keras" (Sahih Buhkhari)


Sikap kecewa akibat permusuhan yang mesti dihadapi oleh Para Nabi dan Rasul itu juga harus dihadapi oleh para da'ie yang mengajak umat masing-masing ke jalan Allah Taala. Pendakwah yang menyangka bahawa seruannya hari berjaya merupakan pendakwah yang tidak menepati sunnah-sunnah yang pernah dilalui oleh masyayeikh para pendakwah, iaitu Para Nabi dan Rasul. 


Tugas dakwah sebenarnya berat dan mencabar. Pendakwah yang melalui denai-denai perjuangan yang diwarisi oleh Para Nabi dan Rasul tentunya juga akan mengungkapkan perkataan seumpama ini, "Selama lapan puluh tahun lebih usaha seruan dakwahku, belum pernah aku merasakan manisnya dunia. Sebab aku menghabiskan usiaku di medan peperangan dan penjara, baik di dalam mahupun di luar negeri. Tidak ada satu penderitaan pun berupa seksaan yagn belum pernah aku alami. Bahkan aku pernah diperlakukan sebagai penjahat perang di dalam negeriku sendiri. Aku juga pernah dibuang di pelbagai negara sebagai pembelot, dan aku pernah dilarang bergaul dengan orang lain (diasingkan) selama berbulan-bulan di dalam penjara khusus di negeriku sendiri. Aku pernah diracun berulangkali, dan dihinakan dengan pelbagai hinaan yang kejian. Sampai muncul satu waktu aku lebih banyak berharap kematian daripada hidup yang terus-menerus terseksa. Andaikata agamaku tidak melarangku melakukan bunuh diri, pasti aku sudah membunuh diriku sendiri. Sebab, kematian bagiku pada waktu itu, lebih aku sukai daripada kehidupan yang penuh dengan seksaan dan penderitaan".



Ungkapan yang tergambar jelas menunjukkan suatu bentuk keluhan dan kekecewaan perasaan yang keluar dari seorang yang jiwanya hampa, terkilan dan kecewa disebabkan oleh tentangan masyarakat sekililing ketika dia mengajak mereka menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Begitulah juga lebih beratnya tugas dakwah yang dijalankan Para Nabi dan Rasul, sejak Nabi Adam A.S sampai kepada Rasulullah S.A.W. Tugas menegakkan dakwah, dan amar ma'ruf nahi mungkar sangat berat, dan memerlukan jiwa-jiwa yang sangat ikhlas dan sabar. Sanggup menanggung beban yang amat berat.


Perlu diketahui bahawa, sesiapa sahaja yang merelakan dirinya untuk mengembangkan tugas suci ini, hendaklah dia sentiasa menjaga diri untuk tetap bersikap istiqomah (konsisten). Sebab tugas suci ini memerlukan peribadi-peribadi yang teguh dan istiqomah dalam menjalankan tugasnya. Bukan orang-orang yang mencari kehidupan dunia, menukar ayat dengan kehidupan dunia, jawatan dan harta yang sangat sedikit itu di sisi Allah Taala. Dengan kata lain, setiap Mukmin sebenarnya mendapatkan tugas untuk memenuhi kewajiban yang utama ini, menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, agar keimanan di sanubari masing-masing terpelihara. Ini kerana, kaitan amalan yang dimaksudkan dengan keimanan seorang hamba sangatlah erat. Setiap individu atau pun kelompok tidak akan pernah kekal kesetiaannya terhadap perintah-perintah agama, kecuali jika ia bersedia menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar.


Sesungguhnya rahsia keberadaan seorang Mukmin dan syarat kekalnya ia sebagai seorang Mukmin adalah menjalankan perintah untuk menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran. Seorang Mukmin tidak boleh mendiamkan kejahatan yang nyata terjadi. Seorang Mukmin juga tidak seharusnya menilai kehidupan peribadinya terlebih dahulu berbanding dari kematian atau kerosakan umatnya.


Setiap Mukmin harus menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar seperti yang pernah dilakukan oleh Para Sahabat, dan mereka menganggap tugas amar ma'ruf nahi mungkar menjadi tugas yang sangat mulia. Sebab itulah setiap Sahabat Nabi tidak pernah dalam hidup mereka berhenti sesaat pun untuk menengakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Setiap Mukmin hendaknya selalu menyandarkan dirinya kepada Allah Taala dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, serta memohon perlindungan kepada Allah Taala, saat menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar di tengah-tengah umat.


Hendaknya setiap Mukmin sentiasa mengorbankan segala apa yang menjadi miliknya untuk menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar. Sebab, amalan ini membentuk kehidupan tersendiri bagi kualiti diri seorang Mukmin. Setiap Mukmin yang menjadikan iman dan dakwah sebagai sumber amalan di dalam hidupnya, maka ia termasuk seorang yang menjaga lima perkara berikut : "Agama, akal, keturunan, harta dan nyawa".


Di zaman kini, untaian kata para pendakwah tidak ada lagi "atsar-nya" (kesannya) kepada manusia, ibaratnya seperti membuang garam di tengah laut. Di kaca-kaca media, di tengah-tengah majlis ta'alim, dan pelbagai forum, kata-kata pendakwah seperti tiada bekasnya. Sia-sia. Seperti suara di tengah padang pasir. Ini disebabkan para pendakwah seumpama itu memiliki objektif peribadi dan kepentingan duniawi. Mereka bukan orang-orang yang ikhlas, tetapi para pengejar dunia dan menjadikan dunia tambatan kehidupan mereka. Mereka menggunakan agama sebagai kuda "tunggangan" untuk mendapatkan dunia.


Tidak hairan umat semakin jauh dari hidayah agama (Islam). Sementara itu, kesesatan, kederhakaan, kemaksiatan, serta pelbagai ragam dosa terus bertambah. Kerana pendakwah bukan terdiri dari orang-orang yang ingin menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, tidak ke kiri mahupun ke kanan (tiada pendirian yang teguh menegakkan kebenaran), tetapi berdiri di tengah-tengah manusia demi menegakkan mahligai bagi dirinya sendiri. Wallahu'alam- Oleh Fathullah Gulen

HUKUM MENGATAKAN PERUNDANGAN HUDUD OUT-OF-DATE

WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT 
Published on 22 November 2011


Sering kita lihat penulisan terutamanya dalam blog-blog di internet dan juga kita dengar dalam ceramah-ceramah politik, ada umat Islam menyebut secara langsung atau tidak langsung, bahawa hukuman hudud sudah tidak relevan lagi dengan zaman tanpa sempadan ini. Ada yang kata hudud 'out-of-date' (ketinggalan ' zaman). Bagaimana Dato' (Dato' Dr. Haron Din) melihat pendapat mereka ini dan apakah hukum Islam terhadap mereka?


Dato' Dr. Haron Din : Inilah masalah ummah, terutamanya kita di Malaysia yang sering kali tenggelam timbul dalam permasalahan besar ini, yang kadang-kadang diremehkan segelintir daripada kita tanpa memikir kesannya terhadap keimanan kita kepada Allah Taala. Ya, benar saya juga pernah berhadapan dengan mereka yang mengungkapkan kata-kata sedemikian. Pada saya hal ini amat menyayat hati dan meremang bulu roma saya, akibat ketakutan kemurkaan Allah kerana tergamak manusia yang dhaif dan serba kekurangan dalam segala hal, sanggup meremehkan, mencela serta merendah-rendahkan hukum-hukum Allah yang Maha Agung. Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Hukuman-hukuman hudud, adalah hukuman dari Allah yang telah ditetapkan dengan jelas, terang serta nyata dalam Al Quranul karim, menerusi ayat-ayat dalam surah-surah, antaranya berikut :


[1] - Surah al-Baqarah, ayat 187 dan 229.
"...Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa. - Surah Al Baqarah:187
"...Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. - Surah Al Baqarah:229


[2] - Surah An Nisa', ayat 14.
"Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. - Surah An Nisa':14


[3] - Surah Al Maidah, ayat 44,45,47,48, 49 dan 50.
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu Nabi-Nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.


"Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.


"Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.


"Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.


"Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.


"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.


"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. - Surah Al Maidah:44-50


[14] - Surah At Taubah, ayat 63.
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar. Surah At Taubah:63.


Banyak lagi dalam surah-surah lain, yang semuanya, atau keseluruhannya menyebut dengan terang mengenai hukuman-hukuman hudud yang wajib dilaksanakan. Ulama-ulama yang muktabartelah berijmak, wajib melaksanakannya. Mengingkari atau menghinanya, rosaklah akidah.


Hukum-hukum Allah selama-lamanya relevan, kerana Allah mencipta hukum-hukum itu dengan ilmunya yang maha luas, mengetahui yang dahulu, sekarang dan akan datang, malah mengetahui zahir dan batin manusia. Allah mengetahui keperluan yang segera dan akan datang, mengetahui keperluan dunia dan kebaikan akhirat. Oleh kerana itu, hukum Allah mengambil kira semuanya. Maka ia tetap relevan sehingga ke akhir zaman.


Firman Allah (mafhumnya), "Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)". - Surah Al Baqarah:255


Itulah ayat Kursi yang kita baca setiap hari. Cumanya kebanyakan kita tidak merenungi mesej yang Allah sampaikan dalam ayat itu. Ia patut sangat direnungi. Siapalah kita yang sanggup meremeh dan merendah-rendahkan hukum Allah? Allah SWT mengingatkan kita bahawa Dia yang mencipta manusia dalam keadaan lemah longlai.


Firman Allah (mafhumnya), "Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah." - Surah An Nisa':28


Firman Allah lagi (mafhumnya), "Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia daripada (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati)". - Surah Yasin:77


Gaya bahasa yang sering digunakan golongan penentang ini antaranya, 'undang-undang Islam sudah tidak relevan, 'out-of-date' atau ketinggalan zaman, adalah dengan nyata menghina hukum Allah. Pada waktu yang sama golongan ini menjulang tinggi undang-undang ciptaan manusia yang disifatkan mereka sebagai 'up-to-date', kononnya lebih maju dan berdaya saing. Golongan ini ditempelak Allah menerusi firman-Nya (mafhumnya), "Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah (ciptaan manusia)? Padahal, kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah". Surah Al Maidah:50

Golongan yang pernah terlanjur kata atau masih termasuk dalam golongan ini, saya menyeru agar anda kembali kepada Allah. Bertaubat nasuha kepada-Nya, seperti yang Allah sarankan menerusi firman-Nya (mafhumnya),
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan". Surah Az Zumar:54
Insaflah wahai saudara yang seagama denganku. Wallahua'lam

BAGAIMANA MAHU MENCAPAI KEMENANGAN?




WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT 
Published on 16 December 2011












Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat R.ha telah berkata, "Kami telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W sedang Baginda pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya, apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?

Maka bersabda Rasulullah S.A.W,"Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan menyempurnakan urusan ini (Islam) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh". - Riwayat Imam Bukhari


Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad S.A.W bagaimana Baginda S.A.W membina kemenangan. Hadis yang saya bawa sebagai renungan yang memaparkan bagaimana sikap Nabi S.A.W disaat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila Para Sahabat sering di siksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin. Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyeksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabbab.


Satu ketika Khabbab pergi bertemu Nabi S.A.W yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya, "Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?

Sahabat sekalian, yang bertanya ini adalah insan yang berjuang malah menghadapi penyeksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah Sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba-tiba... 

Nabi S.A.W menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyeksaan dari musuh-musuh Allah Taala sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.
Maka kamu yang datang meminta-minta agar didoakan kemenangan, biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah Taala.


Sifat Kemenangan
Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah Taala. Ia ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah Taala dan tiada short cut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.


Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak. Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini. Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut, mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.


Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telor itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup. Anak ayam itu akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya.


Syarat Kemenangan
Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah Taala setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan. Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita gigih berjuang, ikhtiar melepasi segala cabaran, ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan, tabah mendepani ujian serta halangan dan berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.


Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.

Saya menjangkakan, jika kita berfikir seperti ini pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda pembangkang bukan minda pemerintah. Kita bukan tidak mahu kemenangan, tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama jawapannya terlebih dahulu.


Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai? Apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam?
Kedua : Bersediakah kita dengan kemenangan? Apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah kepada kita dan perjuangan yang didokong ini?
Ketiga : Bagaimana kemenangan itu dicapai? Apakah ia tidak melanggar batas syara' dan prinsip amal Islami? Kerana sudah tentu kaedah Islam ialah "matlamat tidak menghalakan cara".


Semua persoalan diatas mesti dijawab dengan hati yang jujur, jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai.


Tiada Short Cut Mencapai Kemenangan
Short cut bagi mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini, ia mungkin boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan fragile. Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan musta'jilun (gopoh) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi angin nak menang kelihatan berganda-ganda volumenya .


Pengalaman ditangkap, dipenjara, dimaki-hamun, di ISA dan pelbagai penyeksaan tentu sahaja belum menyamai seksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya dengan besi panas. Bayangkanlah, betapa insan pejuang seperti Khabbab al Arat itu masih disifatkan oleh Nabi S.A.W sebagai gopoh, maka apalah halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk Islam.


Bukan bermakna kita tidak mahu menang dan selesa pula menjadi orang yang kalah, tetapi kita doakan agar kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan perjuangan Islam ini. Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini.


Antara sunnatullah dalam perjuangan ini, firman Allah Taala bermaksud, "Jika sekiranya (perjuangan) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka (musyrikin) akan mengikut engkau, akan tetapi (perjuangan) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka" - Surah At Taubah:42


Demikian juga Firman Allah yang bermaksud, "Dan ingatlah ketika orang-orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu, membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah, mereka merancang dan Allah Taala juga merancang dan Allah Taala sebaik-baik perancang" - Surah al Anfal:30


Jauh perjalanan, sukar halangannya, di penjara, dibunuh dan dihalau adalah 5 item sunnatullah yang mesti ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini. - Oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

ALLAH & MALAIKAT BERSALAWAT KE ATAS NABI?




WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT Category: Hukum Feqh
Published on 09 December 2011

Dato' (Dr.Haron Din), setiap kali bersolat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar bilal mengingatkan makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Entah bacaan Al Quran atau hadis yang maksudnya, 

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kepadanya, serta ucapkanlah salam dengan selamat sejahtera sesempurna ke atasnya. Yang hendak saya ajukan kepada Dato', bagaimanakah caranya Allah berselawat ke atas Nabi? Adakah sama dengan kita membaca selawat ke atasnya. Terima kasih atas penjelasan Dato'.


Dato' Dr.Haron Din : Ayat yang dibaca adalah ayat Al-Quran, bukannya hadis. Ia adalah sebagaimana firman Allah (mafhumnya),"Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W); wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya" (Surah Al Ahzab:56)


Ia sama seperti yang anda ajukan dalam persoalan dan ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna selawat yang sebenarnya dalam tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lainnya. Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti salawat Para Malaikat. Dan salawat Para Malaikat ke atas Nabi S.A.W, tidak seperti salawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka. Semuanya berlainan walaupun istilah asal masing-masing adalah salawat.


Salawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam ungkapan selawat yang terkenal. Salawat Allah ke atasnya bermaksud Allah Taala sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya hingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari Baginda hidup dalam alam barzakh hinggalah ke hari kiamat. Inilah yang disebutkan dalam kitab Tafsir Al Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud, "Salawat daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredaanNya kepada Nabi Muhammad sepanjang masa".


Salawat daripada Para Malaikat bermaksud, "Para Malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad S.A.W sepanjang zaman serta meredhainya. Ada pun salawat umat (kita) Muhammad kepada Baginda Nabi S.A.W adalah dengan menyebut salawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraannya kepada Baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa". 


Dari tiga perbezaan jelas bahawa istilah salawat itu begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua, malaikat dan ketiga, umat manusia. Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah S.A.W itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat kepada Baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari akhirat. Malah Para Malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah agar dilimpahkan rahmat dan keampunanNya kepada Rasulullah S.A.W. Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf.


Rasulullah S.A.W bersabda (mafhumnya), "Sesiapa yang bersalawat ke atasku satu selawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 rahmat".


Oleh kerana itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa salawat ke atas Nabi Muhammad adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dalam hidup seharian, bersalawat adalah sunat muakkad.


Sa'id Ibnu Musayyid meriwayatkan daripada Umar Al Khattab, beliau berkata, "Doa hamba kepada Allah tidak diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu. Apabila disebut salawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang menulis salawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka malaikat-malaikat terus bersalawat ke atas Nabi dan selama penulisannya itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke atasnya". Demikian hebatnya salawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Wallahua'lam.


PERJUANGAN BERTERUSAN MENEGAKKAN ISLAM








WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
Published on 22 November 2011








Cita-cita untuk mendaulatkan Syariat Islam di negara ini senantiasa mekar dan laluan untuk merealisasikannya semakin lebar walaupun terpaksa menempuh cabaran dan rintangan yang sukar. Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (mantan Presiden PAS) pernah menegaskan di dalam ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS ke-39 (11 Jun 1993 halaman 7) yang bertemakan "Pertahan Syakhsiyyah Ummah" bahawa: "Dasar dan pegangan kita (PAS) memperjuangkan Islam adalah tidak pemah berubah. Kita bergerak dan bekerja adalah untuk kedaulatan Islam."


Kedaulatan Islam hanya dapat direalisasikan apabila kita memiliki Daulah Islamiyah (Negara Islam). Justeru, berjuang untuk menegakkan negara Islam biarpun menghadapi halangan dan rintangan yang runcing di sepanjang zaman, namun ia tetap menjadi suatu kewajipan bagi umat Islam.


Gerakan ummah untuk mendaulatkan Syariat Islam di bumi tercinta ini telah bermula sejak sekian lama. Seorang tokoh ulama terkenal dalam sejarah negara kita, Syeikh Junid Thola di Perak telah memberi penegasan bahawa menjadi satu kewajipan kepada umat Islam mendirikan sebuah negara Islam di Tanah Melayu. Selepas Perang Dunia Kedua, tokoh ulama terkenal tanah air Maulana Abdullah Noh dari Kelantan juga telah menegaskan tentang tanggungjawab memperjuangkan kewujudan sebuah negara Islam. (Abdullah Noh (1947) Semangat Perajurit-perajurit Muslim. Matba'ah Ismailiah Kota Bharu. halaman 53 - 54)


Mendukung kesinambungan perjuangan ini, Baharudin Abd Latif melalui lidah rasmi pertama PAS iaitu Suara Islam telah menulis secara aktif artikel yang menjelaskan konsep negara Islam. Antara artikel beliau ialah: "Tanah Melayu dalam Perjuangan Kita: Baldah Toiyyibah Wa Rabbun Ghafur" sebanyak tiga siri. Prof Dr Zulkifli Mohammad juga merupakan tokoh besar di dalam Suara Islam.


Peranan Suara Islam (56' - 62') kemudiannya diteruskan oleh lidah rasmi PAS yang kedua Bulan Bintang ('67 - '73)- Artikel Jaiz Anwar (almarhum)" Kedudukan Pemerintahan Islam". Lidah rasmi PAS yang ketiga Berita PAS ('73 - '74 dan '82) turut aktif membincangkan mengenai negara Islam seperti artikel: "Peranan Agama dan Idealogi Dalam Pembangunan" oleh Baharudin Latif walaupun waktu itu PAS menyertai Kerajaan campuran PAS - Perikatan. Lidah rasmi PAS keempat Suara Islam ('79 - '81) pula menonjolkan idea siasah dan negara Islam yang agak radikal sesuai dengan zaman atau era kebangkitan Islam pada waktu itu. Artikel "Pemisahan Antara Agama dan Politik: Satu Kekeliruan" menjadi topik utama selain Tafsir Fi Zilaalil Quran oleh Syed Qutb


Harakah selaku lidah rasmi PAS kelima, sejak 1987 juga telah menggempur pemiMran umat Islam mengenai kewajipan menegakkan negara Islam dengan menyiarkan artikel "Ke arah Menegakkan Daulah Islamiyah: Tanggungjawab menolak kesesatan" (Harakah bil. 1:31,30 Oktober 1987).


Pemimpin-pemimpin PAS terdahulu (Rahmatullahi Alaihim) telah menunjukkan kesungguhan memperjuangkan pembentukan negara Islam seperti Dr Burhanuddin Al Helmy yang pernah menulis dua buku mengenai hubungan Islam dengan politik kenegaraan iaitu Agama dan Politik (1954) serta Ideologi Politik Islam (1956). Sungguhpun kedua-dua karya ini ditulis sebelum beliau menyertai PAS. Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (1963) Budiman Radhi menulis buku berjudul Tata Negara Islam. Sementara menangani keperluan non muslim mengenai negara Islam Prof Dr. Zulkifli Mohammad telah menghasilkan monolog yang berjudul Practicability of Islam As a Socio-Political System.


Kegigihan tersebut terus diwarisi oleh kepimpinan PAS sehingga hari ini seperti Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi (Presiden PAS) menghasilkan karya berjudul Konsep Negara Islam dan Matlamatnya (1986), "Jika Islam Mentadbir " (1984), Islam Penyelesaian Masalah Umat dan Negara (1982) dan Sistem Pemerintahan Islam (1995).


PAS telah mempraktiskan usahanya untuk mendaulatkan syariat Islam dengan meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) di Dewan Undangan Negeri yang dimenangi oleh PAS seperti di Kelantan (24 November 1993) dan Terengganu (2002).


Biarpun PAS mengalami tekanan yang cukup getir sepanjang perjuangannya untuk mendaulatkan Islam di negara ini, usaha dan gerak kerja untuk mendaulatkan Islam terus dilangsungkan tanpa jemu dan mengalah kepada tekanan. Pelbagai usaha dilakukan untuk memahamkan masyarakat Muslim dan non-Muslim sehinggalah ke hari ini. Mutakhir ini kelihatan laluan . untuk mendaulatkan syariat Islam semakin lebar sekalipun terpaksa melepasi kesukaran yang berpanjangan. Sabar, tabah, hikmah dan istiqamah menjadi ramuan utama untuk menjayakannya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...