Thursday 22 December 2011

Enakmen cegah murtad perlu dilaksana segera

Sebahagian besar negeri sudah gubal: Jamil Khir

PUTRAJAYA: Sudah tiba masanya undang-undang berkaitan pencegahan murtad yang diwujudkan di sebahagian besar negeri di Malaysia sejak 1980-an dikuatkuasakan sepenuhnya bagi membendung gejala itu, termasuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang didapati cuba memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata enakmen berkaitan murtad sudah diwujudkan lama dulu bagi membendung gejala itu, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya menyebabkan ada pihak menganggap tidak ada peruntukan undang-undang berkaitan isu itu.
"Undang-undang mengenai murtad itu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya berikutan perkembangan terkini sejak kebelakangan ini yang membabitkan akidah umat Islam hingga menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat"

Jamil Khir Baharom

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Beliau berkata, negeri yang sudah mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam Negeri-Negeri ialah Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Negeri yang belum ada enakmen berkenaan pula ialah Perak, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Kita mengambil ketetapan supaya negeri yang belum menguatkuasakan enakmen atau diwartakan (supaya berbuat demikian) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengatur pertemuan dengan jabatan dan majlis agama Islam negeri.

“Kita akan maklumkan kepada jabatan dan majlis agama mengenai kewujudan enakmen ini (dan) dikuatkuasakan supaya rasa kebimbangan (mengenai gejala murtad) ini dapat diselesaikan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membincangkan isu berkenaan di sini, semalam. 
Beliau berkata, undang-undang mengenai murtad itu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya berikutan perkembangan terkini sejak kebelakangan ini yang membabitkan akidah umat Islam hingga menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

Tertuduh dalam enakmen berkenaan dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia turut membabitkan orang bukan Islam.

Katanya, bagi Wilayah Persekutuan, draf undang-undang berkaitan dalam peringkat akhir disiapkan dan perlu dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan manakala negeri lain di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri masing-masing.

“Kita juga sudah ada contoh kes menggunakan enakmen berkenaan yang mana tertuduh dikenakan denda dan penjara di Pahang pada 2002,” katanya.

Jamil Khir berkata, masyarakat perlu disedarkan mengenai kewujudan undang-undang berkaitan manakala pihak berkenaan perlu menguatkuasakan sepenuhnya dalam usaha membendung gejala murtad.

“Ia boleh memberikan kesan psikologi kepada orang ramai bahawa ada undang-undang berkaitan murtad di negara ini dan masyarakat juga tahu di mana hendak mengadu jika ada isu,” katanya.

Selain isu murtad, katanya, JAKIM juga akan bekerjasama dengan NGO Muslim yang lain bagi menangani gejala lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Perkongsian maklumat dengan NGO penting bagi membolehkan JAKIM mengambil tindakan perlu jika sesuatu isu berkaitan LGBT timbul di kalangan masyarakat.

“LGBT dan seksualiti merdeka adalah di luar nilai masyarakat dan ditentang semua agama dan diharamkan Islam,” katanya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...