Tuesday 28 February 2012

Mapim gesa seragam undang-undang murtad

Harakahdaily,27 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan sidang khas agar undang-undang murtad yang seragam di seluruh negara diwujudkan untuk membendung gejala itu.

“Undang-undang tersebut hendaklah boleh dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, kesalahan menjalankan kegiatan cuba memurtadkan orang Islam selama ini sepatutnya boleh didakwa di mahkamah sivil tetapi sehingga ini penguatkuasaannya masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, ujarnya wujud enakmen negeri-negeri mengenai murtad kecuali beberapa negeri yang masih belum mewujudkan undang-undang tersebut, Mapim berpendapat sebuah akta yang khusus dan seragam perlu digubal untuk memastikan permohonan pertukaran agama daripada Islam kepada agama lain dapat dihalang.

“Kami mendapati kini wujud undang-undang yang tidak selaras antara negeri-neger dan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa peruntukan yang longgar mengenai isu murtad,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh itu, tegasnya tindakan perlu diambil untuk memperkemaskan peruntukan dalam undang-undang tersebut demi mengekang gejala murtad.

Di samping itu, kata beliau Mapim juga berpendapat akibat kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang telah menyebabkan umat Islam terdedah kepada agenda pihak tetentu yang mahu mencari peluang untuk menggugat aqidah umat Islam.

Katanya lagi, kelemahan penguatkuasaan adalah punca undang-undang murtad tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Justeru, ujarnya lagi, Mapim merayu Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian yang serius kepada masalah pegangan aqidah umat Islam yang perlu dilindungi bukan sahaja dengan pendidikan dan kesedaran, namun juga hendaklah diperkukuhkan melalui perundangan kerana murtad adalah termasuk dalam bidang jenayah Islam.

“Penyelarasan undang-undang murtad perlu dilakukan bagi memastikan agar tidak ada negeri di negara ini yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...