Friday 2 March 2012

Nafi hudud dalam al-Quran bermakna tolak al-Quran

Harakahdaily,02 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Menyatakan bahawa hukum hudud tidak terdapat dalam al-Quran dan hanya ciptaan manusia boleh menjejaskan aqidah.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir (gambar), kenyataan seperti itu juga bermaksud menolak al-Quran itu sendiri.

"Hukum hudud ini ditentukan oleh Allah, dalam al-Quran disebut secara jelas. Sepakat ulama juga tetap bahawa hukum hudud ada dalam al-Quran seperti hukum potong tangan dan bunuh balas (qisas).

"Sesiapa yang menidakkan hudud dalam al-Quran, maksudnya dia tolak al-Quran," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sedangkan katanya rukun iman yang keempat adalah percaya kepada kitab Allah termasuk al-Quran.

Beliau yang juga bekas Mufti Kerajaan Terengganu berkata demikian ketika diminta memberi pandangan terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu program bersama mahasiswa baru-baru ini bahawa hudud tidak ada dalam al-Quran dan perlaksanaannya tidak adil.

Rakaman video ucapan Mahathir itu juga kini disebar meluas di internet khususnya di Youtube.

Dalam perkembangan lain, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut menggesa para alim ulama, mufti hingga ke Majlis Raja-Raja Melayu menegur Mahathir yang juga mantan Presiden Umno itu.

Ini kerana kenyataan Mahathir itu bukan sahaja boleh disifatkan teroesong dari ajaran Islam malah boleh mengelirukan umat Islam seluruhnya.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir ini ‘besar’ (salah) apabila menafikan hudud atau mengatakan hudud tidak ada dalam al-Quran. Sedangkan perkataan hudud itu sendiri jelas disebut dalam al-Quran.

“Hukum hudud bermakna hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh al-Quran secara nas qat’ie iaitu nas yang putus seperti hukum mencuri, hukum berzina ada dalam al-Quran.

“Begitu juga dengan nas yang berhubung dengan murtad, nas berhubung dengan arak, qazaf dan semuanya ada jelas dalam al-Quran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat pula akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka minggu depan.

"Insyaallah, minggu depan meeting DPPM, saya akan bincang dgn rakan-rakan bentuk tindakan wajar dan sesuai ke atas Tun Mahathir atas istiqamah kenyataannya yg menolak hukum hudud dan menyebutnya ia tdk terdapat di dalam al quran.

"Mungkin DPPM akan request untuk bertemu Tun Mahathir bagi menyampaikan betul duduk hukum hudud," kata ketuanya Nasruddin Hassan di laman Facebooknya.

Pemimpin baik rakyat jadi baik – Abu Hassan Din

Aslani M,02 Mac 2012

KOTA BHARU, 2 Mac: “Macam mana mahu menjadikan rakyat yang baik sekiranya pemimpin sendiri tidak mempamerkan sikap sedemikian,” kata pendakwah tersohor, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz (gambar).

Beliau berkata, ramai pemimpin bercakap mahu rakyat hidup dalam keadaan baik dan aman sentosa, namun tindak tanduk pemimpin tidak mencermin ke arah itu.

“Apabila kita berjaya menjana insan yang sempurna barulah keselamatan kehidupan manusia akan lebih terjamin,” katanya pada kuliah perdana di Medan Ilmu di sini, pagi tadi.

Program tersebut diadakan sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) malam ini. Di tempat sama petang ini kuliah Asar pula akan disampaikan pendakwah popular masa kini Ustaz Azhar Idrus.

Manakala perasmian TMK@12 akan disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan bertempat di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

Program tersebut akan diserikan konsert TMK@12 dengan menampilkan artis Ramli Sarip, OPIK dan kumpulan nasyid In-Team.

Medan Ilmu yang menjadi lokasi pembelajaran ilmu agama setiap pagi Jumaat, hari ini tambah sendat dengan program TMK@12.

Khemah besar yang dipasang memanjang di Jalan Dato’ Pati di mana setiap ruang dipenuhi orang ramai. Jalan terbabit ditutup lalu lintas sejak semalam.

Kuliah hampir sejam setengah itu mengupas tajuk Menjana Insan Kamil. Hadir sama anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan dan Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Manakala kuliah agama disambung pula Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga berakhir jam 10.35 pagi.

Suasana Medan Ilmu juga seperti pasar tani apabila ramai peniaga mengambil kesempatan berniaga. Fenomena tersebut dapat disaksikan setiap pagi Jumaat.

Ustaz Abu Hassan berkata, sebelum ini ada pemimpin negara sering bercakap mengenai modal insan bagi melahirkan rakyat yang mempunyai kekuatan dalaman.

Sementara itu program pelancaran TMK@12 hari kedua esok akan diserikan dengan perarakan kereta berhias bermula jam 8 malam.

Perarakan itu bermula dari Bandar Baru Tunjung akan melalui Jalan Kuala Krai, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Temenggong, Jalan Hilir Kota dan berakhir di Kota Sultan Ismail Petra.

Pada pagi esok juga diadakan sukan air di Dataran Lembah Sireh bermula jam 9 pagi. Pada 9 malam pula program Citrawarna Kelantan perarakan kebudayaan dan rakyat.

Mengundi wajib, sokong tegak Islam juga wajib...

Khairil Abdul Rahim,29 Feb 2012

KUANTAN, 29 Feb: PAS Pahang mengalu-alukan kenyataan Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (kiri) hari ini bahawa tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) adalah wajib demi memilih sebuah kerajaan membela kesucian agama dan keamanan.


Ketua Penerangannya, Ustaz Suhaimi Saad (kanan)berkata, lanjutan daripada itu wajib juga memilih calon dan kumpulan yang memperjuangkan dan menegakkan Islam kerana barulah menepati kehendak kefarduan mengundi itu sendiri.

“PAS alu-alukan kenyataan Mufti Pahang itu bahkan itulah yang PAS perjelaskan selama ini.

“Cuma wajib juga bagi individu muslim supaya memilih calon yang tidak rasuah, tidak mengkhianati hak rakyat, tidak pecah amanah serta amar makruf nahi mungkar kerana itulah ciri-ciri Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang hari ini bahawa warga negara yang layak mengundi adalah wajib berbuat demikian.

Seperti yang disebut melalui agensi berita Bernama, mufti itu berkata mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.

Tambahnya, pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.

"Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.

Suhaimi berkata, dalam konteks sebuah negara yang majoritinya umat Islam sudah tentu kumpulan yang memperjuangkan Islam wajib diundi manakala pemimpinnya diangkat menjadi pemimpin negara.

“Jika dalam sebuah negara Islam bagaimana mahu dipilih pemimpin yang belum beramal sepenuhnya dengan hukum Islam seperi membiarkan isteri tidak menutup aurat, berkata bohong atau mengamalkan rasuah.

“Jadi jika dikaitkan pentingnya memilih pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah, sudah tentu yang dilantik itu sendiri mestilah berkeperibadian muslim.

“Itu yang saya katakan mengundi wajib, memilih pemimpin yang memperjuang dan mengamalkan Islam juga wajib,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...