Thursday 29 December 2011

Oley 2 akan terbit tak lama lagi

Aziz Muda  




KUALA LUMPUR, 28 Dis: Setelah menyaksikan Oley 1, seluruh penduduk negara ini akan berpeluang menonton Oley siri kedua pula tidak lama lagi menerusi internet.


Langkah untuk menerbitkan Oley 2 itu kini sedang giat diusahakan oleh penerbit Oley 1, Solidariti Muslim Prihatin (SMP) bagi memberi peluang kepada rakyat negara ini menimba ilmu menerusi dakwah cara baru.

Pengerusi SMP, Nurul Islam Mohamed Yusoff, 29, (gambar) berkata, Oley 1 yang diterbitkan pada 15 Disember lalu ternyata mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Menurutnya, berdasarkan view dan "like" pada wall Youtube didapati filem pendek tersebut telah ditonton lebih 160,000 orang setelah ia dipaparkan di dalam Youtube dalam tempoh lima hari diterbitkan.

Katanya, jumlah penonton semakin meningkat apabila filem itu juga dimuatnaik oleh Harakahdaily menerusi slot videonya, apabila ia turut ditonton lebih 20,000 orang setelah lima hari dimuatkan ke dalam slot itu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan penontonnya sebanyak lebih 180,000 orang setelah lima hari disiarkan. Sehingga hari ini pula jumlah penontonnya dah melebihi 250,000 orang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Beliau mengakui sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai telah mendorong pihaknya mempercepatkan proses penerbitan Oley siri 2 tidak lama lagi.

Jika Oley 1 hanya memakan belanja RM3,000 sahaja, beliau menjangkakan Oley 2 juga akan memerlukan perbelanjaan sebanyak itu sahaja.

"Untuk penerbitan Oley 2, kami juga akan berusaha mengambil masa pembikinan paling minima seperti juga Oley 1 iaitu hanya sekitar 2 jam shooting dan satu setengah jam bagi proses editing," jelasnya.








Oley 2 seperti juga Oley 1 diterbitkan untuk berdakwah, khususnya bagi menjawab kritikan-kritikan tidak berasas daripada pihak-phak tertentu berkenaan hukum Allah atau perundangan Islam, terutama membabitkan hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS.

Filem pendek itu akan dihidangkan dalam bentuk santai dengan penekanan kepada soal jawab secara bersahaja di kalangan pelakon-pelakonnya mengenai hukum Allah khususnya hukum hudud, bagi memberikan kefahaman kepada semua pihak tentang kaedah perlaksanaan sebenar hukum itu berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

Jika Oley siri pertama menamplkan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan, Timbalannya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Penerangan Dewan itu, Riduan Mohd Nor sebagai pelakon pentingnya, Oley 2 juga akan mengekalkan pelakon-pelakon yang sama.

Penglibatan Nik Mohd Abduh di dalam filem itu sejajar dengan kedudukannya sebagai pemimpin kepada sebuah NGO, ILMAM, manakala Riduan dalam Muslim Care.

Selain mereka, pelakon-pelakon penting lain dalam Oley 1 yang turut dikekalkan dalam Oley 2 termasuk penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.

"Begitu juga dengan pelakon-pelakon penting lain termasuk pengacara, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman, juga akan dikekalkan bagi Oley 2," jelasnya.

Manakala penampilan istimewa vblooger terkenal, Mat Lutfi dan Man John, juga tidak akan dikesampingkan kerana kemunculan mereka telah dikesani menarik minat tersendiri di kalangan anak-anak muda untuk menonton filem tersebut.

Sementara itu, sehingga berita ini ditulis, Oley 1 ditonton lebih 44,510 pengguna Youtube di channel Tvpas manakala 189,693 lagi melalui chanel Oneheartcs.

Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal-Qiraat terbaik SMU

Salmah Mat Husain 




(Datuk Mohd Amar Abdullah bersama pelajar cemerlang Sijil Menengah Ugama 2011 di Maahad Tahfiz Pulai Chondong, Machang, hari ini. Foto Rizal)


MACHANG, 27 Dis: Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal-Qiraat muncul sekolah terbaik Yayasan Islam Kelantan (Yik) tahun ini dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2011 dengan pencapaian 100 peratus.

Maahad Tahfiz Al-Quraan Wal-Qiraat merupakan antara sembilan sekolah aliran Yik yang mendapat kelulusan 100 peratus terbaik dalam peperiksaan itu.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah Arshad di Maahad Tahfiz Pulai Chondong, tengahari tadi.

Sementara itu, pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Al-Farouq Azmi Nazmi yang mendapat mumtaz dalam peperiksaan SMU diumumkan sebagai pelajar cemerlang Yik.

Farouk yang juga anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi itu memperolehi 10 mumtaz dalam semua mata pelajaran yang diambilnya dengan pencapai 97.90 peratus.

Nur Dini Ahmad Zawawi dari MMP pula dinobatkan sebagai pelajar cemerlang wanita apabila 10 mata pelajaran yang diambil mendapat mumtaz dengan 96.90 peratus.

Muhammad Safwan Mohd Shamsudin, dari Maahad Tahfiz Pulai Chondong pula pelajar terbaik Tahfiz juga 10 mumtaz 94.30 peratus.

Amar berkata, secara umumnya keputusan peperiksaan berkenaan begitu cemerlang berbanding tahun lalu apabila 1,384 orang mendapat mumtaz (cemerlang) dengan peningkatan 31.31 peratus, berbanding sebelumnya 1,091 orang.

Beliau seterusnya memberitahu, begitu juga di peringkat Sijil Menengah Tahfiz Quran (SMTQ) juga turut meningkat 27 peratus tahun ini dengan pencapaian 85 peratus, berbanding  tahun sebelumnya 57.03 peratus.

Antara sekolah yang mendapat kelulusan 100 peratus, Maahat Muhammadi Perempuan, Maahad Tahfiz Al Asriah Banggol Chicha, Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

Turut mendapat keputusan 100 peratus dalam peperiksaan itu,  Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, SMU (A) Al Ulum Padang Embun, Sek Men Islam Puchong, Selangor, Pusat Pendidikan Islam, Gunong dan Maahad Tahfiz Repek, Pasir Mas.

Amar ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas peningkatan dalam peperiksaan yang begitu memberangsangkan.

Katanya, peningkatan dari tahun ke tahun ini cukup membuktikan usaha Yik yang mengutamakan pendidikan Islam melalui didikan syahsiahnya adalah benar.

“Selain quality pelajar itu sendiri yang sememangnya telah hebat, ditambah pula dengan didikan, sesi tarbiah di sekolah ditambah pula sokongan guru dan doa ibubapa, menyebabkan peratus kecemerlangan itu semakin bertambah,”ujarnya.

Maahad Muhammadi Perempuan terbaik sekolah Yik

Rizal Tahir  


KOTA BHARU, 23 Dis: Maahad Muhammadi Perempuan muncul sekolah terbaik sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) setelah mendapat keputusan cemerlang 100 peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Manakala Maahad Tahfiz Sains Al-Quraan, Bistanul Ariffin, Berangan, Tumpat pula menduduki tempat kedua terbaik seluruh Kelantan yang juga mendapat keputusan 100 peratus kejayaan.
Kejayaan luar biasa yang sebelum ini hanya dicapai enam peratus bagi 9A, kini mencecah kepada 40.7 peratus, berbanding Maahad Muhammadi Perempuan 40.9 peratus.
Menariknya, pasangan kembar Nurul Aina dan Nurul Aini Mat Sidik, 15, antara yang memperolehi 9A sekolah itu.
Mudir Maahad Muhammadi Perempuan, Ustaz Mansor Daud ketika berucap pada majlis pengisytiharan itu semalam memberitahu, seramai 167 pelajar yang menduduki peperiksaan itu telah memperolehi 9A.
“Ianya satu pencapaian yang amat membanggakan dan kita sendiri tidak menduganya.
“Sebelum ini Yik meletakkan target pada kita, 95 peratus, kita rasa ianya tidak mampu melepasinya, namun inilah ketetapan Allah, alhamdulillah,” ujarnya.
Mudir Maahad Tahfiz Sains Al-Quran Bistanul Ariffin, Ustaz Suhaimi Sulaiman pula, menyifatkan kejayaan itu bukan hanya keberkatan sekolah aliran agama sahaja, sebaliknya pelajar juga menghafal al-Quran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...