Tuesday 28 February 2012

Pemimpin ingkar perintah Allah perlu ditukar...!

Aziz Muda,27 Feb 2012

AMPANG, 27 Feb: Pemimpin yang ingkar kepada Allah dengan tidak melaksanakan perintah Allah ke atasnya dan terhadap sistem pemerintahannya, tidak perlu diberikan pertimbangan lebih jauh lagi, melainkan perlu ditukar dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya.

Sekiranya pertukaran itu tidak dilakukan, ia pasti akan merosakkan sesebuah negara dan rakyatnya sehingga akan menyebabkan berlakunya pelbagai kepincangan dalam pelbagai aspek dalam negara terbabit.

Pendakwah selebriti terkenal yang juga ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus berkata, pemimpin yang ingkar kepada Allah berbeza kedudukannya dengan pemimpin yang lembap atau 'slow'.

Menurutnya, pemimpin yang lembap, kurang bijak, kurang kecekapan, bertindak perlahan untuk kemajuan dan kebaikan negara atau negeri, tidak perlu ditukar.

Katanya, sebaliknya bagi pemimpin lembap, mereka hanya perlu dibaiki agar berubah ke arah kebaikan bagi kepentingan agama,  tanah air dan seluruh rakyatnya.

"Keadaan itu samalah juga dengan kedudukan seseorang imam. Makmum memang kena ikut imam. Kalau imam itu baca perlahan, baca surah panjang-panjang, sabar sajalah. Tak perlulah tukar imam itu.

"Kalau tak setuju dengan imam itu, pergi sajalah ke masjid atau surau lain," katanya ketika menjawab soalan peserta sama ada dalam konteks kepimpinan, perlu tukar pemimpin atau ubah pemimpin, pada program Bersama Ustaz Azhar Idrus anjuran Dewan Pemuda PAS Terengganu di De Palma Hotel Ampang, dekat sini, semalam. 

Bagaimanapun, menurutnya, sekiranya seseorang imam itu merosakkan rukun sembahyang, imam tersebut perlu ditukarkan dengan imam lain yang lebih baik daripadanya.

Katanya, begitu juga kedudukannya dengan imam yang sering melakukan maksiat, tidak melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, imam itu juga bukan lagi perlu diubah tetapi perlu ditukarkan dengan imam lain dengan segera.

"Perkara itu samalah juga dengan seseorang pemimpin yang sering melakukan maksiat, tidak melaksanakan perintah Allah dalam sistem pemerintahannya.

"Pemimpin seperti itu jika tidak ditukar dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya pasti akan lebih merosakkan lagi negara dan rakyatnya sehingga akhirnya akan menyebabkan negara itu musnah," tegasnya.

Tugas menukar pemimpin yang tidak baik kepada yang lebih baik, tambahnya, tidak boleh dipandang ringan oleh setiap umat Islam kerana ia mempunyai kaitan secara langsung dengan tuntutan Allah ke atas setiap umat Islam agar sentiasa mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Selain dari itu, pemimpin seperti itu juga perlu dibantu oleh sesama umat Islam lain demi kepentingan pemimpin itu sendiri dengan diberikan nasihat dan teguran kepadanya agar insaf dan bertaubat kepada Allah.

"Cara untuk memberikan nasihat dan teguran kepada pemimpin yang seperti itu adalah dengan menukarkannya dengan pemimpin lain yang lebih baik daripadanya.

"Setelah kuasa tiada lagi di tangannya, barulah dia akan sedar dengan kesilapan dan kejahatannya sendiri selama ini. Dengan itu, barulah dia akan insaf dan bertaubat kepada Allah," tegasnya.

Begitu juga halnya dengan pemandu yang mabuk, tambahnya lagi, yang bukan sahaja perlu ditukar segera dengan pemandu lain yang lebih baik daripadanya bagi kepentingan nyawa orang lain, tetapi juga untuk menegurnya supaya sedar dengan kesilapannya sendiri.

Berbai'ah adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali,26 Feb 2012

Berbai'ah dan berjanji setia sesama muslim untuk melakukan kebaikan dan amalan soleh apatah lagi berbai'ah untuk berjihad menentang kezaliman dan penindasan serta memperjuangkan Islam merupakan sebahagian sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta para ulama terdahulu dan terkemudian.

PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan landasan perjuangannya adalah Islam dengan merujuk kepada al-Quran dan Hadis sudah pasti selayaknya melakukan bai'ah sebagaimana yang disunnahkan.

Bai’ah merupakan istilah al-Quran dan Hadis. Ia bermaksud memberikan janji untuk menunaikan dan melaksanakan sesuatu. Dalam hadis riwayat Nasaei daripada sahabat Nabi s.a.w. bernama Ubadah bin Somit, Rasulullah s.a.w. telah menyeru sahabat-sahabat daripada Madinah pada tahun ke 11 menjadi Nabi untuk berbai'ah yang dikenali sebagai bai’ah Nisa'. Bai’ah tersebut mengandungi janji untuk menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak lelaki, tidak mereka-reka cerita palsu dan tidak menderhakai Nabi s.a.w. dalam perkara ma'ruf. Sebaik sahaja mereka berbai'ah baginda lantas bersabda bermaksud: "sesiapa yang selepas ini melakukan apa-apa perkara yang dibai'ahkan tadi lalu ditimpa balasan (di dunia) itu adalah kaffarah baginya. Sesiapa yang tidak terkena balasan maka urusannya terserah kepada Allah. Sekiranya Allah mahu Allah berikan keampunan kepadanya, sekiranya Allah mahu Allah boleh membalasnya disebabkan perlakuan tadi".

Hadis ini jelas  menunjukkan bahawa orang yang melanggar bai'ah boleh dihukum dan dibalas di dunia oleh Allah.

Bai'ah terbahagi kepada dua. Pertamanya bai’ah kepimpinan dan pemerintahan atau bai'ah kepada khalifah dan pemerintah Islam seperti bai'ah sahabat kepada Nabi s.a.w. di Madinah dan bai'ah sahabat-sahabat kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

Keduanya, bai'ah untuk melakukan ketaatan dan amalan soleh seperti solat dan jihad. Dalam hadis sahih Bukhari, Muslim, Ibn Hibban dan Abi Dawud terdapat hadis yang sangat banyak menceritakan bai'ah antara Nabi s.a.w. dan sahabat antaranya bai'ah untuk saling menasihati sesama Muslim, berbai’ah untuk tidak lari dari medan perang, berbai'ah untuk melakukan lima solat yang wajib, bai'ah untuk menunaikan zakat, bai'ah untuk berjihad, bai'ah untuk menyatakan kebenaran di mana sahaja kita berada dan bai'ah untuk mati bersama dalam perjuangan Islam.

Oleh itu sangat tersasar dan tersilap mereka yang menempelak PAS berbai'ah dalam urusan pencalonan pilihan raya dengan hujah kononnya bai'ah hanyalah merujuk kepada bai'ah kepada pemerintah sahaja dengan menafikan bai'ah dalam melakukan amalan soleh.

Menyertai pilihan raya sebagai calon wakil rakyat dengan matlamat untuk menegakkan agama Allah dan prinsip Islam dalam pemerintahan negara merupakan sebahagian amalan soleh. Oleh itu, bai'ah antara calon pilihan raya untuk tidak meninggalkan parti PAS yang memperjuangkan Islam selepas terpilih menjadi wakil rakyat atas tiket PAS adalah sunat dilakukan untuk menjamin tidak berlakunya sebarang pengkhianatan terhadap amanah Parti Islam Se-Malaysia.

Amat malang sekali kedapatan sebahagian yang menasabkan diri kepada ilmu termasuk berjawatan mufti berbicara tentang bai'ah tanpa ilmu, hanya dengan hawa nafsu dan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulillah s.a.w. Kita menyeru mereka untuk bertaubat kepada Allah kerana bercakap tanpa ilmu dan tanpa merujuk sunnah Rasulillah s.a.w.
Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Mapim gesa seragam undang-undang murtad

Harakahdaily,27 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan sidang khas agar undang-undang murtad yang seragam di seluruh negara diwujudkan untuk membendung gejala itu.

“Undang-undang tersebut hendaklah boleh dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah,” kata Setiausaha Agung Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).

Katanya, kesalahan menjalankan kegiatan cuba memurtadkan orang Islam selama ini sepatutnya boleh didakwa di mahkamah sivil tetapi sehingga ini penguatkuasaannya masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, ujarnya wujud enakmen negeri-negeri mengenai murtad kecuali beberapa negeri yang masih belum mewujudkan undang-undang tersebut, Mapim berpendapat sebuah akta yang khusus dan seragam perlu digubal untuk memastikan permohonan pertukaran agama daripada Islam kepada agama lain dapat dihalang.

“Kami mendapati kini wujud undang-undang yang tidak selaras antara negeri-neger dan ini telah menyebabkan berlakunya beberapa peruntukan yang longgar mengenai isu murtad,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh itu, tegasnya tindakan perlu diambil untuk memperkemaskan peruntukan dalam undang-undang tersebut demi mengekang gejala murtad.

Di samping itu, kata beliau Mapim juga berpendapat akibat kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang telah menyebabkan umat Islam terdedah kepada agenda pihak tetentu yang mahu mencari peluang untuk menggugat aqidah umat Islam.

Katanya lagi, kelemahan penguatkuasaan adalah punca undang-undang murtad tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

Justeru, ujarnya lagi, Mapim merayu Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian yang serius kepada masalah pegangan aqidah umat Islam yang perlu dilindungi bukan sahaja dengan pendidikan dan kesedaran, namun juga hendaklah diperkukuhkan melalui perundangan kerana murtad adalah termasuk dalam bidang jenayah Islam.

“Penyelarasan undang-undang murtad perlu dilakukan bagi memastikan agar tidak ada negeri di negara ini yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...