Friday 24 October 2014

Lompat Kerja

Konflik kerjaya tidak akan pernah selesai apatah lagi yang baru membina tapak. SHUHADA MANSOR kongsi tujuh tanda rasa selesa di tempat kerja sekali gus menjadikan pilihan anda adalah terbaik membina kerjaya.

Pernah terfikir sama ada pekerjaan anda sekarang sama ada faktor tempat kerja, suasana, rakan sepejabat malah gaji sekarang berbaloi dan cukup menampung diri? Adakah kerja yang anda lakukan sekarang adalah pilihan tepat walaupun ada kalanya masih ragu-ragu? Kajian kumpulan pakar psikologi antarabangsa menjalankan kaji selidik ke atas isu ini.
Dan keputusan didapati dengan menyenaraikan beberapa keadaan dan suasana yang mampu meyakinkan pekerja khusunya generasi muda untuk rasa keputusan dibuat adalah betul.
Tak rasa bekerja
Tanda yang paling mudah dilihat adalah bagaimana anda boleh bekerja tanpa rasa bekerja. Lambakan kerja di atas meja terasa boleh dikawal, ada cabarannya tapi terasa sebagai sesuatu yang sangat menyenangkan dan menambah pengalaman. Tidak pernah sedikitpun anda rasa sia-sia melakukan kerja sekarang.
Tak pernah berkira
Setiap kali menghasilkan sesuatu atau menyiapkan tugasan walaupun masa kerja sudah habis, anda tidak pernah merungut. Ia semata-mata untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang. Tidak pernah terlintas untuk cemburu dengan kerja orang lain lebih mudah atau lebih sedikit. Malah anda terfikir untuk menghasilkan lebih baik lagi. Anda menikmati pengembaraan dan pengalaman dalam setiap pencapaian yang dilakukan dalam pekerjaan seharian.
Hubungan rakan seimbang
Pekerjaan yang dilakukan sekarang sesuai dengan anda. Anda tidak menghadapi sebarang masalah di antara kehidupan peribadi dengan rakan sekerja, apatah lagi hubungan antara keluarga. Aura positif dan sokongan orang sekeliling mampu buatkan diri rasa mudah untuk hadapi cabaran walaupun kerap muncul ketika saat getir.
Ada masa bercinta
Bila kerja terlalu lama, ia secara tidak langsung boleh mengongkong kehidupan sendiri sehingga tiada masa untuk bercinta. Mungkin anda perlu menyusun semula masa yang ada atau mencari pekerjaan yang tidak mengganggu urusan peribadi, walau sesibuk mana sekali pun perlu juga asingkan waktu peribadi selain kesibukan kerja.
Tak menyesal
Paling jelas, sesuatu pekerjaan yang menyenangkan dan sesuai dengan anda akan membuatkan diri sentiasa bermotivasi dan ingin melakukan lebih daripada yang diminta. Ertinya, walaupun sudah sekian lama bekerja, tidak pernah terdetik untuk diri berasa buang masa.
Rasa puas
Juga penting, diri akan merasa puas setiap kali berjaya melakukan sesuatu. Meskipun keinginan membuak untuk terus memperbaiki diri namun anda berasa bahagia dengan apa yang sudah anda lakukan. Bahkan kadang-kala diri berasakan pekerjaan ini sebagai sesuatu yang boleh anda nikmati pada bila-bila masa mahupun ketika masa lapang.
Semangat kembangkan idea
Dalam rutin kerja seharian, apabila anda merasa bersemangat dan sentiasa berusaha untuk lahirkan idea baru, ertinya anda selesa dan menyukai bidang pekerjaan itu. Anda tahu bahawa setiap pekerjaan pasti ada risikonya, namun tidak penat untuk membangunkan diri dan menyumbangkan idea dalam setiap usul baru yang syarikat umumkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...