Monday 6 February 2012

Perpaduan rakyat punca Ikhwan Muslimin menang

Aziz Muda,04 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Ikhwan Muslimin Mesir secara jujur mengakui kemenangannya pada pemilihan Parlimen pertama negara itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu bukanlah kerana kekuatan strategi yang disusun oleh pihaknya. 

Malah, penyertaan Ikhwan dalam pilihanraya itu tanpa sebarang strategi dan hanyalah dengan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pemilihan mengikut kehendak masing-masing  

Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen berkata, kemenangan pihaknya pada pilihanraya itu jelas tercapai hasil perpaduan dan keinginan rakyat untuk bersama-sama menjatuhkan pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak.

Menurutnya, sebelum revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu, keseluruhan rakyat Mesir telah bersama-sama menzahirkan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak untuk digantikan dengan kerajaan lain yang lebih baik.

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat Mesir ternyata lebih yakin dengan Ikhwan Muslimin untuk memimpin kerajaan baru yang diingini oleh mereka itu.

"Mereka sendiri lebih yakin dengan calon-calon Ikhwan Muslimin, sejajar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Ikhwan yang diyakini lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya ketika ditemui Harakahdaily dan Harakah cetak, di sini, malam semalam.     

Keputusan akhir pilihanraya Parlimen pertama Mesir yang diumumkan pada 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.
Pilihanraya pertama yang diadakan setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak itu turut menepati ramalan beberapa pihak, apabila parti milik Ikhwan Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen). 

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Media melaporkan, Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Mesir, Abdul Moez Ibrahim ketika mengumumkan keputusan itu menjelaskan, jumlah pengundi yang keluar mengundi sebanyak 54 peratus.

Dengan keputusan itu juga, FJP telah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.
Bagaimanapun, berdasarkan sistem pemilihan presiden di negara itu, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bukan dari parti yang memenangi pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen pula dijangka akan diadakan pada bulan ini dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Menurut Gomaa, perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang tidak memerlukan pihaknya menyusun strategi tertentu untuk menghadapi pilihanraya kerana rakyat negara itu sendiri sudah berhasrat untuk melakukan perubahan. 

Katanya, sebelum dihalang oleh Kerajaan Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin memang pernah terlibat dalam pilihanraya di Mesir dan rakyat juga sudah tahu tentang dasar-dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam di negara itu.

"Jadi apabila revolusi rakyat tercetus, rakyat dengan sendirinya akan memilih parti Ikhwan Muslimin dan parti Islam kerana hanya parti Islam sahajalah yang diyakini mampu memberikan perubahan ke arah yang lebih baik seperti yang diingini oleh mereka sendiri," tegasnya. 



Perlaksanaan sistem perundangan Islam

Dengan kemenangan itu, tambahnya, Ikhwan Muslimin pasti akan berusaha merealisasikan dasar-dasar perjuangannya di negara itu dengan perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam pelbagai aspek. 

"Pengasas Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Bana sendiri sememangnya meletakkan asas perjuangannya adalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam dan matlamat itu tetap akan diutamakan oleh para pemimpin Ikhwan Muslimin sepanjang masa.  

"Dalam hubungan ini, kami akan bertindak berdasarkan keutamaan kerana perlaksanaan sistem perundangan Islam tidak hanya terhadap hukum hudud," katanya.

Sebaliknya, penekanan awal yang akan diberikan oleh pihaknya adalah terhadap pendekatan cara hidup rakyat dan bidang pendidikan agar selaras dengan kehendak Islam. 

Setelah rakyat didedahkan dengan cara hidup yang betul seperti yang dikehendaki Islam dan pendidikan pula diterima secara menyeluruh, beliau yakin kesemua pihak pasti akan dapat melihat individu-individu Islam yang hebat dalam pelbagai aspek.

"Itulah yang akan diusahakan oleh Ikhwan Muslimin dan penekanan itu pula tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki, tetapi juga kepada kaum muslimah di Mesir," katanya.

Kemenangan dalam pilihanraya, ujarnya, adalah fasa pertama dari perjuangan Ikhwan Muslimin hasil penerimaan rakyat negara itu terhadap dasar-dasar perjuangannya. 

"Fasa keduanya iaitu perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam aspek-aspek lain pula akan dimulakan dengan penggubalan undang-undang pada persidangan Parlimen nanti," tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...