Thursday 30 May 2013

Tidak logik lagi doktor lelaki sambut bayi

Mohd Sabri Said,29 Mei 2013

KEPALA BATAS: Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (gambar) menyarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya mengasingkan tugasan perbidanan kepada golongan wanita sahaja.

Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ubat-ubatan Dan Vaksin Yang Tidak Halal: Perbincangan Serta Fatwa Ulama Dalam Penggunaan Dan Pengurusannya' di Konvensyen Perubatan Islam dan isu Fiqh Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Perbadanan Produktiviti Negara, di sini pagi tadi.

Kata beliau, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan agar wanita yang bersalin disambut oleh doktor wanita sahaja bukan lelaki seperti yang berlaku di sesetengah hospital hari ini.

"Saya sarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya buat perubahan besar dalam kaedah perbidanan agar tidak membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi sebaliknya ianya diuruskan oleh doktor wanita," ujarnya.

Beliau yang sering bersiaran di TV Hijrah turut bertanya kepada peserta konvensyen adakah tuan tidak rasa malu tubuh badan isteri anda dilihat oleh 8 orang doktor dan pembantu doktor dalam bilik bersalin.

Katanya lagi, tidak wajar kemajuan negara yang semakin canggih masalah tersebut tidak boleh diatasi lagi.

Lagipun sekarang ini, ujarnya tidak logik sebuah negara yang sudah lama merdeka tidak boleh mengubah perkara sedemikian kerana ia tidak memerlukan akta.

"Masa kini tidak logik lagi sekiranya masalah sambut bayi tidak boleh diberikan tugasan kepada doktor wanita sepenuhnya sebab doktor wanita dah ramai di bahagian perbidanan," tegasnya.

Program anjuran Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara dan International Muslim Aid Malaysia (IMAM ) itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sabri Osman.

Monday 20 May 2013

Bersedekahlah walau hanya senyuman

Tangkai jering...gelaran bagi orang yang bakhil.

Lawan kepada sifat pemurah adalah kedekut. Dalam bahasa Arab, ia dikata bakhil manakala dikata oleh orang Indonesia pula, pelit. Tidak kira apa pun sebutannya, sifat pemurah sentiasa dihargai orang, menjadi punca untuk datangnya kasih-sayang. Manakala, sifat kedekut pula sangat dibenci orang, bahkan membuka pula pintu kebencian.

Islam, tuntasnya memang menggesa agar umatnya bersifat pemurah dan menjauhi bakhil yang memusnah. Rasulullah SAW adalah ikon pemurah yang paling cocok untuk diteladani, begitu jugalah para isteri baginda khususnya Ummul Mukminin Siti Khadijah RA, para sahabat tercinta seperti Abu Bakar as-Siddiq RA dan juga Ummu Sulaim RA.

Kepemurahan mereka telah menjadi modal bagi menyemarakkan Islam ke seluruh dunia, sehingga menjadilah kita sebagai seorang Islam akhirnya. Bayangkan, pemurahnya Khadijah mampu menyemarakkan usaha dakwah Rasulullah SAW kala di Mekah. Pemurahnya Abdul Rahman bin Auf RA pula, membantu perkembangan Islam semasa di Madinah.

Maka, seseorang yang mempunyai hati yang pemurah, dia tidak akan berjiwa bakhil pada satu masa. Sifat pemurahnya dominan atau jika boleh, menempati seluruh ruang isi hatinya, sehingga tiada ruang lagi bagi makhluk bernama ‘kedekut’ buat menumpang walau sebesar melukut di situ.

Nabi Muhamamad SAW di dalam sebuah hadis menyatakan, yang maksudnya: “Tidak pernah terkumpul sifat bakhil dan iman (secara bersama dalam satu masa) di hati seorang hamba.” (Hadis Sahih Riwayat Nasa’i)

Manusia yang pemurah, maka sifat pemurahnya itu juga sudah cukup buat menjadi bukti bahawa itulah tandanya dia beriman kepada Allah SWT. Hal ini kerana, di dalam hadis yang lain Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Sedekah adalah bukti (kepada keimanan).” (Hadis riwayat Muslim)

Bukti lain juga, ketinggian nilai sifat pemurah Abu Bakar dan Khadijah, hakikatnya adalah bukti tingginya keimanan mereka kepada Allah SWT. Sirinya, semakin tinggi iman di dada, semakin kita menjadi pemurah. Semakin tinggi kita menjadi pemurah, semakin hilanglah perangai kedekut dari dalam kita. Ini adalah sesuatu yang sudah pun dijamin oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Dalam kondisi yang lain, manusia yang kedekut, mereka bukan sahaja menjadi manusia yang dibenci oleh manusia yang lain; tetapi yang paling dikhuatiri ialah mereka juga menjadi manusia yang amat tipis imannya. Inilah maksud yang sepatutnya kita fahami di sebalik apa yang digambarkan di dalam hadis di atas.

Ingat, jika orang yang pemurah, maka di dalam hatinya tidak boleh ada secara bersama pada satu masa, di antara iman dan bakhilnya, maka wajar dimengerti juga bahawa kala sifat bakhil itu menguasai manusia, saat itulah sudah hilangnya iman di dalam hatinya – wal’iyazubillah.

Oleh itu, sebagai manusia yang sentiasa perlu memupuk dan membajai iman dan takwa, jadikanlah diri kita sebagai muslim yang pemurah dan suka bersedekah. Bersedekah walau dengan perkara yang remeh dan kecil, memberikan senyuman manis misalnya, dan diikuti pula dengan sedekah-sedekah lain yang sesuai dengan kemampuan kita. Kerana, yakinlah bahawa inilah yang bakal menjadi humus dan baja, dalam usaha menyuburkan iman dan takwa kita. 

http://www.hamizul.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...