Thursday 3 November 2011

Rebutlah keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah


Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH `Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu.  Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim.
Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu.  Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga” (HR al-Bukhari & Muslim)
Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH `Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.
Apakah amalan-amalan itu?
1.  Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunnat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”
Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?”
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid).” (HR al-Bukhari)
2.  Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah
Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:
“Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)
3.  Solat `Eidul-Adha
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” -  Hadith riwayat Abu Daud:  1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021.
“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.” -  Hadith riwayat Abu Daud:  1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud.
4.  Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban.  Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya.  Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi.  Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.” -  Ibn Majah:  3117 dan at-Tirmizi:  1412
Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari Akhirat.
Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari terawal bulan Zulhijjah.

Jadikan sahabat Nabi sebagai idola


Rizal Tahir   
KOTA BHARU, 2 Nov: 
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra
menyeru remaja Kelantan menjadikan para sahabat Rasulullah sebagai idola mereka.
Titah baginda, nama-nama besar seperti Saad bin Abi Waqas,
Talhah bin Ubaidillah dan Zubair Al-Awam adalah antara belia kental, 
malah memeluk agama Islam ketika masih remaja.

Beliau berkata demikian ketika bertitah merasmikan majlis
perasmian penutup Karnival Remaja 2011 anjuran 
Jabatan Agama Islam Kelantan, di Balai Islam, Lundang, 
dekat sini tengahari tadi.

Lebih 1,000 remaja seluruh Kelantan pelbagai latarbelakang pendidikan
 yang terpilih menyertai program itu.

Antara yang hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,
Pendidian dan Dakwah negeri, Ustaz Muihammad Mustapha, 
Pengelola Istana Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood,
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh 
dan lain-lain pimpinan.

Titah Tengku Mahkota lagi, mereka (Saad, Talhah dan Zubair)
adalah antara nama-nama besar dalam sejarah Islam sebagai sahabat Nabi
malah kehidupan mereka selepas memeluk Islam
dihabiskan dengan mempertahan agama Allah.

“Remaja Islam yang masyhur dalam sejarah Islam itu wajar dijadikan idola
 sekiranya ingin menjadi seorang remaja 
yang beriman, bertaqwa dan berakhlak,” titah baginda lagi.

Pada masa yang sama baginda memuji penganjur
yang menganjurkan program berkenaan memandangkan ianya
 mampu menjadikan medan dakwah yang berkesan.

“Usaha dakwah bukan suatu perkara yang mudah,
 ianya perlu dilakukan dengan cara yang lebih tersusun
 bagi mendapatkan hasil yang baik,” titah Tengku Mahkota.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...