Saturday 22 October 2011

Hudud: Satu pertimbangan semula

Rizuan Abdul Hamid
Wujud kesilapan-kesilapan dan kelemahan-kelemahan dalam menerangkan bab Hudud. Ada juga yang memberikan analogi-analogi yang lemah dan contoh-contoh yang tidak tepat. Malah ada juga yang menulis nota panjang tetapi tidak mencapai matlamat.
Bukan hasrat saya untuk menyerang hasil-hasil ilmiah yang dibentangkan oleh alim ulama dan bijak pandai.
Secara ikhlas, saya juga berpendirian bahawa tiada alasan untuk menolak Hudud, tetapi apa susunan tingkat kepentingan untuk melaksanakannnya? Apakah pendekatan kita juga tepat untuk memujuk hati insan-insan yang menentang Hudud.
Dalam siri tulisan ‘Nota Mudah Memahami Hukum Hudud’ yang ditulis oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS) yang disiarkan oleh Harakah Daily, ianya terlalu tekstual dan tidak menerangkan proses-proses yang berlaku sebelum kes Hudud itu dibicara.
Tulisan Dr Ghazali Hasbullah (Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia) yang bertajuk ‘Hudud: Pemuda PAS jawab SIS’ yang juga turut disiarkan oleh Harakah Daily mencetus sedikit kekeliruan. Dr Ghazali berbicara bab Hudud, tetapi meletakan carta kes Rogol. Beliau juga membuat perbandingan yang tidak mantap. (rujuk graf dan sebahagian penulisannya di bawah);
“Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu.
Negara
Kes RogolTahun 2002
Populasi Penduduk
Kes/Populasi  x 1 juta
Kanada
24,350
33,465,300
727.62
Malaysia
1,431
27,730,000
51.60
Jerman
8,615
82,127,000
104.90
Arab Saudi
59
24,735,000
2.39 (LAKSANA HUDUD)
United Kingdom
13,395
61,186,000
218.92
Amerika
95,136
305,975,000
310.93
Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya.”
Dr Ghazali membandingkan kes Zina dengan Rogol. Sedangkan perkara tentang Rogol masih lagi menjadi khilaf anatara ulama, sama ada kes ini jatuh dalam Hukum Hudud atau tidak. Tetapi Jumhur Ulama mengatakan bahawa Rogol tidak sama dengan Zina, ianya jauh berbeza dan pendapat ini jauh lebih kuat dan menepati semangat Islam. Jadi kes Rogol tidak boleh jatuh dalam bab Hudud.
Hadith yang paling sesuai untuk dijadikan sandaran dalam bab Hudud ialah hadith berikut, maksudnya;
“Wahai Usamah, apakah engakau mengajukan syafa’at untuk membatalkan hukum Allah? Sesungguhnya Bani Isra’il itu binasa kerana apabila seseorang di antara kalangan terhormat mencuri mereka biarkan dan tidak dihukum, dan apabila seorang lemah mencuri mereka menghukumnya. Demi jiwa Muhammad yang berada pada Tangan-Nya, sekiranya Fatimah puteri Muhammad mencuri nescaya ku potong tangannya.”
Hadith tersebut menyatakan asas sesuatu undang-undang, iaitu keadilan dan tidak mengambil kira kedudukan seseorang dalam melaksanakan hukuman jika terbukti bersalah. Keadilan inilah yang menjadi matlamat Hudud, bukannya sebat atau memotong tangan.
Tetapi kesalahan-kesalahan fatal yang dilakukan oleh penegak-penegak hukum Hudud sekarang ialah apabila terlalu memokuskan Hudud kepada potong tangan atau sebat.
Ada juga yang mengatakan bahawa Hudud mampu menangani gejala sosial. Ya betul, tetapi ramai yang menyatakan perbandingan yang salah. Asas untuk menangani gejala sosial ialah pendidikan dan pembentukan akhlak yang baik, Undang-undang Syariah dan Hudud cuma pagar yang mengawal keadaan.
Matlamat Undang-undang Syariah dan juga Hudud ialah untuk mendidik umat, bukannya untuk menghukum pesalah semata-mata. Ianya juga bermatlamat sebagai amaran buat umat. Falsafah Undang-undang Syariah Islam ialah mengurangkan jumlah pesalah yang dikenakan hukuman. Akan tetapi melalui hukuman yang berat, ianya akan menggerunkan pihak lain dari membuat kesalahan. Melalui falsafah ini, ianya menepati falsafah asas moral dan Undang-undang sejagat, iaitu untuk membuatkan manusia ‘mematuhi dan tidak melanggar sesuatu peraturan dan bukannya takut kepada penguatkuasa undang-undang kerana seseorang itu sentiasa mematuhi setiap peraturan’.
Jika Hudud dilaksanakan, maka gejala sosial akan berkurangan. Perkataan ini benar, tetapi mengapa ini terjadi? Ini kerana matlamat Hudud bukannya menghukum, tetapi amaran. Oleh kerana itu kebanyakan kes Hudud membuatkan tertuduh tidak dapat didakwa. Ini kerana peraturan Hudud yang ketat dalam bab persaksian dan wujud faktor-faktor pertimbangan. Sebagai contoh, untuk membuat pertuduhan dalam kes zina, empat saksi yang adil diperlukan. Cuba fikir sejenak, bagaimana untuk menyaksikan secara ‘live’ sesuatu kes penzinaan atau secara lebih tepat, melihat dengan mata kepala ‘keris masuk sarung’, dengan empat saksi? Jika empat saksi tersebut hanya melihat pasangan bukan mahram  di dalam sebuah bilik, hanya pertuduhan khalwat yang boleh dikenakan. Bukannya pertuduhan zina yang melibatkan Hudud.
Semasa zaman Rasulullah S.A.W, Rasulullah dan para sahabat hanya menghukum terhadap pesalah yang mengaku melakukan zina sahaja, tetapi tidak kedengaran bahawa Rasulullah dan para sahabat mencari pelaku zina.
Bab kasih sayang dan pertimbangan dalam Hudud juga tidak diberikan perhatian. Jika kes kecurian berlaku dan terbukti kesalahan, maka Hakim akan mempertimbangkan sebab-sebab kes itu berlaku. Jika kes itu berlaku kerana alasan darurat yang munasabah oleh pencuri itu, maka dia mempunyai peluang untuk terlepas dari hukuman potong tangan. Juga berkemungkinan besar bahawa dia akan diberi bantuan pula.
Kasih sayang yang dimaksudkan ialah, kasih sayang sesama muslim. Ianya adalah salah satu asas dalam masyarakat yang melaksanakan Hudud. Sebelum pertuduhan dalam kes Hudud itu berlaku, muslim itu sebenarnya dituntut untuk saling memaafkan. Daripada Sunan Abu Daud, diriwayatkan sebuah Hadith yang isnadnya hasan, maksudnya;
“Hendaklah kamu sekelian saling memaafkan dalam perkara hudud di antara kamu, dan apabila sesuatu kes telah sampai kepadaku maka hudud mesti dilaksanakan.”
Dalam Hadith diatas, Rasulullah meminta kita untuk saling memaafkan, inilah kasih sayang dalam Umat yang perlu kita bangunkan. Oleh kerana itu dalam kes-kes Hudud hatta keseluruhan Undang-Undang Syariah itu, terlalu rendah bilangan pesalah dan kes yang didakwa. Inilah semangat Islam dan roh Undang-undang Syariah yang dilaksanakan.
Hudud Allah itu tidak berdiri atas beratnya hukuman, tetapi berdiri diatas keadilan, kasih sayang dan akhlak umat. Inilah faktor-faktor yang menjadikan berkurangnya sesuatu pendakwaan dalam Undang-undang Syariah dan Hudud. Bukan oleh kerana beratnya hukuman. Tetapi sifat sayang-menyayangi, saling memaafkan yang secara tidak langsung akan membentuk satu suasana masyarakat yang baik akhlaknya, dan akan bertambah baik jika ianya dipagari oleh Undang-undang Syariah dan Hudud. Inilah cara Allah melunakkan hati manusia, jika hati itu tidak dapat dilunakkan, maka amaran dan hukuman keras yang akan menanti.
Dalam tingkat keutamaan pula, langkah Ikwan Muslimin di Mesir adalah contoh terbaik. Semasa mereka dan seluruh rakyat Mesir berusaha menggulingkan rejim zalim Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin meletakkan cita-cita Negara Islam (ini pasti juga termasuk cita-cita Hudud) di tangga kedua. Kerana bagi mereka di saat itu, menjatuhkan sebuah rejim yang zalim dan mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas dan merdeka sebagai keutamaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...