Wednesday 14 November 2012

SALAM MAAL HIJRAH...:)

Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman




Thursday 25 October 2012

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha...:)



"Labbaikallahummalabbaik..~

Labbaikala shari kalakalabbaik..~

Innalhamda walnikmata lakawalmulk..

Laa shari kalak..."




Thursday 4 October 2012

Jangan berikan gambaran yang salah tentang Nabi SAW

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin,04 Okt 2012

Ramai orang muslim sayangkan Nabi SAW. Namun gambaran keindahan akhlak dan kehidupan baginda itu seringkali tenggelam disebabkan pencemaran terhadap kisah kehidupan baginda yang sebenar. Pencemaran itu datang daripada beberapa sudut. Kadangkala datang daripada musuh-musuh, kadangkala datang daripada umat Islam itu sendiri. Musuh bertujuan untuk memberikan gambaran yang salah tentang baginda SAW. Sementara umat Islam terdapat mereka yang jahil, ataupun berkepentingan yang memberikan gambaran yang salah tentang Nabi SAW.

Palsu dan Cacat

Umat yang jahil tidak dapat membezakan antara riwayat yang sahih dan yang palsu mengenai Nabi SAW lantas mereka menyebarkan hadis-hadis palsu yang dikaitkan dengan baginda. Mereka inilah yang Nabi SAW sendiri nyatakan dalam hadis mutawatir:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”

Sementara yang berkepentingan pula menyebarkan hadis-hadis secara tidak seimbang berdasarkan kepentingan mereka. Umpamanya, jika mereka itu berkepentingan politik, maka Nabi SAW digambarkan bagaikan seorang politician seperti mereka. Sifat-sifat indah Nabi SAW dalam aspek yang lain tidak ditonjolkan, sebaliknya Nabi SAW seakan sepanjang hidupnya asyik berpolitik dalam semua perkara. Sementara yang berkepentingan ekonomi akan menggambarkan Nabi SAW seakan sibuk untuk menghasilkan harta berkempen barangan yang mereka jual sepanjang masa.

Bagi yang berperwatakan keras pula, cuba menggambarkan seakan Nabi SAW itu keras sepertinya. Sementara yang sentiasa tewas pula, cuba menggambarkan Nabi SAW itu sentiasa tewas dan mengalah. Adapun yang mengampu pemerintah akan mencari hadis-hadis Nabi SAW yang seakan mengizinkan segala kekejaman rejim atas nama agama dan salafussoleh kononnya. Sementara yang menentang pemerintah pula, cuba mencari dalil yang menghalalkan segala tindakan mereka sekalipun sudah melampau batasan Islam.

Begitu juga yang berusaha menawan hati pengikut dengan gaya tertentu lalu mendakwa Nabi SAW seakan sepanjang masa memakai jenis pakaian tertentu seperti yang mereka pakai. Saya melihat mereka yang sibuk dengan syamlah ataupun rida’ ataupun burdah yang disidai dibahu seakan memberikan gambaran Nabi SAW itu sentiasa dalam keadaan pakaian yang sebegitu. Padahal, baginda seorang yang terlibat dengan pelbagai urusan umat, baginda memakai pakaian biasa, baju besi perang, jubah Roman, Yaman dan pelbagai lagi. Berdasarkan kepada keperluan semasa.

Hidup Nabi SAW bukan sekadar jadi penceramah tetapi menguruskan umat dan perjalanan hidup mereka. Bagindalah pemimpin kerohanian, pemimpin akhlak, pemimpin politik, pemimpin perang dan segalanya.

Keindahan Peribadi Nabi

Dalam catatan kali ini, saya ingin membuat beberapa kesimpulan tentang peribadi Nabi SAW untuk dibaca oleh semua pihak. Kesimpulan ini diambil daripada riwayat yang sahih. Daripada riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah itu seorang yang kacak wajahnya dan indah akhlaknya. Beliau tidak mengucap ucapan yang keji. Tidak membalas dendam atas kezaliman ke atasnya, melainkan apabila seseorang melanggar perintah Allah. Tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda memilih yang paling mudah selagi itu bukan satu dosa.

Tangannya tidak pernah memukul wanita, tidak hamba abdi, tidak khadam kecuali semasa di medan perang. Apabila baginda berbicara dengan seseorang baginda mengadap wajah ke arah orang tersebut sehingga dia akan menyangka dialah orang yang paling baginda kasihi. Dalam masa yang sama baginda seorang pemalu sehingga disifatkan bagaikan pemalunya seorang gadis. Apabila baginda membenci sesuatu, nampak tandanya pada wajah baginda.

Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah:

“Sejak aku menjadi muslim, tidak pernah Rasulullah SAW berjumpa denganku melainkan senyum padaku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata ‘Abdullah bin al-Harith:

“Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah SAW.” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi SAW itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.

Percakapan baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila baginda ingin mengkritik seseorang baginda tidak menyebut: “Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu”, tetapi baginda menyebut: “Mengapa ada pihak yang berkata sebegini.” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Kehalusan Budi

Kata Anas bin Malik:

“Aku berkhidmat kepada Nabi SAW 10 tahun, tidak pernah baginda berkata kepadaku ‘ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: ‘mengapa engkau buat begitu?’. Tidak kepada apa yang aku tidak buat: ‘mengapa engkau tidak buat?” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Nabi SAW seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak’ apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda:

“Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersamaku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang.” (Riwayat al-Bukhari).

Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida’ (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkok baginda, kemudian bercakap kasar dengan baginda. Namun baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan pemintaannya.

Nabi SAW itu menunaikan hajat sahabat-sahabatnya. Baginda melunaskan hutang Bilal bin Rabah, mengkahwinkan sahabat-sahabat yang masih bujang, mendengar aduan kaum wanita mengenai suami mereka dan aduan setiap pihak tentang masalah mereka. Bahkan baginda mendengar aduan unta yang dibebankan oleh tuannya bebanan kerja yang berat. Baginda bersabda kepada tuannya:

“Mengapa engkau tidak takutkan Allah mengenai haiwan yang Allah telah jadikan engkau memilikinya. Sesungguhnya ia telah mengadu kepadaku engkau membiarkannya lapar dan membebankannya.” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Justeru, baginda itu adalah rahmat untuk sekelian alam.

Nabi SAW seorang yang tawaduk (humble), berjalan bersama para janda dan orang miskin untuk menunaikan keperluan mereka. Menerima jemputan makan sekalipun roti keras yang sudah berubah baunya. Baginda pernah bersabda:

“Jika dijemputku memakan betis (kambing) sekalipun nescaya aku pergi. Jika diberikan kepadaku betis kambing sekalipun, aku terima” (Riwayat al-Bukhari).

Ini sehingga baginda pernah diracun oleh wanita yahudi di Khaibar semasa menerima hadiah makanan sehingga membawa kesan ke akhir hayat.

Baginda juga memanja dan bermain dengan anak-anak kecil. Baginda memberikan salam kepada kanak-kanak apabila baginda melalui mereka dan mendoakan untuk mereka keberkatan.

Banyak lagi sifat peribadi baginda yang unggul. Bayangkan keadaan seorang insan yang hidup dalam kalangan masyarakat Arab yang membunuh anak-anak perempuan mereka, tiada buku-buku peradaban seperti Rome, Parsi, China ataupun India. Namun, berakhlak dengan penuh ketinggian yang mengatasi segala tamadun.

Kita ini ingin mengikut baginda. Kita mungkin lemah dan gagal mencontohi baginda dalam segala aspek kebaikannya. Namun, jangan berikan gambaran yang salah kepada dunia dan non-muslim mengenai Nabi kita yang agung itu.

Jati diri seorang ahli PAS



Muqaddimah

PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik. Dasarnya Islam, rujukannya al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Penyertaan kita di dalam PAS bukan kerana hanya mengisi masa lapang tetapi wajib untuk penerusan kepada perjuangan Islam di negara ini. Apabila kita mengisi borang sebagai ahli PAS, maka bererti ia sudah berbaiah untuk mematuhi peraturan dan tatacara sebagai seorang ahli PAS. Ertinya, segala tindakan kita sudah berada di dalam kawalan jamaah, ini adalah lumrah mana-mana organisasi. Contonya, tatacara bekerja di kilang Samsung berbeza kerja dengan kilang Proton. Peraturan setempat mesti diikuti, jika kita tidak boleh ikut, kita kena buka kilang sendiri.

Dari Segi Aqidah

1. Saya mestilah beriman bahawa Allah yang maha esa menciptakan manusia bukan sia-sia sahaja. Dan mesti beriman bahawa manusia akan dikembalikan dan disoal oleh Allah SWT bagi setiap amalan yang dilakukan di dunia. Justeru, saya tidak boleh leka dengan dunia sehingga lupa tanggungjawab untuk menegakkan agama Allah SWT kerana ini merupakan perkara yang berkaitan dengan akidah. Firman Allah SWT; 

“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia.” (Al-Mukminun 23:115-116)

2. Mesti beriman bahawasanya Allah SWT telah mengutuskan Rasul-Rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka. Kita mestilah mempertahankan Sunnah dan ajaran baginda daripada dinodai. Antara Sunnah yang wajib saya pertahankan ialah menegakkan  syariat  Allah dan hukumnya seperti yang baginda tegakkan di  Madinah. Firman Allah SWT;

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu, maka antara umat itu, ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula diantaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).” (Surah al-Nahl 16:36)

3. Wajib beriman bahawa ganjaran bagi orang yang beriman yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang yang tidak beriman  dan derhaka ialah api neraka. Janji syurga inilah yang menjadi perangsang dan semangat untuk kita membanyakkan amal dan berusaha untuk mempertahan agama Allah daripada dinoda. Kita mesti berusaha untuk menjauhkan diri daripada kelompok yang membawa kebinasaan dan dihumban  ke dalam api neraka jahanam. Firman Allah SWT;

“…Satu golongan memasuki syurga manakala satu golongan lagi memasuki neraka sa’ir.” (Surah al-Syura 42:7)


4. Wajib beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah SWT. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelakanginya. Yang boleh dilakukan oleh ulama ialah berijtihad mengeluarkan hukum-hukum daripada nas-nas syarak yang dibenarkan. Kita mesti beriman bahawa haram menukarkan hukum yang telah dinaskan secara qat’i oleh al-Quran dengan hukum manusia. Menukarkan kesalahan zina dengan denda wang berlawanan dengan perintah Allah iaitu dengan disebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan direjam sampai mati bagi yang sudah berkahwin. Firman Allah SWT;

“Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Allah Tuhanku, Kepada-Nyalah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali.” (Surah Al-Syura 42:10)


5. Takut hanyalah kepada Allah dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut menyebabkan kita menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-larangan-Nya. Kita mesti yakin bahawa semua tindakan, diperhati oleh Allah SWT sama ada sewaktu sunyi atau terang.  Seperti mana yang Allah jelaskan;

“Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya serta takut dan bertakwa kepada-Nya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (Surah Al-Nur 24:52)


6. Wajib mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati kita sentiasa merasa rindu dan terikat dengannya. Kecintaan ini mendorong menambahkan amalan-amalan kebaikan, bekorban dan berjihad di jalannya  sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatut menghalang kita daripada mencintai Allah. Apabila kecintaan kepada Allah mengatasi semuanya maka tidak ada apa yang boleh diganti dengan dunia dan pangkat. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan;

“Katakanlah; jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq.” (Surah al-Taubah 9:24)


7.  Sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah SWT. Istighfar ini akan membersihkan hati dan melimpahkan ketenangan hati dan jiwa. Kita tidak akan memohon ampun  selain daripada Allah SWT.

“Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi diri sendiri kemudian beristighfar memohon keampunan nescaya ia dapati Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah al-Nisa’ 4:110)


Dari Sudut Ibadah

1. Kita mestilah memastikan ibadah kita menepati apa-apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Wajib menjadikan ibadah sebagai penghubung dengan Allah SWT kerana Allah sebagai tempat untuk mengadu hal kepadanya dan merasai kehadiran Allah SWT dengan melupakan kesibukan dunia. Sabda Rasulullah SAW;

“Allah SWT tidak memandang kepada sembahyang seorang lelaki yang mengerjakan tanpa kehadiran hati berserta gerak badannya.”


2. Mesti mengambil berat terhadap ibadah qiamullail (sembahyang malam) serta melatih diri melakukannya sehingga menjadi satu kebiasaan. Kerana qiamullail  adalah sumber kekuatan yang memantapkan Iman. Sebagai anggota PAS yang memperjuangkan Islam sudah tentu akan menerima berbagai ujian maka kekuatan rohani amat penting untuk merempuh halangan ini. Kekuatan ini yang tidak dipunyai oleh musuh walaupun mereka memiliki kekekuatan fizikal dan kewangan yang lain. Firman Allah SWT;

“Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan (al-Quran) pada waktu itu lebih berkesan.” Al-Muzammil 73:6)

3. Mesti meluangkan waktu tertentu untuk membaca al-Quran dengan cara merenungi maksud dan pengajarannya. Banyak kisah yang terdapat di dalam al-Quran dapat diambil pengajaran dan menjadi rangsangan kepada kita untuk berjuang dengan lebih gigih. Kita mesti membacanya dengan penuh tadabbur, merenunginya dengan khusyuk dan sedih kerana sabda Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya al-Quran diturunkan dalam keadaan duka cita, maka apabila kamu membacanya hendaklah kamu merasakan kedukacitaan tersebut.”


4. Menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah di dalam setiap urusan hidup kerana doa adalah otak segala ibadah. Oleh itu, saya akan memilih doa-doa yang ma’thur dari Rasulullah SAW. Doa adalah senjata bagi orang mukmin ketika berhadapan dengan musuh. Firman Allah SWT;

“Mintalah doa kepadaku, nescaya aku akan memperkenankan permintaanmu.” (Ghafir, 40: 60)


Sudut Akhlak

1. Bersifat warak dengan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara syubhat (perkara yang samar) antara halal dan haram. Kita mesti menjaga makanan, minuman yang samar dari segi halal dan haram supaya  terpelihara daripada jatuh kepada perkara yang haram. Sabda Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa yang memelihara (dirinya daripada) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara dari agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa  jatuh pada perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam  yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.” (Bukhari Muslim)


2. Mesti memelihara penglihatan daripada melihat pada perkara yang haram, kerana dengan pandangan ini akan merangsang syahwat yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Firman Allah SWT;

“Katakanlah kepada orang-orang mukmin lelaki supaya memelihara pandangan mereka.” (Surah al-Nur 24:30)


3. Mesti memelihara lidah daripada menutur kata-kata yang tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan kosong, mengumpat dan mengadu domba. Perbuatan yang tidak menggambarkan akhlak muslim yang tidak layak ada pada anggota jamaah. Sabda Rasulullah SAW;

“Bukanlah ia seorang mukmin (jika) ia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan bercakap keji.”

4. Mesti bersifat malu dalam setiap keadaan. Namun begitu sifat tersebut tidak     seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Antara sifat malu ialah tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika becakap, dan perkara yang dianggap menjatuhkan maruah peribadi seorang. Sabda Rasulullah SAW;

“Iman itu mempunyai 70 cabang atau 60 cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illah (tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang  daripada Iman.” (Baihaqi)


5.Mesti tekun dan sabar, kerana kerja-kerja Islam akan berhadapan dengan macam-macam perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah penuh dengan liku-liku kepayahan penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan, persendaan yang memalukan. Kita terpaksa berhadapan dengan orang jahil, orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional, orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersingung. Firman Allah SWT;

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu.” (Surah al-Nur 24:22)


6. Mestilah bersifat tawaduk atau merendahkan diri, khususnya terhadap saudara seIslam dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah SAW sendiri memohon perlindungan daripada Allah agar dijauhkan daripada sifat takbur. Baginda bersabda;

“Tidak akan memasuki syurga yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarrah sifat takbur.” (Riwayat Muslim)


7.Mesti menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Sebaliknya lebih banyak menyuluh dan menuding diri sendiri daripada dihadapkan kepada orang lain. Sangka buruk, sifat yang tidak baik dan boleh mendatangkan keburukan kepada orang lain. Maka ini perlu dijauhi oleh oleh ahli PAS. Janganlah ia memburuk sangka kepada sahabat yang lain ini akan menyebabkan ruang untuk berpecah akan  bertambah luas. Firma Allah SWT;

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada perasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima Taubat lagi Penyayang.” (al-Hujurat 49:12)


8. Mestilah bersifat benar dalam semua hal dan keadaan. Mesti benar pada diri dan tidak takut pada celaan orang lain. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina, malahan menjadi pintu masuk syaitan dan iblis, membawa kehinaan pada peribadi insan. Kita mesti benar dalam kata-kata, benar ketika menyampaikan prinsip perjuangan parti dan benar ketika meyatakan sesuatu kepada orang lain. Tidak layak seorang anggota PAS yang berdusta ketika berbual dengan orang lain dan bertindak secara dusta. Sabda Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seseorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” (Mutafaqun ‘Alaih).


9. Mesti menunjukkan contoh teladan yang baik agar sama dengan Islam yang menjadi dasar PAS. Akhlak kita mesti selari dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana ia akan memberi kesan kepada perjuangan PAS. Kita percaya bahawa contoh teladan yang baik amat kuat mempengaruhi orang lain untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Maka kita pastikan diri,  keluarga dengan menunjukkan contoh teladan yang baik di mana- mana sahaja kita berada, kerana kita akan menjadi duta kepada PAS untuk melebarkan pengaruh Pas kepada masyarakat. Seperti kata hukama’

“Lisanul Hal (tindakan) lebih baik dari lisanul Maqal (berkata-kata)”

Sudut Rumah tangga

2. Mesti memastikan perkahwinan kita adalah kerana Allah untuk membina rumahtangga Muslim bagi melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah dan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW;

“Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka, orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba mukatib (yang berjanji untuk menebus diri untuk menunaikan bayarannya dan orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya.” (Tirmizi).


2.Kita mesti memilih wanita yang baik akhlaknya dan pegangan agamanya sekalipun  tidak punya harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasulullah SAW;

“Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya, kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaanya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka  atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama.” (Ibn. Majah).


3. Perhubungan suami isteri tidaklah terbatas kepada hubungan untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja, malah hubungan antara kita mestilah hubungan yang dapat menjalinkan persefahaman dalam pemikiran, kejiwaan dan kasih sayang. Kita sama-sama membaca, menunaikan sebahagian daripada ibadah, bersama-sama turut mengatur urusan rumah tangga dan meluangkan waktu untuk bergurau senda. Kita mestilah sama-sama memikirkan bagaimana untuk memajukan perjuangan yang di bawa oleh Parti PAS. Sekiranya persefahaman tidak wujud antara suami dan isteri ia akan menjejaskan gerak kerja jemaah.

4. Suami isteri mesti mendidik anak-anak serasi dengan acuan Islam. Orang ramai sentiasa memerhati rumah tangga ahli PAS supaya selari dengan prinsip perjuangan yang di bawa. Kita bimbang orang tidak berminat dengan PAS apabila melihat rumahtangga ahli PAS yang tidak tepat dengan kehendak Islam. Pastikan anak isteri menutup aurat mengikut syariat. Kita tidak mahu anak isteri  menjadi fitnah pada perjuangan PAS.  Biar orang  berminat dengan PAS apabila mereka melihat rumah tangga Islam yang dibina dalam rumah ahli PAS. Firman Allah SWT;

“Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Al-Tahrim 66:6)


5. Berazam untuk memastikan anak-anak kita dapat meneruskan perjuangan PAS apabila kita sudah menemui Allah. Tidak ada makna jika kita  seorang sahaja yang berjuang. Pastikan perjuangan kita akan diwarisi oleh anak cucu kita. Jangan biarkan kaum keluarga kita beristirahat di rumah. Biar mereka sama-sama bergelumang dengan perjuangan.

6. Bawa balik perjuangan PAS ke rumah. Berkongsi pengalaman dan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan perjuangan ini. Jangan ada di kalangan kita tidak mahu  membincang mengenai perjuangan dengan keluarga, ini satu kesilapan.

8. Beri semangat kepada anak-anak bahawa PAS memerlukan kita untuk menjayakan matlamat perjuangan PAS. Jika kita tidak  berkorban untuk PAS,  siapa lagi yang boleh diharapkan.

9. Kita mesti merasa bangga jika kita berjaya meninggalkan zuriat sebagai pejuang Islam. Biarlah zuriat kita berputar bersama dengan roda perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

10. Tidak sepatutnya kita sebagai ahli PAS menakut-nakutkan anak kita supaya jangan berjuang dengan PAS, nanti dibimbangi tidak ada rezki dan gelap masa depan.

Kewajipan Khusus Sebagai Ahli  PAS

1. Mematuhi arahan pimpinan parti selagi tidak bertentangan dengan Islam.
2. Mesti mengikut semua manhaj perjuangan PAS tanpa berbelah bagi.
3. Menghadiri program ilmu untuk menambahkan pengetahuan Islam.
4. Menghadiri program tarbiyyah supaya dapat membina fikrah dan keperibadian Muslim sejati.
5. Menjaga akhlak sebagai seorang anggota parti.
6. Mesti pastikan keluarga kita menutup aurat seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW, kerana ini adalah penilaian pertama orang kepada ahli PAS.
7. Menghadiri program yang diarahkan oleh pimpinan parti di semua peringkat.
8. Membayar yuran tahunan ahli.
9. Menghadiri mesyuarat agung parti setiap tahun
10. Memastikan isteri/suami  menjadi ahli PAS supaya  sama-sama memahami konsep perjuangan Islam
11. Memastikan anak-anak  yang sudah aqil baligh menyertai PAS supaya tidak ada unsur-unsur perosak dalam rumah kita. Dengan ini anak kita akan merasakan PAS adalah jemaahnya maka sukar pihak musuh hendak menariknya.
12. Menyeru kaum keluarga, sahabat handai dan orang awam untuk menyertai PAS.
13. Menjawab segala fitnah yang dilemparkan oleh musuh terhadap PAS
14. Menerangkan dasar PAS dan perbezaan dasar Umno kepada orang ramai.
15. Boleh  menegur pimpinan dan memberi pandangan dengan cara yang beradab.

Perkara Yang Perlu  Dijauhi Sebagai Ahli PAS

1. Melakukan perkara yang haram di sisi agama
2. Melakukan perkara yang bersalahan dengan dasar parti.
3. Tidak mahu mengikut arahan pimpinan
4. Melahirkan perasaan marah di tempat awam seperti di kedai kopi kerana di sana banyak ejen musuh yang sedang memerhati dan mendengar.
5. Tidak mahu membayar yuran tahunan
6. Tidak mahu datang mesyuarat agung tahunan.
7. Tidak melaksanakan amanah yang diberikan
8. Malas untuk menghadiri program dan kursus anjuran parti.

Penutup


Sedarlah bahawa penyertaan kita sebagai anggota PAS bukan satu perkara yang sia-sia. Penglibatan  dalam PAS bukan kerana  marah kepada mana-mana individu musuh, tetapi sebagai tanggungjawab untuk melanjutkan kerja-kerja yang mulia setelah para Rasul tidak ada lagi. Sedangkan kemungkaran dan kemaksiatan masih berluasa. Siapa lagi yang akan mempertahankan agama yang suci ini jika kita sebagai hamba Allah tidak sanggup untuk memperjuangkan agama Allah. Perlu sedar bahawa hidup dan mati kita hanya diserah kepada Allah SWT dan yakin bahawa masa depan dunia berada di tangan Islam. Insya-Allah

Mahu doktor wanita rawat pesakit wanita

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,




Mohon jasa baik Kementerian Kesihatan agar dapat mengadakan wad khas untuk pemeriksaan oleh doktor perempuan di hospital kerajaan. Dengan cara begini, pesakit wanita ada pilihan.

Sudah sampai masanya untuk memberikan perkhidmatan bagi rawatan pesakit perempuan dengan doktor perempuan terutama sekali yang membabitkan sakit puan dan juga wad bersalin. Hal ini kerana dimaklumkan sudah ramai dan seimbang pakar perubatan dinegara ini antara doktor perempuan dengan doktor lelaki.

Benar, mengikut hukum agama diberkan doktor lelaki membolehkan rawatan kepada pesakit wanita tetapi apabila dalam keadaan darurat sahaja tetapi apabila kuota pakar perubatan dan pegawai perubatan yang lainnya itu mempunyai perseimbangan diantara pegawai lelaki dan pegawai wanita, sebaik-baiknya kita memberikan ruang dan peluang agar pesakit wanita dibenarkan membuat pemilihan untuk apa juga rawatan terutama sekali ada kaitannya dengan sakit puan itu.

Kalau dihospital swasta ada pilihan untuk rawatan pesakit wanitanya, kenapa tidak dipraktikkan juga di hospital kerajaan. Saya mencadangkan juga agar semua hospital kerajaan dinegara ini memberikan perkhidmatan rawatan saperti biasa sama ada semasa cuti hujung minggu atau cuti am yang lain. Hal ini kerana tidak memadai hanya wad kecemasan sahaja dibukakan pada cuti umum atau cuti mingguan. Saya mendapati wad kecemasan ini begitu sesak dengan pesakit dengan hanya satu atau dua doktor sahaja bertugas dan ini menyusahkan orang awam untuk mendapatkan rawatan.   

Saturday 21 April 2012

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

Percaya kepada malaikat adalah rukun iman yang kedua. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoa malaikat akan mendapat keistimewaan. Dalam hidup ini kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang semakin mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari pada lidah, tetapi juga sokongan daripada malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: “Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’ ”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak)
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’”

10. Orang yang sedang makan sahur
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang melawat orang sakit
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Friday 30 March 2012

Bidadari syurga menurut Al-Quran dan hadith




Bidadari syurga, makhluk yang telah sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh, yang berbuat kebaikan, yang layak untuk memasuki syurga. Diceritakan bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diberi izin oleh malaikat penjaga syurga. Suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk menjenguk ke bumi bagi melihat suami mereka dan telah diizinkan. Bidadari-bidadari ini dapat mengenal siapa suami mereka kerana di dada mereka telah tertulis nama suami yang mereka rindui.
Apabila melihat ke bumi, mereka terlihatlah bidadari-bidadari akan isteri bagi suami mereka di dunia tidak taat serta berbuat derhaka kepada suami, lalu bidadari syurga itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangimu, sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisimu, sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkanmu.” Di dalam Al-Quran dan hadith banyak sekali dijelaskan ataupun digambarkan tentang susuk bidadari yang bertempat di syurga dan bersedia melayani para ahli Jannah.
AL-QURAN
Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah. (Al-Imran:15)
Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. (Ad-Dukhan:54)
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. (Al-Waqi’ah:22)
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). (Al-Waqi’ah:35-36)
Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Sad:52)
Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. (Ar-Rahman:56-58)
Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya. (As-Saffat:48)
Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (bidadari-bidadari) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. (Ar-Rahman:70)
Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin. (Ar-Rahman:72-74)
HADITH
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.” (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar matahari dan bulan?” (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (H.R. Ath-Thabrani)
Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang. Sungguh kontras sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab Hadzil Arwah:316)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang bujang.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (H.R. Al-Baihaqi dan Al-Hakim)
Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”
Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu, dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh tutup kepala salah seorang wanita surga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan seratus orang laki-laki.” (H.R. Tirmidzi)
Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda s.a.w menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (H.R. Ath-Thabrani)
Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari. Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur, iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”
Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”
Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. ALLAH menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”
Video kuliyah mengenai bidadari syurga
Ini adalah sedikit gambaran yang Allah berikan tentang bidadari di syurga. Walau bagaimanapun gambaran itu, manusia tidak akan boleh membayangkan sesuai dengan rupa aslinya, kerana sesuatu yang berada di syurga adalah sesuatu yang belum pernah kita lihat di dunia ini.

Saturday 17 March 2012

Sijil halal: Pemuda PAS setuju langkah Jakim

Harakahdaily,16 Mac 2012



KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mengenakan hukuman penjara dan denda mulai 1 Julai 2012 kepada pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan jabatan itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu wajar sebagai usaha mewujudkan kesedaran tinggi kepada pengusaha agar berusaha mendapatkan sijil dan logo halal dengan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

"Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan pengusaha makanan tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan tahap halal makanan yang dijual mereka.  

"Tindakan ini juga boleh mengembalikan tahap keyakinan umat Islam terhadap produk yang dijual serta premis makanan yang terdapat di negara ini. Dengan cara ini, kebersihan dan tahap halal sesuatu makanan dapat dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, isu halal dalam makanan yang dihidangkan sama ada berbentuk produk yang dijual dipasaraya-pasaraya ataupun di premis makanan adalah suatu isu yang amat sensitif pada umat Islam.

Umat Islam yang prihatin dan peka tidak sesekali mengizinkan tubuh mereka dimasuki oleh unsur yang haram, terutama dalam soal makanan.

Makanan yang haram akan menjadikan tubuh umat Islam diselaputi dengan perkara yang haram dan seterusnya boleh menyebabkan  generasi negara ini menjadi rosak akhlak dan aqidah mereka, kata Riduan.

"Justeru, amat penting soal halal dalam makanan dititkberatkan dan DPPM merasakan tindakan JAKIM untuk melaksanakan hukuman penjara dan denda kepada pengusaha yang gagal mendapatkan logo halal adalah tindakan yang wajar," tegasnya.

Menilai kembali pengurusan zakat di Malaysia

Dr Azhari Ariffin,16 Mac 2012

 

Dengan memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam Harakah, antara lain menyatakan: “Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan."


Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.

Pertama: Pengurusan Zakat

Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.

Kedua: Pelaburan Harta Zakat

Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian.

Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:

Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang lahir akibat kefakiran tersebut.

Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.  Yang utamanyaialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur. Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain . Ketiganya, kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah.Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.

Majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat. Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang Islam pada zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang Islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport  dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.

Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.

Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir.

Seterusnya  timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.

Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.

Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hukum-hakam Islam  tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.

Semoga respons yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah tuhan.

Artikel di atas oleh penulis dan Panel Penyelidik Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...