Wednesday 30 November 2011

Amal semangat hijrah

Kalam Imam Muda...

TANGGAL 17 November lalu, saya bersama beberapa rakan jemaah haji diizinkan Allah mendaki Jabal Thur di Kota Makkah.
Berdasarkan sejarah, bukit itu turut tersenarai sebagai kawasan penting dalam kalendar Hijrah umat Islam kerana di sini antara tempat bermulanya kisah hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Kota Madinah.

Bukit itu menjadi tempat Rasulullah SAW menyembunyikan diri bersama Saidina Abu Bakar ketika menghadapi ancaman bunuh puak kafir Kuraisy.
Keadaan pada waktu itu dikatakan sangat genting berikutan ancaman mereka sehingga terdetik perasaan gementar dan sedih di hati Saidina Abu Bakar.

Kemudian, lantaran keadaan pada waktu itu, turun wahyu daripada Allah melalui ayat 40 surah at-Taubah untuk menenangkan Saidina Abu Bakar yang bermaksud: “...Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita...” Sepanjang tempoh persembunyian itu, bukit ini juga menjadi saksi pengorbanan Saidina Abu Bakar yang disengat binatang berbisa hanya kerana mahu melindungi Rasulullah.

Begitulah hebatnya ujian yang terpaksa ditempuh Rasulullah SAW dan sahabat demi memartabatkan Islam di muka bumi Allah ini.
Walaupun mendaki Jabal Thur tidak tersenarai sebagai ibadah khusus atau amalan sunat yang digalakkan, bagi mereka yang berkeupayaan, pengalaman itu sesuatu yang berharga.

Malah, sewaktu mendaki, saya berasa sangat bertuah kerana bersempena Maal Hijrah yang disambut hari ini, saya berkesempatan menziarahi antara tempat penting dalam peristiwa Hijrah Rasulullah.
Saban tahun, apabila bermulanya takwim baru dalam kalendar Islam, kita pasti dengar ramai orang sibuk bercerita mengenai hijrah.

Pelbagai definisi hijrah diberi mengikut idea masing- masing yang disesuaikan dengan peredaran zaman.

Ketika inilah kisah hijrah Rasulullah disingkap kembali dengan penuh semangat dan berkobar-kobar. Namun sangat malang, kerana selepas dua atau tiga hari, semangat ini hilang dan berlalu begitu saja.

Inilah realiti yang berlaku dalam dunia serba canggih hari ini. Semuanya disambut secara bermusim, tidak ubah seperti pepatah Melayu, ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sambutan ini lebih daripada sekadar adat. Namun, pada pandangan saya, lebih elok jika kita dapat menerapkan dalam diri kita semangat hijrah ketika menyambut Maal Hijrah supaya tidak luntur begitu saja.

Namun, tidak bermakna saya terlalu ‘sarkastik’ dalam sambutan Maal Hijrah kerana saya cuba mengetengahkan semangat hijrah Rasulullah SAW daripada sudut berbeza.

Jika dilihat maksud hijrah itu sendiri, secara literalnya merujuk kepada peristiwa perpindahan Nabi SAW dan kaum Muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah dalam usaha baginda meluaskan empayar dakwah Islam.

Tiada lagi hijrah selepas peristiwa ini, sesuai dengan hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: “Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah) tetapi yang ada hanya jihad dan niat. Maka apabila kamu dikerah untuk berjuang, segeralah menyahutnya.” Jika diteliti kepada bahagian pertama hadis di atas, jelas tiada lagi ‘hijrah’ bagi umat Islam selepas pembukaan kota Makkah.

Namun, Rasulullah memperluaskan maksud dan konsep hijrah pada bahagian kedua dengan menyatakan, niat dan kesediaan berjihad untuk Islam juga dianggap satu cabang hijrah.

Namun, malang bagi umat Islam hari ini yang dimomokkan oleh propaganda musuh Islam mengenai konsep jihad di dalam Islam. Jihad lebih digambarkan sebagai sesuatu perlakuan ganas oleh mereka yang digelar pengganas.

Lebih malang lagi, ramai di kalangan umat Islam hari ini ‘termakan’ dengan propaganda jahat ini, lantas menggambarkan betapa kejamnya agama Islam itu.

Namun, siapa patut dipersalahkan kerana sememangnya wujud kumpulan yang terlalu ekstrem. Mereka sebenarnya kurang faham mengenai kesyumulan (kesempurnaan) agama Islam dalam aspek kehidupan, lantas menjalankan kegiatan yang mengancam keselamatan orang lain.

Saya ingin membawa pembaca melihat maksud hijrah, jihad dan niat daripada kaca mata berbeza. Hijrah secara dasarnya membawa maksud lebih besar daripada sekadar ‘perpindahan’ kerana perkataan hijrah itu mempunyai maksud tersendiri.

Hijrah lebih menjurus kepada perkara membabitkan kebaikan. Justeru ini, mereka yang berubah kepada sesuatu yang lebih disukai Allah juga termasuk kategori hijrah.

Saya tertarik dengan perkembangan semasa industri hiburan tanah air apabila ramai artis wanita mula menjinakkan diri dengan mengenakan hijab (tudung) sebagai pakaian mereka.

Bagi saya, ia perkara sangat positif dan menggembirakan kerana mereka adalah ikon kepada remaja di negara kita. Cuma masalahnya, ada segelintir masyarakat kita yang selalu sinis dengan ‘hijrah’ yang dibawa oleh mereka.

Ada saja kesalahan dicari. Bermula dengan mempersoalkan keikhlasan ‘penghijrahan’ berkenaan hinggalah mempersoalkan gaya tudung mereka.

Islam itu mudah, tidak sekali-kali menyusahkan umatnya. Namun, bukan bermaksud kita boleh sesuka hati mempermudahkan segala-galanya.

Berilah mereka peluang dan biarkan mereka berubah perlahan-lahan. Jangan sekali-kali memberi persepsi bahawa Islam itu terlalu keras.

Kemahuan untuk berhijab itu sendiri adalah usaha mereka mencari hidayah Allah.

Penghijrahan mereka juga boleh dikategorikan sebagai ‘jihad kecil’ dengan mengambil kira faktor mereka melawan hawa nafsu. Bukan mudah untuk meninggalkan cara pemakaian yang sebati dengan jiwa mereka.

Apatah lagi kesediaan golongan ini untuk menghadapi pelbagai respons oleh masyarakat di luar. Rasulullah SAW bersabda melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, bermaksud: “Orang yang berjihad adalah orang yang melawan hawa nafsunya.” Kadangkala, apa yang kita anggap betul tidak semestinya benar.

Ia mungkin dapat dijelaskan melalui peristiwa di dalam hadis daripada Abdullah bin Mas’ud, di mana beliau berkata: “Aku mendengar seorang lelaki membaca 10 ayat al-Quran tetapi qiraat (bacaan) orang itu berbeza daripada qiraat yang pernah aku dengar daripada Rasulullah SAW.

“Lalu aku khabarkan hal itu kepada Rasulullah dan aku melihat kebencian pada wajah baginda dan baginda seraya bersabda: “Kedua- duanya adalah baik. Janganlah kalian berselisih.” (Riwayat Bukhari) Jika difahami maksud hadis di atas, perselisihan sebenarnya berlaku pada hal membabitkan qiraat (bacaan) dan bukan menyentuh hukum-hakam yang merubah struktur asal ayat al-Quran. Perbezaan lebih menjurus kepada penduduk di sesuatu tempat yang sukar merubah loghat mereka ketika membaca al-Quran.

Sama juga dengan situasi diceritakan di atas kerana isu utama yang dibicarakan lebih menyentuh kepada soal cara pemakaian hijab itu.

Namun secara peribadinya, saya juga tidak bersetuju jika fesyen dikenakan berlebih-lebihan sehingga merosakkan imej Islam, seperti mengenakan hijab dengan pakaian ketat. Maka, berpada-padalah ketika berfesyen.

Berbalik kepada hijrah, ia sebenarnya mempunyai terlalu banyak cabangnya untuk dikupas dengan lebih mendalam. Namun yang penting, ambillah semangat hijrah itu untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

Sentiasalah berusaha mencari hidayah Allah. Barulah Allah membukakan jalan untuk kita ‘berhijrah’.

Tuesday 29 November 2011

Bank UAE mahu buka cawangan

2011/11/29


Noor Islamic Bank PJSC minat jadikan Malaysia pusat utama perniagaan

NOOR Islamic Bank PJSC, penyedia perkhidmatan perbankan Islam penuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat untuk beroperasi di Malaysia jika berpeluang memulakan rundingan bagi tujuan itu dengan beberapa pihak berkaitan di negara ini. 

Bank beribu pejabat di Dubai itu berminat menjadikan Malaysia sebagai pusat utama yang menghubungkan perniagaan kumpulan itu dari rantau Asia Barat ke Asia Pasifik.

Ketua Eksekutif Noor Islamic Bank dan Ketua Eksekutif Kumpulan Noor Investment, Hussain Al Qemzi, berkata penubuhan operasi di rantau ini adalah antara agenda kumpulan dalam usaha menyokong dan mengekalkan hubungan perdagangan antara Asia Barat dan Asia Pasifik.
“Malaysia adalah satu pasaran yang sangat menarik kepada kami, khususnya dalam sektor sukuk. Terdapat banyak projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di negara ini serta negara serantau yang menjadikannya satu perkembangan menarik kepada pelabur dan penyedia kemudahan kewangan seperti kami," katanya dalam satu temubual dengan Berita Harian di luar Sidang Puncak Pengetahuan Kewangan Islam 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Ditubuhkan pada 2008, Noor Islamic Bank adalah kumpulan perbankan Islam penuh yang menawarkan liputan luas produk kepada pelanggan, dengan penekanan kepada perkhidmatan yang unik serta direka bentuk khas untuk keperluan tertentu. 

Meskipun ditubuhkan ketika krisis kewangan global sedang memuncak, kumpulan perbankan itu mampu meraih pulangan modal setahun lebih awal daripada sasaran berikutan strategi perniagaannya yang mengkhususkan kepada keperluan pelanggan. 

Al Qemzi berkata, dari segi persekitaran ekonomi, Malaysia dijangka menjadi antara negara di rantau ini yang paling kurang terdedah kepada ancaman kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan zon euro. 
Ia katanya, berikutan langkah kerajaan menyiapkan beberapa inisiatif bagi membendung situasi itu, khususnya dengan memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

“Ini menambah lagi daya tarikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa dan kumpulan memandang tinggi kedudukan negara ini dalam sektor berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, industri kewangan global perlu mengambil tanggungjawab memacu sektor perbankan Islam jika mahu menjadikannya alternatif kepada perbankan konvensional. 

“Kami dapati sektor kewangan Islam bergerak agak perlahan kebelakangan ini. Dalam persekitaran semasa yang membelenggu AS dan zon euro, ini adalah masa yang tepat kepada peserta perbankan Islam bangkit semula menjana industri ini,” katanya. 

Berikutan itu, katanya peserta perbankan Islam tidak perlu hanya bergantung kepada inisiatif pengawal atur dan pihak berkuasa semata-mata. 

“Saya tidak mengatakan pihak berkuasa menyekat perkembangan industri ini. Sekatan itu sebenarnya datang dari peserta sektor ini sendiri,” katanya yang berpengalaman luas selama 26 tahun berkhidmat dengan institusi kewangan utama rantau Asia Barat,” katanya. 

Israel hadapi 150,000 peluru berpandu



2011/11/29

TEHRAN: Israel akan diserang dengan 150,000 peluru berpandu jika ia melancarkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran, kata Menteri Pertahanannya, Jeneral Ahmad Vahidi. 

Menteri berkenaan memberitahu bahawa sukarelawan tentera Israel perlu dihukum terhadap apa yang mereka lakukan kepada penduduk Islam di Palestin, lapor Iran Independent News Service semalam.
Bercakap kepada 50,000 sukarelawan tentera di Bushehr, menteri terbabit berkata bahawa Iran bukanlah Iraq ataupun Afghanistan.
Jika Amerika Syarikat melancarkan serangan dan menyerang Iran, kita akan tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk berlawan, sambil menambah Israel perlu dihukum terhadap apa yang dilakukan kepada penduduk Palestin dan Lubnan,” katanya. 

Vahidi tidak menyatakan secara spesifik sama ada peluru berpandu itu akan dilancarkan dari Iran atau lokasi lain. 

Pada Sabtu lalu, seorang komander kanan Pengawal Revolusi Iran berkata bahawa negara itu akan mensasarkan perisai pertahanan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turki jika Amerika atau Israel menyerang Republik Islam berkenaan. 

Jeneral Amir Ali Hajizadeh, ketua bahagian aeroangkasa pasukan pertahanan Iran dipetik agensi berita separa rasmi Mehr memberi amaran bahawa persiapan yang dilakukan oleh Tehran adalah sebahagian strategi untuk menghadapi ancaman Amerika dan Israel. 
Menteri Pertahanan Iran berkenaan juga memberi amaran mengenai serangan balas oleh Amerika tetapi tindakan itu perlu melepasi pertahanan ampuh Iran. 






“Amerika dan sekutunya perlu tahu bahawa Iran terlalu kuat dan berusaha akan mengajar Amerika bagaimana untuk berperang dan apa maknanya untuk berperang dan menjadi wira,” kata Vahidi kepada sekumpulan sukarelawan itu di Bushehr, sebuah bandaraya menempatkan loji kuasa nuklearnya. 
Iran bertegas bahawa program nuklear negara itu adalah untuk tujuan keamanan tetapi laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula menyatakan bahawa Tehran berterusan membangunkan teknologi senjata nuklear. 

Sejak laporan itu disiarkan, negara Barat mendesak masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap rejim Tehran untuk menangguhkan program nuklear terbabit. 

Amerika, Britain dan Kanada mengenakan sekatan terhadap sektor kewangan dan tenaga Iran, memaksa Tehran mengusir duta Britain. Perancis dan Belanda juga menggesa tindakan sama terhadap republik Islam itu. – Agensi 




Harakah dibaca dua juta setiap bulan






KUALA LUMPUR: Pengaruh lidah rasmi Harakah begitu besar sehingga
mencecah hampir dua juta pembaca pada setiap bulan dan ini menjadikan
akhbar bercetak ini bertahan begitu lama berbanding dengan akhbar tabloid
yang lain di negara ini, kata Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam.

Katanya, Mac tahun depan, Harakah akan menyambut Jubli Perak 25 tahun
dan dalam tempoh itu pelbagai pahit maung diharungi, namun,
atas kegigihan pucuk pimpinan ia muncul sebagai akhbar alternatif
yang sentiasa mengancam pengaruh Umno-BN.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan
Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Berintegriti peringkat PAS Wilayah Persekutuan,
Ahad 13 Nov lalu di Pejabat Agung PAS, dekat sini.
Turut menyampaikan syarahan media,
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Terdahulu, ketika merasmikan kursus berkenaan,
Ketua Penerangan PAS Wilayah, Nasaei Ismail berkata,
peranan media cukup penting dalam menyampaikan maklumat
dan membentuk persepsi masyarakat.

“Dengan adanya kursus bersama Harakah ini,
diharapkan lebih ramai ahli PAS berperana sebagai pelapor
bukan sahaja kepada Harakah tetapi kepada media baru termasuk
facebook, website dan blog masing-maisng,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Lutfi dalam syarahannya
“Kepentingan Media Hadapi PRU13” menyifatkan bukan soal keterbatasan
 penyampaian maklumat kepada sasaran tetapi
bagaimana maklumat itu dibentuk dan dibina agar upaya mencetuskan persepsi dalam
masyarakat terhadap sesuatu isu.

“Hari ini, sesiapa boleh dapatkan maklumat dalam internet.
Tetapi peranan pemberita atau wartawan yang jadi penulis,
lebih memainkan peranan dalam membina persepsi
masyarakat berdasarkan maklumat itu,” tegas beliau.

Kursus setengah hari itu antara langkah Harakah untuk merancakkan lagi
penyebaran maklumat secara tepat dan berintegriti melalui pelbagai medium,
bukan Harakah semata-mata.

Pada majlis itu, Tarmizi mengumumkan satu muka surat Harakah
diberi keutamaan untuk berita-berita PAS Wilayah sebagai menangani isu
ketiadaan liputan terhadap kegiatan dan kenyataan pimpinan PAS Wilayah.

Saturday 26 November 2011

Kunjungi beramai-ramai


Pameran Pedang Nabi Muhammad SAW...













Assalamualaikum. Dijemput mengunjungi Pameran Pedang Nabi Muhammad SAW, Khazanah Tamadun Islam dan Koleksi Seni Silat Pusaka Gayong yang akan diadakan pada 5-19 Disember bertempat di Dewan Sri Zaleha, NAZA , Gurun, Kedah. Infak masuk RM10 utk dewasa dan RM5 utk kanak2.


Pameran ini bertujuan memupuk rasa kecintaan yang tinggi kepada Jujungan Besar Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermadsud: "Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah." (Al-Ahzab [33]:21).


 Semoga pameran ini menjadi iktibar kepada seluruh umat terhadap perjuangan menegakkan Islam di jalan yang diredai Allah SWT.

Thursday 24 November 2011

PEMERINTAH PENIPU RAKYAT , SYURGA TAK LEKAT !

Nasihat Imam Auzai’ kepada Khalifah Abu Jaafar Al Mansur:

Wahai Amirul Mukminin, Rasulullah bersabda: 

"Sesiapa sahaja di kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya".

Wahai Amirul Mukminin! sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan. Hendaklah Tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaipan) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah Tuanku, atau mengadakan hijab (penghalang) di antara Tuanku dengan mereka. Hendaklah Tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, tetapi bersimpati dengan musibah yang menimpa mereka. 
Wahai Amirul Mukminin! Urwah bin Ruwain berkata: "Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi hingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibrail bertanya: Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?" 

Wahai Amirul Mukminin! Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah: 

"Sesungguhnya panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya." 

Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja. 

Wahai Amirul Mukminin! Ingatlah kata-kata Umar Al Khattab: ‘Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertangungiawabkan mengenainya di akhirat kelak!" 

Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?" 

Peringatan seperti ini sebenarnya hanya berani disuarakan oleh ulama yang mempunyai kekuatan jiwa yang luar biasa dan bekerja kerana Allah. Dalam suratnya kepada khalifah itu, Imam Auzai’ menyambung: 

Wahai Amirul Mukminin! Allah telah berfirman: 

"Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara di antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah’: Shad: 26 

Wahai Amirul Mukminin! Rasulullah bersabda: 

"Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota daripada badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu hitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia lepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun)." 

Wahai Amirul Mukminin! Umar r.a. berkata:" Amir (pemerintah) itu ada empat jenis: 

Amir yang kuat; yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. la seperti mujahid (orang yang berjihad). Tangan (kekuasaan) Allah dan rahmatNya terhampar ke atasnya. 

Amir yang lemah; yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. la dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah: "Pengembala yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri. " 

Dan Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai pegawainya menurut hawa nafsunya. Mereka kesemuanya akan binasa." 

Wahai Amirul Mukminin! Umar Al-Khattab telah berdoa: 

"Wahai Tuhanku. Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh, apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata". 

Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia dihina dan direndahkan oleh Allah. 

JABATAN AGAMA ISLAM KENA POSITIF


Alhamdulillah ,makin ramai artis-artis tanah air yang dahulunya huha huha dan bersosial kini telah berhijrah 100% ke arah kebaikan demi mencari keredhaan ilahi. Bayangkan sebelum nie watak mereka agak brutal dan kini mereka telah berubah 180 darjah. 

Itulah hidayah Allah. Dia tak kira pada siapa saja boleh dicampakkan NUR HIDAYAH dalam hati mereka lalu mereka berubah demi mencari jalan pulang yang sebenar-benarnya. 

Kini adalah antara mereka yang telah berubah!!!! 

1. Bob Lokman - bekas pelakon, pelawak, komposer

2. Ustaz akhil hayy - bekas penyanyi rock (80-an)
'D Riyadh'

3. Megat - bekas penyanyi kumpulan ACAB

4. Azmeer Mustafa - bekas pelakon filem 'ali setan'

5. Ustaz Radzi - bekas penyanyi rock 'Melissa'

6. Iwan Syahman - bekas penyanyi dangdut

7. Izam - bekas vocalis kumpulan E.Y.E

8. Sham kamikaze - bekas gitaris kumpulan 'kamikaze'

9. Mel - bekas penyanyi kumpulan 'Wings'

Monday 21 November 2011

Lawatan Sheikh Dr. Abdul Rahman bin Abdul Aziz As-Sudais Imam Masjidil Haram...




Sheikh Dr. Abdul Rahman bin Abdul Aziz As-Sudais, Imam Masjidil  Haram telah menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai salah satu acara dalam rangka  lawatan  beliau ke Malaysia. Ketibaan beliau di Masjid Wilayah Persekutuan  telah disambut oleh Yg. Bhg. Dato’ Wan Mohamab b. Dato’ Sheikh Abd Aziz, Ketua Pengarah JAKIM diringi oleh Pegawai dan Kakitangan Masjid Wilayah Persekutuan.  Selepas solat Jumaat  beliau telah diraikan oleh pihak pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan dengan jamuan makan tengahari  yang turut dihadiri oleh YB Senator Mejar Jeneral  ( B )  Dato’ Seri  Jamil Khir bin Baharom.





Ahmad Deedat...



Siapakah Ahmed Deedat?

Inilah seorang hamba Allah yang telah berdepan secara langsung dengan para ahli teologi Kristian pada satu ketika dulu ( sehingga awal 90-an). Jimmy Sawggart, Dr. Anees Shoroos, Prof Floyd, dan ramai lagi adalah nama-nama ahli teologi Kristian yg pernah kecut perut bila berdebat dgn beliau dalam mengupas dan membandingkan asas agama Kristian dan Islam.


Tatapi biografi seorang pendebat Islam terkenal dan tiada tandingan abad ini iaitu Ahmad Deedat.

Ahmad Deedat dilahirkan di Surat, India, pada tahun 1918. Beliau tidak dapat kekal bersama dengan ayahnya sehingga tahun 1926. Ayahnya adalah seorang penjahit, akibat dari profesionnya itu telah berhijrah ke Afrika Selatan tidak lama setelah kelahiran Ahmad Deedat.

Tanpa pendidikan formal dan untuk menghindari dari kemiskinan yang amat larat, Ahmad Deedat telah pergi ke Afrika Selatan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik bersama ayahnya pada tahun 1927. Perpisahan Deedat dengan ibunya pada tahun kepergiannya ke Afrika Selatan untuk menyusul ayahnya itu adalah saat terakhir ia bertemu ibunya dalam hidupnya kerana ibunya telah meninggal dunia beberapa bulan kemudian (dari tarikh penghijrahan Deedat bersama ayahnya ke Afrika Selatan).

Di negeri yang asing, seorang anak lelaki kecil berusia 9 tahun tanpa berbekal pendidikan formal dan penguasaan bahasa Inggeris telah mula menyiapkan peran yang harus dimainkannya berpuluh-puluh tahun kemudian tanpa disedarinya.

Dengan ketekunannya dalam belajar, anak lelaki kecil tersebut tidak hanya dapat mengatasi hambatan bahasa asing, tetapi juga unggul di sekolahnya. Kegemaran dan hobi Deedat dalam membaca telah menolongnya untuk memudahkan dirinya mendapatkan promosi pendidikan sehingga beliau tamat pendidikan pada darjah 6. Kekurangnya pembiayaan pelajaran menyebabkan sekolahnya tertunda dan di awal usia 16 tahun untuk pertama kalinya ia bekerja dalam bidang retail.

Yang terpenting sekali adalah pada tahun 1936, sewaktu beliau bekerja di kedai / toko Muslim berdekatan sebuah sekolah menengah Kristian di pantai selatan Natal. Penghinaan yang tidak henti-henti dari siswa Misionaris menantang Islam selama kunjungan mereka ke toko Muslim telah menanamkan keinginan beliau yang membara untuk melakukan aksi menghentikan propaganda Kristian yang salah itu.

Mempelajari Kitab Bible

Ahmad Deedat telah berjaya menemukan sebuah buku berjudul Izharul-Haq yang bererti mengungkapkan kebenaran. Buku ini berisi teknik-teknik dan keberhasilan usaha-usaha umat Islam di India yang sangat besar dalam membalas gangguan Misionaris Kristian selama penaklukan Inggeris dan pemerintahan India. Secara khusus, idea untuk menangani debat telah berpengaruh besar dalam jiwa dan diri beliau. Beliau juga turut menghafaz Al-Quran sehinggakan beliau digelar Al-Hafiz.

Beberapa minggu setelah itu, Ahmad Deedat membeli Injil pertamanya dan mula melakukan debat dan diskusi dengan siswa-siswa misionaris. Ketika siswa misionaris tersebut mundur dalam menghadapi argumen balik Ahmad Deedat, secara peribadi telah memanggil guru teologi Kristian kepada siswa-siswa misionaris untuk berdebat bersamanya, bahkan pendeta-pendeta Kristian di daerah tersebut juga turut diajak berdebat bersama Deedat.

Dakwahnya

Keberhasilan-keberhasilan ini telah memacu Ahmad Deedat untuk berdakwah. Bahkan perkahwinan, kelahiran anak dan persinggahan sebentar selama tiga tahun ke Pakistan sesudah kemerdekaannya tidak mengurangi keinginannya untuk membela Islam dari penyimpangan-penyimpangan yang memperdayakan hasil dari para misionaris Kristian yang tidak bertanggungjawab.

Dengan semangat misionaris untuk menyebarkan agama Islam, Ahmad Deedat telah membenamkan dirinya pada sekumpulan kegiatan lebih dari tiga dekad yang akan datang. Beliau memimpin kelas bagi matapelajaran Injil dan memberi sejumlah kuliah ilmu. Beliau mendirikan As-Salaam, sebuah institut untuk melatih para pendakwah Islam. Ahmad Deedat, bersama-sama dengan keluarganya, hampir seorang diri mendirikan bangunan-bangunan termasuk masjid yang masih dikenali sehingga saat ini.

Ahmad Deedat adalah anggota paling awal yang menganggotai Islamic Propagation Centre International (IPCI) dan menjadi Presidennya, sebuah posisi yang dipegangnya sampai tahun 1996. Ia menerbitkan lebih dari 20 buku dan menyebarkan berjuta-juta salinan secara percuma. Ahmad Deedat mengirim beribu-ribu materi kuliah ke seluruh dunia dan mendebat dengan pengabar-pengabar Injil pada debat umum. Beribu orang telah memeluk Islam atas rahmat Allah serta hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Antara perdebatan beliau yang hebat ialah perdebatan dengan Paderi Josh McDowell bertajuk ‘Benarkah Nabi Isa disalib? dan paderi Jimmy Swaggart bertajuk ‘Adakah Injil kalam Allah?’.

Karya-karyanya

Antara karya beliau yang masyhur ialah seperti ‘The Choice Between Islam and Christianity’, ‘Is the Bible God Word?’, ‘What is His Name?’ dan ‘al-Quran, The Miracles of Miracles’.

Penghargaan

Sebagai penghargaan yang tertinggi untuk prestasinya yang bersejarah itu, beliau telah dianugerahkan penghargaaan antarabangsa dari Raja Faisal pada tahun 1986. Penghargaan bergengsi yang sangat berharga dalam dunia Islam.

Akhir Hayat

Sisa sembilan tahun usia hidupnya, Ahmad Deedat hanya boleh berbaring di tempat tidurnya di Verulam, Afrika Selatan. Dan akhirnya pada 8 Ogos 2005, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah menderita sakit dan kelumpuhan hampir 10 tahun lamanya akibat terserang strok di rumahnya di Trevennen Road di Verulam, provinsi KwaZulu-Natal, Durban.

Ribuan orang dari seluruh Afrika Selatan menghantar jenazah beliau ke tempat peristirehatan terakhirnya. Keranda yang membawa tokoh cendiakawan muslim ini ditutupi kain berwarna hijau dan diusung dari tempat kediamannya di Verulam, Afrika Selatan untuk disolatkan di Masjid Wick Street. Solat jenazah itu diikuti oleh sekitar 1000 orang jemaah dipimpin oleh ulama terkemuka asal Zambia Mufti Ismail Menk. Setelah itu jasadnya dimakamkan di pemakaman umum Islam di Verulam.

Beliau dikenal sebagai pejuang dakwah. Kiprahnya dalam dakwah berhasil meningkatkan status warga muslim di Afrika Selatan, namanya dikenal juga dikenal oleh komuniti muslim di
Asia.

Moga Allah menempatkan beliau di kalangan para nabi, orang-orang soleh dan syuhada.

Saturday 19 November 2011

Ibn Khaldun


Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Italy, dan SepanyoL Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibn Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, al'Hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam.Ibn Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya. Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibn Khaldun dalam ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa.
Ibn Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti keadilan (al adl), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness.Berhubung dengan keadilan (Justice), Ibn Khaldun telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan musnah.Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan. Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain. Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam.
Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga sebagai paling tidak adil. Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta cara yang tidak betul. Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibn Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.

Manusia dan Ekonomi

Berdasarkan analisis mendalam, didapati kesemua teori ekonomi dan idea Ibn Khaldun tentang manusia berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan falsafah Islam. Ibn Khaldun tidak melihat fungsi utama manusia dalam aktiviti perekonomiannya seumpama haiwan ekonomi (economic animal). Sebaliknya beliau menganggap manusia itu sebagai manusia Islam (Islamic man/homo Islamicus) yang memerlukan pengetahuan ekonomi untuk memenuhi misinya di atas muka bumi ini.Dalam hal ini, Ibn Khaldun menekankan perlunya manusia menjauhi perbuatan jahat. Sebaliknya manusia wajib mengikuti ajaran Islam sebagai model untuk memperbaiki dirinya dan mesti memberikan keutamaan kepada kehidupan akhirat.

Teori Pengeluaran

Ibn Khaldun mengemukakan teori bahawa kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir.
Selain itu beliau berpendapat bahawa kenaikan yang tetap pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Dalam hal ini beliau menyarankan agar masyarakat melakukan perancangan supaya setiap bidang pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga buruh bergantung rapat dengan pasaran. Di sini dapatlah dinyatakan bahawa teori pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh, dan pertukaran yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun 100 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang juga mengemukakan teori yang sama.

Teori Nilai, Wang dan Harga

Ibn Khaldun tidak secara jelas membezakan antara teori nilai diguna (use value) dengan nilai pertukaran (exchange value). Tetapi beliau dengan tegas berhujah bahawa nilai sesuatu barangan bergantung kepada nilai buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran."Semua usaha manusia dan semua tenaga buruh perlu digunakan untuk mendapatkan modal dan keuntungan. Tidak ada jalan lain bagi manusia untuk mendapatkan keuntungan melainkan melalui penggunaan buruh, kata Ibn Khaldun.

Teori Pengagihan

Menurut Ibn Khaldun harga barangan terdiri daripada tiga elemen utama iaitu gaji atau upah, keuntungan, dan cukai. Ketiga-tiga elemen ini merupakan pulangan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, beliau membahagikan ekonomi kepada tiga sektor iaitu sektor pengeluaran, pertukaran, dan perkhidmatan awam. Menurut Ibn Khaldun, nilai atau harga sesuatu barangan sama dengan kuantiti buruh yang terlibat dalam pengeluaran barangan berkenaan. Harga buruh merupakan asas kepada penentuan harga sesuatu barangan dan harga buruh itu sendiri ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran.Manakala keuntungan terhasil daripada perbezaan yang diperoleh oleh peniaga antara harga jualan dengan harga belian. Namun begitu perbezaan antara kedua-dua harga itu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...