Monday 8 April 2013

Ribat dalam gerak kerja pilihan raya

Ustaz Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali,04 Apr 2013

Pilihan raya ke-13 yang bakal disertai oleh PAS merupakan salah satu kerja jihad semasa bagi gerakan Islam. Jihad ini menuntut pengorbanan dari para pejuang dari sudut harta, jiwa dan juga masa. Justeru, konsep Ribat fi Sabilillah yang disebut di dalam al-Quran dan Hadis perlu diaplikasikan bagi memaksimakan penyertaan tenaga kerja pilihan raya seterusnya memaksimakan kemenangan Islam dalam memerintah Malaysia.

Konsep Ribat fi SabiliLlah

Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah al-Muwatta', Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud-maksud berikut :

Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah

Maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. la merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab). Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya.

Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad. Dalilnya ialah firman Allah Taala yang berbunyi :

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfaal : ayat 60)


Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya :

"Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui." 
(Surah al-Baqarah : ayat 262)
Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan

Ribat seperti ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam kitabnya Fathul Bari, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang Islam daripada musuh. Definisi Ribat seperti ini merujuk kepada firman Allah Taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah menjadi ribat (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." 
(Surah Ali-Imran : ayat 200)
Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi SAW antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa'ad al-Sa'idi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya..." (Sahih Bukhari)

Manakala di dalam Sahih Muslim turut meriwayatkan daripada Salman al-Farisi RA katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezekinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur)." (Sahih Muslim)

Ketiga : Ribat Dalam Ibadah

Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda (bermaksud), "Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wuduk di waktu sukar, memperbanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat." (Sahih Muslim).

Menurut Ibn Kathir di dalam tafsirannya, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif menafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid. Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.

Pilihan raya Sebagai Wasilah Menegakkan Khilafah

Melantik pemerintah Islam yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama adalah satu kewajipan yang telah disepakati oleh Sahabat Nabi SAW dan para ulama. Dalilnya ialah ijmak Sahabat melantik Khalifah selepas kewafatan Nabi SAW. Dalam konteks Malaysia, pilihan raya menjadi satu wadah yang dibenarkan menurut perundangan negara untuk memilih pemerintah. Pilihan raya akan menentukan sama ada pemerintah yang terpiiih memerintah menurut al-Quran dan Hadis atau menurut hawa nafsu. Berasaskan kepada hakikat ini penglibatan gerakan Islam dalam pilihan raya merupakan satu keperluan semasa bagi memastikan negara diperintah menurut Islam.

Penglibatan dalam pilihan raya merupakan satu jihad fi sabiliLlah. Kaedah Fiqah ada menegaskan, "Sesuatu yang tidak sempurna kewajipan lain melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib".

Dalam konteks semasa perundangan Malaysia hari ini menegakkan khilafah yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama hanya boleh berlaku menerusi pilihan raya. Maka, penglibatan diri dalam pilihanraya adalah wajib.

Pilihanraya Wasilah Melaksanakan Jihad Menyatakan Kebenaran

Pilihan raya menjadi wasilah untuk menegur pemerintah yang khianat terhadap amanah kepimpinan dan melakukan kezaliman. Justeru, gerak kerja pilihan raya merupakan satu jihad fi sabiliLlah. Nabi SAW bersabda (maksudnya), "Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat mempunyai bendera pada hari Kiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah janganlah kehebatan manusia menjadi penghalang bagi seorang lelaki memperkatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim." (Musnad Imam Ahmad)

Ribat Dalam Gerak Kerja Pilihan raya

Ketiga-tiga konsep Ribat di atas perlu dijelmakan dalam kerja-kerja Jihad melibatkan pilihan raya. Justeru Ribat dalam gerakkerja pilihan raya bermaksud :

1. Menyediakan kelengkapan kerja-kerja pilihan raya melibatkan harta.
2. Mengikat diri untuk berada di medan pilihan raya sepenuhnya sekiranya mampu sepanjang tempoh kempen pilihan raya ke-13.
3. Menyiapkan gerak kerja yang boleh menggerunkan musuh.
4. Menjaga  ibadah utama sepanjang tempoh kempen pilihan raya dengan  menyempurnakan wuduk, bergerak ke markaz-markaz untuk mengerjakan solat berjamaah di markaz-markaz pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihanraya.

Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta

Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya ketika berlangsungnya peperangan Tabuk; Saidina Uthman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan 300 ekor unta berjumlah 1000 dinar beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang. 1000 dinar bersamaan dengan RM859,000 menurut kiraan hari ini berdasarkan dinar emas Kelantan bernilai RM859 untuk 1 dinar. Manakala harga 300 ekor unta boleh dinilai hari ini dengan RM 1.5 juta berdasarkan harga semasa seekor unta RM5000.

Penutup
Penjelmaan konsep Ribat dalam pilihanraya ke-13 oleh para alim ulama merupakan saham besar kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya ke-13 insya Allah. Para ulama boleh melaksanakan ketiga-tiga jenis Ribat yang telah dijelaskan. Saham utama mereka ketika Ribat ialah masa yang diperuntukkan untuk membuat penjelasan-penjelasan ilmu kepada orang-orang jahil, harta benda yang boleh disumbangkan dan ketulusan ibadah mereka sepanjang pilihan raya untuk menggamit kemenangan dikuriakan oleh Allah.

http://www.tarbawi.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...