Saturday 17 March 2012

Sijil halal: Pemuda PAS setuju langkah Jakim

Harakahdaily,16 Mac 2012



KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mengenakan hukuman penjara dan denda mulai 1 Julai 2012 kepada pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan jabatan itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu wajar sebagai usaha mewujudkan kesedaran tinggi kepada pengusaha agar berusaha mendapatkan sijil dan logo halal dengan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

"Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan pengusaha makanan tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan tahap halal makanan yang dijual mereka.  

"Tindakan ini juga boleh mengembalikan tahap keyakinan umat Islam terhadap produk yang dijual serta premis makanan yang terdapat di negara ini. Dengan cara ini, kebersihan dan tahap halal sesuatu makanan dapat dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, isu halal dalam makanan yang dihidangkan sama ada berbentuk produk yang dijual dipasaraya-pasaraya ataupun di premis makanan adalah suatu isu yang amat sensitif pada umat Islam.

Umat Islam yang prihatin dan peka tidak sesekali mengizinkan tubuh mereka dimasuki oleh unsur yang haram, terutama dalam soal makanan.

Makanan yang haram akan menjadikan tubuh umat Islam diselaputi dengan perkara yang haram dan seterusnya boleh menyebabkan  generasi negara ini menjadi rosak akhlak dan aqidah mereka, kata Riduan.

"Justeru, amat penting soal halal dalam makanan dititkberatkan dan DPPM merasakan tindakan JAKIM untuk melaksanakan hukuman penjara dan denda kepada pengusaha yang gagal mendapatkan logo halal adalah tindakan yang wajar," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...