Thursday 1 December 2011

Ikhwanul Muslimun pertahan Artikel 2 Perlembagaan Mesir


Shamsul Ma'arif Ismail   



Perkembangan politik dan sosial yang berlaku di bumi Mesir sangat mengujakan.
Setelah sekian lama Ikhwan diharamkan dan Regim Hosni Mubarak
tidak meluluskan permohonan Ikhwanul Muslimun (IM) untuk menubuhkan
sebuah parti politik telah berubah pasca revolusi. Kebebasan IM untuk
bergerak dan kelulusan Parti Kebebasan dan Keadilan
yang ditubuhkan Ikhwan kini membantu mencorakkan suasana
baru bagi umat Islam di Mesir. Bahkan kumpulan Salafi 
yang dulunya tidak mahu melibatkan diri dalam politik pun 
turut terlibat dalam unjuk rasa dan penglibatan politik demokrasi.
Ikhwan mewajibkan seluruh anggotanya menjadi ahli kepada
parti baru mereka namun parti Kebebasan dan Keadilan
adalah parti terbuka untuk semua rakyat Mesir walaupun 
beragama bukan Islam. Parti baru ini tidak dikawal melalui arahan 
IM Mesir secara terus namun semua pimpinan parti ini adalah 
daripada pimpinan utama Ikhwan dan menjayakan agenda Ikhwan 
dengan kuasa pentadbiran yang independan. Parti ini terus menjaga 
dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong 
dasar Islam dalam perlembagaan Mesir seperti dalam article 2 
( Constitutional Declaration 2011) 
"Islam is the religion of the state, 
and the Arabic language is its official language. 
The principles of Islamic law 
are the chief source of legislation. "
Keperihatinan Ikhwan menyokong dan mempertahankan dasar Islam
di dalam perlembagaan yang diproklamasikan oleh Majlis Tentera 
adalah bertepatan dengan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan Ikhwan. 
Meskipun parti mereka Hizbu Hurriyah wal 
adalah adalah parti yang diasaskan mengikut kehendak perlembagaan 
yang melarang wujud parti basis agama dan bangsa, 
mereka tetap menjaga dan memelihara dasar dan perjuangan Ikhwan. 
Sudah tentu ini menggambarkan kebijaksanaan dan pemeliharaan 
prinsip teras yang wajar sentiasa dipelihara.
Setiausaha Agungnya Dr. Mohamed Saad Katatni, 
(Secretary-General of the Freedom and Justice Party (FJP) 
 menjelaskannya kepada wartawan Al-Jazeera malam tadi.
Pendirian bijak Ikhwan ini hendaklah menjadi input dan pengajaran 

kepada parti-parti baru yang ingin menubuhkan usaha politik di negeri 
masing-masing. Meskipun adanya anggota pengasasnya 
terdiri dari Coptic Kristian dan Wanita namun semua mereka telah 
menerima dasar-dasar Islam di dalam parti dan juga 
menjunjung Artikel 2 yang menjadikan Islam sebagai agama 
bagi negara dan bahasa arab sebagai bahasa resmi. 
Prinsip undang-undang Syariah adalah sumber utama Legislasi.
Gerakan Islam yang ingin mengambil kesempatan ruang politik 
janganlah sesekali menjual prinsip perjuangan mereka demi 
mendapatkan restu dan kuasa yang singkat. 
Rakyat bukanlah penentu kebenaran, namun Islam lah asas dan dasar
yang harus dipertahankan sesuai dengan perjuangan Nabi-nabi dan rasul 
yang seringkali mendapat bantahan kaum mereka. 
Sikap mencairkan prinsip atas nama demokrasi dan kebebasan 
bukan hanya bertentang dengan prinsip akidah namun akan 
mengheret gerakan Islam ke kancah perpecahan ummah.
Ketika ditanya oleh wartawan Jazeera apa bezanya 
Parti Hurriyah wal Adalah @ FJP berbanding dengan 
Parti AKP di Turki, SU Agung Parti menjelaskan bahawa 
keadaan politik yang berperlembagaan sekular di Turki sejak dulu lagi 
adalah berbeza dengan Mesir yang menjadikan Islam 
sebagai agama negara. Sesungguhnya ini adalah jawapan yang sangat tepat.
Waqik atau realiti Turky bukan menjadi asas pendekatan yang sama.
Parti AKP yang cenderung kepada Islam bertindak dalam kerangka
perlembagaan Turki yang sekular manakala 
Parti FJP (Parti IM) bergerak dalam kerangka perlembagaan Mesir 
yang menjadikan Islam agama negara sudah tentu 
punya ruang yang lebih luas dan Islamik.
Di Libya, Majlis Peralihan (NTC) juga mengambil pendekatan ini. 
Morocco yang baru menerima kemenangan Parti Keadilan 
dan Pembangunan mungkin akan mengambil pendekatan yang sama.
Mereka yang menggunakan sistem propotional representation 
perlu bekerjasama dengan parti-parti lain yang 
memenangi pilihanraya baru-baru ini.
Ada maklumat mengatakan mereka akan bekerjasama 
dengan parti politik yang cenderung menyokong Raja Morocco yang 
telahpun mengurangkan sedikit kuasa mutlaknya 
kepada kuasa rakyat bagi mengelakkan kemarahan rakyat 
terhadap kezaliman raja-raja yang memerintah sebelum ini.
Perubahan lanskap politik Mesir telah membuka peluang 
kepada kumpulan Islam. Namun dalam masa yang sama juga 
membuka peluang kepada golongan liberal dan sosialis. 
Ianya juga membuka ruang kepada gerakan hak asasi manusia 
melalui pemuda-pemuda Mesir yang condong kepada Barat. 
Jesteru apapun yang telah berlaku memberi ruang yang luas 
kepada demokrasi yakni kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Peristiwa seorang gadis muda Mesir yang mendedahkan 
seluruh tubuhnya di dalam Face Book mendapat kecaman hebat 
dari seluruh rakyat Mesir yang masih mempertahankan jati diri 
masyarakat Timur. Walaupun begitu wanita-wanita Israel dengan 
bangganya menubuhkan fan group dan menyokong 
gadis Alia El-Mahdy ini sebagai tanda sokongan kepada 
sekularisasi dan liberalnya atas nama kebebasan mutlak individu.
Sejak kebangkitan rakyat yang disokong oleh Majlis tentera 
keadaan politik masih belum stabil. Setelah 10 bulan selepas 
tamatnya Regim Hosni Mubarak, seramai 50 juta pengundi akan 
memilih wakil mereka di parlimen. Dimaklumkan 50 buah parti 
terlibat dalam Pilihanraya  pertama kali ini. 
Meskipun demikian Pilihanraya  di Mesir semalam telah mendapat 
sokongan luar biasa rakyat. Peratus keluar mengundi meningkat 
walaupun ada sesetengah tempat mengundi menghadapi 
krisis pengurusan pilihanraya. Namun golongan wanita 
antara yang awal keluar mengundi.
Proses peralihan dari kerajaan tentera yang sifatnya 
sementara kepada kerajaan awam adalah hasrat 
rakyat yang telah melakukan revolusi tempohari. 
Namun adanya usaha melewat-lewatkan proses ini serta wujudnya 
anasir luar dan asing yang mahu menghuru harakan keadaan, 
melakukan demonstrasi tidak terkawal, membakar bangunan kerajaan, 
serta mewujudkan rasa tidak tenteram hubungan 
antara Islam dan Kristian dicetuskan oleh golongan yang mahukan 
kerajaan Tentera terus berkuasa atau mahukan 
kerajaan yang wujud selepas ini semaklin liberal dan condong kepada Barat.
Sekarang terpulanglah kepada rakyat Mesir untuk menentukan
destinasi mereka. Semoga Islam yang sudah sekian lama mendarah daging
dalam jantung umat dan pendekatan bijak Ikhwan sejak sekian lama
serta perpaduan umat Islam di Mesir memungkinkan rakyat 
memilih kepimpinan dari kalangan mereka yang memperjuangkan 
Islam dan memungkinkan kemenangan besar parti-parti yang cenderung
kepada Islam. Dari kajian yang dibuat 40% rakyat 
akan memilih Parti politik dari IM.
Akhirnya dakwah dan kebebasan untuk menyebarkan fikrah Islam 
itulah pra syarat kepada kemenangan Islam. Kuasa semata-mata 
tanpa ada dokongan masyarakat dan ummah tidak akan membawa 
kuasa itu kemana-mana. 


Serangan pemikiran dan perubahan yang di dokong 
kepentingan Barat akan terus berusaha melebarkan pengaruh 
mereka di kalangan generasi muda. Tanpa adanya ketahanan 
dan keteguhan iman generasi muda akan hanyut diganyang 
idea-idea Barat dan faham liberalisme 
serta libertarianisme yang menjadikan hak individu 
sebagai satu yang sacred dan suci tanpa adanya pengaruh 
agama di dalam masyarakat.
Semoga Allah SWT memberi taufik dan inayah serta kejayaan 
bagi umat Islam di Mesir mengharung hari-hari penentu yang akan
menyerlahkan keamanan, kebebasan yang didasari 
agama Islam serta kebaikan ekonomi dan pendidikan bagi Rakyat Mesir.

1 comment:

  1. Alhamdulillah. Moga Malaysia pun dapat praktiskan hukum dan syariah Islam yg sebenar :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...