Saturday 19 November 2011

Zakat

Pengertian Zakat dari Sudut Bahasa

Keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiah berkata: Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.

Pengertian Zakat dari Sudut Syarak

Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat.
Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah s.w.t:
Yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah at-Taubah, Ayat: 103).

Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman:
(Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s.w.t mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka). Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.‏

Hukum Zakat

Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap kafir.
Zakat telah difardukan pada tahun kedua Hijrah dan ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab Suci al-Quran di antaranya firman Allah:

Yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah, Ayat: 43)
dan firman Allah:
Yang bermaksud: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum.
Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
(Surah al-Ma'aarij, Ayat: 24, 25).‏

Hikmat Disyariatkan Zakat dan Kedudukannya:

Di antara hikmat disyariatkan zakat ialah, pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga menjadi seolah-olah sebatang tubuh. Selain dari itu ia juga dapat membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan benteng keamanan di dalam sistem ekonomi Islam dan penjamin ke arah kestabilan dan kesinambungannya.
Zakat ini juga merupakan ibadat material dan penyebab untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat.
(Surah al-A'raaf, Ayat: 156).
Begitu juga ia merupakan syarat untuk mendapatkan bantuan daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.
(Surah al-Hajj, Ayat: 40, 41).
Di samping itu zakat juga merupakan syarat persaudaraan di dalam agama Islam sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama.
(Surah at-Taubah, Ayat: 11).
Zakat juga dianggap sebagai ciri-ciri masyarakat mukmin sebagaimana firman Allah:
Yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah, Ayat: 71).
Zakat turut digelarkan sebagai salah satu sifat orang yang mengimarahkan rumah Allah (masjid) sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.
(Surah at-Taubah, Ayat: 18).
Malah zakat ini jugalah yang dianggap sebagai ciri-ciri mukmin yang berhak mewarisi syurga firdaus sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).
(Surah al-Mu'minuun, Ayat: 4).
Manakala hadis nabi yang menyebut tentang kedudukan zakat pula ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi (mengakui) bahawa tidak ada Tuhan selain daripada Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad adalah Rasulullah, mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a katanya:
Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk sentiasa mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat kepada setiap orang umat Islam.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Islam dibina di atas lima perkara, iaitu menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan Haji di Baitullah bagi orang yang berkemampuan dan berpuasa pada bulan Ramadan.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim). ‏

Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat dan Ancamannya

Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat, ini bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat, dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh kejahilannya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam.
Dalam keadaan ini orang berkenaan hendaklah diajar sehingga dia betul-betul jelas dan dapat mengikutinya dengan baik. Adapun orang yang enggan membayarnya tetapi masih tetap mengakui tentang kewajipan zakat, maka orang yang berkenaan berdosa kerana tindakannya itu walau bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar dari agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil zakat hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran) kepadanya.
Jika terdapat suatu golongan masyarakat yang mempunyai kekuatan dan enggan membayar zakat tetapi mereka masih tetap mengakui kewajipan mengeluarkan zakat, maka pemerintah berhak memerangi mereka sehingga mereka membayar zakat masing-masing berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh jemaah ahli hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w dan pada waktu itu ramai dikalangan bangsa Arab yang kufur (murtad).
Lalu Umar r.a berkata:
Bagaimanakah kamu ingin memerangi orang-orang yang murtad kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya memerangi orang-orang yang murtad sehingga mereka mengakui bahawa tiada Tuhan selain Allah, jika mereka menyatakan pengakuan tersebut, maka jiwa dan hartanya terpelihara daripada aku kecuali apabila orang berkenaan melakukan tindakan yang boleh dijatuhkan hukuman dan perhitungan orang tersebut terserahlah kepada Allah s.w.t.
Lantas Abu Bakar r.a menjawab:
Demi Allah, aku akan terus memerangi orang yang memisahkan di antara sembahyang dengan zakat kerana zakat adalah kewajipan terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka tetap enggan membayar walaupun seekor anak kambing betina yang belum sampai umurnya satu tahun sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w, aku tetap akan memerangi mereka kerananya.
Kemudian Umar r.a berkata:
Demi Allah sesungguhnya Allah telah menerangi dada Abu Bakar untuk memerangi mereka dan aku juga yakin bahawa tindakan tersebut adalah benar.

Manakala di dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya. Setiap kali kepingan tersebut sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50 ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia. Pada waktu itu setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya) adakah dia ditempatkan ke syurga atau ke neraka.
(Hadis riwayat Imam Muslim).

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a, daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda: Tidak seorangpun di kalangan hamba yang tidak membayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti hartanya akan diperlihatkan kepadanya sebagai seekor ular yang sangat besar dan sangat berbisa lalu membelit lehernya. Kemudian Nabi s.a.w membaca kepada kami ayat suci al-Quran yang menegaskan lagi perkara tersebut:
Yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.
(Surah Aali Imran, Ayat: 180).
Hadis Sahih, riwayat Imam Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah serta lafaz hadis juga diambil dari riwayat Ibnu Majah. Dalam sebuah hadis yang lain pula diriwayatkan daripada Ali r.a katanya:
Rasulullah s.a.w mengutuk (melaknat) orang yang memakan riba, pemberi riba, saksi riba, penulis riba, pelukis tatu, orang meminta supaya dilukis tatu, orang yang enggan membayar zakat, pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta.
(Hadis Hasan, riwayat Imam Ahmad dan Nasaie).‏

Syarat-syarat Zakat

Zakat diwajibkan ke atas beberapa jenis harta dengan diletakkan beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Syarat-syarat ini dibuat untuk membantu pembayar zakat agar dapat membayar zakat hartanya dengan rela hati sehingga matlamat sebenar zakat disyariatkan akan tercapai.
Syarat-syarat tersebut adalah sebagaimana berikut:
  1. Dimilik dengan sempurna.
  2. Apa yang dimaksudkan dengan dimiliki dengan sempurna ialah pemilik harta tersebut bebas menggunakan harta yang dimiliki olehnya tanpa campur tangan orang lain. Hal ini disyaratkan kerana zakat pada asalnya bermakna memiliki dan diberikan kepada orang yang berhak menerimanya dan keadaan ini tidak dapat dilaksanakan kecuali harta yang dimiliki itu adalah harta milik yang sempurna. Oleh yang demikian tidak dikenakan zakat terhadap harta yang berada diluar kekuasaan pemilik atau harta yang tuannya tiada dan tidak diketahui di mana tempatnya atau tidak mampu untuk mengesan tuannya.
    Telah diriwayatkan oleh beberapa sahabat: Tidak dikenakan zakat terhadap harta yang diluar kekuasaan pemilik, atau cincin mas kahwin yang belum dibayar kerana wanita tidak dapat menggunakannya, tidak dikenakan zakat terhadap hutang yang tidak dapat dibayar, akan tetapi apabila sudah berada di tangan, barulah ianya wajib dikeluarkan zakat dengan hitungan bayaran satu tahun sahaja walaupun hutang atau mas kahwin tersebut telah berada di tangan orang lain atau suami bertahun-tahun lamanya, begitu juga hutang terhadap orang yang tidak mampu membayarnya.
  3. Perkembangan sebenar atau mengikut taksiran.
  4. Maksudnya ialah harta itu membiak subur secara semulajadi atau taksir. Apa yang dimaksudkan dengan berkembang subur secara semulajadi seumpama harta itu bertambah dengan cara dilahirkan, dikembangkan dan diperniagakan. Apa yang dimaksudkan dengan taksiran pula ialah harta yang kemungkinan nilainya akan bertambah seperti emas, perak dan wang kerana harta seumpama ini boleh bertambah nilainya dengan cara diperniagakan, maka hendaklah ianya dikeluarkan zakat. Adapun aset tetap atau harta yang dimiliki yang tidak berkembang secara semulajadi atau taksiran maka tidak wajib dikeluarkan zakat.
  5. Cukup nisab.
  6. Nisab ialah kadar harta yang telah ditentukan oleh syarak, di mana sesuatu harta itu tidak dikenakan zakat sekiranya tidak sampai kadar yang telah ditentukan. Antara syarat wajib zakat ke atas harta yang diwajibkan zakat ialah sampai nisab.
    Syarat ini dikenakan ke atas wang tunai, emas, perak, barang perniagaan dan haiwan. Sebagaimana yang telah disebut di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tidak wajib zakat ke atas emas kecuali apabila sampai 20 dinar (1 Dinar= 4.25 gram, oleh itu 20 Dinar= 85 gram) apabila telah sampai 20 Dinar maka zakatnya ialah setengah Dinar. Begitulah juga perak tidak dikenakan zakat kecuali apabila sampai 200 Dirham (1 Dirham= 2.975 gram, oleh itu 200 Dirham= 595 gram) di mana zakatnya ialah 5 Dirham. Nisab emas ialah 20 mithqal= 85 gram emas tulin, manakala nisab perak pula ialah 200 Dirham= 595 gram perak tulin.
    Nisab zakat barang perniagaan ialah sama nilainya dengan zakat emas iaitu 85 gram emas tulin, manakala barang-barang zakat yang lain telah ditentukan nisabnya. Termasuk barang yang dikenakan zakat ialah barang yang telah cukup nisab atau lebih, adapun yang kurang dari satu nisab maka ianya tidak dikenakan zakat. Kesempurnaan nisab pula dilihat pada awal dan akhir haul, di mana kekurangan dan kelebihan di antara awal dan akhir haul tidak akan mempengaruhi nisab. Digabungkan faedah atau hasil yang diperolehi dari harta zakat diakhir haul, ini mengikut pandapat mazhab Imam Hanafi dan Maliki di mana cara ini adalah lebih mudah untuk dipraktikkan lantaran itu ianya disepakati oleh Jumhur Fukaha.

    Kesan Percampuran dalam Nisab dan Kadar yang Wajib Dikeluarkan

    Harta campuran adalah harta yang dimiliki oleh beberapa orang kemudian digabungkan seolah-oleh dimilik oleh seorang dengan sebab sama dari sudut sifat dan keadaannya. Seumpama satu tempat pemeliharaan, satu tempat minum dan satu kandang termasuklah dari sudut jaminan, pengurusan, pembiayaan terhadap harta perusahaan.
    Pada asalnya asas percampuran hanya digunakan terhadap binatang ternakan, akan tetapi terdapat sebahagian mazhab yang lain menggunakan kaedah ini selain dari binatang seumpama terhadap tanaman, buah-buahan dan wang. Apabila kaedah ini dikenakan terhadap harta perusahaan, kita akan dapati seolah-olah harta itu milik seorang, sama ada dari sudut kiraan nisab dan kadar yang wajib dikeluarkan zakat.
    Contohnya:
    Kita dapati bahawa nisab haiwan yang dimiliki oleh tiga orang dan setiap orang memiliki sebanyak 15 ekor kambing, apabila dicampur menjadi 45 ekor, di mana jumlah ini telah melebihi jumlah nisab yang dikenakan zakat iaitu sebanyak 40 ekor kambing, maka wajib dikeluarkan zakat seekor kambing, akan tetapi sekiranya dihitung ke atas setiap pemilik sudah pastilah nisabnya tidak akan sampai dan tidak boleh dikeluarkan zakat.
  7. Lebih dari keperluan asas.
  8. Barang-barang yang dimiliki secara asasi kerana berhajatkan kepadanya seperti rumah yang digunakan untuk berteduh, alat-alat yang digunakan, mesin-mesin, kenderaan-kenderaan seperti kereta motor dan alat-alat rumah adalah tidak dikenakan zakat, begitu juga wang yang disimpan untuk membayar hutang (akan dijelaskan kemudian) juga tidak diwajibkan zakat, kerana orang yang berhutang sangat berhajatkan kepada harta yang berada ditanganya bagi mempertahankan dirinya dari terus berhutang dan dihina. Oleh yang demikian, maka harta yang diperlukan atau dihajati tidak diwajibkan zakat.
  9. Cukup haul.
  10. Haul ialah peredaran harta satu nisab dalam 12 bulan Kamariah (bulan Hijrah). Akan tetapi jika terdapat kesusahan untuk menghitungnya dengan bulan Hijrah disebabkan terikat dengan kiraan tahun Masihi, maka boleh dikira mengikut tahun Masihi dengan penambahan kadar yang wajib dikeluarkan iaitu dari 2.5 % kepada 2.577 kerana bilangan hari tahun Masihi lebih dari tahun Hijri.
    Tidak disyaratkan haul kepada zakat tanam-tanaman dan buah-buahan, kerana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
    Keluarkanlah haknya iaitu zakat ketika hari menuai.
    (Surah al-An'am, Ayat:141),
    Samalah juga terhadap zakat galian dan harta yang ditanam di dalam tanah di mana tidak disyaratkan haul.
  11. Mencegah pergandaan di dalam zakat.
  12. Apabila sesuatu harta telah dikeluarkan zakatnya kemudian harta tersebut berubah bentuk, seumpama hasil pertanian yang telah dikeluarkan zakat kemudian hasil pertanian itu dijual dengan harga tertentu, ataupun kambing yang telah dikeluarkan zakat setelah cukup nisab kemudian dia menjual kambing-kambing tersebut dengan harga tertentu, maka harta yang diperolehi dari jualan harta yang telah dikeluarkan zakat apabila diperolehi di akhir haul tidak perlu dikeluarkan zakat di dalam haulnya agar tidak berlaku pergandaan di dalam pembayaran zakat terhadap satu jenis harta. Sebagaimana kenyataan Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud:
    Tidak ada gandaan dalam berzakat.
    (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
  13. Harta umum dan harta waqaf kebajikan:
  14. Harta umum tidak wajib dikeluarkan zakat kerana harta itu dimiliki oleh orang ramai dan di antara mereka itu terdapat fakir miskin. Dalam hal ini tidak terdapat milik khusus malah tidak ada agensi kerajaan yang mengambil zakat dari hartanya sendiri untuk diberikan kepada dirinya sendiri. Samalah juga halnya terhadap harta waqaf yang diwaqafkan untuk kegunaan kepentingan umum seperti untuk para fakir miskin, masjid-masjid, anak-anak yatim dan lain-lain atas jalan kebaikan dan kebajikan umum. Ini adalah kerana pemilik asal harta tersebut telah mewakafkannya untuk kepentingan umum iaitu tidak menetapkan milik orang tertentu. Begitu juga harta-harta persatuan, yayasan-yayasan kebajikan sosial tidak dikenakan zakat kerana harta-harta tersebut adalah milik sekelompok orang-orang fakir yang hanya disalurkan kepada orang-orang yang memerlukan disamping harta-harta itu bukan milik seseorang atau orang-orang tertentu.

    Jenis-jenis Zakat

    Zakat Wang Tunai (Emas, Perak dan Mata Wang):

    Definisi Wang Tunai:
    Apa yang dimaksudkan dengan wang tunai ialah semua jenis mata wang kertas dan logam, sama ada mata wang tersebut digunakan di negeri yang ingin dikeluarkan zakat ataupun mata wang negeri lain.
    Kewajipan Mengeluarkan Zakat Wang Tunai:
    Kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai telah ditetapkan di dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Adapun ayat yang menyebut tentang perkara tersebut ialah firman Allah s.w.t Yang bermaksud:
    "Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. "
    (Surah at-Taubah, Ayat: 34-35).
    Manakala ketetapan yang disebut di dalam hadis pula ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
    Harta yang telah dibayar zakatnya tidak lagi dinamakan dengan harta simpanan (kanzun).
    (Hadis riwayat Hakim dan disahkan oleh Zahabi).
    Begitu juga sabda Nabi s.a.w:
    Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya digosok ke badan, dahi dan punggungnya.
    (Hadis riwayat Imam Muslim).
    Ulama-ulama Islam di setiap masa telah bersepakat di atas kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai (emas dan perak) dan perkara tersebut juga dikiaskan kepada semua jenis mata wang yang lain kerana telah diputuskan bahawa ia juga menggunakan hukum yang sama dengan emas dan perak. Institusi Fekah Islam di Jeddah telah membuat keputusan di dalam no. 9, perkara 3 yang berbunyi: (Wang kertas juga dianggap sebagai kekayaan wang tunai yang memiliki nilai (daya beli) sepenuhnya dan ia juga menggunakan hukum syarak sama sebagaimana yang ditetapkan untuk emas dan perak seperti hukum riba, zakat, jualan salam dan sebagainya).
    Nisab Zakat Wang Tunai:
    Harta kekayaan yang ingin dikeluarkan zakat hendaklah mencukupi nisab iaitu kadar minimum yang telah ditetapkan oleh syarak di mana zakat tidak wajib dikeluarkan dari harta yang kurang dari kadar tersebut tetapi jika harta yang dimiliki telah mencukupi kadar tersebut, ia wajib dikeluarkan zakat.
    Nisab emas dan mata wang emas ialah sebanyak 20 misqal iaitu bersamaan dengan 85 gram emas tulin. (1 misqal = 4.25 gram).
    Sedangkan nisab perak dan mata wang perak pula adalah sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gram perak tulin. (1 dirham = 2.975 gram).
    Institusi Penyelidikan Islam (dalam muktamarnya kali kedua) telah menggariskan ketetapan yang berbunyi: (Penaksiran nisab zakat kekayaan mata wang logam (wang syiling), mata wang kertas, bank notes (seperti cek, wang pos dan sebagainya) dan komoditi perniagaan (barang perniagaan) adalah dihitung berdasarkan nilai emas. Setiap harta dari kekayaan tersebut yang telah mencapai kadar nilai 20 misqal emas, ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana nilai emas lebih stabil berbanding dengan kekayaan yang lain).
    Untuk mengetahui harga pasaran semasa bagi 1 misqal emas, ia hendaklah dirujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh pakar dalam bidang ini.
    Sesetengah penyelidik ekonomi Islam menggunakan alasan lain di dalam memilih nisab emas sebagai pengukur untuk mentaksirkan nisab zakat wang tunai. Alasan mereka ialah kerana emas merupakan galian yang bernilai tinggi dan sering dijadikan jaminan (walaupun dalam kadar yang kecil) untuk wang kertas yang dikeluarkan oleh sesebuah negara malah berdasarkan nilai emas inilah nilai wang kertas ditaksirkan sehingga emas seolah-olah menjadi mata wang antarabangsa di samping menjadi panduan asas untuk menilai mata wang dunia dan mata wang tersebut juga dirujuk kepadanya walaupun harganya kadang kala mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut perubahan harga pasaran.
    Mengikut pendapat mazhab Hanafi, nilai emas boleh digabungkan dengan nilai perak untuk mencukupi nisab perak yang ada (nilai sahaja bukannya benda). Oleh yang demikian nilai emas yang ada perlu dihitung begitu juga dengan nisbah (kadar) emas tersebut berbanding dengan nisabnya kemudian dihitung pula harga perak yang ada. Apabila nilai kedua-duanya mencukupi nisab, ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana pengertian "kaya" telah terbukti dengan memiliki nilai sejumlah nisab. Di samping itu nilai komoditi perniagaan juga boleh digabungkan dengan emas dan perak yang ada untuk mencukupi nisab. Nisab kekayaan wang tunai, mata wang kertas dan wang logam lain (duit syiling) dihitung berdasarkan emas iaitu dengan kadar yang sama dengan nilai 85 gram emas tulin - emas yang masih dalam bentuk ketulan emas (999) - mengikut harga di hari cukup nisab yang mewajibkan zakat di negeri tempat terdapat harta pembayar zakat.
    Adapun bagi emas yang tidak tulin, berat timbangannya hendaklah dikurangkan mengikut kadar berat bahan campurannya yang bukan dari jenis emas.
    Contohnya di dalam emas 18 karat, berat timbangannya hendaklah dikurangkan sebanyak satu perempat dan ia juga berupa enam perdua puluh empat (1/4 = 6/24) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan zakat.
    Manakala di dalam emas 21 karat berat timbangannya hendaklah dikurangkan sebanyak satu perlapan dan ia berupa tiga perdua puluh empat (3/24 = 1/8) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan zakat.
    Begitu juga dengan cara penghitungan perak yang tidak tulin.

    Syarat-syarat Diwajibkan Mengeluar Zakat Emas, Perak dan Mata Wang:

    Zakat wang tunai, emas dan perak hanya diwajibkan apabila memenuhi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat sebagaimana yang telah dijelaskan.

    Kadar Zakat Emas, Perak dan Mata Wang Yang Wajib Dikeluarkan:

    Kadar zakat yang wajib dikeluarkan dari emas, perak dan mata wang ialah sebanyak 1/40 (2.5%). 

    Cara Untuk Menghitung Kadar Zakat Emas dan Perak Dalam Bentuk Nilai Mata Wang Tunai:

    Jika pembayar zakat ingin mengeluarkan zakat emas ataupun zakat perak yang diwajibkan kepadanya dengan menggunakan wang tunai, nilai yang wajib dibayar adalah nilai yang diambil dari hasil kiraan zakat yang dibuat terhadap emas dan perak. Contohnya: 25 gram emas (kadar zakat yang wajib dikeluarkan) didarab dengan harga 1 gram emas. Kita anggarkan harganya adalah sebanyak (4 Dinar), setelah itu kita akan dapati hasilnya iaitu nilai zakat yang wajib dikeluarkan dalam bentuk mata wang. Proses pengiraannya begini: Kadar zakat = 25 gram emas x 4 dinar (harga 1 gram) = 100 Dinar.

    Zakat Perhiasan, Kekayaan Emas dan Perak

    Perhiasan perempuan yang disediakan hanya untuk penggunaan (pemakaian) peribadi sahaja tidak wajib dikeluarkan zakat selagi ia tidak melebihi kadar pakaian kebiasaan bagi perempuan yang mempunyai kedudukan sosial yang setaraf dengannya. Adapun perhiasan yang lebih dari kadar yang biasa dipakai, ia wajib dikeluarkan zakat kerana langkah tersebut sama seperti (termasuk di dalam pengertian) menyimpan dan mengumpul harta. Begitu juga seseorang wanita wajib mengeluarkan zakat perhiasan yang sudah tidak dipakai lagi disebabkan oleh modelnya yang telah lama atau sebagainya.
    Zakat bagi kedua-dua perhiasan tersebut dihitung berdasarkan berat timbangan emas dan perak yang tulin dan ia tidak dikira dengan kadar harga, tidak dihitung dengan harga yang lebih mahal disebabkan oleh reka bentuk dan buatannya serta tidak dihitung dengan harga batu permata yang diikat bersamanya dan aksesori tambahan yang lain selain dari emas dan perak yang menghiasinya.
    Keadaan ini berbeza dengan emas dan perak yang masih ada di tangan peniaga kerana zakatnya dihitung berdasarkan nilai keseluruhan bagi perusahaannya termasuk perhiasan batu-batu permata yang ada.

    Perhiasan Emas dan Perak yang Haram dipakai Wajib Dikeluarkan Zakat

    Perhiasan emas yang haram dipakai tetapi dimiliki oleh kaum lelaki wajib dikeluarkan zakat seperti gelang emas atau jam tangan tetapi jika dia memakai cincin perak, ia tidak wajib dikeluarkan zakat kerana perak adalah dihalalkan bagi kaum lelaki. Begitu juga dengan wanita yang memakai perhiasan kaum lelaki sedangkan perhiasan tersebut diharamkan bagi mereka, ia wajib dikeluarkan zakat.
    Kesimpulannya, kesemua perhiasan emas dan perak walaupun haram dipakai wajib dikeluarkan zakat apabila telah cukup nisab sama ada nisab tersebut cukup dengan sendirinya ataupun cukup secara menggabungkan dengan harta yang lain. Penjelasan mengenai nisab emas dan perak telahpun dijelaskan sebelum ini. Selain dari itu wang tunai juga hendaklah digabungkan dengan emas dan perak untuk menghitung nisab, begitu juga dengan komoditi perniagaan hendaklah digabungkan dengan barang yang lain.
    Kadar zakat perhiasan emas dan perak yang wajib dikeluarkan juga adalah sebanyak 2.5% atau 1/40.

    Zakat Bon

    Hukum Syarak Dalam Pengurusan Jual Beli Dengan Menggunakan Bon

    Bon (keterangan akuan hutang atau pinjaman) merupakan sebahagian dari pinjaman yang diberikan kepada syarikat atau pihak yang mengeluarkannya. Syarikat atau pihak berkenaan memberikan faedah tertentu terhadap bon tersebut ketika ia dikeluarkan. Faedah ini tidak dikaitkan dengan keuntungan atau kerugian syarikat dan syarikat wajib menjelaskannya dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Bon tersebut memiliki harga nominal (harga seimbang) iaitu harga asli ketika ia dikeluarkan pada kali pertama dan harga pasaran disesuaikan dengan kedudukan tawaran dan permintaan.
    Hukum berurusan jual beli dengan menggunakan bon adalah haram mengikut syariat Islam kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, begitu juga kerana ia termasuk di dalam kategori jual beli hutang kepada orang lain (orang yang tidak berkaitan) dan jual beli tersebut adalah tidak dibolehkan.

    Cara Membayar Zakat Bon

    Walaupun urusan jual beli dengan menggunakan bon diharamkan kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, pemilik bon tetap diwajibkan membayar zakat dari nilai asal (nilai nominal bon) yang dimilikinya pada setiap tahun secara menggabungkan nilai modal bon tersebut dengan hartanya yang lain dalam hitungan nisab dan haul, kemudian membayar sebanyak 1/40 atau 2.5% dari jumlah keseluruhannya tidak termasuk faedah riba yang dihasilkan. Faedah riba yang diharamkan itu hendaklah dibelanjakan ke arah kebaikan dan kepentingan umum selain dari pembinaan masjid, percetakan al-Quran dan sebagainya.
    Perbelanjaan faedah riba dengan cara sedemikian adalah untuk menghindarkan diri dari harta yang haram, ia juga tidak boleh dihitung sebagai harta yang wajib dikeluarkan zakat, tidak boleh dibelanjakan untuk kepentingan diri sendiri, anak-anak dan keluarga tetapi sebaik-baiknya ia disumbangkan kepada orang-orang yang betul-betul terdesak seperti orang-orang yang ditimpa kebuluran, musibah, bencana alam dan sebagainya.

    Zakat Saham

    Hukum Syarak Dalam Pengurusan Dengan Menggunakan Jual Beli Saham

    Saham adalah merupakan sebahagian dari modal sesebuah syarikat yang akan mengalami keuntungan dan kerugian sesuai mengikut keuntungan dan kerugian syarikat berkenaan. Pemilik saham adalah merupakan salah seorang rakan kongsi di dalam sesebuah syarikat atau dengan kata lain dia merupakan pemilik sebahagian dari harta syarikat mengikut kadar nisbah bilangan saham-sahamnya berbanding dengan jumlah keseluruhan saham syarikat dan pemilik saham berhak menjual sahamnya bila-bila sahaja dia kehendaki.
    Saham mempunyai harga nominal yang ditetapkan ketika dikeluarkan kali pertama dan ia juga mempunyai harga pasaran yang ditentukan berdasarkan kedudukan tawaran dan permintaan di bursa saham tempat di mana saham-saham tersebut beredar.
    Kedudukan halal atau haramnya sesuatu saham adalah dihukum mengikut kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh syarikat yang telah diberikan saham. Oleh yang demikian, haram memberi saham kepada sesebuah syarikat dan haram memiliki sahamnya apabila dasar utama syarikat tersebut adalah untuk beroperasi dan menjalankan perniagaan sesuatu barang yang diharamkan seperti melaksanakan riba serta membuat dan berniaga arak ataupun mengamalkan sistem jualan yang diharamkan seperti sistem jualan dengan menunjukkan contoh barang dan jualan gharar (jualan barang yang tidak pasti harga, barang jualan, waktu dan kemampuan untuk menyerahkannya).

    Cara Membayar Zakat Saham

    1. Jika syarikat yang berkaitan telah membayar zakat sahamnya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam bahagian zakat syarikat, pemilik saham tidak lagi wajib mengeluarkan zakat sahamnya untuk mengelakkan dari berlaku pergandaan di dalam zakat (mengeluar zakat sebanyak dua kali).
    2. Adapun apabila syarikat tersebut tidak mengeluarkan zakatnya, pemilik saham wajib membayar zakatnya dengan cara sebagaimana berikut:
    3. Apabila pemilik saham mengambil saham-sahamnya untuk diperniagakan secara menjualbelikan sahamnya, maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak 1/40 atau 2.5% dari harga pasaran yang sah pada hari diwajibkan zakat (waktu cukup haul) seperti komoditi perniagaan yang lain.
    Jika pemilik saham mengambil sahamnya hanya untuk mendapatkan manfaat dari keuntungan tahunan saham tersebut, maka cara pembayaran zakatnya adalah sebagaimana berikut:
    1. Jika dia mampu untuk mengetahui (sama ada melalui syarikat yang mengeluarkan saham atau melalui pihak yang lain) kadar harga yang telah ditentukan bagi setiap saham dari jumlah keseluruhan aset syarikat yang wajib dikeluarkan zakat, dia wajib membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2.5% dari nilai saham tersebut.
    2. Jika dia tidak dapat mengetahuinya, dia hendaklah menggabungkan keuntungan saham tersebut dengan kekayaan yang lain dalam hitungan haul dan nisab kemudian membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2.5% dan dengan demikian dia bebas dari segala tanggungannya.

    Zakat Hutang

    Hutang ialah nilai sejumlah wang yang diberi pinjam kepada orang lain dan ia wajib dikeluarkan zakat jika kemungkinan besar ia boleh dijelaskan oleh peminjam tersebut. Hutang yang baru digabungkan dengan baki kekayaan wang tunai yang lain dalam hitungan nisabnya. Sedangkan hutang yang perlu dibayar kepada orang lain oleh orang yang ingin mengeluarkan zakat, ia tidak dihitung sebagai harta yang perlu dikeluarkan zakat sebagaimana berikut:
    1. Hutang boleh menghalang kewajipan zakat dari orang yang berhutang sesuai mengikut nilai hutang tersebut apabila hutang berada di dalam tanggungannya sebelum tiba waktu wajib membayar zakat dan apabila orang yang ingin mengeluarkan zakat tidak mempunyai harta lain untuk membayar hutangnya selain dari harta zakat yang melebihi keperluan asasnya, dia bolehlah menjelaskan hutangnya itu dari harta zakat tersebut.
    2. Jika orang yang berhutang yang ingin mengeluarkan zakat memiliki pelbagai jenis harta yang melebihi dari harta zakat, dia hendaklah menggunakan salah satu dari jenis harta tersebut untuk menjelaskan hutangnya kemudian dia mengeluarkan zakat bagi baki harta zakat yang lain. Keadaan ini adalah lebih berfaedah bagi golongan yang berhak menerima zakat.
    3. Hutang-hutang jangka panjang (hutang tunggakan) yang berkaitan dengan tempat tinggal dan hutang-hutang lain seumpamanya yang membiayai aset tetap adalah tidak diwajibkan zakat dan ia biasanya dijelaskan secara beransur-ansur dalam jangka masa yang panjang. Hutang sebegini hanya boleh mengurangi harta zakat sesuai mengikut nilai ansuran tahunan yang perlu dijelaskan pada tahun tersebut sahaja dan orang berkenaan (orang yang berhutang) hanya wajib mengeluarkan zakat bagi baki harta yang masih berada di tangannya, jika masih lagi cukup nisab ataupun lebih dari nisab.
    4. Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan dikurangkan dengan kesemua hutang-hutang yang membiayai urusan-urusan perniagaan apabila orang yang berhutang tidak mempunyai modal yang dimiliki (aset tetap) lebih dari keperluan asasinya.
    5. Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan dikurangkan dengan hutang-hutang pelaburan yang membiayai sesuatu projek perkilangan (eksploitasi) apabila orang yang berhutang tidak mempunyai modal yang dimiliki (aset tetap) lebih dari keperluan asasinya yang boleh digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang tersebut. Jika dia memiliki aset tersebut, maka aset itulah yang perlu digunakan untuk menjelaskan hutang. Semasa dia menjelaskan hutang dengan menggunakan aset tersebut, harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat tidak perlu lagi dikurangkan dengan hutang.
    Sekiranya aset tersebut tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang, maka harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan dikurangkan dengan nilai hutang yang masih berbaki (diambil dari harta zakat untuk menjelaskan baki hutang tersebut) dan sekiranya hutang tersebut adalah hutang pelaburan jangka panjang (hutang tunggakan), maka harta zakat diambil hanya untuk menjelaskan ansuran tahunan yang perlu dijelaskan pada tahun tersebut sahaja

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...