Saturday 19 November 2011

Solat...

Pengertian Solat

Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.
Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali sebagai rukun qalbiyy.

Waktu Sembahyang

Waktu sembahyang fardhu lima waktu iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui sabdanya yang bermaksud:

“Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan ‘Isya’ ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan ‘Isya’ ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.”

Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:
  1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya.
  2. Waktu ‘Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.
  3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya.
  4. Waktu ‘Isya’ bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar.
  5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.

Waktu-Waktu Yang Ditegah Melakukan Solat

Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:
  1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.
  2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.
  3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).
  4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.
  5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

  1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.
  2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.
  3. Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:
  4. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.
  5. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).
  6. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.
  7. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.

Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.



Syarat-Syarat Sah Solat

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

Syarat Wajib Solat

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang. Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:
  1. Beragama Islam.
  2. Baligh.
  3. Berakal.
  4. Suci daripada haidh dan nifas.
  5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.
  6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.



Syarat Sah Solat

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya. Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:
  1. Suci daripada hadath kecil dan besar.
  2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.
  3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.
  4. Menutup aurat.
  5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah).

Rukun Solat

Sembahyang sama ada fardhu atau sunat mestilah memenuhi tiga belas rukun yang utama seperti berikut:
  1. Berdiri tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap ruku‘ tanpa keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardhu. Dalam sembahyang sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya hanyalah sunat.
  2. Niat dalam hati ketika melakukan takbiratul ihram dengan memusatkan qasad hendak melakukan sembahyang sambil mengingati jenis dan bentuknya sama ada fardhu atau sunat.
  3. Takbiratul ihram.
  4. Cara takbir dilakukan ialah dengan lafaz . Boleh juga dengan lafaz atau .
    Syarat-syarat takbir ialah :
    1. Ucapan takbir dilakukan semasa dalam kedudukan berdiri.
    2. Melafazkan takbir dengan keadaan menghadap ke arah qiblat.
    3. Takbir diucapkan dalam bahasa Arab kecuali tidak mampu berbuat demikian dan tidak sempat belajar, maka boleh dengan terjemahannya tetapi mesti dipelajari.
    4. Semua huruf yang diucapkan itu didengari oleh diri sendiri.
    5. Ucapan itu hendaklah terkemudian daripada ucapan imam.
    6. Semasa melafazkan takbir hendaklah disertai dengan niat.
  5. Membaca Al-Fatihah. Ia adalah rukun pada setiap raka‘at semasa berdiri atau kedudukan lain sebagai gantiannya dalam semua jenis sembahyang. Syarat-syaratnya adalah:
    1. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    2. Bacaan itu hendaklah dengan susunan yang betul, meneliti tempat keluar (makhraj) huruf yang betul dan dinyatakan dengan segala sabdunya.
    3. Janganlah terlampau berlagu hinggakan boleh mengubah maknanya.
    4. Bacaan itu hendaklah dalam bahasa Arab.
    5. Bacaan itu hendaklah dalam keadaan berdiri.
    6. Semua ayat hendaklah dibaca dengan sempurna dalam setiap raka‘at kecuali ma’mum masbuq dan jika imam membaca terlalu cepat.
  6. Ruku‘, iaitu tunduk dengan kadar membolehkan dua tapak tangannya boleh sampai kepada kedua-dua lutut. Ini yang paling kurang dan sebaik-baiknya tunduk hinggakan belakangnya sama dengan tengkuk dan menegakkan dua betis dan memegang lutut dengan tangan sambil jari-jari mencengkamnya. Syarat-syarat ruku‘ ialah tunduk dengan kadar yang dinyatakan iaitu sampai dua tapak tangan ke lutut tanpa diniatkan ruku‘ itu perkara lain selain sembahyang, dan dengan tama’ninah iaitu berterusan ruku‘ dengan keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih.
  7. I‘tidal selepas ruku‘. I‘tidal bermaksud bangkit daripada ruku‘ dan kembali kepada keadaan berdiri atau gantiannya beserta dengan tama’ninah. Syarat-syaratnya ialah dilakukan tanpa tujuan lain selain mendirikan sembahyang, dilakukan dengan tama’ninah dengan kadar sekurang-kurangnya bacaan satu tasbih dan tidak terlalu panjang melebihi tempoh bacaan Al-Fatihah kerana ia adalah rukun pendek.
  8. Sujud dua kali dalam setiap raka‘at. Maksud sujud ialah sentuhan dahi orang yang bersembahyang ke tempat sujud. Syarat-syarat sujud ialah:
    1. Terbuka dahi tanpa berlapik dan tidak tertutup ketika melakukannya.
    2. Sujud hendaklah berlaku di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua tangan (tapaknya), kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki dengan serentak.
    3. Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat melebihi bahagian yang paling atas (kepala) sekadar yang termampu.
    4. Sujud tidak dilakukan di atas pakaian yang bersambung dengannya yang bergerak dengan pergerakannya.
    5. Tidak diniatkan selain daripada sujud sembahyang.
    6. Dahi hendaklah ditekan ke tempat sujud dengan tekanan yang sederhana sekadar memberi kesan pada kain jika terdapat di bawahnya.
    7. Tama’ninah ketika sujud dengan kadar mengucap sekali tasbih.

  9. Duduk antara dua sujud. Caranya ialah duduk dengan sama rata beserta tama’ninah pada setiap raka‘at sama ada sembahyang secara berdiri atau tidak. Syarat-syaratnya ialah:
    1. Bangkit dari sujud itu kerana melakukan ibadah bukan disebabkan perkara lain.
    2. Jangan terlalu lama hingga melebih tempoh bacaan tasyahhud yang paling pendek.
    3. Dilakukan dengan tama’ninah iaitu sekurang-kurangnya diam seketika selepas pergerakan anggota dan sebaik-baiknya melebihi batasan itu.
  10. Duduk tahiyyat akhir yang disusuli selepasnya oleh salam. Ia dilakukan pada raka‘at akhir setiap sembahyang dan perlu untuk membaca zikir wajib iaitu tasyahhud. Cara duduk yang sunat ialah secara tawarru‘, iaitu duduk dengan dikeluarkan kaki kiri dari sebelah kanannya dan pangkal peha diletakkan di atas tanah, dan menegakkan kaki kanan serta mengeluarkan kaki kiri dari bawah kaki kanan dan menekan jari kaki kanan ke atas bumi (melipatkannya) supaya hujung jari kaki kanan itu menghala ke qiblat.
  11. Membaca tasyahhud semasa duduk kali terakhir. Lafaz tasyahhud yang sempurna ialah seperti berikut:
  12. Syarat-syarat tasyahhud adalah seperti berikut:
    1. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    2. Bacaan hendaklah berurutan tanpa diselangi oleh diam yang lama atau zikir lain.
    3. Bacaan itu hendaklah dilakukan semasa duduk kecuali jika berlaku keuzuran.
    4. Bacaan itu hendaklah dengan bahasa Arab melainkan jika tidak mampu.
    5. Semasa membacanya hendaklah menitikberatkan tempat keluar huruf (makhraj) dan segala shaddahnya (baris sabdu).
    6. Pembacaannya hendaklah secara tertib dari segi kalimah-kalimahnya.
  13. 11.       Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud (tahiyyat akhir) semasa duduk kali terakhir. Lafaz salawat hendaklah sekurang-kurangnya . Seelok-elok lafaz salawat ialah salawat Al-Ibrahimiyyah. Syarat-syarat bacaan salawat ialah:
    1. Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    2. Hendaklah dengan lafaz “Muhammad” . Boleh juga dengan lafaz “Rasulullah” atau “An-Nabiy” .
    3. Hendaklah dengan bahasa Arab kecuali tidak mampu.
    4. Bacaan itu hendaklah tertib dari segi sighahnya dan dibaca selepas tasyahhud.
  14. Salam yang pertama yang bertujuan untuk keluar daripada sembahyang dan dilakukan semasa duduk kali terakhir. Syarat-syaratnya ialah:
    1. Dimulakan kalimah salam dengan alif dan lam iaitu , maka tidak boleh menggantikannya dengan tanwin .
    2. Diucapkan dengan “kaf al-khitab” bagi memfokuskan ucapan salam itu kepada pihak kedua.
    3. Setiap kalimah hendaklah disambung dengan yang lainnya.
    4. Diucapkan dengan dimasukkan “mim al-jama‘” yang menunjukkan pihak yang ditujukan salam itu pihak ramai.
    5. Diucapkan salam dengan keadaan tubuh badan menghadap qiblat dengan dadanya.
    6. Ucapan itu hendaklah diiringi dengan niat untuk keluar daripada sembahyang, tidak bertujuan untuk pemberitahuan semata-mata.
    7. Ucapan itu hendaklah dilakukan semasa berkeadaan duduk.
    8. Ucapan dilakukan dalam bahasa Arab kecuali mereka yang tidak sempat belajar.
    9. Ucapan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri jika tiada sebarang halangan.
  15. Tertib di antara semua rukun sembahyang tanpa mendahulukan rukun yang sepatutnya dikemudiankan.

Perkara Sunat Dalam Solat

Sunat ketika melakukan sembahyang ada dua jenis iaitu sunat ab‘adh dan sunat hai’ah. Sunat ab‘adh ialah setiap perkara yang dimestikan sujud sahwi pada akhir sembahyang jika meninggalkannya. Sementara sunat hai’ah pula, setiap perkara yang jika ditinggalkan tidak dikenakan sujud sahwi.

Sunat Ab‘adh

  1. Tasyahhud awal, iaitu tasyahhud yang dibaca semasa duduk selepas melakukan setiap dua raka‘at dalam sembahyang Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan ‘Isya’.
  2. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud awal tanpa disambung dengan salawat ke atas ahli keluarga Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.
  3. Salawat kepada ahli keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud akhir.
  4. Duduk bagi mengerjakan setiap tiga perkara sunat ab‘adh di atas.
  5. Bacaan qunut semasa i‘tidal pada raka‘at sembahyang Subuh, pada raka‘at akhir sembahyang witir ketika separuh kedua bulan Ramadhan iaitu selepas malam kelima belas.


Sunat Hai’ah

Sunat hai’ah sangat banyak semasa melakukan sembahyang. Secara umumnya,sunat hai’ah boleh diringkaskan kepada perkara-perkara berikut:
  1. Mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram, mula hendak ruku‘ dan bangkit daripadanya, dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.
  2. Meletakkan tangan kanan ke atas belakang tangan kiri di bawah dada, di atas pusat sambil mengarahkan sedikit ke arah hati.
  3. Melihat ke tempat sujud sambil menundukkan kepala sedikit.
  4. Membaca tawajjuh atau doa iftitah secara senyap.
  5. Membaca al-isti‘azah secara perlahan selepas tawajjuh dan sebelum Al-Fatihah.
  6. Selain daripada itu, ma’mum hendaklah menyaringkan bacaan pada tempat-tempat yang menghendaki sedemikian iaitu semasa sembahyang Subuh, dua raka‘at pertama sembahyang Maghrib dan ‘Isya’, Juma‘at, dua hari raya, gerhana bulan, istisqa’, tarawih, witir ramadhan, dua raka‘at selepas tawaf pada malam hari dan waktu Subuh. Pada selain waktu-waktu tersebut hendaklah memperlahankan suara.
  7. Membaca selepas Al-Fatihah sama ada oleh imam, ma’mum atau bersendirian.
  8. Membaca surah atau paling kurang tiga ayat selepas bacaan Al-Fatihah. Disunatkan kepada imam atau persendirian dan ma’mum yang tidak mendengar bacaan imam kecuali pada raka‘at ketiga dan keempat kepada selain masbuq dengan dua raka‘at pertama.
  9. Bertakbir ketika melakukan perpindahan dari satu rukun ke rukun yang lain.
  10. Membaca semasa mengangkat kepala daripada ruku‘.
  11. Membaca tasbih ketika ruku` dan sujud sebanyak tiga kali.
  12. Meletakkan kedua-dua tangan pada kedua-dua paha ketika duduk tasyahhud.
  13. Duduk secara iftirash dalam semua tempat dikehendaki duduk kepada selain mereka yang masbuq dan yang lupa.
  14. Membaca salawat Ibrahimiyyah selepas tasyahhud akhir.
  15. Berdoa dan ta‘awwuz iaitu meminta perlindungan kepada Allah selepas tasyahhud akhir.
  16. Memberikan salam kedua selepas salam fardhu yang pertama.
  17. Khusyu‘, iaitu menghadirkan hati semasa mengerjakan sembahyang dan memberi perhatian kepada setiap patah perkataan yang diucapkan.

Perkara Makruh Dalam Sembahyang

Makruh mengikut jumhur ulama’ bermaksud tanzihiyyah, iaitu sesuatu yang patut dielakkan. Jika seseorang melakukan sembahyang secara makruh, maka sebaiknya dia hendaklah melakukannya semula sekiranya waktu masih ada. Secara umumnya, ukuran dalam menentukan sesuatu perkara makruh ialah setiap perbuatan dan perkara yang bertentangan dengan As-Sunnah.
Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang ialah seperti berikut:
  1. Meninggalkan sesuatu perkara sunat dalam sembahyang dengan sengaja.
  2. Melakukan bacaan yang menyonsang dari susunan yang ada dalam Al-Qur’an.
  3. Membaca dalam raka‘at kedua bacaan surah yang lebih panjang daripada yang dibaca dalam raka‘at pertama.
  4. Mengulangi pembacaan surah yang sama dalam satu raka‘at yang sama atau dalam dua raka‘at.
  5. Melakukan sesuatu yang tidak bermakna dengan tangannya tanpa ada sebab yang perlu.
  6. Memejamkan kedua-dua mata semasa sembahyang tanpa keperluan.
  7. Berpaling dengan dada masih menghadap qiblat ketika sembahyang tanpa sebarang sebab.
  8. Berdiri sebelah kaki atau mengangkat sebelah kaki lalu disandarkan kepada kaki satu lagi.
  9. Bersembahyang dalam keadaan menahan keinginan untuk membuang air kecil, air besar atau menahan daripada terkentut.
  10. Mengerjakan sembahyang dalam keadaan bersandar ke dinding atau sebagainya.
  11. Membaca surah atau ayat dalam dua raka‘at akhir sembahyang fardhu kecuali ma’mum yang masbuq yang ketinggalan raka‘at pertama dan kedua.
  12. Membaca nyaring di tempat yang sepatutnya perlahan atau sebaliknya.
  13. Menghamparkan kedua belah lengan semasa sujud seperti yang dilakukan oleh singa.
  14. Mengerjakan sembahyang dengan menggunakan pakaian harian atau pakaian untuk bekerja sekiranya mempunyai pakaian yang lain.
  15. Sembahyang tanpa berbaju sedangkan dia mampu memakainya.
  16. Bersembahyang dengan pakaian yang terlukis dengan gambar binatang ataupun manusia.
  17. Mengerjakan sembahyang di tempat-tempat seperti bilik mandi, pasar, tempat lalu lalang, kubur, gereja, tempat buangan sampah, tempat penyembelihan dan kandang binatang.




Perkara Yang Membatalkan Solat

Sembahyang akan terbatal apabila seseorang yang bersembahyang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
  1. Percakapan yang disengajakan selain Al-Qur’an, zikir dan doa. Percakapan yang membatalkan itu sekurang-kurangnya terdiri daripada dua huruf atau lebih sekalipun tidak difahami maknanya. Begitu juga jika hanya satu huruf tetapi difahami maknanya.
  2. Melakukan perbuatan atau pergerakan luaran yang banyak (lebih tiga kali) dan berurutan.
  3. Gugur salah satu daripada syarat-syarat sembahyang. Antaranya:
    1. Berlaku hadath sama ada kecil atau besar sebelum salam pertama secara sengaja atau tidak kecuali hadath yang berterusan seperti seorang yang berpenyakit buasir serius.
    2. Terkena najis yang tidak dimaafkan sama ada pada badan, pakaian atau tempat sembahyang tanpa sempat dibuang atau dielakkan serta merta sebelum berlalu tempoh tama’ninah yang paling minima.
    3. Aurat terbuka secara sengaja walaupun ditutup serta merta atau tidak sengaja tetapi sempat menutupnya serta merta
    4. Dada terpesong daripada qiblat dalam keadaan sedar.
    5. Orang yang bersembahyang menjadi gila, pengsan atau mabuk semasa melakukannya.
  4. Berlaku kepincangan pada salah satu rukun sembahyang seperti dalam keadaan berikut:
    1. Mengubah niat dengan berazam untuk keluar daripada sembahyang atau menggantungkan tamat sembahyang dengan sesuatu perkara.
    2. Syak pada niat, takbiratul ihram atau pada jenis sembahyang yang diniatkan.
    3. Merasa ragu-ragu atau syak sama ada telah memutuskan sembahyang atau tidak.
    4. Sesuatu rukun diputuskan dengan sengaja seperti melakukan i‘tidal sebelum sempurna ruku‘ secara tama’ninah.
    5. Menambah mana-mana rukun dengan sengaja seperti menambah ruku‘ atau sujud.
    6. Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja.
  5. Makan dan minum semasa sembahyang dengan banyak melebihi uruf.
  6. Ketawa, berdehem, menangis, mengerang kesakitan yang dilakukan dengan sengaja hingga mengeluarkan bunyi yang jelas sekadar dua huruf sekalipun tidak difahami.
  7. Murtad walaupun dalam bentuk gambaran kasar bukannya secara hukmi.

 

Pembahagian Solat - Solat Fardhu



Jenis-Jenis Solat

Solat terbahagi secara umumnya kepada dua jenis sahaja iaitu solat fardhu dan solat sunat. Solat Juma‘at juga merupakan salah satu solat fardhu tetapi ia disyari‘atkan bagi menggantikan solat Zuhur kepada golongan tertentu. Solat fardhu juga kadangkala dilakukan semasa bermusafir dan cara-caranya lebih berbentuk fleksibel. Sementara solat sunat nafilah mempunyai banyak jenis dan bentuknya.



Solat Fardhu

Bentuk Solat Fardhu
Solat fardhu mempunyai beberapa bentuk ketika hendak melakukannya, iaitu:
  1. Solat Berjama‘ah.
  2. Solat Juma‘at.
  3. Solat Musafir.
  4. Solat Khauf.

Sembahyang Berjema'ah

Sembahyang berjama‘ah bermaksud menggabungkan sembahyang ma’mum dengan sembahyang imam. Jama‘ah terhasil dengan bilangan dua orang atau lebih.  Hukumnya adalah fardhu kifayah kecuali sembahyang Juma‘at. Oleh itu, ia mesti dilakukan oleh sekumpulan penduduk dalam sesebuah tempat atau kawasan. Namun demikian, terdapat beberapa keuzuran yang dibenarkan syara‘ untuk tidak menghadirkan diri ke masjid bagi mendirikan sembahyang berjama‘ah seperti berikut:
  1. Keuzuran umum seperti hujan, angin yang kuat pada waktu malam, jalan terlalu becak dan berlumpur.
  2. Keuzuran khusus seperti sakit, keadaan yang terlalu lapar dan dahaga, takut kepada orang yang akan melakukan kezaliman ke atas diri dan hartanya, ketika menahan diri daripada berlaku hadath (kecil) disebabkan kencing dan buang air besar. Begitu juga seseorang yang makan makanan yang berbau busuk, atau berpakaian dengan pakaian yang kotor dan berbau yang boleh mengganggu orang lain.

Syarat Imam

  1. Imam bukanlah seorang ummi yang tidak betul bacaan al-fatihah, cacat dari segi sebutan, ketiadaan syaddah dan sebagainya, sedangkan ma’mum lebih baik daripadanya.
  2. Imam bukan dari kalangan wanita jika ma’mumnya lelaki.
  3. Imam yang hendak diikuti itu bukanlah sebagai pengikut kepada imam lain.

Cara mengikut Imam

  1. Ma’mum hendaklah tidak berada di hadapan imam. Makruh sekiranya ma’mum berdiri selari dengan imam, tetapi yang sunatnya ialah di belakang sedikit dari imam. Ukuran yang diambilkira sama ada berada di hadapan atau di belakang ialah tumit kaki.
  2. Ma’mum hendaklah mengikut imam dengan tidak mendahului takbiratul ihram imam. Hukumnya makruh jika dilakukan serentak dengan imam pada selain takbiratul ihram.
  3. Ma’mum hendaklah mengikuti perbuatan imam dalam semua perpindahan dari satu rukun kepada satu rukun yang berbentuk perbuatan (rukun fi‘liyy) dengan keadaan perbuatan ma’mum hendaklah terkemudian daripada imam, melainkan jika ada keuzuran seperti bacaannya lambat, maka dia boleh tertinggal daripada mengikut imam dengan tiga rukun yang panjang.
  4. Ma’mum hendaklah mengetahui perpindahan imam dari satu rukun ke satu rukun sama ada dengan melihatnya atau melihat sesetengah daripada saf atau mendengar suara imam atau muballigh (penyampai takbir imam).
  5. Jarak tempat antara ma’mum dan imam itu hendaklah tidak terlalu jauh jika kedua-duanya sembahyang di luar masjid. Jika sembahyang didirikan dalam masjid, maka ikutan ma’mum itu sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya.
  6. Ma’mum hendaklah berniat berjama‘ah atau mengikut imam ketika takbiratul ihram.

Sembahyang Jumaat

Sembahyang Juma‘at telah difardhukan di Makkah sejurus sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam juga menegaskan dengan sabdanya: “Sembahyang Juma‘at adalah tanggungjawab yang wajib ke atas setiap orang Islam.”

Syarat Wajib Juma‘at

  1. Mukallaf, iaitu seorang yang beragama Islam, baligh dan berakal.
  2. Kemerdekaan yang sempurna. Hamba tidak diwajibkan Juma`at.
  3. Lelaki, ia tidak diwajibkan ke atas wanita kerana mereka sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga, seterusnya menimbulkan kesulitan kepada mereka.
  4. Sihat tubuh badan, tidak sakit yang memudaratkan.
  5. Bermukim di tempat Juma`at didirikan.

Syarat Sah Juma‘at

  1. Sembahyang itu hendaklah didirikan dalam sempadan kawasan bangunan dan binaan sama ada di pekan atau di kampung yang penduduknya bertaraf mastautin.
  2. Bilangan ahli Juma‘at yang cukup syarat tidak kurang daripada empat puluh orang yang cukup syarat.
  3. Bilangan ahli Juma‘at berkekalan dari awal khutbah hingga tamatnya sembahyang.
  4. Didirikan dalam waktu Zuhur. Jika waktu Zuhur telah sempit, tidak cukup untuk didirikan sembahyang Juma‘at, maka mereka wajib mendirikan sembahyang Zuhur.
  5. Tidak berbilang-bilang Juma‘at pada satu tempat selama ia boleh dibuat dalam satu jama‘ah kecuali penduduk terlalu ramai sedangkan tempat adalah sempit.

Fardhu Juma‘at

Ia terdiri daripada dua fardhu, iaitu khutbah dan sembahyang dua raka‘at. Sembahyang Juma‘at hendaklah didirikan dengan dua raka‘at secara berjama‘ah selepas khutbah. Untuk mendapatkan jama‘ah dalam sembahyang Juma‘at, hanya disyaratkan mendapatkan satu raka‘at yang penuh. Sekiranya ia diperolehi, maka sembahyang Juma‘at adalah sah dan jika tidak, ia wajib ditukar kepada Zuhur.

Rukun Khutbah

  1. Memuji Allah subhanahu wata‘ala dengan menggunakan mana-mana lafaz sekalipun terdapat di dalam isi kandungan ayat yang dibaca.
  2. Bersalawat ke atas Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam dengan mana-mana perkataan yang memberi maknanya.
  3. Berpesan supaya bertaqwa kepada Allah dengan menggunakan apa jua lafaz.
  4. Membaca satu ayat daripada Al-Qur’an yang dapat memberi kefahaman dan mempunyai makna yang jelas pada salah satu daripada dua khutbah.
  5. Berdoa untuk orang-orang yang beriman pada khutbah yang kedua.

Syarat Khutbah

  1. Khatib berdiri ketika berkhutbah sekiranya ia berkuasa untuk berbuat demikian. Kedua-dua khutbah tersebut hendaklah dipisahkan dengan duduk.
  2. Tidak dikemudiankan daripada sembahyang.
  3. Khatib berada dalam keadaan suci daripada hadath kecil dan besar, serta najis yang tidak dimaafkan sama ada pada pakaian, badan atau tempatnya dan berada dalam keadaan menutup ‘aurat.
  4. Rukun-rukun khutbah dibaca dalam bahasa Arab biarpun tidak difahami oleh para jama‘ah.
  5. Berturut-turut di antara rukun-rukun khutbah dan juga antara khutbah pertama dengan khutbah kedua serta antara khutbah kedua dengan sembahyang.
  6. Rukun kedua-dua khutbah tersebut hendaklah didengari oleh empat puluh orang yang mencukupi syarat-syarat sah sembahyang Juma‘at.

Sembahyang Orang Yang Bermusafir

Bermusafir adalah suatu yang berbentuk azab. Disebabkan musafir, manusia kehilangan perasaan-perasaan tenang dan kerehatan. Oleh itu, Allah subhanahu wata‘ala telah memberikan kepada mereka dua bentuk keringanan dalam sembahyang seperti berikut:
  1. Memendekkan bilangan raka‘at yang dinamakan qasar.
  2. Menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu dinamakan jama‘.

Perjalanan yang membolehkan sembahyang jama‘ dan qasar disyaratkan :
  1. Jarak jauh perjalanan hendaklah sampai dua marhalah iaitu lebih kurang 81 km atau lebih.
  2. Perjalanan hendaklah menuju ke arah tertentu dan diketahui bahawa tempat yang dimaksudkan itu jauh.
  3. Perjalanan itu bukan dengan tujuan maksiat. Bermusafir dengan tujuan berniaga arak, mengambil riba atau menyamun adalah maksiat maka tidak diberi kelonggaran.

Sembahyang Qasr

Ia adalah sembahyang fardhu dengan memendekkan setiap sembahyang empat raka‘at iaitu Zuhur, ‘Asar dan ‘Isya’ menjadi dua raka‘at dalam perjalanan yang diharuskan.
Syarat-syarat sah sembahyang qasar seperti berikut :
  1. Sembahyang itu telah masuk waktu ketika bermusafir dan hendaklah ditunaikan ketika musafir.
  2. Orang yang bermusafir hendaklah telah sampai ke sempadan bandar atau pekan yang hendak ditinggalkan atau melepasi bangunan-bangunan di pekan tersebut.
  3. Orang bermusafir tidak berniat untuk tinggal di tempat tujunya selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari sampai dan pulang.
  4. Orang yang musafir tidak menjadi ma’mum kepada orang yang bermukim, maka sembahyang wajib ditunaikan dengan bilangan raka‘at yang sempurna.


Sembahyang Jama'

Sembahyang jama‘ bermaksud menghimpunkan dua sembahyang tunai antara satu sama lain dalam satu waktu.
Sembahyang jama‘ terbahagi kepada dua bahagian:

  1. Jama‘ taqdim iaitu menunaikan sembahyang kedua dalam waktu yang pertama. Syarat-syarat jama‘ taqdim adalah seperti berikut :
    a)         Ditunaikan secara tertib antara keduanya, iaitu dengan menunaikan sembahyang yang pertama terlebih dahulu kemudian diikuti dengan sembahyang yang kedua.
    b)         Hendaklah berniat jama‘ untuk menunaikan sembahyang kedua ke dalam waktu yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama ketika takbiratul ihram.
    c)         Ditunaikan secara berturut-turut (muwalat) iaitu sembahyang yang kedua ditunaikan segera sebaik sahaja selesai daripada salam sembahyang pertama tanpa dipisahkan oleh sesuatu pun sama ada zikir, sembahyang sunat atau lain-lain.
    d)         Perjalanan berterusan sehingga dilakukan sembahyang yang kedua.
    e)         Sembahyang yang pertama hendaklah diyakini bahawa didirikan dengan sah walaupun sembahyang itu mesti ditunaikan semula kerana mungkin ketiadaan air untuk berwudhu’.
  2. Jama‘ ta’khir iaitu melewatkan sembahyang pertama ke dalam waktu kedua. Sembahyang secara jama‘ ta’khir tidak disyaratkan tertib antara kedua sembahyang bahkan boleh memulakannya dengan mana-mana sembahyang yang dikehendaki. Juga tidak disyaratkan muwalat (berturut-turut) tetapi ia disunatkan. Syarat-syaratnya ialah :
    a)         Berniat hendak melewatkan sembahyang pertama ketika dalam waktunya dalam jarak masa yang boleh ditunaikan sembahyang tersebut.
    b)         Orang yang bermusafir itu hendaklah terus berada dalam keadaan musafir sehingga kedua-dua sembahyang selesai didirikan.
  3. Sembahyang Khawf (Ketika Takut)

    Sembahyang khawf ialah sembahyang fardhu yang didirikan ketika berlaku peperangan. Ia istimewa daripada sembahyang lain disebabkan beberapa rukhsah (kemudahan) yang diberikan terutamanya ketika berjama‘ah.
    Sembahyang khawf mempunyai dua keadaan berdasarkan keadaan peperangan yang berlaku, iaitu:
    1. Keadaan berjaga-jaga dan peperangan belum tercetus.
    2. Ketika peperangan tercetus, saf-saf bertaburan dan suasana membimbangkan.

    Keadaan Berjaga-Jaga Dan Peperangan Belum Tercetus

    Bagi keadaan ini terdapat dua cara yang berbeza dengan sebab perbezaan kedudukan musuh:
    1. Ketika musuh berada dan terkawal pada arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Imam hendaklah menyusun tentera kepada dua saf, empat atau lebih dan bersembahyang bersama-sama dengan mereka. Apabila imam sujud, saf yang berada di belakang imam hendaklah turut sujud bersama dengan imam. Manakala yang baki hendaklah menjaga rakan-rakan mereka yang sedang sujud daripada gerakan musuh. Apabila imam dan saf yang sujud bersamanya bangun, maka saf yang berdiri tadi hendaklah sujud sehingga mereka bersama dengan imam ketika duduk tasyahhud. Selepas itu semuanya memberi salam bersama dengan imam. Inilah cara sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah dalam peperangan Asfan.
    2. Ketika musuh bertebaran, bukan berada di arah qiblat dan peperangan belum lagi tercetus. Cara sembahyang yang disunatkan dalam keadaan tersebut ialah seperti berikut:
      a)         Tentera yang bersembahyang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pertama berdiri ke arah musuh kerana mengawal dan menjaga orang-orang Islam dan kumpulan kedua pergi menunaikan sembahyang secara berjama‘ah bersama-sama imam.
      b)         Imam bersembahyang bersama dengan kumpulan kedua hingga selesai satu raka‘at. Apabila imam berdiri pada raka‘at kedua, para ma’mum hendaklah berniat mufaraqah (bercerai daripada imam) dan mereka menyempurnakan raka‘at kedua secara sendiri. Kemudian mereka pergi ke tempat kumpulan pertama yang sedang berjaga.
      c)         Kumpulan pertama yang berjaga datang pula mengikut imam dan imam semestinya berdiri lama pada raka‘at kedua sekadar kumpulan pertama sempat berdiri bersamanya. Imam bersembahyang dengan mereka pada raka‘at kedua yang merupakan raka‘at pertama jika dinisbahkan kepada ma’mum. Apabila imam duduk untuk tasyahhud, mereka bangun menyempurnakan raka‘at kedua sehingga mereka duduk dalam keadaan imam masih membaca tasyahhud. Kemudian imam memberi salam bersama-sama mereka.

    Ketika Peperangan Tercetus, Saf-Saf Bertaburan Dan Suasana Membimbangkan.

    Apabila berlaku keadaan tersebut, maka tidak ada cara tertentu untuk ditunaikan sembahyang. Bahkan setiap orang menunaikan sembahyang mengikut keadaan yang mengizinkan mereka mendirikannya sama ada dalam keadaan berdiri, menunggang, berjalan kaki atau berhenti, sama ada menghadap qiblat atau tidak. Ruku‘ dan sujud dilakukan dengan isyarat atau dengan menggerakkan kepalanya sebagai isyarat kepada ruku‘ dan sujud dengan menjadikan sujud lebih rendah daripada ruku‘.

    Solat Nafilah

    Nafilah bermaksud tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan daripada apa yang difardhukan oleh Allah subhanahu wata‘ala.
    Sembahyang sunat terbahagi kepada dua bentuk iaitu:
    1. Sembahyang yang tidak sunat dilakukan secara berjama‘ah.
    2. Sembahyang yang sunat dilakukan secara berjama‘ah.

    Sembahyang Yang Tidak Disunatkan Berjama‘ah

    Sembahyang yang tidak disunatkan secara berjama‘ah juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu sembahyang sunat yang mengiringi fardhu dan yang tidak mengiringi fardhu.
    1. Sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi dua:
      a)         Sembahyang yang merupakan sunnah mu’akkadah, yang terdiri daripada:
      i.          Dua raka‘at sebelum sembahyang Subuh.
      ii.         Dua raka‘at sebelum dan selepas sembahyang Zuhur.
      iii.        Dua raka‘at selepas sembahyang Maghrib.
      iv.        Dua raka‘at selepas sembahyang ‘Isya’.
      b)         Sembahyang yang bukan sunnah mu’akkadah pula terdiri daripada:
      i.          Dua raka‘at sebelum sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.
      ii.         Dua raka‘at selepas sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.
      iii.        Empat raka‘at sebelum sembahyang ‘Asar.
      iv.        Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang Maghrib. Maksud “ringan” ialah melakukan rukun-rukun sembahyang, sunat-sunat dan adab-adabnya seminimum yang mungkin.
      v.         Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang ‘Isya’.
    2. Sembahyang sunat yang tidak mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
      a)         Sembahyang sunat yang tiada nama dan waktu tertentu yang lebih dikenali sebagai sembahyang sunat mutlaq, dilakukan pada mana-mana waktu kecuali pada waktu tertentu yang dilarang melakukannya. Ia dilakukan dengan diberi salam pada setiap dua raka‘at.
      b)         Sembahyang sunat yang ada nama dan waktu tertentu, antaranya:
      i.          Sembahyang sunat tahiyyatul masjid, iaitu sembahyang dua raka‘at sebelum duduk setiap kali masuk masjid. Tahiyyatul masjid terhasil dengan sembahyang fardhu atau dengan mana-mana sembahyang sunat yang lain kerana maksud daripadanya ialah seseorang itu tidak segera duduk dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang.
      ii.         Sembahyang sunat witir. Ia merupakan sunnah mu’akkadah. Dinamakan witir atau ganjil kerana ia disudahi dengan satu raka‘at berlainan dengan sembahyang yang lain. Waktu sembahyang witir ialah di antara sembahyang ‘Isya’ dan terbit fajar. Yang paling afdhal ialah dilewatkan sehingga ke akhir sembahyang malam. Sekurang-kurang witir ialah satu raka‘at, tetapi makruh jika hanya melakukan dengan bilangan tersebut dan sekurang-kurang bilangan raka‘at yang sempurna ialah tiga raka‘at. Didirikan dua raka‘at kemudian satu raka‘at. Jumlah yang paling sempurna ialah sebelas raka‘at.
      iii.        Qiyamullail. Ia dinamakan juga dengan tahajjud jika dilakukan selepas tidur. Qiyamullail merupakan sunat yang tidak mempunyai bilangan raka‘at yang tertentu. Ia ditunaikan selepas bangun tidur dan sebelum azan Subuh.
      iv.        Sembahyang sunat dhuha. Sekurang-kurang sembahyang sunat dhuha ialah dua raka‘at dan yang paling banyak dan sempurna ialah lapan raka‘at. Ia lebih afdhal jika dipisahkan pada setiap dua raka‘at dengan salam. Waktunya bermula dari naik matahari sehingga gelincir dan yang afdhalnya ialah setelah berlalu satu perempat siang hari.
      v.         Sembahyang sunat istikharah, iaitu sembahyang dua raka‘at yang didirikan bukan pada waktu yang dimakruhkan. Ia disunatkan kepada sesiapa yang ingin kepada sesuatu atau ingin melakukan sesuatu perkara yang diharuskan tetapi dia tidak mengetahui kebaikan yang ada padanya. Disunatkan membaca doa ma’thur yang datang daripada Rasulullah selepas selesai sembahyang. Jika selepas itu Allah membuka hatinya untuk melakukan perkara tersebut, maka dia boleh melakukannya.

    Sembahyang Yang Disunatkan Secara Berjemaah

    Sembahyang Dua Hari 

    Raya

    Sembahyang hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya korban merupakan sunnah mu’akkadah. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjama‘ah tetapi tetap sah jika dilakukan secara bersendirian. Waktunya bermula dari terbit matahari hingga gelincir matahari. Waktu yang lebih afdhal ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah).
    Sembahyang hari raya mempunyai dua raka`at. Ia dimulakan dengan takbiratul ihram kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali seperti mana takbiratul ihram. Ketujuh-tujuh takbir tadi dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunatkan membaca tasbih. Kemudian membaca al-isti`azah dan membaca al-fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat. Takbir untuk raka‘at yang kedua hanyalah sebanyak lima kali. Selain daripada itu disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah setelah selesai sembahyang sama seperti khutbah jumaat, cuma ia dilakukan selepas sembahyang.

    Sembahyang Tarawih

    Sembahyang tarawih disyari‘atkan khusus pada bulan Ramadhan dan sunat didirikan secara berjama‘ah serta sah jika didirikan secara individu. Waktunya di antara sembahyang ‘Isya’ dan sembahyang Subuh dan sebelum sembahyang witir. Ia boleh didirikan sebanyak lapan raka‘at dan boleh sebanyak dua puluh raka‘at dengan dilakukan setiap dua raka‘at satu salam.

    Sembahyang Gerhana Matahari dan Bulan

    Al-Kusuf (gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari atau bulan terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya. Kebiasaannya, al-kusuf digunakan bagi gerhana bulan. Hukumnya pula ialah sunnah mu’akkadah. Jika sembahyang gerhana itu adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan.
    Sembahyang gerhana mempunyai dua cara:
    1. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri, dua kali membaca (Al-Fatihah dan ayat) serta dua kali ruku‘ tanpa memanjangkannya (berdiri, membaca dan ruku‘, kemudian berdiri membaca dan ruku‘). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua raka‘at dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku‘ seperti sembahyang Juma‘at.
    2. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri. Pada setiap kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Al-Fatihah, Surah Al- Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada berdiri kali pertama di raka‘at pertama. Untuk berdiri kali kedua pada raka‘at pertama, dibaca ayat yang menyamai 200 ayat. Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama pada raka‘at kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua pada raka‘at kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat Surah Al-Baqarah.
    3. Kemudian apabila ruku‘, maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang dengan 100 ayat, ruku‘ kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat, ruku‘ ketiga sekadar 70 ayat dan ruku‘ keempat sekadar 50 ayat. Cara yang kedua ini adalah yang lebih sempurna. Apabila sembahyang telah selesai, imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah, sama seperti khutbah Juma‘at, cuma imam hendaklah mendorong orang ramai supaya bertaubat, melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai.

    Sembahyang Istisqa’ (Minta hujan)

    Makna sembahyang istisqa’ ialah sembahyang yang disyari‘atkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan. Ia disunatkan ketika berlaku sebabnya. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.

    Terdapat tiga cara untuk meminta hujan :

    1. Cara paling minima, iaitu berdoa kepada Allah pada bila-bila waktu yang disukai.
    2. Cara pertengahannya ialah dengan berdoa selepas bangun daripada ruku‘ pada raka‘at terakhir sembahyang yang diwajibkan, atau selepas selesai sembahyang.
    3. Cara yang paling sempurna ialah dengan melakukan perkara-perkara berikut:
    a)         Pada peringkat permulaan, imam (ketua pemerintah) atau timbalannya hendaklah menyuruh orang ramai supaya bertaubat, bersedekah kepada fakir, meninggalkan segala bentuk kezaliman, dan berpuasa selama empat hari berturut-turut.
    b)         Imam yang sebaik-baiknya ketua pemerintah keluar bersama-sama orang ramai pada hari ke empat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian yang lama (lusuh), dalam keadaan khusyu‘ dan hina menuju ke padang yang luas melalui satu jalan tertentu dan pulangnya melalui jalan yang lain pula. Kemudian ketua atau timbalannya melakukan sembahyang bersama-sama orang ramai sebanyak dua raka‘at seperti sembahyang hari raya.
    c)         Apabila selesai sembahyang, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir. Apabila khutbah kedua bermula dan berlalu satu pertiga daripadanya, khatib hendaklah berpaling ke arah qiblat dengan membelakangkan orang ramai dengan mengubah kedudukan kain jubah atau selendang dengan dijadikan bahagian atas ke bawah, bahagian bawah ke atas, bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan bagi menzahirkan perasaan kehinaan ke hadapan Allah subhanahu wata‘ala. Orang ramai juga disunatkan melakukan apa yang dilakukan oleh khatib.

    Sembahyang Jenazah

      Syarat-syarat sah sembahyang jenazah ialah seperti berikut:
    1. Sembahyang jenazah sama halnya dengan sembahyang yang lain, iaitu harus menutup ‘aurat, suci dari hadath besar dan kecil, suci badan, pakaian dan tempat serta menghadap ke arah qiblat.
    2. Mayat sudah dimandikan dan dikafankan.
    3. Mayat diletak sebelah qiblat mereka yang menyembahyangkannya kecuali jika sembahyang dilakukan di atas kubur (sembahyang ghaib).
    Cara melakukan sembahyang jenazah ialah dengan keadaan berdiri sahaja dengan tidak ruku‘, sujud, tasyahhud dan duduk. Sebelum dilakukannya juga tidak disertai dengan azan dan iqamah.

      Rukun-rukun dan cara menunaikannya adalah seperti berikut:

    1. Bertakbir dengan takbiratul ihram dalam keadaan berniat sembahyang ke atas mayat.
    2. Selepas bertakbir, dibaca Surah Al-Fatihah.
    3. Bertakbir untuk kali kedua. Seterusnya membaca salawat dengan mana-mana lafaz salawat dan yang paling afdhal ialah salawat Ibrahimiyyah.
    4. Kemudian bertakbir untuk kali ketiga dan berdoa untuk si mati selepas takbir tersebut.
    5. Kemudian bertakbir untuk kali keempat dan berdoa selepasnya.
    6. Kemudian memberi salam ke sebelah kanan dan kiri.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...