Tuesday 6 March 2012

Mapim gesa tubuh S'jaya Diraja laksana syariah...!

Harakahdaily,05 Mac 2012


KUALA LUMPUR, 5 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melalui kempen Gerakan Sokong Syariah (Gesa) menuntut agar pihak kerajaan segera mewujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja Mengenai Pelaksanaan Syariat Islam di Malaysia (SPSM).

"Badan ini disaran agar menjalankan suatu penyelidikan menyeluruh mengenai status perlaksanaan syariat Islam di Malaysia, penguatkuasaan, faktor-faktor yang menghalang perkembangannya serta rekomendasi menambahbaik dan memperkukuhkan status perlaksanaannya dalam sistem perundangan dan dasar pembangunan negara," kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, rasional saranan itu adalah kerana setelah lebih setengah dekad, 54 tahun negara ini merdeka, perkembangan syariat Islam dalam konteks perundangan dan dasar negara masih sangat jauh dari memuaskan.

Berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, sepatutnya perkembangan undang-undang Islam dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam dan pentadbiran negara semakin menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang.


Malangnya, katanya perundangan Islam yang tertakluk kepada kuasa negeri masih berada di tahap yang hampir tidak berkembang semenjak negara mencapai kemerdekaan.


Tambahnya, selain dari adanya pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam  Perkara 12,  undang-undang syariah masih tidak berkembang dan taraf undang-undang syariah masa jauh berada di bawah undang-undang sivil berdasarkan British “Common Law” .


Ini, ujarnya nyata dapat dilihat bila penghukuman jenayah syariah dalam undang-undang Syariah di Mahkamah Syariah hanya terikat kepada 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan.


Mapim berpendirian tuntutan ini sangat tepat waktunya kerana syariat Islam sebagai sebuah sistem berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah satu-satunya sistem yang boleh mengatasi segala kemelut serta krisis yang sedang melanda umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.


"Kami berpendapat bahawa mengembangkan syariat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan adalah wajar dan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya kepada Harakahdaily.


Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Gesa berkata, memperluaskan undang-undang syariah adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan malah sangat tepat dan harmonis dengan undang-undang induk di Malaysia.


Mapim, ujarnya menegaskan syariat Islam adalah sebahagian dari sejarah negara ketika pra penjajahan lagi, mengembangkan syariat di negara ini dalam pelbagai kehidupan sivil di kalangan umat Islam adalah suatu proses kesinambungan dari sejarah negara.


Menurutnya, setelah negara merdeka sepatutnya proses formalisasi syariat Islam disambung semula, akan tetapi ternyata pemerintah memilih untuk menggunapakai undang-undang sivil British sepenuhnya sebagai undang-undang perdana.


Katanya, syariat Islam yang telah disudutkan hanya kepada persoalan undang-undang kekeluargaan,  perlu disambung semula untuk melengkapkan proses Islamisasi seluruh bidang kehidupan umat Islam di negara ini.


Beliau berkata, akibat dari kedangkalan serta kejahilan masyarakat awam terhadap syariat, formalisasi syariat terbantut kerana hujah yang menimbulkan prasangka terhadap syariat di suarakan oleh sesetengah pihak seperti  terhadap isu undang-undang hudud.


Lebih merumitkan lagi, katanya hujah mereka didukung oleh beberapa pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh media yang mengambil pendirian negatif terhadap syariah.


"Sayangnya pihak berkuasa mengambil sikap membisu untuk menepis tohmahan dan persoalan penuh prasangka dan dangkal itu sehingga syariah terus dipinggir dan dijadikan sistem undang-undang kelas kedua," ujarnya lagi.


Mapim juga, tambahnya berpendapat sudah sampai masanya pendidikan terhadap syariat diterapkan kepada seluruh umat Islam agar menjadi suatu sistem yang dihayati dalam seluruh aspek kehidupan; ekonomi, sosial, pendidikan, pengurusan alam sekitar, seni dan budaya, gaya hidup harian mahupun politik.


"Suruhanjaya Diraja ini sepatutnya mengambil tanggungjawab membentangkan penemuan-penemuan dari kajian yang dijalankan untuk mencari kaedah bagaimana hendak mengutarakan langkah-langkah pengembangan  dan penambahbaikan perlaksanaan syariat di Malaysia untuk dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu serta kerajaan sehingga menjadi syariah sebagai sistem undang-undang arus perdana di negara ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...