Sunday 13 November 2011

Kewibawaan sultan lahir ramai ulama


Muhammad Yusri Amin   








KOTA BHARU, 12 Nov: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
berkata rahsia kejayaan negeri Kelantan melahirkan ramai alim ulama
di negeri ini adalah disebabkan kewibawaan sultan
yang menaungi pemerintahan.
Menteri Besar berkata, ini terbukti apabila usaha dilakukan
nenekanda Sultan Muhammad V iaitu Sultan Muhammad II dan
Sultan Ahmad pada masa lalu dalam usaha mendaulatkan
undang-undang Islam di negeri Kelantan.
“Sejarah mencatatkan bagaimana pada zaman pemerintahan
nenenda Tuanku (Sultan Muhammad V) iaitu Sultan Muhammad II
dan Sultan Ahmad telah berusaha untuk
mendaulatkan undang-undang Islam di negeri ini,” katanya.
Sambil menyifatkan bumi Kelantan terkenal sebagai Serambi Mekah
melahirkan ribuan ulama sejak ribuan tahun lalu,
Menteri Besar berkata berdasarkan rekod,
Kelantan telah mula menerima ‘gema syahadah’ Islam
sebelum Abad ke-12 Masehi  lagi.
Beliau berucap pada Istiadat Menyembah Ucapan Taat Setia
bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat sempena
Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran,
Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat menyembah
Ucapan Tahniah serta Taat Setia
di Istana Balai Besar di sini tengah hari tadi.
Majlis itu sempena Perayaan Ulang Tahun
Hari Keputeraan ke-42 Sultan Muhammad V
Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.
Menurut Menteri Besar, penemuan dinar di Kota Kubang Labu,
Pasir Pekan dekat sini lama dahulu juga membuktikan bahawa
Islam diamalkan dalam pemerintahan negeri Kelantan pada masa lalu.
Beliau menegaskan Kelantan adalah di antara negeri
mula-mula mewujudkan sistem pengajian Pondok di rantau ini
bagi pengajian dan penyebaran Islam di mana
Pondok pertama didirikan di Kelantan pada 1820 Masehi.
Pondok itu didirikan oleh Haji Abdul Samad Abdullah (Tuk Pulai Chondong)
selain Pondok Tuk Bachok dan
Pondok Kubang Pasu yang didirikan pada 1900.
Didirikan juga Pondok Haji Abdul Malik, Tumpat (1907),
Pondok Haji Yusoff Pulau Ubi, Geting Tumpat(1908),
Pondok Sungai Budur, Pondok Kg Banggol, Pondok Tuk Padang
dan Pondok Tuk Semian yang antara lain dengan itu
menampilkan kecemerlangan pengajian Islam di negeri ini.
Menteri Besar berkata usaha untuk mendaulatkan Islam
di Kelantan telah diteruskan oleh Sultan Muhmmmad II (1890–1991).
“Baginda telah menguat kuasakan pelaksanaan
 undanng-undang syariah sama ada jenayah mahu pun mal.
“Dan pada zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890 –1900),
undang-undang syariah dilaksanakan sepenuhnya di bumi Kelantan
termasuklah Hukum Hudud ke atas pencuri dan Qisas ke atas pembunuh.
“Baginda juga menguat kuasakan Hukum Takzir
 bagi orang yang tidak berpuasa dan
perempuan yang tidak menutup aurat,” katanya.
Lantaran itu, kata Menteri Besar, usaha Kerajan Kelantan kini
untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah
di ngeri ini bukanlah sesuatu yang baru.
“Bahkan ia adalah kesinambungan usaha
yang telah dilakukan nenekanda Tuanku (Sultan Muhammad V)
bagi melaksanakan undang-undang syariah
di negeri ini secara menyeluruh,” katanya.
Justeru, Menteri Besar berharap dengan bersemayamnya
Sultan Muhammad V serta  pemilihan Tuanku sebagai
Timbalan Yang di-Pertuan Agong,
harapannya dan harapan rakyat seluruhnya agar
Sultan Muhammad V diberikan kekuatan,
taufik dan hidayah oleh Allah swt bagi menaungi rakyat
dan negeri Kelantan serta seluruh negara nanti, 
dengan ruh syariah.
“Patik yakin, insya Allah, Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah
 ini akan terus dilimpahi keberkatan oleh Allah swt
dan mencatat sejarah kegemilangan untuk Islam
sebagaimana di masa lalu, di bawah naungan pemerintahan
ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Dari selat ke tengah kota, disulam selasih pohon berangan;
Tuanku berdaulat  di atas takhta, diringi kasih yang berpanjangan,’
katanya mengakhiri ucapan dengan berpantun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...