Monday, 6 February 2012

Bersatu kembalikan kekuatan ummah





Foto
SULTAN Mizan menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Kamarul Al Amin Ismail yang memenangi perarakan Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, semalam.






Foto
HASSAN dirai keluarga selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 di Putrajaya, semalam. 






Foto
SULTAN Azlan merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Raudhatul Mardhiah, Parit.






Foto
SULTAN Ibrahim Iskandar diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengetuai perarakan Maulidur Rasul di Muar.





PERARAKAN sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 dari Masjid Tuanku Mizan ke Masjid Putra.




Pemimpin digesa musyawarah demi perpaduan

KUALA LUMPUR: Pemimpin Islam tanpa mengira politik disarankan duduk berbincang demi perpaduan dan mengembalikan semula kekuatan ummah supaya terus dihormati.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berusaha ke arah mengembalikan kekuatan ummah melalui kekuatan iman, ekonomi, ilmu dan perpaduan.“Orang Islam akan menjadi bangsa yang gagah dan dihormati jika mereka bersatu,” titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul yang menyaksikan lebih 15,000 orang berarak dari Dataran Shah Bandar ke Stadium Negeri.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika bertitah di Muar mengingatkan umat Islam tidak menabur fitnah dan mudah percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui internet serta SMS yang belum tentu kesahihannya.

Titah baginda, umat Islam perlu sentiasa mengamalkan cara hidup yang berlandaskan syariat, memberi contoh yang baik kepada masyarakat, sekali gus meninggalkan perbuatan yang membinasakan. 

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk jika pemimpin lebih mengutamakan kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok berikutan ia diperoleh secara mendadak akan melahirkan individu yang hanya kaya sementara.
“Kekayaan material seumpama itu yang tanpa dilengkapi kekayaan minda, intelek, ilmu dan rohani adalah kekayaan palsu serta sekadar melahirkan budaya kemewahan, bermegah dan pembaziran, ” titah baginda di Parit.

DI SEREMBAN, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, persefahaman dan perpaduan umat Islam boleh dicapai menerusi penghayatan ke atas prinsip Wasatiyyah yang terkandung dalam ajaran Islam.

Titah baginda, Wasatiyyah boleh diterjemahkan sebagai pendekatan sederhana yang terhasil daripada bimbingan Tuhan dan terbit daripada kefahaman terhadap panduan agama.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika bertitah di Kuantan, mahu semua pemimpin Islam tanpa mengira politik disaran duduk semeja demi perpaduan dan ummah.

Baginda bertitah, pertemuan dan perbincangan itu penting bagi mengelakkan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam yang semakin ketara kerana tiada persefahaman yang wujud di antara mereka.

Di KOTA KINABALU, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata umat Islam perlu membanteras perkara yang boleh mengancam akidah, ketenteraman masyarakat dan keselamatan negara, termasuk usaha mengiktiraf hak golongan lesbian, gay, biseksual serta transeksual.

Di KEPALA BATAS, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata pemimpin perlu mencontohi pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah yang memberikan perhatian saksama terhadap umat Islam dan bukan Islam.

Di MELAKA, 11,057 peserta daripada 198 kontinjen mewakili pelbagai agensi kerajaan, swasta, pihak berkuasa tempatan dan penduduk menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob. 

Islam teladan ummah...

Foto
PENERIMA anugerah Perdana, Muhammad Hadi Darus (kiri) dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berbual sambil melihat sijil anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 di Masjid Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam mencontohi perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berjaya mendidik, memimpin dan membawa masyarakat jahiliah berhijrah daripada kekufuran serta kejahilan kepada umat memiliki keimanan kental dan ketinggian ilmu.
Baginda bertitah, kegigihan Rasulullah selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah berjaya membina kekuatan iman, minda dan fizikal umat Islam pada zamannya dan zaman Khalifah ar-Rasyidin serta zaman sesudahnya sehingga mampu mencapai satu tamadun gemilang.
Seri Paduka bertitah untuk mencapai kegemilangan itu, umat Islam perlu memperbetulkan tasawur Islam dalam kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

“Konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah serta bekerja atau berniaga sebagai ibadat adalah perkara asas yang perlu dihayati supaya impak terhadap keunggulan agama Islam dapat dirasai secara global,” titah baginda merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra di sini, semalam.

Tuanku Abdul Halim bertitah, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ‘Persefahaman Asas Perpaduan Ummah bertepatan dengan kehidupan umat Islam kini yang menghadapi pelbagai cabaran.

“Contohilah keunggulan peribadi Rasulullah laksana perintah Allah ke arah melahirkan masyarakat Islam hebat serta menjadi teladan kepada dunia,” titah baginda. 


Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan sijil penghargaan dan piala kepada sembilan penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012 termasuk Mufti Pulau Pinang yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Hassan Ahmad yang menerima Anugerah Perdana.

Lapan penerima lain ialah Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Toh Puan Wan Asiah Ahmad; bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Kelantan, Abdul Razak Mat Saat; Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Muhammad Fuad Yeoh; Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd, Shah Kirit Kakulal Govindji serta bekas johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Datuk Rogayah Sulong.

Tiga lagi penerima ialah bekas Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang, Abdul Majid Abdul Hamid; Ketua Masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Kala, Gombak, Hussein Ngahyin dan pelajar kurang upaya Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang, Kedah yang mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, Muhammad Hadi Darus.

Terdahulu, 121 kontinjen disertai lebih 12,000 peserta termasuk penjawat awam, badan berkanun, pertubuhan swasta, pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO) berarak 2.4 kilometer bermula dari pekarangan Istana Kehakiman Putrajaya hingga ke Masjid Putra di sini sambil berselawat ke atas Rasulullah SAW. 

Perpaduan rakyat punca Ikhwan Muslimin menang

Aziz Muda,04 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Ikhwan Muslimin Mesir secara jujur mengakui kemenangannya pada pemilihan Parlimen pertama negara itu yang diumumkan pada 21 Januari lalu bukanlah kerana kekuatan strategi yang disusun oleh pihaknya. 

Malah, penyertaan Ikhwan dalam pilihanraya itu tanpa sebarang strategi dan hanyalah dengan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat pemilihan mengikut kehendak masing-masing  

Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Gomaa Ameen berkata, kemenangan pihaknya pada pilihanraya itu jelas tercapai hasil perpaduan dan keinginan rakyat untuk bersama-sama menjatuhkan pemerintahan kuku besi regim Hosni Mubarak.

Menurutnya, sebelum revolusi rakyat di Dataran Taharin pada 25 Januari tahun lalu, keseluruhan rakyat Mesir telah bersama-sama menzahirkan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak untuk digantikan dengan kerajaan lain yang lebih baik.

Katanya, dalam masa yang sama, rakyat Mesir ternyata lebih yakin dengan Ikhwan Muslimin untuk memimpin kerajaan baru yang diingini oleh mereka itu.

"Mereka sendiri lebih yakin dengan calon-calon Ikhwan Muslimin, sejajar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Ikhwan yang diyakini lebih baik berbanding parti-parti lain," katanya ketika ditemui Harakahdaily dan Harakah cetak, di sini, malam semalam.     

Keputusan akhir pilihanraya Parlimen pertama Mesir yang diumumkan pada 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.
Pilihanraya pertama yang diadakan setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak itu turut menepati ramalan beberapa pihak, apabila parti milik Ikhwan Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen). 

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Media melaporkan, Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Mesir, Abdul Moez Ibrahim ketika mengumumkan keputusan itu menjelaskan, jumlah pengundi yang keluar mengundi sebanyak 54 peratus.

Dengan keputusan itu juga, FJP telah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.
Bagaimanapun, berdasarkan sistem pemilihan presiden di negara itu, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bukan dari parti yang memenangi pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen pula dijangka akan diadakan pada bulan ini dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Menurut Gomaa, perkembangan yang berlaku di Mesir sekarang tidak memerlukan pihaknya menyusun strategi tertentu untuk menghadapi pilihanraya kerana rakyat negara itu sendiri sudah berhasrat untuk melakukan perubahan. 

Katanya, sebelum dihalang oleh Kerajaan Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin memang pernah terlibat dalam pilihanraya di Mesir dan rakyat juga sudah tahu tentang dasar-dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam di negara itu.

"Jadi apabila revolusi rakyat tercetus, rakyat dengan sendirinya akan memilih parti Ikhwan Muslimin dan parti Islam kerana hanya parti Islam sahajalah yang diyakini mampu memberikan perubahan ke arah yang lebih baik seperti yang diingini oleh mereka sendiri," tegasnya. 



Perlaksanaan sistem perundangan Islam

Dengan kemenangan itu, tambahnya, Ikhwan Muslimin pasti akan berusaha merealisasikan dasar-dasar perjuangannya di negara itu dengan perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam pelbagai aspek. 

"Pengasas Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Bana sendiri sememangnya meletakkan asas perjuangannya adalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam dan matlamat itu tetap akan diutamakan oleh para pemimpin Ikhwan Muslimin sepanjang masa.  

"Dalam hubungan ini, kami akan bertindak berdasarkan keutamaan kerana perlaksanaan sistem perundangan Islam tidak hanya terhadap hukum hudud," katanya.

Sebaliknya, penekanan awal yang akan diberikan oleh pihaknya adalah terhadap pendekatan cara hidup rakyat dan bidang pendidikan agar selaras dengan kehendak Islam. 

Setelah rakyat didedahkan dengan cara hidup yang betul seperti yang dikehendaki Islam dan pendidikan pula diterima secara menyeluruh, beliau yakin kesemua pihak pasti akan dapat melihat individu-individu Islam yang hebat dalam pelbagai aspek.

"Itulah yang akan diusahakan oleh Ikhwan Muslimin dan penekanan itu pula tidak hanya terbatas kepada kaum lelaki, tetapi juga kepada kaum muslimah di Mesir," katanya.

Kemenangan dalam pilihanraya, ujarnya, adalah fasa pertama dari perjuangan Ikhwan Muslimin hasil penerimaan rakyat negara itu terhadap dasar-dasar perjuangannya. 

"Fasa keduanya iaitu perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam aspek-aspek lain pula akan dimulakan dengan penggubalan undang-undang pada persidangan Parlimen nanti," tegas beliau.

Saturday, 28 January 2012

Kebangkitan Islam Diakhir Zaman








"Dan berapa banyakkah umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, yang mana mereka itu memiliki kekuatan yang lebih besar dari mereka ini...?" (Qaaf, 50: 36)




SOALAN: Ustaz, melalui orang dakwah saya sering mendengar tentang kebangkitan islam kali ke 2 di sebelah timur . kebangkitan kali ini di terajui oleh orang melayu dari malaysia katanya. Boleh ustaz kemukakan hujah yang mudah saya fahami tentang perkara ini?

JAWAPAN: Tuhan telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Tuhan untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul. Maka diceritakanlah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan mene­rima takdir yang bakal berlaku.

Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah:

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagai­ma­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengang­kat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekha­lifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fit­nah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah ke­hen­daki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pe­nin­dasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berla­ku­lah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekha­lifahan (Imam Mah­di dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”
(Riwayat Ahmad)

Demikianlah Tuhan telah siapkan satu grand design untuk umat Rasulullah SAW. Kini, sesudah lebih 1400 tahun ke­wafatan Nabi penutup SAW, sebahagian besar dari jadual atau agenda dalam Hadis di atas sudah berlaku. Melalui Hadis ini, terdapat satu janji Tuhan yang belum berlaku tapi bakal ber­laku tidak lama lagi iaitu Islam akan kembali gemilang seperti Zaman Kenabian di akhir zaman di bawah pimpinan Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.

Jadual Tuhan yang Telah Berlaku

Telah banyak jadual Tuhan yang terjadi dalam sejarah sama ada yang positif atau negatif. Berikut adalah dua jadual besar positif yang telah pun berlaku.

1.
Rom dan Farsi akan jatuh ke tangan Islam

Ketika menggali parit dalam persiapan peperangan Khandaq, Rasulullah telah memberitahu para Sahabat bahawa Rom dan Farsi akan jatuh ke tangan umat Islam.

Rom dan Farsi ketika itu adalah dua super power dunia, bagaikan Amerika dan Rusia (sebelum kejatuhannya dalam tahun 80-an). Dan ternyata Hadis itu terbukti dengan jatuh­nya Romawi Timur dan Farsi ke tangan tentera Islam pada zaman Khalifah Umar Al Khattab. Bahkan jadual ini Tuhan nyatakan dalam firman-Nya:

Maksudnya:
“Rom dikalahkan oleh Farsi di tanah ja­jah­an­nya dan mereka (Rom) selepas itu akan menga­lah­­kan Farsi di beberapa tahun kemudian. Sama ada se­be­lum dan selepas, semuanya dalam urusan (jadual) Allah. Ketika (Rom mengalahkan Farsi) orang mukmin bergem­bira dengan pertolongan Allah itu.” (Ar Rum: 2-4)

2. Konstantinopel jatuh ke tangan Islam

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik lagi beragama, (tenteranya) tidak melampaui batas, tidak mencuri dan (rakyat) tidak menipu dan tidak bergaul bebas.” (Riwayat Al Imam Abu Hassan Ahmad bin Jaafar) – Dipetik dari kitab Al Uq­dud­­durar fi akhbar Al Muntazar.

Dalam Hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Pasti Konstantinopel akan dibuka (ditakluk), dan sebaik-baik ketua adalan ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.” (Riwayat Ahmad dan Hakim dari Busyr Al Ghanawi)

Para Sahabat dan salafussoleh berlumba-lumba untuk me­re­but janji Tuhan tentang kejatuhan Konstantinopel itu, dengan harapan di tangan merekalah berlaku janji tersebut. Te­tapi mereka gagal sehinggalah 600 tahun sesudah kewa­fatan Rasulullah. Hal ini baru terjadi di tangan Muhammad Al Fateh, keturunan Bani Usman. Lalu dari situlah munculnya Turki Usmaniah yang menjadi empayar kepada tiga benua dengan 29 negara di bawah takluknya. Hingga hari ini kalau kita ke Turki, kita masih dapat saksikan kesan-kesan kege­milangan dan kegagahan Islam yang ditinggalkan itu.

Jadual Tuhan untuk umat Islam akhir zaman

Tuhan telah menyiapkan satu jadual untuk umat akhir zaman. Maka kita sepatutnya berjuang dan berlumba-lumba untuk membuktikannya sebagaimana para Sahabat dahulu. Antara janji-janji Tuhan dalam jadual-Nya untuk zaman ini seperti berikut:

1.
Kegemilangan Islam akan berulang di akhir zaman

Dan telah mengeluarkan dari Nuaim daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keturunanku atau kaum keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebe­lum­nya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman.” (Ri­wa­yat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)

2. Kebangkitan Islam akhir zaman akan bermula dari Timur

Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menye­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”  (Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

3. Setiap awal kurun Allah akan datangkan mujaddid (reformer)

Rasulullah SAW bersabda

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.” (Ri­wayat Abu Daud)

4. Imam Mahdi mujaddid dan khalifah akhir zaman

i. Dan telah mengeluarkan dari Nuaim daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda :

Maksudnya:
“Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebelumnya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman.” (Riwayat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)

ii. Sabda Rasulullah SAW dalam riwayat yang lain:

Dari Abu Nu’aim mengeluarkan dari Abi Said dan Nabi SAW katanya:
“Al Mahdi daripada kami Ahlul Bait, seorang lelaki dari umatku, mancung hidungnya. Dia memenuhi bumi dengan keadilan sepertimana ia di­penuhi ke­zaliman.”

iii. Sabda Rasulullah SAW lagi:

Dan telah mengeluarkan Abu Na’im dan Al Khatib dalam Talkhis Al Mutasyabih dari Ibnu Umar katanya sabda Rasulullah SAW: “Akan keluar Al Mahdi dan di atas kepalanya malaikat yang menyeru:
Inilah Al Mahdi dan ikutilah dia.”





5. Putera Bani Tamim dari Timur pemegang panji-panji Imam Mahdi

Dikeluarkan oleh Tabrani dalam Al Ausat:

Maksudnya: Dari Ibnu Umar bahawa Nabi SAW telah memegang tangan Sayidina Ali dan bersabda:

“Akan keluar dari sulbi ini, seorang pemuda yang akan meme­nuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian itu maka wajiblah bagi kamu bersama (yakni dengan mencarinya) Pe­muda dari Bani Tamim, dia datang dari sebelah Timur dan dia adalah pemegang panji-panji Al Mahdi.”

(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)

6. Jemaah kebenaran pimpinan Putera Bani Tamim men­dapat kemenangan di Timur dan merintis jalan untuk Imam Mahdi.

i. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah da­tang­nya ketentuan Allah (Kiamat).”
(Riwayat Muslim)

ii. Sabda Nabi SAW, dikeluarkan dari Al Hasan bin Sofyan dari Abu Nuaim:

Maksudnya: Daripada Tsauban, telah bersabda Rasu­lullah SAW:

“Akan datang panji-panji hitam dari Timur, hati mereka seperti kepingan besi. Barang siapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah mendatangi mere­ka dan berbai’ahlah kepada mereka walaupun ter­paksa merangkak di atas salji.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)

iii. Dari Ibnu Majah dan Tabrani daripada Abdullah bin Al Haras bin Juzu’ Al Zubaidi telah bersabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:
“Akan keluarlah manusia dari Timur, mereka itu merintis kekuasaan untuk Al Mahdi.”

(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)

v. Hadis Ibnu Mas‘ud

Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata:
“Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

Baginda menjawab,
“Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka me­nye­­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabat­ku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
(Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

7. Pengisytiharan Imam Mahdi pimpinan ummah di Mekah

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya ketika zahir Al Mahdi, menyerulah malaikat dari atas kepalanya:
“Inilah Al Mahdi sebagai khalifah Allah, maka kamu ikutilah dia.” Seluruh manu­sia tunduk dan patuh kepadanya dan mendapat kasih sayangnya. Sesungguhnya Al Mahdi itu menguasai Timur dan Barat. Dan adapun yang berbai’ah kepadanya antara rukun Al Aswad dan maqam Ibrahim, yang pertama sebanyak bilangan ahli Badar, kemudian Abdal dari Syam mendatanginya, diikuti oleh Nujabak dari Mesir dan Asoib dari Timur. Setelah itu Allah mengutus kepadanya tentera dari Khurasan dengan bendera-bendera (panji-panji) hitam dan mereka menuju ke Syam. Dan Allah menghantar kepadanya 3000 malaikat dan Ashabul Kahfi adalah di antara pembantunya.”

(Al Hadis dari kitab As’afur Raghibin)

Sesuai dengan janji Allah dan bukti-bukti nyata maka Islam­lah yang akan menggantikan kuasa Amerika sebagai super power dunia nanti. Ini giliran Islam.
Islam akan bangkit kembali dan menjadi sebuah empayar dan sekali lagi bumi akan dinaungi oleh keadilan dan kemakmuran. Dunia akan diserahkan lagi kepada umat Islam sebagaimana Allah telah menyerahkannya kepada Rasulullah dan para Sahabat.

Kita kini berada di akhir zaman yang mana sedang berlaku kemuncak kerosakan di lautan dan di daratan. Segala sistem hi­dup yang ada hari ini telah begitu rosak. Semakin dicari penye­lesaian semakin kronik keadaannya. Pembunuhan, per­gaduhan, peperangan, penzaliman, penindasan, tipu-menipu, mementingkan diri, jatuh-menjatuhkan dan lain-lain berlaku di mana-mana. Masyarakat manusia sudah tidak ada kasih sayang, tidak boleh bekerjasama, tidak bertolak ansur dan tidak bertolong bantu. Pergaduhan berlaku di antara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dan pemimpin, negara dengan negara lain. Manusia sudah hilang kemanusiaannya.

Watak dunia hari ini menunjukkan sudah sampai masanya Tuhan mengutuskan penyelamat bagi memimpin manusia serta membaiki segala kerosakan yang berlaku. Begitulah se­jarah memberitahu kita. Tambahan pula kita kini berada di sekitar awal kurun yakni awal kurun ke-15 (suku kurun pertama). Di waktu inilah sepatutnya; sepertimana berlaku di kurun-kurun sebelum ini; lahirnya seorang mujaddid.

Jadual Tuhan untuk umat akhir zaman ini nampaknya sedang berlaku di waktu ini.
Kebangkitan Islam kali pertama sedang berulang di sebelah Timur dengan kehendak Allah. Kita dapat lihat suatu kebangkitan Islam se­dang melanda dunia terutamanya di nusantara ini. Inilah dia akhir zaman yang dijanjikan itu.

Rupa-rupanya akhir zaman yang dimaksudkan ialah se­kitar kurun ke-15 Hijrah ini. Dan Timur yang dimaksudkan ia­lah Gugusan Kepulauan Melayu iaitu Malaysia, Indonesia dan sekitarnya. Walau bagaimanapun kebangkitan di Malaysia nampaknya lebih me­nonjol.

Berdasarkan Hadis tentangnya, secara umumnya Jadual Tuhan itu berlaku seperti berikut:

• Di waktu Islam sedang musnah dan binasa di alam Melayu (Timur), bangunlah seorang manusia yang Allah janjikan untuk menyelamatkan kembali agama-Nya. Dia seorang yang berbangsa Quraisy dari Bani Tamim tetapi sudah nipis sekali kearabannya. Ini kerana seperti yang kita tahu, orang-orang Arab yang datang ke Timur pada masa dahulu sudah berkahwin dengan orang ajam (bangsa selain Arab) maka tidak pelik kalau Putera Bani Tamim itu sudah nipis Arabnya. Rasulullah tidak menyebut salasilah tetapi banyak memperkatakan tentang ciri-ciri fizikal Putera Bani Tamim ini serta ciri-ciri perjuangan dan pengikutnya. Sebab itu untuk mencari Putera Bani Tamim yang dijanjikan itu, kita carilah ciri-ciri dan stail perjuangannya, bukan salasilahnya.





• Dia berjuang mulanya tentu melalui kumpulan kecil tetapi kumpulan atau jemaah atau toifahnya kemudian mem­besar. Sifat toifahnya mirip kepada jemaah Rasulullah kerana wanitanya berpakaian serba hitam seperti gagak-ga­gak hitam. Lelakinya berjubah serban. Pengikutnya sangat berpadu seolah-olah lahir dari satu ibu dan ayah. Cita-cita dan azam mereka kental dan besar. Ibarat kalau me­reka hendak meratakan gunung sekalipun, dapat me­reka lakukan. Rasulullah SAW dalam Hadis yang panjang menyebut malaikat Jibril a.s. sebagai berkata:

Maksudnya: “Maka Allah Azzawajalla mengumpul­kan sahabatnya (Al Mahdi) sejumlah ahli perang Badar atau tentera Thalut iaitu 313 lelaki. Mereka bagaikan singa jantan yang keluar dari hutan, hati mereka bagai­kan besi waja, kalau mereka bercita-cita untuk mengubah gunung nescaya boleh dilakukannya. Gaya mereka adalah satu dan pakaian mereka juga satu, seolah-olah bapa mereka bapa yang satu.”

(Dipetik dari kitab Aqdur Durar fi Akhbar Al Muntazar tahun 1983 m.s. 95)

• Dia (Putera Bani Tamim) meminta kebaikan dari penguasa negara di mana dia berjuang tetapi tidak diberikan. Na­mun dia dan pengikutnya terus berjuang hingga akhirnya berjaya negara itu diserahkan padanya. Ertinya toifah kecil itu telah membesar ke peringkat daulah Islamiah.

• Terdapat juga Hadis yang menyebut Putera Bani Tamim juga diterima kepimpinannya di Khurasan. Hadis yang dikeluarkan oleh Al Hafiz Abu Nuaim berbunyi:

Maksudnya: Dari Tsauban r.a. dia telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu lihat panji-panji hitam telah diterima di sebelah Khurasan maka datangilah ia sekalipun merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya padanya ada khalifah Allah iaitu Al Mahdi.”

• Apabila Putera Bani Tamim mendapat daulah, tidak lama selepas itu (dua tahun) zahirlah Imam Mahdi. Namanya sama seperti nama Rasulullah, nama bapa dan nama ibu­nya sama seperti nama bapa dan ibu Rasulullah yakni namanya Muhammad bin Abdullah dan ibunya Aminah.

Tentang Imam Mahdi, Rasulullah mengait­kan dengan baginda dari segi hubungan darah. Maka faktor salasilah Imam Mahdi adalah penting, sebab ia disebutkan di dalam Hadis. Tidak sepertimana Putera Bani Tamim tadi, Rasu­lullah hanya menyebut tentang ciri-ciri fizi­kalnya.

• Putera Bani Tamim kerana rapat dengan Imam Mahdi seperti rapatnya Nabi Harun dengan Nabi Musa, maka telah menyerahkan kuasa negaranya kepada Imam Mahdi, jelas disebut dalam Hadis. Dia muncul di Mekah, antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim, terus mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi.



• Penyerahan kuasa daulah kepada Imam Mahdi dilakukan oleh Putera Bani Tamim.

Apabila Imam Mahdi berkuasa, maka Islam akan berkem­bang ke seluruh dunia. Tetapi ramai lagi manusia yang belum Islam hingga turunnya Nabi Isa a.s. Dunia dan ma­nusia seluruhnya akan masuk Islam. Terjadilah keamanan sejagat melalui pemimpin tiga serangkai: Putera Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.

Setelah kedatangan Nabi Isa a.s., semua manusia akan masuk Islam. Maka selamatlah manusia daripada api Neraka. Itulah dikatakan rahmat Tuhan kepada seluruh manusia.

Sejarah pasti berulang. Kita beruntung kerana dengan kasih sayang Allah, diberitahu apa-apa yang bakal terjadi. Bolehlah kita bersiap sedia. Seperti juga peristiwa selepas mati, di alam Barzakh, di Padang Mahsyar, di Syurga, Neraka dan lain-lain lagi semuanya Allah sudah ceritakan. Supaya kita tidak menyesal nanti. Beruntunglah orang yang direzeki­kan dengan iman kepada yang ghaib ini. Rugi besarlah orang yang mengingkarinya.  



Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)


Jawatankuasa atasi isu murtad ditubuh






Langkah pertingkat penguatkuasaan enakmen

BANGI: Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang syariah ditubuhkan bagi mempertingkatkan lagi penguatkuasaan enakmen berhubung penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata jawatankuasa itu akan memantau secara dekat pelaksanaan penguatkuasaan enakmen berkenaan oleh jabatan agama Islam negeri.


“Jawatankuasa juga akan membantu kes berhubung penangkapan dan pendakwaan mengikut enakmen negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penasihat undang-undang negeri dan pengarah jabatan agama Islam negeri, di sini, semalam.
Penubuhan jawatankuasa itu yang berkuat kuasa semalam, diputuskan dalam pertemuan berkenaan yang berlangsung hampir dua jam.

Jawatankuasa akan dipengerusikan Jamil Khir dan dianggotai pengarah jabatan agama Islam negeri, wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN, wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, enakmen itu telah lama wujud, namun ada negeri yang kurang dalam penguatkuasaaan. 
"Bagi negeri yang belum mewujudkannya (enakmen) pula diminta membawa perkara itu kepada pihak yang berkenaan untuk diwujudkan dan dikuatkuasakan," katanya.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi demi menjaga keharmonian masyarakat dan sebagai pembelaan kepada mereka yang dimurtadkan. – BERNAMA 

Monday, 23 January 2012

Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir

Aziz Muda,22 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.   

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat.

Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu.

Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan.

Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung.

Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir.

Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu.

Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu.

Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim.

Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590.

Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi.

Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi.

Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, “Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi."

Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu.

“Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu ‘kapal’,” katanya.

Monday, 9 January 2012

Amanah paling besar daulat syariat Allah

Khairul Azlam Mohamad,07 January 2012


















HULU TERENGGANU, 7 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam bahawa amanah yang paling besar adalah menunaikan perintah Allah SWT dengan mendaulatkan syariat-Nya.

Katanya, perintah tersebut pernah dilaksanakan di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin (III) melalui undang-undang Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk.
(Gambar: Tuan Guru Abdul Hadi melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk karangan Ustaz Abu Bakar Abdullah.)

“Kita sedang menyambut 100 tahun Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk yang bermaksud ketekunan dan ketelitian Raja-raja bagi mengadilkan perangai dan akhlak, adalah Undang-undang Diri bagi negeri Terengganu yang digubal dan diluluskan pada tahun 1911.

Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk dan Batu Bersurat adalah menunaikan amanah dan yang terbesar dalam menunaikan amanah itu ialah menunaikan perintah Allah Ta’ala. Bagi mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah SWT, yang ditunaikan oleh nabi-nabi dan rasul,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perasmian Sambutan 100 Tahun  Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi.

Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

“Ini (Islam) bukan main-main. Para pendakwah Islam yang datang ke alam Melayu bukan Islam sekadar mengucap dua kalimah syahadah, bukan Islam yang didaftarkan di Pejabat Agama, bukan sekadar Islam baka dan keturunan. Islam yang dibawa ke alam Melayu adalah Islam orang, Islam negara dan kerajaan.

“Maka, hukum Islam diamalkan. Di atas ‘Batu Bersurat’ dicatit undang-undang jenayah, undang-undang hudud, undang-undang muamalat yang disebut dalam al-Quran dan Hadis SAW. Diamalkan di Melaka dan di negeri-negeri Islam di alam Melayu ini,” jelasnya di hadapan hampir 10,000 hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ‘hilangnya’ amanah tersebut setelah kedatangan penjajah menakluk negeri-negeri orang Islam.

Waktu itu, katanya penjajah barat datang dan menakluk negeri dengan kelemahan orang Islam sendiri di seluruh dunia.

“Mereka lagakan orang Islam dan pecahkan orang Islam, pecahkan bangsa-bangsa orang Islam dan mereka berjaya menakluk dan menjajah negara orang Islam. Sejak itulah Islam tidak berdaulat dan berkuasa lagi,” ujarnya.

Sempena majlis tersebut, Presiden PAS turut melancarkan buku Itqan al-Muluk Bi Ta’dil as-Suluk karangan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Thursday, 29 December 2011

Oley 2 akan terbit tak lama lagi

Aziz Muda  




KUALA LUMPUR, 28 Dis: Setelah menyaksikan Oley 1, seluruh penduduk negara ini akan berpeluang menonton Oley siri kedua pula tidak lama lagi menerusi internet.


Langkah untuk menerbitkan Oley 2 itu kini sedang giat diusahakan oleh penerbit Oley 1, Solidariti Muslim Prihatin (SMP) bagi memberi peluang kepada rakyat negara ini menimba ilmu menerusi dakwah cara baru.

Pengerusi SMP, Nurul Islam Mohamed Yusoff, 29, (gambar) berkata, Oley 1 yang diterbitkan pada 15 Disember lalu ternyata mendapat sambutan amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Menurutnya, berdasarkan view dan "like" pada wall Youtube didapati filem pendek tersebut telah ditonton lebih 160,000 orang setelah ia dipaparkan di dalam Youtube dalam tempoh lima hari diterbitkan.

Katanya, jumlah penonton semakin meningkat apabila filem itu juga dimuatnaik oleh Harakahdaily menerusi slot videonya, apabila ia turut ditonton lebih 20,000 orang setelah lima hari dimuatkan ke dalam slot itu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan penontonnya sebanyak lebih 180,000 orang setelah lima hari disiarkan. Sehingga hari ini pula jumlah penontonnya dah melebihi 250,000 orang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Beliau mengakui sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai telah mendorong pihaknya mempercepatkan proses penerbitan Oley siri 2 tidak lama lagi.

Jika Oley 1 hanya memakan belanja RM3,000 sahaja, beliau menjangkakan Oley 2 juga akan memerlukan perbelanjaan sebanyak itu sahaja.

"Untuk penerbitan Oley 2, kami juga akan berusaha mengambil masa pembikinan paling minima seperti juga Oley 1 iaitu hanya sekitar 2 jam shooting dan satu setengah jam bagi proses editing," jelasnya.








Oley 2 seperti juga Oley 1 diterbitkan untuk berdakwah, khususnya bagi menjawab kritikan-kritikan tidak berasas daripada pihak-phak tertentu berkenaan hukum Allah atau perundangan Islam, terutama membabitkan hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS.

Filem pendek itu akan dihidangkan dalam bentuk santai dengan penekanan kepada soal jawab secara bersahaja di kalangan pelakon-pelakonnya mengenai hukum Allah khususnya hukum hudud, bagi memberikan kefahaman kepada semua pihak tentang kaedah perlaksanaan sebenar hukum itu berdasarkan ajaran Islam yang sebenar.

Jika Oley siri pertama menamplkan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan, Timbalannya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Penerangan Dewan itu, Riduan Mohd Nor sebagai pelakon pentingnya, Oley 2 juga akan mengekalkan pelakon-pelakon yang sama.

Penglibatan Nik Mohd Abduh di dalam filem itu sejajar dengan kedudukannya sebagai pemimpin kepada sebuah NGO, ILMAM, manakala Riduan dalam Muslim Care.

Selain mereka, pelakon-pelakon penting lain dalam Oley 1 yang turut dikekalkan dalam Oley 2 termasuk penceramah selebriti yang sedang meningkat naik, Ustaz Syed Kadir Hussin Al Joffre serta pendakwah bebas, Ustaz Imran Al-Malizi.

"Begitu juga dengan pelakon-pelakon penting lain termasuk pengacara, penulis lirik dan pelawak terkenal, Bob Lokman, juga akan dikekalkan bagi Oley 2," jelasnya.

Manakala penampilan istimewa vblooger terkenal, Mat Lutfi dan Man John, juga tidak akan dikesampingkan kerana kemunculan mereka telah dikesani menarik minat tersendiri di kalangan anak-anak muda untuk menonton filem tersebut.

Sementara itu, sehingga berita ini ditulis, Oley 1 ditonton lebih 44,510 pengguna Youtube di channel Tvpas manakala 189,693 lagi melalui chanel Oneheartcs.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...