Monday, 26 December 2011

PERANCANGAN STRATEGIK KEBANGKITAN ISLAM




Allah Taala berfirman dalam Surah Al Maidah, ayat 3 bermaksud, "Pada hari ini, orang-orang kafir telah berputus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKU kepada kamu dan Aku reda Islam itu menjadi agama untuk kamu."


Sesungguhnya kebangkitan Islam yang muncul pada masa kini membuktikan kebenaran kata-kata Allah dan janji-Nya yang tidak akan dimungkiri. Allah telah berjanji akan menjaga agama-Nya dan akan membantu golongan yang membantuNya. Namun, umat Islam akan berhadapan dengan siri-siri peperangan Ahzab yang tidak terhenti dengan peperangan Ahzab pertama yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W, dan pakatan Ahzab tersebut telah berjaya dikalahkan dengan pertolongan Allah. Inilah hikmah yang mendalam di sebalik kita berulang kali menyebut sejarah ini selepas setiap kali kita bertakbir. 

Ini menegaskan lagi firman Allah, "Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu sehingga mereka memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu". (Al Baqarah:217)


"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha terhadap kamu (wahai Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka); Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar. Dan sesungguhnya jika kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya wahyu, maka kamu tidak akan memperoleh daripada Allah sesuatu pun yang dapat membela dan memberi pertolongan kepada kamu". (Al Baqarah:120)

Kita telah menyaksikan kesatuan Zionis-Salibiyah dan pakatan golongan sekular (neo-musyrikin) dalam memerangi agama Islam."...Pada saat itu orang-orang beriman telah diuji dan digoncangkan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. 

Dan ketika itu orang-orang munafik dan orang-orang yang mempunyai penyakit dalam hatinya berkata; Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". (Al Ahzab:11-12)

Sesungguhnya umat telah berhadapan dengan pelbagai fitnah ujian dan tribulasi selepas kejatuhan Khilafah dan lenyapnya kerajaan Islam. Islam diletakkan di kandang tertuduh, tersepit di antara kejahilan umat dan kelemahan ulama serta pengkhianatan pihak pemerintah selepas keluarnya pihak imperialis dari bumi umat Islam. Mereka telah membahagi-bahagikan negara-negara Islam dan penduduknya dengan sempadan geografi yang bersifat perkauman dan nasionalis yang sekular. Mereka telah berjaya meminggirkan Islam dari pentas politik negara dan kepimpinan umat.


Orang-orang beriman pula telah terpesona dengan solusi-solusi yang diimport dalam menangani isu-isu politik, ekonomi dan sosial. Agama Islam telah dihukum dan bukan lagi menjadi agama yang memutuskan sesuatu hukum. Agama Islam bukan menjadi ketua (panduan yang diikuti) dan rujukan, tetapi ia terkongkong dalam kerangka undang-undang yang membelenggunya, terperosok di bawah akta yang dinamakan sebagai urusan hal ehwal Islam dan pengawasan terhadap ajaran agama yang sebenarnya bertujuan untuk memisahkan Islam daripada kehidupan umat secara keseluruhannya.


Namun, mereka tidak akan mampu memadamkan cahaya agama ini, sesungguhnya Allah akan menyempurnakan cahaya agamaNya walaupun dibenci oleh orang-orang yang membenci. Gerakan kebangkitan Islam telah tersebar ke seluruh dunia sebagaimana tersebarnya siang dan malam. Umat Islam telah bangkit dengan kesedaran menentang golongan thaghut yang mewarisi jejak langkah penjajah tanah air umat Islam, yang sebenarnya telah gagal dengan keseluruhan sistemnya. Sehingga akhirnya umat pula terpaksa menanggung perit derita kezaliman dan kefasadan yang berlaku, bermula dengan keruntuhan blok komunis dan petanda-petanda runtuhnya blok kapitalis lalu meninggalkan pemimpin-pemimpin sesat di negara-negara umat Islam dalam keadaan terkial-kial di kerusi-kerusi mereka berhadapan dengan kebangkitan baru yang datang daripada kalangan rakyat tertindas.


Kebangkitan Islam telah muncul di seluruh tempat dan kemusnahan ideologi-ideologi rekaan penjajah dan Zonis telah terzahir setelah ia mengalami femerosotannya di negara-negara besar dan pihak yang mempromosikan ideologi-idelogi tersebut di negara kita bergantung harap kepada tali barut dengan perancangan dan pembiayaan daripada pihak luar. Akan tetapi, kebangkitan yang mulia ini tidak akan mencapai matlamat yang dikehendakinya melainkan dengan perancangan yang sistematik untuk menggerakkannya dan mengembangkannya sehingga golongan Islam tidak lagi disengat berkali-kali dalam satu lubang yang sama, sebagaimana yang berlaku ketika era jihad menentang penjajah dan revolusi-revolusi selepasnya yang mana walaupun mereka yang memulakannya tetapi pihak lain yang memetik hasilnya. Ini kerana di hadapan kebangkitan ini terdapat pelbagai cabaran sama ada yang bersifat dalaman mahupun luaran yang perlu ditempuhi dan terbentang pelbagai halangan yang perlu ditangani.


Faktor-Faktor Kebangkitan Islam




Kita mempunyai asas-asas yang kukuh dalam umat yang mempengaruhi kebangkitan Islam, antaranya :


  • Ad Din
Agama Islam itu sendiri merupakan faktor kebangkitan Islam, dari segi akidahnya, syariatnya, akhlaknya dan sistemnya. Walaupun terdapat perselisihan mazhab dalam perkara furu' akan tetapi ia bersifat kukuh dari segi sumber-sumbernya yang terdiri daripada teks-teks syarak dan ijtihad para ulama. Maka menjadi satu tanggungjawab bagi para ulama dan pemikir Islam untuk membina wehdatu as saff (kesatuan barisan) antara pasukan kebangkitan ini di atas asas-asas yang kukuh dan sikap toleransi, serta merapatkan jurang yang wujud dengan sebab khilaf yang bermanfaat dalam perkara furu' dan menjauhi khilaf yang tidak bermanfaat yang menghidupkan sudut-sudut negatif dalam sejarah dan mana-mana bahagian-bahagiannya yang tidak diiktiraf.


Revolusi Islam di Iran yang berjaya menggulingkan kerajaan Shah juga menggunakan agama. Dari revolusi itu lahirnya nilai-nilai positif yang mendorong kebangkitan Islam yang wujud di dunia Islam, begitu juga peranannya yang ketara dalam isu-isu umat seperti isu Palestin dan Balkan. Namun, terdapat perkara-perkara memerlukan semakan dan perhatian. Antaranya ialah menggunakan Revolusi Islam untuk menyebarkan mazhab tertentu dan menghidupkan perbezaan pendapat dalam perkara furu' yang negatif yang akhirnya menjadikan revolusi tersebut sebagai suatu yang turut negatif, dipinggirkan oleh umat dan dituduh sesat.


Fanatik buta di kalangan mazhab-mazhab Islam turut membawa ke arah keburukan dan menjadi penghalang dan sekatan kepada kemajuan kebangkitan ini. Nun di sana terdapat usaha-usaha mulia yang telah dilakukan oleh para ulama salaf yg mengajar dan belajar sesama mereka, walaupun mereka berbeza aliran tetapi mereka saling menguatkan serta bersatu untuk gerak kerja jihad, dakwah dan berhadapan dengan pihak pemerintah yang zalim pada zaman mereka. Mereka mengarang kitab-kitab yg sangat bernilai dengan menghimpunkan pendapat-pendapat daripada keseluruhan mazhab sama ada pendapat yang kuat mahupun yang lemah.


Hakikatnya, kekuatan dan kelemahan dalam hujah ijtihad kadangkala berubah dengan sebab perubahan masa, suasana, cabaran, Maqasid Syari'ah dan Siyasah as-Syari'yyah. Betapa banyak pendapat-pendapat yang lemah pada zaman lalu telah berubah menjadi hujah yang kuat pada zaman sekarang dan begitu juga sebaliknya. Di sinilah peranan organisasi-organisasi seperti Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Majma' at Taqrib dan Majma' al-Fiqhi, maka serahkan perkara ini kepada para ulama yang pakar dalam urusan ilmu nescaya organisasi-organisasi tersebut akan menjadi sumber rujukan yang sangat bernilai untuk pelaksanaan syariat yang adil untuk seluruh manusia dan menjadi rahmat untuk seluruh alam.


Begitu juga kita melihat peranan umat Islam dalam revolusi jalanan menentang sistem pemerintahan, ia menjadi bukti kepada pengaruh mereka dalam masyarakat dan kejujuran mereka yang tiada dalam diri para pejuang yang lain. Akan tetapi, kita tidak mahu mengulangi kembali sejarah lampau, tindakan-tindakan yang lalu yang mempunyai kekurangan yang telah menjadikan umat Islam berada di barisan hadapan pada permulaan jihad dan revolusi, tapi pada akhirnya mereka berada di pinggir, dalam keadaan berpecah belah dan dizalimi.


Ini berlaku sama ada dengan sebab perselisihan dan perpecahan dalaman mereka, kelemahan dari segi gerak kerja dan perancangan yang tidak sistematik ataupun sikap rendah diri mereka yang tidak kena pada tempatnya kononnya berselindung di sebalik sikap tidak cintakan kuasa serta membenci urusan politik. Itu semua menjadikan mereka lemah dan tidak mampu untuk menghadapi tipu muslihat musuh-musuh sama ada dari dalam mahupun musuh dari luar.


Antara faktor yang membawa kepada kebangkitan Islam ialah kegagalan pelbagai agama dan ideologi baru yang tampak jelas keburukannya, terutamanya di kalangan para pemuda dan golongan cendekiawan yang terdidik dengan pengetahuan Barat dan sebahagian mereka yang berasal dari negara Barat sendiri. Ini menyebabkan munculnya idea untuk kembali merujuk kepada Islam semula. Tetapi di sana terdapat percubaan jahat untuk meracuni kebangkitan Islam dengan cara mempersembahkan Islam berdasarkan agenda serangan pemikiran yang lama yang bertujuan menghalang Islam daripada berada pada kedudukan yang sebenar, iaitu Islam mengatasi seluruh agama lain di dalam negara yang berlandaskan syariat Islam yang sempurna dan saling menyempurnakan.


Percubaan jahat itu menggunakan label 'islah & tajdid' namun dengan mempersembahkan Islam tanpa politik atau politik Islam tetapi tanpa pelaksanaan syariat, sebagai helah untuk tidak tercapainya matlamat mengaplikasikan Islam secara keseluruhan. Agenda yang dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada jejak langkah syaitan. 

Maksud firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan jangan kalian mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagi kamu". (Al Baqarah:208)


  • Kesatuan Ummah
Umat Islam terdiri daripada pelbagai jenis masyarakat dan berbilang kaum yang bertaburan di benua-benua dunia dan menetap di pelbagai tempat yang kaya dengan sumber-sumber semula jadi dan sumber-sumber manusia. Mereka juga berada di kedudukan geografi yang strategik dalam hubungan antara negara-negara yang saling bersempadan. Ukhuwah berlandaskan iman masih lagi kekal dalam hati-hati mereka, buktinya mereka berdiri dalam satu saf menangani segala isu umat yang menyentuh perasaan nurani mereka atas dasar ukhuwah keimanan, kerana perumpamaan orang-orang beriman dari segi kasih sayang, kemesraan dan simpati sesama mereka adalah bagaikan satu jasad, apabila salah satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh anggota turut merasai kesakitan dengan berjaga dan demam.


Kita telah melihat fenomena yang mulia ini ketika era pergolakan yang berlaku di Selatan Lubhan dan kepungan yang berlaku di Gaza, sekalipun terdapat pelbagai kaum dan mazhab, pertembungan antara kerajaan-kerajaan dan perselisihan para ulama. Itu antara bukti yang menunjukkan bahawa umat yang beriman berada di lembah kesatuan manakala urusan kerajaan pula berada di lembah yang lain. Justeru, perkara yang paling penting ialah mengembangkan sikap ukhuwah yang berkekalan ini dan mengaturnya dengan baik.


Begitu juga dengan kesepakatan mereka dalam isu Palestin misalnya, mereka mengasaskan sebuah organisasi persidangan Islam selepas tragedi pembakaran Masjid al-Aqsa dan para pemerintah negara Islam seluruh dunia menerima organisasi tersebut sama ada secara rela atau terpaksa. Perkara tersebut juga menjadi bukti kepada kekuatan pengaruh kesatuan ummah dalam mengubah pentadbiran negara-negara Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa.


  • Pembentukan Dan Perkembangan Kebangkitan Islam



Sesungguhnya musuh-musuh Islam tidak akan membiarkan walaupun satu jalan kosong tanpa campur tangan mereka, tanpa tindak balas dan tanpa tindakan yang kontra dan berlawanan, bertujuan menghadapi kebangkitan Islam. Buktinya ialah aktiviti-aktiviti di peringkat serantau dan antarabangsa yang dijalankan oleh negara-negara kuasa besar dan negara-negara di bawah penguasaannya yang berselindung di sebalik bantuan kemanusiaan, reformasi politik, pembinaan negara, pelaburan dan pembangunan dalam bidang ekonomi dan sebagainya.


Usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif, projek, pelaksanaan yang mana semua itu dimanipulasi melalui media massa, pergerakan pangkalan tentera di kawasan terbabit serta pengaruh mereka di kalangan kerajaan-kerajaan setempat. Mereka semua bersaing antara satu sama lain berdasarkan kepada kebaikan dan manfaat yang bakal mereka perolehi manakala kita tidak akan memperolehi apa-apa kecuali dengan kadar yang sedikit lagi hina.


Walaupun kita tidak patut mempercayai kejujuran mereka, akan tetapi kita perlu mengamalkan sikap keterbukaan dan optimis berdasarkan kepada maslahah serta kewajipan dakwah terhadap golongan-golongan lain daripada kalangan mereka yang mengambil jalan damai dan yang bermusuh. Segalanya memerlukan tindakan yang bijaksana daripada para pemimpin, ulama dan pemikir dari kalangan umat Islam sendiri.


Kita juga perlu kepada pembentukan kebangkitan yang mulia ini secara bertarbiyah, bersistematik dan berstrategi. Maka di sinilah peranan kumpulan orang-orang beriman, para ulama dan pemikir yang mana mereka adalah penjaga yang salih bagi urusan umat Islam dan tidak harus dibiarkan urusan ini berada di tangan penjaga yang jahat.


Di sinilah peranan kerajaan-kerajaan dan parti-parti Islam yang sedang berada dalam proses islah dan tajdid untuk membentuk dan mengembangkan kebangkitan Islam dengan melakukan campur tangan secara langsung agar semuanya berada dalam satu saf dari segi keselarasan dan ta'awun serta satu pasukan dari segi gerak kerja. Justeru, negara Iran perlu berperanan aktif bagi menyeru para pemerintah yang bersepakat dalam agenda islah dan tajdid di peringkat global ke arah kebebasan yang sempurna melalui jalan diplomasi, contohnya dengan menggerakkan organisasi persidangan Islam, mengadakan pelbagai persidangan, membina hubungan secara langsung supaya kerajaan-kerajaan yang ada akan bersama-sama dengan kebangkitan Islam yang bakal mengubah wajah dunia Islam dan ummah, sama ada mereka akan menerima atau menolak perubahan tersebut.


Para ulama dan pemikir sepatutnya memimpin kebangkitan Islam atas dasar kefahaman terhadap agama dan kebijaksanaan dalam perancangan dan gerak kerja, supaya kebangkitan tersebut tidak menjadi huru-hara yang menyebabkan matlamat yang didambakan tidak tercapai iaitu untuk kembali memimpin umat menuju Islam. Sekiranya dalam ibadat, pernikahan, muamalat dan jihad terdapat fiqahnya tersendiri, maka kebangkitan Islam juga sangat berhajat kepada fiqah. Orang-orang yang mengerjakan haji tanpa ilmu fiqah tidak melontarkan batu-batu sebagai simbolik lontaran ke arah syaitan, akan tetapi mereka melontarkan batu, kasut dan apa sahaja yang berada di tangan mereka ke arah saudara-saudara mereka sendiri.

Orang-orang yang berjuang di jalan Allah tanpa ilmu fiqah pula akan memerangi seluruh manusia dengan mengabaikan hukum-hakam yang adil dan adab-adab dalam jihad, sesungguhnya -mereka memusnahkan ajaran Islam dengan tangan mereka sendiri. Maka begitu juga dengan kebangkitan Islam yang mulia ini, ia tersangat berhajat kepada peranan para ulama, pemikir dan golongan cendekiawan daripada kalangan umat ini untuk membentuknya, menyusunnya, menyebarkannya dan memimpinnya supaya ia sentiasa berada di atas jalan yang lurus.



[ Antara teks ucapan Presiden PAS, TUAN GURU ABDUL HADI AWANG  di Persidangan Kebangkitan Islam di Tehran, Iran ]. 

Thursday, 22 December 2011

Enakmen cegah murtad perlu dilaksana segera

Sebahagian besar negeri sudah gubal: Jamil Khir

PUTRAJAYA: Sudah tiba masanya undang-undang berkaitan pencegahan murtad yang diwujudkan di sebahagian besar negeri di Malaysia sejak 1980-an dikuatkuasakan sepenuhnya bagi membendung gejala itu, termasuk mengenakan tindakan terhadap mereka yang didapati cuba memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata enakmen berkaitan murtad sudah diwujudkan lama dulu bagi membendung gejala itu, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya menyebabkan ada pihak menganggap tidak ada peruntukan undang-undang berkaitan isu itu.
"Undang-undang mengenai murtad itu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya berikutan perkembangan terkini sejak kebelakangan ini yang membabitkan akidah umat Islam hingga menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat"

Jamil Khir Baharom

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Beliau berkata, negeri yang sudah mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam Negeri-Negeri ialah Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Negeri yang belum ada enakmen berkenaan pula ialah Perak, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Kita mengambil ketetapan supaya negeri yang belum menguatkuasakan enakmen atau diwartakan (supaya berbuat demikian) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengatur pertemuan dengan jabatan dan majlis agama Islam negeri.

“Kita akan maklumkan kepada jabatan dan majlis agama mengenai kewujudan enakmen ini (dan) dikuatkuasakan supaya rasa kebimbangan (mengenai gejala murtad) ini dapat diselesaikan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membincangkan isu berkenaan di sini, semalam. 
Beliau berkata, undang-undang mengenai murtad itu perlu dikuatkuasakan sepenuhnya berikutan perkembangan terkini sejak kebelakangan ini yang membabitkan akidah umat Islam hingga menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

Tertuduh dalam enakmen berkenaan dibicarakan di mahkamah sivil kerana ia turut membabitkan orang bukan Islam.

Katanya, bagi Wilayah Persekutuan, draf undang-undang berkaitan dalam peringkat akhir disiapkan dan perlu dibentangkan ke Parlimen untuk kelulusan manakala negeri lain di bawah bidang kuasa Dewan Undangan Negeri masing-masing.

“Kita juga sudah ada contoh kes menggunakan enakmen berkenaan yang mana tertuduh dikenakan denda dan penjara di Pahang pada 2002,” katanya.

Jamil Khir berkata, masyarakat perlu disedarkan mengenai kewujudan undang-undang berkaitan manakala pihak berkenaan perlu menguatkuasakan sepenuhnya dalam usaha membendung gejala murtad.

“Ia boleh memberikan kesan psikologi kepada orang ramai bahawa ada undang-undang berkaitan murtad di negara ini dan masyarakat juga tahu di mana hendak mengadu jika ada isu,” katanya.

Selain isu murtad, katanya, JAKIM juga akan bekerjasama dengan NGO Muslim yang lain bagi menangani gejala lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Perkongsian maklumat dengan NGO penting bagi membolehkan JAKIM mengambil tindakan perlu jika sesuatu isu berkaitan LGBT timbul di kalangan masyarakat.

“LGBT dan seksualiti merdeka adalah di luar nilai masyarakat dan ditentang semua agama dan diharamkan Islam,” katanya. 

Tuesday, 20 December 2011

Oley!!


Sebuah filem pendek yang menerangkan hudud secara umum. Filem pendek ini diterbitkan bertujuan untuk menjawab persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan dalam klip video 'Sembang Rakyat' yang bertajuk 'Musim hudud' dan 'Hudud PAS lagi'.Semoga klip video ini dapat memberi manfaat kepada para penonton.Kami sangat mengalukan perkongsian(share) video ini kepada masyarakat.

Monday, 19 December 2011

Mahasiswa bukan budak hingusan...



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 19 Dis: “Saya ucapkan selamat berjuang,
sabar dan tabah mendepani ujian buat seluruh
mahasiswa yang berani dan benar,” kata Nasrudin Hassan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata
mahasiswa adalah agent of change dan ilmu yang mereka
miliki meletakkan mereka sebagai intelek muda 
dan ia merupakan aset untuk berani, yakin dan 
bertanggungjawab dengan tindakan yang mereka ambil.
“Mereka bukan lagi budak hingusan yang boleh ditempelak,
dipulas telinga dan ditampar, apa lagi untuk diludah,”
ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, mereka mampu bangkit membentuk
gelombang third force yang berkesan
ke arah membangkitkan ummah dari lena yang panjang
lantas mencetus perubahan dan meletakkan negara 
selamat serta bebas dari anasir yang meruntuhkan 
peradaban seperti rasuah, pecah amanah, 
ketidaktelusan dan sebagainya.
Katanya, kerajaan sekali-kali tidak wajar
mengkesampingkan tuntutan mereka 
apatah lagi memperkecilkan mereka.


“Saya lihat inilah masanya, mahasiswa menyusun 
kebangkitan lalu memposisikan diri mereka selayaknya,
sesuai dengan ilmu dan semangat yang mereka miliki. 
Usah gentar berkelana di alam buana ini,
menggalas cita-cita perjuangan,” ujarnya.
Tambahnya, tidak sekadar berjuang
untuk membebaskan mahasiswa
tetapi juga menggerak kesedaran serta kebangkitan rakyat.
Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia 
mengucapkan syabas kepada thaurah yang mula 
menampakkan rentak kebangkitan mahasiswa.
Kini, ujar beliau mereka mula
melepaskan diri dari pasung puaka yang 
membelenggu leher mereka sejak sekian lama.
“Kami pastinya bangga dengan perkembangan ini.
“Menuntut ilmu biarlah seiring dengan semangat perjuangan.
Jangan abaikan salah satu dari keduanya.
Ilmu adalah senjata berkesan 
bagi perjuangan yang kita dukung,” tegasnya.
Beliau menambah, ada senjata tetapi tidak menghunusnya
untuk perjuangan suci itu hanya memperlihatkan kita lemah.
“Demikian juga berjuang tanpa senjata (ilmu) 
membuatkan kita salah memilih hala tuju yang benar,” jelasnya.

Sunday, 18 December 2011

[[ Aurat wanita ]]

Bismillahirrahmanirrahim...


1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)  - Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah .

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecu ali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Saturday, 10 December 2011

Nota Mudah Memahami Hukum Hudud. - siri keenam

Hudud adalah Adil dan Menyelamatkan

Hukum hudud sangat dibimbangi oleh non muslim kerana perlaksanaannya dianggap kejam serta  ketinggalan zaman. Apakah benar tanggapan tersebut ?

33. Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Tuhan yang mencipta manusia, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi malah seluruh alam ini. Realiti ini sangat difahami dan diterima oleh non muslim. Firman Allah swt : 
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
Surah Al Ankabut : 61

34. Oleh kerana Islam adalah agama yang datang dari Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijak, maka ia adalah agama yang membawa sinar keadilan buat ummat manusia melalui syariat atau peraturannya serta menyelesaikan masaalah ummat manusia dengan penuh kebijaksanaan yang akhirnya membawa ummat manusia menjadi ummat yang sejahtera, tenang, selamat, aman dan bahagia bersama agama ini. Firman Allah swt :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Surah An Nuur : 55

35. Selain janji Allah bahawa syariatnya adalah adil dan membawa kebaikan kepada ummat manusia, semua dari kalangan kita samaada muslim atau non muslim dapat menyaksikan sendiri bagaimana hukum Allah swt ini benar - benar adil melalui kaedah  dan hikmah perlaksanaannya. Namun ianya mestilah dilihat dan diteliti dengan jujur tanpa sebarang sceptical terhadap hukum Allah swt [ hudud] Tuhan yang Maha Mencipta ini.

36. Hudud adalah suatu hukum yang mengandungi 2 elemen utama iaitu balasan setimpal ke atas penjenayah dan sistem tegah kawal dari Allah swt. Ertinya hukum hudud adalah hukum yang hanya dijatuhkan atau dikenakan ke atas penjenayah yang telah sabit kes agar segala perbuatannya dibalas setimpal dan menimbulkan kesedaran atau keinsafan pada dirinya agar tidak lagi mengulangi perbuatan jenayah tersebut dan ia juga menjadi sistem yang menegah pihak lain dari melakukan jenayah sepertinya.

37. Perlaksanaan hukum hudud ini tidak perlu ditakuti atau dibimbangi lagi jika inilah prinsip dan kaedah perlaksanaannya. Bahkan semua pihak samaada muslim atau non muslim akan mendapat faedah yang baik dan positif dari perlaksanaannya. Antara yang boleh saya nyatakan sebagai contoh positifnya kesan perlaksanaan hukum hudud  ialah :

a)      Hudud tidak menjejaskan FDI negara kerana apa saja bentuk sistem perundangan di mana-mana Negara, sekiranya undang-undang yg dilaksanakan itu memelihara hak, mencegah penganiayaan dan menghindar jenayah, maka pelabur akan lebih yakin justeru negara tersebut terhindar dari korupsi dan penindasan. [Hudud merupakan suatu undang-undang pencegahan dan mendidik.]



b)      Hudud tidak akan menjejaskan pelancongan sekiranya pelancong datang  bercuti untuk mencari ketenangan, melawat untuk menikmati keindahan alam  serta sopan santun penduduknya dan shopping untuk mendapatkan barang keperluan mereka dengan harga yang berpatutan. Kecuali pelancong itu datang untuk melakukan maksiat dan mungkar yang boleh merosakkan dirinya dan menularkan budaya keji itu dalam negara kita. Negara kita tidak perlu pelancung maksiat sebagaimana kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Thailand (pusat percutian seks) atau Macau (pusat percutian judi).

c)       Enakmen Hudud membenarkan kemaafan dan menggalakkan reconciliation serta mencari sebab mengapa kesalahan dilakukan seperti dalam kes qisas umpamanya, saudara yang kena bunuh boleh memaafkan pembunuhnya.  Pencuri yang mencuri kerana sebab darurat seperti lapar yang amat, maka ia tidak akan dipotong tangan. Sebaliknya menurut ajaran Islam, kerajaan mesti menyalurkan wang zakat kepadanya atau menyediakan peluang  pekerjaan kepadanya.

d)      Perlaksanaan hukuman hudud memerlukan penelitian dan saksi yang cukup dan ia dilaksanakan dengan berhati hati dengan berpaksi kepada prinsip keadilan dan ketelusan.

e)     Hudud juga adalah undang - undang yang sangat berpotensi mencegah jenayah dan mungkar. Malah ia menyelamatkan masyarakat dari terjebak dalah pengaruh jenayah dan budaya mungkar yang merosakkan tamadun atau peradaban manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, hudud mampu melahirkan negara yang aman, masyarakat yang sejahtera dan keluarga yang bahagia kerana mereka bebas dari ancaman jenayah, mungkar dan maksiat. Bahkan non muslim turut menikmati suasana ini.
Bayangkan apabila tiada lagi mabuk - mabuk, kesempitan wang akibat kalah judi dan jenayah seksual, maka rakyat akan selamat dan terasa aman serta bahagia. Justeru sebahagian besar jenayah yang berlaku hari ini adalah akibat mabuk, kalah judi dan kegagalan mengawal syahwat. Dari sinilah berlakunya rompak, samun, culik, rogol, bunuh dan sebagainya.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam PR ?

Maafkan saya teman kerana agak lembab menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa forum Politik dan Mahasiswa di UIAM tempohari sedang saya telah berjanji untuk menjawabnya. Maklumlah, apabila sudah tidak berada dalam majlis, ada sahaja perkara yang melengahkan saya untuk menjawabnya. Kini ada satu lagi soalan yang masih belum terjawab. Soalan kelima !

Soalan tersebut ialah : Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?

1. Saudara , perjuangan PAS bukan lagi berusia setahun jagung. Malah PAS telah berpengalaman luas dalam Kerajaan Campuran di zaman Perikatan. Berpengalaman di zaman Angkatan Perpaduan Ummah juga di zaman Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat. Sepanjang tempoh itu, PAS tidak pernah lekang biarpun seketika cuma dari dasar perjuangan yang telah mendarah daging iaitu Islam.

2. Tinggal Islam maka hilanglah identiti PAS dan tersasarlah dari matlamat penubuhannya. PAS ditubuh untuk memperjuangkan Islam. Hakikat ini mesti diinsafi oleh semua. Malah PAS dibangunkan dengan segala sendi yang kukuh dan melalui proses pengkaderan yang berterusan. Aqidah Islam menjadi tunjang perjuangan, Fikrah Islam menjadi dahan perjuangan sementara Syakhsiyah Islam menjadi bunga perjuangan dan Kedaulatan Islam kelak menjadi buah perjuangannya.

3. PAS istiqamah berjuang menegakkan Islam biarpun di mana ia berada. Menyertai Pakatan Rakyat adalah pilihan dan ijtihad PAS yang telah dibincang dan dibahas lumat oleh para pimpinannya yang terdiri dari para alim ulama' termasuklah ianya diluluskan oleh Majlis Syura Ulama' PAS. Segala congakan atau perkiraan politik yang melibatkan untung rugi masa depan perjuangan telah dihitung nilai.

4. Malah Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik yang diguna pakai lalu membawa PAS bersama membentuk Pakatan Rakyat adalah sebuah kerjasama politik yang sarat dengan terma dan syarat tersendiri malah menjamin kedudukan serta kesucian perjuangan Islam yang didokong oleh PAS.

5. Biarpun berbeza ideologi perjuangan, ianya tidak menghalang ketiga - tiga parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan kerjasama politik berhadapan UMNO dan BN. Ia bukan kerjasama aqidah, tetapi kerjasama politik. Malah ia bukan perkara baru bagi Gerakan Islam mengadakan kerjasama politik dengan non muslim lantaran Bagunda Rasul saw juga pernah terlebih dahulu pernah menganjurkannya.

6. PAS bukan sahaja konsisten malah sangat komited untuk melaksanakan Islam terutama apabila rakyat telah bersedia memberikan mandat kepimpinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Insyaallah, Islam tetap terpelihara dan akan terus diperjuangkan atau ditegakkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

7. Ada orang bertanya saya, kenapa tidak bersama UMNO ? saya hanya menjawab : Ini pilihan PAS. Pilihan pemimpin dan ahli - ahli PAS malah penyokong PAS. Hati PAS berkenan kepada Pakatan Rakyat sementara UMNO dan BN tidak. Sungguhpun UMNO dan BN menggunakan pelbagai madah, sehingga kini mereka belum mendapat tempat di hati PAS. Kenapa PAS tidak berkenan ? nantilah saya bercerita kemudian dalam artikel yang lebih khusus. Cuma ringkasnya, Bukanlah UMNO tidak cantik, tapi ada yang jauh lebih cantik dari UMNO.

8. PAS tidak larut dan hilang identiti sebaliknya terus membawa suara Islam dengan segala warna hikmah yang ada. Kita akui, peringkat awal dulu kita mengalami beberapa kesulitan untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara parti komponen gara - gara terlalu banyak fitnah dan adu domba.

9. Namun kesabaran dan kematangan yang bertolak dari pengalaman yang luas akhirnya perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam dan akhlaknya semakin diterima. Paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Ianya satu perkembangan positif malah jauh lebih positif berbanding sebelumnya.

10. Saya optimis Islam akan ditegakkan malah boleh dan mampu ditegakkan Insyaallah, justeru Islam adalah agama Allah swt Tuhan yang Maha Sempurna dari segala sifat kekurangan, bukan agama ciptaan manusia yang serba lemah. Selama PAS bersama Islam, PAS akan kuat dan mampu. Selagi Islam diperjuangkan oleh PAS maka PAS senantiasa relevan.

11. Seperkara lagi, ingin saya tegaskan di sini bahawa Islam tidak sekadar hudud sebaliknya hudud adalah sebahagian dari Islam yang wajib dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Antara yang menjadi fokus penting juga selain Perlaksanaan Qanun Jenayah Syariah 2, ialah pembentukan sebuah pemerintahan atau pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti tinggi. Bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara. Ianya menepati Islam yang diperjuangkan.

12. Memperjuangkan perkara - perkara ini sahaja pun sudah tidak menang tangan dalam Pakatan Rakyat yang semakin memaut kerjasama erat antara parti komponen berbanding hanya satu dua perkara yang menjadi asas perbedaan. Semua parti bekerjasama erat untuk membasmi ISA, menentang rasuah, menubuhkan Good Governence, mempertahankan bahasa kebangsaan, menolak AUKU, perjuangkan hak rakyat marhain, perjuangkan hak mahasiswa dan 1001 perkara lagi yang selari dengan kehendak Islam.

13. Bertolak dari nokhtah yang telah saya sebutkan ini juga sudah cukup bahawa PAS berpotensi besar untuk menegakkan Islam bersama Pakatan Rakyat. Membasmi ISA adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, menentang rasuah adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, membina negara yang telus, adil dan berintegriti adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Agihan kekayaan negara dengan adil dan bijaksana, bebas dari amalan monopoli, juga merupakan tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Kini dakwah PAS berjalan rancak dan semakin pro aktif insyaallah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...