Thursday, 4 October 2012

Mahu doktor wanita rawat pesakit wanita

Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail,




Mohon jasa baik Kementerian Kesihatan agar dapat mengadakan wad khas untuk pemeriksaan oleh doktor perempuan di hospital kerajaan. Dengan cara begini, pesakit wanita ada pilihan.

Sudah sampai masanya untuk memberikan perkhidmatan bagi rawatan pesakit perempuan dengan doktor perempuan terutama sekali yang membabitkan sakit puan dan juga wad bersalin. Hal ini kerana dimaklumkan sudah ramai dan seimbang pakar perubatan dinegara ini antara doktor perempuan dengan doktor lelaki.

Benar, mengikut hukum agama diberkan doktor lelaki membolehkan rawatan kepada pesakit wanita tetapi apabila dalam keadaan darurat sahaja tetapi apabila kuota pakar perubatan dan pegawai perubatan yang lainnya itu mempunyai perseimbangan diantara pegawai lelaki dan pegawai wanita, sebaik-baiknya kita memberikan ruang dan peluang agar pesakit wanita dibenarkan membuat pemilihan untuk apa juga rawatan terutama sekali ada kaitannya dengan sakit puan itu.

Kalau dihospital swasta ada pilihan untuk rawatan pesakit wanitanya, kenapa tidak dipraktikkan juga di hospital kerajaan. Saya mencadangkan juga agar semua hospital kerajaan dinegara ini memberikan perkhidmatan rawatan saperti biasa sama ada semasa cuti hujung minggu atau cuti am yang lain. Hal ini kerana tidak memadai hanya wad kecemasan sahaja dibukakan pada cuti umum atau cuti mingguan. Saya mendapati wad kecemasan ini begitu sesak dengan pesakit dengan hanya satu atau dua doktor sahaja bertugas dan ini menyusahkan orang awam untuk mendapatkan rawatan.   

Saturday, 21 April 2012

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

Percaya kepada malaikat adalah rukun iman yang kedua. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoa malaikat akan mendapat keistimewaan. Dalam hidup ini kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang semakin mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari pada lidah, tetapi juga sokongan daripada malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: “Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?” Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’ ”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak)
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak’”

10. Orang yang sedang makan sahur
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang melawat orang sakit
Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

“Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Friday, 30 March 2012

Bidadari syurga menurut Al-Quran dan hadith




Bidadari syurga, makhluk yang telah sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh, yang berbuat kebaikan, yang layak untuk memasuki syurga. Diceritakan bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diberi izin oleh malaikat penjaga syurga. Suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk menjenguk ke bumi bagi melihat suami mereka dan telah diizinkan. Bidadari-bidadari ini dapat mengenal siapa suami mereka kerana di dada mereka telah tertulis nama suami yang mereka rindui.
Apabila melihat ke bumi, mereka terlihatlah bidadari-bidadari akan isteri bagi suami mereka di dunia tidak taat serta berbuat derhaka kepada suami, lalu bidadari syurga itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangimu, sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisimu, sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkanmu.” Di dalam Al-Quran dan hadith banyak sekali dijelaskan ataupun digambarkan tentang susuk bidadari yang bertempat di syurga dan bersedia melayani para ahli Jannah.
AL-QURAN
Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah. (Al-Imran:15)
Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. (Ad-Dukhan:54)
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. (Al-Waqi’ah:22)
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). (Al-Waqi’ah:35-36)
Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Sad:52)
Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. (Ar-Rahman:56-58)
Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya. (As-Saffat:48)
Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (bidadari-bidadari) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. (Ar-Rahman:70)
Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin. (Ar-Rahman:72-74)
HADITH
Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.” (H.R. Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar matahari dan bulan?” (H.R. Thabrani)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (H.R. Ath-Thabrani)
Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang. Sungguh kontras sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab Hadzil Arwah:316)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang bujang.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda: “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (H.R. Al-Baihaqi dan Al-Hakim)
Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”
Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu, dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh tutup kepala salah seorang wanita surga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)
Dari Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan seratus orang laki-laki.” (H.R. Tirmidzi)
Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda s.a.w menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (H.R. Ath-Thabrani)
Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari. Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur, iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”
Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”
Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. ALLAH menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”
Video kuliyah mengenai bidadari syurga
Ini adalah sedikit gambaran yang Allah berikan tentang bidadari di syurga. Walau bagaimanapun gambaran itu, manusia tidak akan boleh membayangkan sesuai dengan rupa aslinya, kerana sesuatu yang berada di syurga adalah sesuatu yang belum pernah kita lihat di dunia ini.

Saturday, 17 March 2012

Sijil halal: Pemuda PAS setuju langkah Jakim

Harakahdaily,16 Mac 2012



KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mengenakan hukuman penjara dan denda mulai 1 Julai 2012 kepada pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan jabatan itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu wajar sebagai usaha mewujudkan kesedaran tinggi kepada pengusaha agar berusaha mendapatkan sijil dan logo halal dengan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

"Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan pengusaha makanan tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan tahap halal makanan yang dijual mereka.  

"Tindakan ini juga boleh mengembalikan tahap keyakinan umat Islam terhadap produk yang dijual serta premis makanan yang terdapat di negara ini. Dengan cara ini, kebersihan dan tahap halal sesuatu makanan dapat dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, isu halal dalam makanan yang dihidangkan sama ada berbentuk produk yang dijual dipasaraya-pasaraya ataupun di premis makanan adalah suatu isu yang amat sensitif pada umat Islam.

Umat Islam yang prihatin dan peka tidak sesekali mengizinkan tubuh mereka dimasuki oleh unsur yang haram, terutama dalam soal makanan.

Makanan yang haram akan menjadikan tubuh umat Islam diselaputi dengan perkara yang haram dan seterusnya boleh menyebabkan  generasi negara ini menjadi rosak akhlak dan aqidah mereka, kata Riduan.

"Justeru, amat penting soal halal dalam makanan dititkberatkan dan DPPM merasakan tindakan JAKIM untuk melaksanakan hukuman penjara dan denda kepada pengusaha yang gagal mendapatkan logo halal adalah tindakan yang wajar," tegasnya.

Menilai kembali pengurusan zakat di Malaysia

Dr Azhari Ariffin,16 Mac 2012

 

Dengan memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam Harakah, antara lain menyatakan: “Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan."


Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.

Pertama: Pengurusan Zakat

Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.

Kedua: Pelaburan Harta Zakat

Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian.

Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:

Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang lahir akibat kefakiran tersebut.

Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.  Yang utamanyaialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur. Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain . Ketiganya, kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah.Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.

Majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat. Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang Islam pada zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang Islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport  dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.

Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.

Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir.

Seterusnya  timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.

Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.

Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hukum-hakam Islam  tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.

Semoga respons yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah tuhan.

Artikel di atas oleh penulis dan Panel Penyelidik Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat.

Tuesday, 6 March 2012

Nobat pemerintahan Islam di Kedah – Dewan Ulamak



KUALA LUMPUR, 6 Mac: Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang akur dengan keputusan PAS Pusat untuk mengekalkan Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh sebagai Exco.

Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Harun Taib (gambar)menggesa semua pihak selepas ini menghalakan segenap usaha dan tenaga yang ada untuk meneruskan perjuangan menobatkan pemerintahan Islam di Kedah Darul Aman dengan mengamalkan konsep ukhuwwah, persepakatan dan musyawarah dalam semua urusan.

Mapim gesa tubuh S'jaya Diraja laksana syariah...!

Harakahdaily,05 Mac 2012


KUALA LUMPUR, 5 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melalui kempen Gerakan Sokong Syariah (Gesa) menuntut agar pihak kerajaan segera mewujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja Mengenai Pelaksanaan Syariat Islam di Malaysia (SPSM).

"Badan ini disaran agar menjalankan suatu penyelidikan menyeluruh mengenai status perlaksanaan syariat Islam di Malaysia, penguatkuasaan, faktor-faktor yang menghalang perkembangannya serta rekomendasi menambahbaik dan memperkukuhkan status perlaksanaannya dalam sistem perundangan dan dasar pembangunan negara," kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, rasional saranan itu adalah kerana setelah lebih setengah dekad, 54 tahun negara ini merdeka, perkembangan syariat Islam dalam konteks perundangan dan dasar negara masih sangat jauh dari memuaskan.

Berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, sepatutnya perkembangan undang-undang Islam dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam dan pentadbiran negara semakin menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang.


Malangnya, katanya perundangan Islam yang tertakluk kepada kuasa negeri masih berada di tahap yang hampir tidak berkembang semenjak negara mencapai kemerdekaan.


Tambahnya, selain dari adanya pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam  Perkara 12,  undang-undang syariah masih tidak berkembang dan taraf undang-undang syariah masa jauh berada di bawah undang-undang sivil berdasarkan British “Common Law” .


Ini, ujarnya nyata dapat dilihat bila penghukuman jenayah syariah dalam undang-undang Syariah di Mahkamah Syariah hanya terikat kepada 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan.


Mapim berpendirian tuntutan ini sangat tepat waktunya kerana syariat Islam sebagai sebuah sistem berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah satu-satunya sistem yang boleh mengatasi segala kemelut serta krisis yang sedang melanda umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.


"Kami berpendapat bahawa mengembangkan syariat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan adalah wajar dan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya kepada Harakahdaily.


Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Gesa berkata, memperluaskan undang-undang syariah adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan malah sangat tepat dan harmonis dengan undang-undang induk di Malaysia.


Mapim, ujarnya menegaskan syariat Islam adalah sebahagian dari sejarah negara ketika pra penjajahan lagi, mengembangkan syariat di negara ini dalam pelbagai kehidupan sivil di kalangan umat Islam adalah suatu proses kesinambungan dari sejarah negara.


Menurutnya, setelah negara merdeka sepatutnya proses formalisasi syariat Islam disambung semula, akan tetapi ternyata pemerintah memilih untuk menggunapakai undang-undang sivil British sepenuhnya sebagai undang-undang perdana.


Katanya, syariat Islam yang telah disudutkan hanya kepada persoalan undang-undang kekeluargaan,  perlu disambung semula untuk melengkapkan proses Islamisasi seluruh bidang kehidupan umat Islam di negara ini.


Beliau berkata, akibat dari kedangkalan serta kejahilan masyarakat awam terhadap syariat, formalisasi syariat terbantut kerana hujah yang menimbulkan prasangka terhadap syariat di suarakan oleh sesetengah pihak seperti  terhadap isu undang-undang hudud.


Lebih merumitkan lagi, katanya hujah mereka didukung oleh beberapa pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh media yang mengambil pendirian negatif terhadap syariah.


"Sayangnya pihak berkuasa mengambil sikap membisu untuk menepis tohmahan dan persoalan penuh prasangka dan dangkal itu sehingga syariah terus dipinggir dan dijadikan sistem undang-undang kelas kedua," ujarnya lagi.


Mapim juga, tambahnya berpendapat sudah sampai masanya pendidikan terhadap syariat diterapkan kepada seluruh umat Islam agar menjadi suatu sistem yang dihayati dalam seluruh aspek kehidupan; ekonomi, sosial, pendidikan, pengurusan alam sekitar, seni dan budaya, gaya hidup harian mahupun politik.


"Suruhanjaya Diraja ini sepatutnya mengambil tanggungjawab membentangkan penemuan-penemuan dari kajian yang dijalankan untuk mencari kaedah bagaimana hendak mengutarakan langkah-langkah pengembangan  dan penambahbaikan perlaksanaan syariat di Malaysia untuk dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu serta kerajaan sehingga menjadi syariah sebagai sistem undang-undang arus perdana di negara ini," ujarnya.

Buka akaun Tabung Haji sejak lahir




MELAKA: Umat Islam di negara ini, termasuk bayi yang baru dilahirkan disarankan membuka akaun di Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ia sebagai persiapan berjimat cermat selain persediaan awal kepada penabung untuk menunaikan fardu haji ke Makkah pada masa hadapan.


Katanya, Melaka kini berjaya melaksanakan kempen mendaftarkan seramai 126,000 pelajar Islam sekolah menengah, rendah dan tadika membuka akaun dalam Tabung Haji.
“Hasil pendaftaran keseluruhan pelajar terbabit, nilai simpanan mereka kini mencecahkan RM106.37 juta.


“Daripada jumlah itu, 33,000 terdiri pelajar sekolah rendah dan tadika yang menyimpan RM17.7 juta manakala bakinya terdiri pelajar sekolah menengah dengan nilai simpanan sebanyak RM78.5 juta,” katanya di sini baru-baru ini.


Beliau berkata, kejayaan seramai 126,000 pelajar Islam ini mendaftar sebagai penabung adalah atas usaha kerajaan negeri yang menaja sebanyak RM2 untuk mereka.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyumbangkan RM98,294 lagi bagi pembukaan akaun Kelab Taha Tabung Haji untuk 49,147 pelajar sekolah menengah dan rendah,” katanya.


Beliau turut menjelaskan, sehingga kini, seramai 322,00 atau 64.14 peratus daripada 102,000 penduduk Islam di negeri ini menjadi pemegang akaun tabung haji dengan nilai simpanan sebanyak RM884.1 juta.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...