Saturday, 17 March 2012

Sijil halal: Pemuda PAS setuju langkah Jakim

Harakahdaily,16 Mac 2012



KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mengenakan hukuman penjara dan denda mulai 1 Julai 2012 kepada pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan jabatan itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu wajar sebagai usaha mewujudkan kesedaran tinggi kepada pengusaha agar berusaha mendapatkan sijil dan logo halal dengan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

"Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan pengusaha makanan tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan tahap halal makanan yang dijual mereka.  

"Tindakan ini juga boleh mengembalikan tahap keyakinan umat Islam terhadap produk yang dijual serta premis makanan yang terdapat di negara ini. Dengan cara ini, kebersihan dan tahap halal sesuatu makanan dapat dipertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, isu halal dalam makanan yang dihidangkan sama ada berbentuk produk yang dijual dipasaraya-pasaraya ataupun di premis makanan adalah suatu isu yang amat sensitif pada umat Islam.

Umat Islam yang prihatin dan peka tidak sesekali mengizinkan tubuh mereka dimasuki oleh unsur yang haram, terutama dalam soal makanan.

Makanan yang haram akan menjadikan tubuh umat Islam diselaputi dengan perkara yang haram dan seterusnya boleh menyebabkan  generasi negara ini menjadi rosak akhlak dan aqidah mereka, kata Riduan.

"Justeru, amat penting soal halal dalam makanan dititkberatkan dan DPPM merasakan tindakan JAKIM untuk melaksanakan hukuman penjara dan denda kepada pengusaha yang gagal mendapatkan logo halal adalah tindakan yang wajar," tegasnya.

Menilai kembali pengurusan zakat di Malaysia

Dr Azhari Ariffin,16 Mac 2012

 

Dengan memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam Harakah, antara lain menyatakan: “Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan."


Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.

Pertama: Pengurusan Zakat

Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.

Kedua: Pelaburan Harta Zakat

Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian.

Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:

Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang lahir akibat kefakiran tersebut.

Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.  Yang utamanyaialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur. Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain . Ketiganya, kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah.Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.

Majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat. Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang Islam pada zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang Islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport  dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.

Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.

Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir.

Seterusnya  timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.

Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.

Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hukum-hakam Islam  tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.

Semoga respons yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah tuhan.

Artikel di atas oleh penulis dan Panel Penyelidik Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat.

Tuesday, 6 March 2012

Nobat pemerintahan Islam di Kedah – Dewan Ulamak



KUALA LUMPUR, 6 Mac: Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang akur dengan keputusan PAS Pusat untuk mengekalkan Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh sebagai Exco.

Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Harun Taib (gambar)menggesa semua pihak selepas ini menghalakan segenap usaha dan tenaga yang ada untuk meneruskan perjuangan menobatkan pemerintahan Islam di Kedah Darul Aman dengan mengamalkan konsep ukhuwwah, persepakatan dan musyawarah dalam semua urusan.

Mapim gesa tubuh S'jaya Diraja laksana syariah...!

Harakahdaily,05 Mac 2012


KUALA LUMPUR, 5 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melalui kempen Gerakan Sokong Syariah (Gesa) menuntut agar pihak kerajaan segera mewujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja Mengenai Pelaksanaan Syariat Islam di Malaysia (SPSM).

"Badan ini disaran agar menjalankan suatu penyelidikan menyeluruh mengenai status perlaksanaan syariat Islam di Malaysia, penguatkuasaan, faktor-faktor yang menghalang perkembangannya serta rekomendasi menambahbaik dan memperkukuhkan status perlaksanaannya dalam sistem perundangan dan dasar pembangunan negara," kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, rasional saranan itu adalah kerana setelah lebih setengah dekad, 54 tahun negara ini merdeka, perkembangan syariat Islam dalam konteks perundangan dan dasar negara masih sangat jauh dari memuaskan.

Berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, sepatutnya perkembangan undang-undang Islam dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam dan pentadbiran negara semakin menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang.


Malangnya, katanya perundangan Islam yang tertakluk kepada kuasa negeri masih berada di tahap yang hampir tidak berkembang semenjak negara mencapai kemerdekaan.


Tambahnya, selain dari adanya pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam  Perkara 12,  undang-undang syariah masih tidak berkembang dan taraf undang-undang syariah masa jauh berada di bawah undang-undang sivil berdasarkan British “Common Law” .


Ini, ujarnya nyata dapat dilihat bila penghukuman jenayah syariah dalam undang-undang Syariah di Mahkamah Syariah hanya terikat kepada 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan.


Mapim berpendirian tuntutan ini sangat tepat waktunya kerana syariat Islam sebagai sebuah sistem berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah satu-satunya sistem yang boleh mengatasi segala kemelut serta krisis yang sedang melanda umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.


"Kami berpendapat bahawa mengembangkan syariat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan adalah wajar dan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya kepada Harakahdaily.


Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Gesa berkata, memperluaskan undang-undang syariah adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan malah sangat tepat dan harmonis dengan undang-undang induk di Malaysia.


Mapim, ujarnya menegaskan syariat Islam adalah sebahagian dari sejarah negara ketika pra penjajahan lagi, mengembangkan syariat di negara ini dalam pelbagai kehidupan sivil di kalangan umat Islam adalah suatu proses kesinambungan dari sejarah negara.


Menurutnya, setelah negara merdeka sepatutnya proses formalisasi syariat Islam disambung semula, akan tetapi ternyata pemerintah memilih untuk menggunapakai undang-undang sivil British sepenuhnya sebagai undang-undang perdana.


Katanya, syariat Islam yang telah disudutkan hanya kepada persoalan undang-undang kekeluargaan,  perlu disambung semula untuk melengkapkan proses Islamisasi seluruh bidang kehidupan umat Islam di negara ini.


Beliau berkata, akibat dari kedangkalan serta kejahilan masyarakat awam terhadap syariat, formalisasi syariat terbantut kerana hujah yang menimbulkan prasangka terhadap syariat di suarakan oleh sesetengah pihak seperti  terhadap isu undang-undang hudud.


Lebih merumitkan lagi, katanya hujah mereka didukung oleh beberapa pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh media yang mengambil pendirian negatif terhadap syariah.


"Sayangnya pihak berkuasa mengambil sikap membisu untuk menepis tohmahan dan persoalan penuh prasangka dan dangkal itu sehingga syariah terus dipinggir dan dijadikan sistem undang-undang kelas kedua," ujarnya lagi.


Mapim juga, tambahnya berpendapat sudah sampai masanya pendidikan terhadap syariat diterapkan kepada seluruh umat Islam agar menjadi suatu sistem yang dihayati dalam seluruh aspek kehidupan; ekonomi, sosial, pendidikan, pengurusan alam sekitar, seni dan budaya, gaya hidup harian mahupun politik.


"Suruhanjaya Diraja ini sepatutnya mengambil tanggungjawab membentangkan penemuan-penemuan dari kajian yang dijalankan untuk mencari kaedah bagaimana hendak mengutarakan langkah-langkah pengembangan  dan penambahbaikan perlaksanaan syariat di Malaysia untuk dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu serta kerajaan sehingga menjadi syariah sebagai sistem undang-undang arus perdana di negara ini," ujarnya.

Buka akaun Tabung Haji sejak lahir




MELAKA: Umat Islam di negara ini, termasuk bayi yang baru dilahirkan disarankan membuka akaun di Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ia sebagai persiapan berjimat cermat selain persediaan awal kepada penabung untuk menunaikan fardu haji ke Makkah pada masa hadapan.


Katanya, Melaka kini berjaya melaksanakan kempen mendaftarkan seramai 126,000 pelajar Islam sekolah menengah, rendah dan tadika membuka akaun dalam Tabung Haji.
“Hasil pendaftaran keseluruhan pelajar terbabit, nilai simpanan mereka kini mencecahkan RM106.37 juta.


“Daripada jumlah itu, 33,000 terdiri pelajar sekolah rendah dan tadika yang menyimpan RM17.7 juta manakala bakinya terdiri pelajar sekolah menengah dengan nilai simpanan sebanyak RM78.5 juta,” katanya di sini baru-baru ini.


Beliau berkata, kejayaan seramai 126,000 pelajar Islam ini mendaftar sebagai penabung adalah atas usaha kerajaan negeri yang menaja sebanyak RM2 untuk mereka.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyumbangkan RM98,294 lagi bagi pembukaan akaun Kelab Taha Tabung Haji untuk 49,147 pelajar sekolah menengah dan rendah,” katanya.


Beliau turut menjelaskan, sehingga kini, seramai 322,00 atau 64.14 peratus daripada 102,000 penduduk Islam di negeri ini menjadi pemegang akaun tabung haji dengan nilai simpanan sebanyak RM884.1 juta.

Friday, 2 March 2012

Nafi hudud dalam al-Quran bermakna tolak al-Quran

Harakahdaily,02 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Menyatakan bahawa hukum hudud tidak terdapat dalam al-Quran dan hanya ciptaan manusia boleh menjejaskan aqidah.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir (gambar), kenyataan seperti itu juga bermaksud menolak al-Quran itu sendiri.

"Hukum hudud ini ditentukan oleh Allah, dalam al-Quran disebut secara jelas. Sepakat ulama juga tetap bahawa hukum hudud ada dalam al-Quran seperti hukum potong tangan dan bunuh balas (qisas).

"Sesiapa yang menidakkan hudud dalam al-Quran, maksudnya dia tolak al-Quran," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sedangkan katanya rukun iman yang keempat adalah percaya kepada kitab Allah termasuk al-Quran.

Beliau yang juga bekas Mufti Kerajaan Terengganu berkata demikian ketika diminta memberi pandangan terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu program bersama mahasiswa baru-baru ini bahawa hudud tidak ada dalam al-Quran dan perlaksanaannya tidak adil.

Rakaman video ucapan Mahathir itu juga kini disebar meluas di internet khususnya di Youtube.

Dalam perkembangan lain, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut menggesa para alim ulama, mufti hingga ke Majlis Raja-Raja Melayu menegur Mahathir yang juga mantan Presiden Umno itu.

Ini kerana kenyataan Mahathir itu bukan sahaja boleh disifatkan teroesong dari ajaran Islam malah boleh mengelirukan umat Islam seluruhnya.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir ini ‘besar’ (salah) apabila menafikan hudud atau mengatakan hudud tidak ada dalam al-Quran. Sedangkan perkataan hudud itu sendiri jelas disebut dalam al-Quran.

“Hukum hudud bermakna hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh al-Quran secara nas qat’ie iaitu nas yang putus seperti hukum mencuri, hukum berzina ada dalam al-Quran.

“Begitu juga dengan nas yang berhubung dengan murtad, nas berhubung dengan arak, qazaf dan semuanya ada jelas dalam al-Quran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat pula akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka minggu depan.

"Insyaallah, minggu depan meeting DPPM, saya akan bincang dgn rakan-rakan bentuk tindakan wajar dan sesuai ke atas Tun Mahathir atas istiqamah kenyataannya yg menolak hukum hudud dan menyebutnya ia tdk terdapat di dalam al quran.

"Mungkin DPPM akan request untuk bertemu Tun Mahathir bagi menyampaikan betul duduk hukum hudud," kata ketuanya Nasruddin Hassan di laman Facebooknya.

Pemimpin baik rakyat jadi baik – Abu Hassan Din

Aslani M,02 Mac 2012

KOTA BHARU, 2 Mac: “Macam mana mahu menjadikan rakyat yang baik sekiranya pemimpin sendiri tidak mempamerkan sikap sedemikian,” kata pendakwah tersohor, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz (gambar).

Beliau berkata, ramai pemimpin bercakap mahu rakyat hidup dalam keadaan baik dan aman sentosa, namun tindak tanduk pemimpin tidak mencermin ke arah itu.

“Apabila kita berjaya menjana insan yang sempurna barulah keselamatan kehidupan manusia akan lebih terjamin,” katanya pada kuliah perdana di Medan Ilmu di sini, pagi tadi.

Program tersebut diadakan sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) malam ini. Di tempat sama petang ini kuliah Asar pula akan disampaikan pendakwah popular masa kini Ustaz Azhar Idrus.

Manakala perasmian TMK@12 akan disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan bertempat di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

Program tersebut akan diserikan konsert TMK@12 dengan menampilkan artis Ramli Sarip, OPIK dan kumpulan nasyid In-Team.

Medan Ilmu yang menjadi lokasi pembelajaran ilmu agama setiap pagi Jumaat, hari ini tambah sendat dengan program TMK@12.

Khemah besar yang dipasang memanjang di Jalan Dato’ Pati di mana setiap ruang dipenuhi orang ramai. Jalan terbabit ditutup lalu lintas sejak semalam.

Kuliah hampir sejam setengah itu mengupas tajuk Menjana Insan Kamil. Hadir sama anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan dan Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Manakala kuliah agama disambung pula Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga berakhir jam 10.35 pagi.

Suasana Medan Ilmu juga seperti pasar tani apabila ramai peniaga mengambil kesempatan berniaga. Fenomena tersebut dapat disaksikan setiap pagi Jumaat.

Ustaz Abu Hassan berkata, sebelum ini ada pemimpin negara sering bercakap mengenai modal insan bagi melahirkan rakyat yang mempunyai kekuatan dalaman.

Sementara itu program pelancaran TMK@12 hari kedua esok akan diserikan dengan perarakan kereta berhias bermula jam 8 malam.

Perarakan itu bermula dari Bandar Baru Tunjung akan melalui Jalan Kuala Krai, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Temenggong, Jalan Hilir Kota dan berakhir di Kota Sultan Ismail Petra.

Pada pagi esok juga diadakan sukan air di Dataran Lembah Sireh bermula jam 9 pagi. Pada 9 malam pula program Citrawarna Kelantan perarakan kebudayaan dan rakyat.

Mengundi wajib, sokong tegak Islam juga wajib...

Khairil Abdul Rahim,29 Feb 2012

KUANTAN, 29 Feb: PAS Pahang mengalu-alukan kenyataan Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (kiri) hari ini bahawa tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) adalah wajib demi memilih sebuah kerajaan membela kesucian agama dan keamanan.


Ketua Penerangannya, Ustaz Suhaimi Saad (kanan)berkata, lanjutan daripada itu wajib juga memilih calon dan kumpulan yang memperjuangkan dan menegakkan Islam kerana barulah menepati kehendak kefarduan mengundi itu sendiri.

“PAS alu-alukan kenyataan Mufti Pahang itu bahkan itulah yang PAS perjelaskan selama ini.

“Cuma wajib juga bagi individu muslim supaya memilih calon yang tidak rasuah, tidak mengkhianati hak rakyat, tidak pecah amanah serta amar makruf nahi mungkar kerana itulah ciri-ciri Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang hari ini bahawa warga negara yang layak mengundi adalah wajib berbuat demikian.

Seperti yang disebut melalui agensi berita Bernama, mufti itu berkata mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan.

Tambahnya, pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah.

"Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain.

Suhaimi berkata, dalam konteks sebuah negara yang majoritinya umat Islam sudah tentu kumpulan yang memperjuangkan Islam wajib diundi manakala pemimpinnya diangkat menjadi pemimpin negara.

“Jika dalam sebuah negara Islam bagaimana mahu dipilih pemimpin yang belum beramal sepenuhnya dengan hukum Islam seperi membiarkan isteri tidak menutup aurat, berkata bohong atau mengamalkan rasuah.

“Jadi jika dikaitkan pentingnya memilih pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah, sudah tentu yang dilantik itu sendiri mestilah berkeperibadian muslim.

“Itu yang saya katakan mengundi wajib, memilih pemimpin yang memperjuang dan mengamalkan Islam juga wajib,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...