Tuesday, 25 October 2011

Qazaf


PENGERTIAN QAZAF


Pengertiannya ialah melimparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunanya.






PEMBAHAGIAN QAZAF


1.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman hudud, seperti seseorang menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil.


2.) Qazaf yang pesalah-pesalahnya boleh dikenakan hukuman takzir seperti seseorang menuduh seseorang yang lain kufur, mencuri, minum arakatau murtad dan sebagainya, termasuk mencaci, memaki dan lain-lainnya yang boleh menjatuhkah marwah seseorang dan menghinanya.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalahharam dan termasuk dalam dosa besardan wajib dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebat, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:
”Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu adalah orang yang fasiq”.
(Surah An- Nur ayat 4)







PENUDUH YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN QAZAF


1. Berakal
2. Baligh
3. Kemahuan sendiri tidak dipaksa
4. Mengetahui haramnya Qazaf
5. Bukan ibu bapa dan datuk ke atas kepada orang yang dituduh.

Jika orang yang menuduh itu gila atau kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had Qazaf keatas mereka. Ini sebagaimana berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:
”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gilanya”.
(Riwayat Bukhari Fi Muslim)







CARA-CARA MELAKUKAN QAZAF


Dalam Qanun Jenayah Sayr’iyyah cara melakukan Qazaf terdapat tiga cara:
i) Tuduhan yang dibuat secara sarih (terang dan jelas), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan-perkataan yang jelas dan tepat yang tidak boleh ditafsirkan kepada maksud yang lain selain daripada zina dan penafian nasab (keturunan)

ii) Tuduhan yang dibuat secara kinayah (kiyasan), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat yang boleh membawa erti zina atau selainnya.

iii) Tuduhan yang dibuat secara ta’ridh (sindiran), iaitu tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak jelas dan tidak tepat juga yang boleh memberi pengertian yang lain daripadazina sebagaimana dilakukan dalam perkataan kinayah.








BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN QAZAF


Kesalahan Qazaf boleh disabitkan dengan salah satu dari bukti –bukti yang berikut:-
1. Syahadah (penyaksian)
2. Ikrar (pengakuan)
3. Yamin (sumpah)

Liwat

Liwat ialah melakukan persetubuhan di dubur, sama ada dubur lelaki atau dubur perempuan walaupun dubur isterinya sendiri.
Melakukan persetubuhan didubur hukumnya adalah haram dan sama seperti bersetubuh difaraj perempuan yang bukan isterinya, dan juga sama hukumannya dengan berzina. Mereka yang melakukan liwat, wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu direjam sehingga mati, jika orang yang berliwat itu muhsin. Dan dikenakan hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun, jika berliwat dengan bukan muhsin.
(Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 111-112)






MUSAHAQAH (LESBIAN)


Melakukan sesuatu perbuatan untuk memuaskan nafsu seks diantara perempuan dengan perempuan dengan mengeselkan faraj dengan faraj mereka berdua hingga mendatangkan berahi dan merasa kelazatan dengan sebab pergeselan faraj diantara kedua-dua orang perempuan itu.
Musahaqah adalah suatu perbuatan yang haram dan wajib dikenakan hukuman takzir, dimana kesalahan musahaqah itu boleh disabitkan dengan bukti-bukti yang dikehendaki untuk mensabitkan kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman takzir. Dan kesalahan liwat hendaklah disabitkan kesalahan itu dengan bukti –bukti sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak untuk membuktikan zina.






MENDATANGI BINATANG


Seseorang yang mendatangi binatang tidak boleh diistilahkan sebagai orang yang berzina. Perbuatan mereka itu boleh diistilahkan suatu perbuatan yang haram dan keji yang wajib dijatuhkan hukuman takzir.






BERSETUBUH DENGAN ORANG YANG TELAH MATI


Lelaki yang mensetubuhi perempuan yang telah mati yang bukan isterinya tidak boleh diistilahkan melakukan perzinaan, tetapi lelaki itu wajib dikenakan hukuman takzir. Begitu juga perempuan yang memasukkan zakar lelaki yang telah mati yang bukan suaminya ke dalam farajnya tidak boleh juga dikira sebagai berzina, tetapi perempuan itu wajib juga dikenakan hukuman takzir.
Oleh itu bagi perkara tersebut diatas lelaki dan perempuan itu tadi wajib dikenakan hukuman takzir sahaja dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud.




BUKTI-BUKTI UNTUK MENSABITKAN KESALAHAN ZINA


Untuk mensabitkan seseorang itu bersalah dalam kes zina yang wajib dikenakan hukuman hudud mestilah dibuktikan dengan salah satu perkara-perkara berikut:-


i) Perzinaan itu mestilah disaksikan oleh empat orang saksi lelaki. Sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud:

”Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) diantara perempuan-perempuan kamu maka carilah empat orang lelaki diantara kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan mereka”.
( Surah An-Nisaa' - Ayat 15)

ii) Ikrar (pengakuan) daripada orang yang melakukan zina. Ikrar ini hendaklah dibuat dihadapan imam atau wakilnya seperti hakim atau kadhi.

iii) Qarinah, iaitu perkara-perkara yang menunjukkan berlaku perzinaan, misalnya hamil bagi perempuan-perempuan yang tidak bersuami, atau tidak diketahui perempuan itu ada suami.





KELAYAKAN SAKSI –SAKSI DALAM KES ZINA

Saksi-saksi yang layak untuk menjadi saksi dalam kes kesalahan berzina yang boleh diterima penyaksiannya ialah mereka yang memenuhi syarat-syarat berikut:-

1. 4 orang lelaki
2. Baligh, telah dewasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
3. Berakal
4. Orang yang adil, iaitu tidak melakukan dosa besar dan dosa –dosa kecil.
5. Orang Islam
6. Saksi-saksi itu kesemuanya mestilah benar-benar melihat dengan matanya sendiri masuk kemaluan lelaki itu kedalam kemaluan perempuan itu seperti keris masuk kedalam sarungnya.
7. Keterangan saksi-saksi itu mestilah jelas, iaitu menerangkan secara hakiki masuk zakar lelaki itu ke dalam lubang faraj perempuan itu sebagaimana yang berlaku – bukan secara kiasan.
8. Saksi-saksi itu mestilah melihat sendiri perzinaan itu dilakukan dalam satu tempat yang tertentu dan dalam satu masa yang sama (tidak berlainan tempat dan masa).


( Rujukan Kitab - Kitab Mathla’al Badraian –
Syeikh Muhammad Daud Al-Fathani )

Zina


Ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak (bukan pasangan suami isteri) dan kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif (persetubuhan yang meragukan).

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan, dan lelaki itu menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya atau lelaki tadi menyangka bahawa perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhinya itu sah mengikut hukum syarak, sedangkan sebenarnya perkahwinan mereka itu tidak sah, maka dalam kes ini kedua-dua orang itu tidak boleh didakwa dibawah kes zina dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, kerana persetubuhan mereka itu adalah termasuk dalam wati’ subhah iaitu persetubuhan yang meragukan.

Mengikut peruntukan hukuman syarak yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith yang dikuatkuasakan dalam undang-undang Qanun Jinayah Syar’iyyah bahawa orang yang melakukan perzinaan itu apabila sabit kesalahan di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu disebat sebanyak 100 kali sebat. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud :
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. (Surah An- Nur ayat 2)

ZINA TERBAHAGI KEPADA DUA :
1. ZINA MUHSAN
2. ZINA BUKAN MUHSAN

ZINA MUHSAN
Iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan yang halal (sudah pernah berkahwin)


ZINA BUKAN MUHSAN
Iaitu lelaki atau perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin).
Perzinaan yang boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan Zina Muhsan ialah lelaki atau perempuan yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, iaitu telah merasai kenikmatan persetubuhan secara halal.
Penzinaan yang tidak cukup syarat-syarat yang disebutkan bagi perkara diatas tidak boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina muhsan, tetapi mereka itu boleh dituduh dan didakwa dibawah kesalahan zina bukan muhsan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh hukum syarak.




HUKUMAN YANG DIKENAKAN KEATAS ORANG YANG ZINA MUHSAN DAN BUKAN MUHSAN

Seseorang yang melakukan zina Muhsan, sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan keatas mereka hukuman had (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab I’anah Al- Thalibin juzuk 2 muka surat 146 yang bermaksud :
”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina muhsan wajib dikenakan keatas mereka had (rejam), iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati”.

Seseorang yang melakukan zina bukan muhsan sama ada lelaki atau perempuan wajib dikenakan ke atas mereka hukuman sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud :
”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”.

PEREMPUAN YANG DI ROGOL DAN DI PERKOSA

Perempuan-perempuan yang dirogol atau diperkosa oleh lelaki yang melakukan perzinaan dan telah disabit dengan bukti –bukti yang diperlukan oleh syarak dan tidak menimbulkan sebarang keraguan dipihak hakim bahawa perempuan itu dirogol dan diperkosa, maka dalam kes ini perempuan itu tidak boleh dijatuhkan dan dikenakan hukuman hudud,dan ia tidak berdosa dengan sebab perzinaan itu.

Lelaki yang merogol atau memperkosa perempuan melakukan perzinaan dan telah sabit kesalahannya dengan bukti – bukti dan keterangan yang dikehendaki oleh syarak tanpa sebarang keraguan dipihak hakim, maka hakim hendaklah menjatuhkan hukuman hudud keatas lelaki yang merogol perempuan itu, iaitu wajib dijatuhkan dan dikenakan ke atas lelaki itu hukuman rejam dan sebat.

Perempuan-perempuan yang telah disabitkan oleh hakim bahawa ia adalah dirogol dan diperkosa oleh lelaki melakukan perzinaan, maka hakim hendaklah membebaskan perempuan itu dari hukuman hudud (tidak boleh direjam dan disebat) dan Allah mengampunkan dosa perempuan itu di atas perzinaan secara paksa itu.
© Jabatan Mufti Negeri Melaka

Pembunuhan


1. Pembunuhan itu adalah satu daripada dosa-dosa besar sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud :-


"Sesiapa yang membunuh orang-orang mukmin dengan sengaja maka balasananya ialah neraka jahanam kekal didalamnya dan Allah murka dan mengutuknya dan disediakan azab yang berat untuknya."(Surah An-Nisa'a Ayat 93)




Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
" Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas (balasan yang sesuai dengan perbuatan) sebab membunuh orang."


2. Cara-cara pembunuhan ada tiga cara :


1) Sengaja semata-semata
i) Membunuh dengan sengaja semata-mata. - Iaitu seseorang yang bertujuan untuk membunuh dengan menggunakan sesuatu alat yang boleh membunuh atau mematikan seseorang.
Hukumannya :- - Pembunuhan wajib dibalas dengan bunuh juga (qisas) kecuali ahli waris yang terbunuh memaafkan dengan membayar diyat mughallazah (denda yang berat) ataupun dimaafkan tanpa membayar diyat(denda) -
Syarat wajib qisas :-
1) Islam
2) Tiada dimaafkan oleh ahli waris

2) Tersalah semata-mata
- Iaitu pembunuhan yang tidak disengajakan sebagai contoh seseorang itu menembak binatang tetapi tertembak seseorang yang lain dan menyebabkan orang itu terbunuh.
Hukuman :-
Dikenakan islah tidak dikenakan qisas (balas bunuh) tetapi dia kena diyat mukhafafah (denda yang ringan). Diyat itu dibayar oleh adik-beradik pembunuh dan bayarannya boleh ditangguhkan selama tiga tahun. -

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-
"Sesiapa yang membunuh seseorang yang beriman dengan tidak disengajakan maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat (denda) kepada ahli yang terbunuh." 
(Surah An-Nisa'a - Ayat 92)

3) Menyerupai semata-mata
- Iaitu seseorang yang memukul orang lain dengan sesuatu alat yang biasanya tidak boleh membunuh atau mematikan seperti ranting kayu dan mati dengan pukulan itu
. - Hukumannya:-
Islah tiada wajib qisas (balas bunuh) tetapi diwajibkan ke atas keluarga pembunuh membayar diyat mughallazah (denda yang berat) dengan secara beransur-ansur selama tiga tahun.

Tujuan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta'zir


Hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:


1. Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:






"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari)
2. Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)






3. Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud:
"Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali .






4. Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:
"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)






5. Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)






Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:
"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33)

Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke Atas Penjenayah


Mengikut peruntukan hukum syara` yang disebutkan di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah kes jinayah syar`iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman hudud, qisas, diyat atau ta`zir.
Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.






1. Hukuman Hudud
Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, 2:229).
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara`.
b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
c) Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
d) Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
e) Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
g) Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari`at Islam dan hukum-hukum Islam.




2. Hukuman Qisas
Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:
a) Membunuh orang lain dengan sengaja.
b) Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c) Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)






3. Hukuman Diyat
Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:
a) Pembunuhan yang serupa sengaja.
b) Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).
c) Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178)






4. Hukuman Ta`zir
Hukuman ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.
Hukuman ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau qisas.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.

Monday, 24 October 2011

Kelantan tubuh jawatankuasa kaji pelaksanaan hudud

Rizal Tahir


KOTA BHARU, 24 Okt: Kelantan meluluskan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Enakmen Jenayah Syariah ll (Hudud), bagi membuat kajian tentang hukuman itu dapat dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, jawatankuasa yang dianggotai seramai 19 orang ahli itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sini tengah hari ini.
Amar pula memberitahu beliau diamanahkan timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Beliau seterusnya memberitahu, peranan jawatankuasa itu untuk melihat beberapa sudut tertentu bagi membolehkan hukuman berkenaan dapat dijalankan di negeri ini mengikut peruntukan undang-undang.
“Ada pandangan baru dari sudut undang-undang yang mengatakan ianya boleh dilaksanakan tanpa mengubah perlembagaan yang ada.
“Jadi jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan melihat ruang-ruang tersebut sekiranya ada,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, latar belakang mereka yang dilantik dalam anggota itu mengikut kesesuaian dalam bidang professional masing-masing khususnya dalam bidang agama, keselamatan seperti polis dan Jabatan Penjara.
Selain itu, katanya anggota Dewan Negara, Senator Mumtaz Mohd Nawi satu-satunya dilantik dalam jawatankuasa itu dari kalangan wanita.
“Apa yang penting sekarang setiap apa yang ingin dilakukan mengikut kerangka undang-undang,” ujarnya.
Antara anggota jawatankuasa yang dilantik ialah Penasihat Undang-Undang Kerajaan negeri, dua orang anggota exco kerajaan negeri dan Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dan bekas anggota exco kerajaan negeri, Datuk Muhammad Daud.
( Semoga segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah S.W.T )

Saturday, 22 October 2011

Hudud: Satu pertimbangan semula

Rizuan Abdul Hamid
Wujud kesilapan-kesilapan dan kelemahan-kelemahan dalam menerangkan bab Hudud. Ada juga yang memberikan analogi-analogi yang lemah dan contoh-contoh yang tidak tepat. Malah ada juga yang menulis nota panjang tetapi tidak mencapai matlamat.
Bukan hasrat saya untuk menyerang hasil-hasil ilmiah yang dibentangkan oleh alim ulama dan bijak pandai.
Secara ikhlas, saya juga berpendirian bahawa tiada alasan untuk menolak Hudud, tetapi apa susunan tingkat kepentingan untuk melaksanakannnya? Apakah pendekatan kita juga tepat untuk memujuk hati insan-insan yang menentang Hudud.
Dalam siri tulisan ‘Nota Mudah Memahami Hukum Hudud’ yang ditulis oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Pemuda PAS) yang disiarkan oleh Harakah Daily, ianya terlalu tekstual dan tidak menerangkan proses-proses yang berlaku sebelum kes Hudud itu dibicara.
Tulisan Dr Ghazali Hasbullah (Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia) yang bertajuk ‘Hudud: Pemuda PAS jawab SIS’ yang juga turut disiarkan oleh Harakah Daily mencetus sedikit kekeliruan. Dr Ghazali berbicara bab Hudud, tetapi meletakan carta kes Rogol. Beliau juga membuat perbandingan yang tidak mantap. (rujuk graf dan sebahagian penulisannya di bawah);
“Sejarah telah membuktikan jumlah jenayah yang sangat rendah dengan perlaksanaan syariat Allah itu.
Negara
Kes RogolTahun 2002
Populasi Penduduk
Kes/Populasi  x 1 juta
Kanada
24,350
33,465,300
727.62
Malaysia
1,431
27,730,000
51.60
Jerman
8,615
82,127,000
104.90
Arab Saudi
59
24,735,000
2.39 (LAKSANA HUDUD)
United Kingdom
13,395
61,186,000
218.92
Amerika
95,136
305,975,000
310.93
Dalam keadaan jenayah di Malaysia tidak terkawal, Pemuda PAS menyokong penuh agar perlaksanaan Hukum Hudud dapat dilaksanakan di Kelantan sebagai negeri pemula bagi mengembalikan keharmonian negara dan rakyatnya.”
Dr Ghazali membandingkan kes Zina dengan Rogol. Sedangkan perkara tentang Rogol masih lagi menjadi khilaf anatara ulama, sama ada kes ini jatuh dalam Hukum Hudud atau tidak. Tetapi Jumhur Ulama mengatakan bahawa Rogol tidak sama dengan Zina, ianya jauh berbeza dan pendapat ini jauh lebih kuat dan menepati semangat Islam. Jadi kes Rogol tidak boleh jatuh dalam bab Hudud.
Hadith yang paling sesuai untuk dijadikan sandaran dalam bab Hudud ialah hadith berikut, maksudnya;
“Wahai Usamah, apakah engakau mengajukan syafa’at untuk membatalkan hukum Allah? Sesungguhnya Bani Isra’il itu binasa kerana apabila seseorang di antara kalangan terhormat mencuri mereka biarkan dan tidak dihukum, dan apabila seorang lemah mencuri mereka menghukumnya. Demi jiwa Muhammad yang berada pada Tangan-Nya, sekiranya Fatimah puteri Muhammad mencuri nescaya ku potong tangannya.”
Hadith tersebut menyatakan asas sesuatu undang-undang, iaitu keadilan dan tidak mengambil kira kedudukan seseorang dalam melaksanakan hukuman jika terbukti bersalah. Keadilan inilah yang menjadi matlamat Hudud, bukannya sebat atau memotong tangan.
Tetapi kesalahan-kesalahan fatal yang dilakukan oleh penegak-penegak hukum Hudud sekarang ialah apabila terlalu memokuskan Hudud kepada potong tangan atau sebat.
Ada juga yang mengatakan bahawa Hudud mampu menangani gejala sosial. Ya betul, tetapi ramai yang menyatakan perbandingan yang salah. Asas untuk menangani gejala sosial ialah pendidikan dan pembentukan akhlak yang baik, Undang-undang Syariah dan Hudud cuma pagar yang mengawal keadaan.
Matlamat Undang-undang Syariah dan juga Hudud ialah untuk mendidik umat, bukannya untuk menghukum pesalah semata-mata. Ianya juga bermatlamat sebagai amaran buat umat. Falsafah Undang-undang Syariah Islam ialah mengurangkan jumlah pesalah yang dikenakan hukuman. Akan tetapi melalui hukuman yang berat, ianya akan menggerunkan pihak lain dari membuat kesalahan. Melalui falsafah ini, ianya menepati falsafah asas moral dan Undang-undang sejagat, iaitu untuk membuatkan manusia ‘mematuhi dan tidak melanggar sesuatu peraturan dan bukannya takut kepada penguatkuasa undang-undang kerana seseorang itu sentiasa mematuhi setiap peraturan’.
Jika Hudud dilaksanakan, maka gejala sosial akan berkurangan. Perkataan ini benar, tetapi mengapa ini terjadi? Ini kerana matlamat Hudud bukannya menghukum, tetapi amaran. Oleh kerana itu kebanyakan kes Hudud membuatkan tertuduh tidak dapat didakwa. Ini kerana peraturan Hudud yang ketat dalam bab persaksian dan wujud faktor-faktor pertimbangan. Sebagai contoh, untuk membuat pertuduhan dalam kes zina, empat saksi yang adil diperlukan. Cuba fikir sejenak, bagaimana untuk menyaksikan secara ‘live’ sesuatu kes penzinaan atau secara lebih tepat, melihat dengan mata kepala ‘keris masuk sarung’, dengan empat saksi? Jika empat saksi tersebut hanya melihat pasangan bukan mahram  di dalam sebuah bilik, hanya pertuduhan khalwat yang boleh dikenakan. Bukannya pertuduhan zina yang melibatkan Hudud.
Semasa zaman Rasulullah S.A.W, Rasulullah dan para sahabat hanya menghukum terhadap pesalah yang mengaku melakukan zina sahaja, tetapi tidak kedengaran bahawa Rasulullah dan para sahabat mencari pelaku zina.
Bab kasih sayang dan pertimbangan dalam Hudud juga tidak diberikan perhatian. Jika kes kecurian berlaku dan terbukti kesalahan, maka Hakim akan mempertimbangkan sebab-sebab kes itu berlaku. Jika kes itu berlaku kerana alasan darurat yang munasabah oleh pencuri itu, maka dia mempunyai peluang untuk terlepas dari hukuman potong tangan. Juga berkemungkinan besar bahawa dia akan diberi bantuan pula.
Kasih sayang yang dimaksudkan ialah, kasih sayang sesama muslim. Ianya adalah salah satu asas dalam masyarakat yang melaksanakan Hudud. Sebelum pertuduhan dalam kes Hudud itu berlaku, muslim itu sebenarnya dituntut untuk saling memaafkan. Daripada Sunan Abu Daud, diriwayatkan sebuah Hadith yang isnadnya hasan, maksudnya;
“Hendaklah kamu sekelian saling memaafkan dalam perkara hudud di antara kamu, dan apabila sesuatu kes telah sampai kepadaku maka hudud mesti dilaksanakan.”
Dalam Hadith diatas, Rasulullah meminta kita untuk saling memaafkan, inilah kasih sayang dalam Umat yang perlu kita bangunkan. Oleh kerana itu dalam kes-kes Hudud hatta keseluruhan Undang-Undang Syariah itu, terlalu rendah bilangan pesalah dan kes yang didakwa. Inilah semangat Islam dan roh Undang-undang Syariah yang dilaksanakan.
Hudud Allah itu tidak berdiri atas beratnya hukuman, tetapi berdiri diatas keadilan, kasih sayang dan akhlak umat. Inilah faktor-faktor yang menjadikan berkurangnya sesuatu pendakwaan dalam Undang-undang Syariah dan Hudud. Bukan oleh kerana beratnya hukuman. Tetapi sifat sayang-menyayangi, saling memaafkan yang secara tidak langsung akan membentuk satu suasana masyarakat yang baik akhlaknya, dan akan bertambah baik jika ianya dipagari oleh Undang-undang Syariah dan Hudud. Inilah cara Allah melunakkan hati manusia, jika hati itu tidak dapat dilunakkan, maka amaran dan hukuman keras yang akan menanti.
Dalam tingkat keutamaan pula, langkah Ikwan Muslimin di Mesir adalah contoh terbaik. Semasa mereka dan seluruh rakyat Mesir berusaha menggulingkan rejim zalim Hosni Mubarak, Ikhwan Muslimin meletakkan cita-cita Negara Islam (ini pasti juga termasuk cita-cita Hudud) di tangga kedua. Kerana bagi mereka di saat itu, menjatuhkan sebuah rejim yang zalim dan mewujudkan sebuah masyarakat yang bebas dan merdeka sebagai keutamaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...